PENAT rasanya menelaah
apabila otak sudah berasa tepu. Ayu yang meniarap kembali berbaring setelah
menutup buku notanya. Sambil menguap dia menutup mulut. Jam menunjukkan pukul
11.00 malam. Patutlah...
Baru sekejap tadi dia dengar Darus balik ke rumah. Dari dalam bilik yang
dikongsi bersama dua orang sepupunya itu, dia dengar suara pak ciknya itu
berbual-bual dengan mak ciknya. Seperti biasalah, ada saja bebelan Maziah.
Yang pasti setiap kali Maziah membebel, namanya pasti akan disebut-sebut.
Ada saja aduan Maziah perihal dirinya kepada Darus. Balik kelas lambatlah, tak
nak menolong dia di dapurlah, asyik memerap dalam biliklah. Ada saja yang
Maziah tak puas hati.
Malas dia nak memikirkan itu semua. Lalu dia mencapai telefon bimbit. Di
Zurich, baru pukul 5.00 petang. Dia mahu menghubungi ibunya dengan menggunakan
panggilan internet. Sebaik sahaja talian bersambut, salam diberi dengan rasa
teruja.
“Anak ibu ni sihat tak?”
“Mestilah sihat, ibu. Kalau tak, Ayu tak call.” Ayu ketawa.
Seketika kemudian dia menutup mulut, bimbang Adila dan Mastura yang sedang
tidur di atas katil bujang di kiri dan kanannya terjaga. Dia tidur di atas
tilam di tengah-tengah antara kedua-dua katil itu. Sepupunya tidur awal sebab
esok sekolah. Adila 11 tahun. Mastura pula tingkatan 4.
“Ibu tengah buat apa tu?” soalnya pula. Sekadar berbasa-basi. Bukan ada
hal penting pun dia menghubungi Safia. Dapat mendengar suara pun jadilah.
Hilang rindunya.
“Ibu tengah tengok TV. Ayah awak belum balik dari kelas. Katanya hari ni
kelas sampai pukul 6.00.”
Ayu mengangguk. Kadir menyambung pelajaran ke peringkat PhD di Zurich.
Sebagai isteri, Safia mengikut suaminya itu walau ke mana Kadir pergi.
“Oh...” Tak semena-mena air mata Ayu bergenang. Dia rindu sangat pada
Safia.
“Cukup tak duit yang ibu bagi setiap bulan tu? Belajar degree mesti
banyak pakai duit. Kalau tak cukup beritahu ibu ya? Nanti ibu masukkan lagi.”
Suara Safia kedengaran risau.
“Cukup, bu... cukup sangat. Ibu jangan risau. Ayu pandai berjimat cermat.
Lagipun Pak Cik Darus ada. Dia pun bagi duit belanja.” Kenyataan yang terakhir
itu Ayu menipu. Darus tak pernah bertanya sama ada dia ada duit atau tidak.
Kadang-kadang sangat Darus menghulurkan duit belanja. Air mata yang bergenangan
luruh ke pipi. Hatinya serta-merta rasa sebak.
“Ibu tahu pak cik Ayu tu boleh jaga Ayu. Sejak Ayu duduk dengan adik ibu
tu, ibu tak rasa risau sangat. Dulu masa Ayu duduk kolej kat Seri Iskandar, ya
ALLAH... risau betul ibu.”
Ayu tersenyum sambil menyeka air mata. Baguslah kalau ibu sangka begitu.
Dia tak mahu ibunya susah hati walaupun sebenarnya dia lebih gembira tinggal di
kolej bersama kawan-kawan yang susah senang tetap mahu bersama. Dengan pak cik
sendiri, langsung tak mahu ambil tahu tentang dirinya. Mak cik pula kuat
membebel dan selalu mencari kesalahannya. Ada tiga orang adik sepupu, langsung
tak hormatkannya.
Tiba-tiba kedengaran kekecohan di luar bilik. Darus dan Maziah sedang
bertekak. “Ibu, ibu... nanti Ayu call ibu lagi. Mengantuklah.
Assalamualaikum...” Tidak sempat Safia membalas kata-katanya, dia sudah
memutuskan talian.
Dia dengar dengan jelas namanya disebut Maziah dan Darus. Ya ALLAH... apa
lagi kali ni? Dadanya diamuk debar yang bukan kepalang. Apa aku nak buat ni?
Kerana tak mahumendengar kekecohan semakin
melarat, lekas-lekas dia berbaring dan
menyelimutkan diri. Mata dipejamkan seolah-olah sudah tidur. Suara melengking
Maziah makin kuat. Dia langsung tak boleh tidur.
“Abang tu tak duduk kat rumah! Tak tahu apa yang jadi! Tak tahu macam mana
perangai anak saudara awak tu!” Maziah terpekik lagi.
“Jangan nak tuduh sebarangan,” kata Darus selamba.
“Nak menangkan anak saudara sendiri aje abang ni! Dahlah dia tu pemalas!
Semua benda nak disuruh. Sama macam bapak saudara dia jugak,” kata Maziah
dengan celopar. “Duduk rumah memerap dalam bilik aje. Entah apa dia buat. Dasar
keturunan pemalas!”
Darus buat tak dengar. Dia bersandar di sofa sambil menonton televisyen.
Makin berapi hati Maziah. “Kalau macam ni, lama-lama dalam rumah ni tak
ada apa-apalah yang tinggallah jawabnya. Semua benda dia nak curi!”
Darus masih beku dan keras di sofa. Malas dia nak melayan bebelan Maziah.
Makin dilayan, makin naik hantu nanti.
“Buat pekak pulak orang tua ni! Abang dengar ke tak saya cakap? Pekak ke?
Kalau dah selalu macam ni, lama-lama saya tak boleh nak sabar! Tak kiralah dia
siapa! Anak saudara abang ke, apa ke... kalau saya dah geram, saya tak kira!
Kalau saya kata saya ganyang, saya ganyang! Saya dah tak boleh sabar dah ni!”
Maziah terus merempuh masuk ke dalam bilik anak-anak daranya.
Dilihat Ayu sedang tidur di atas tilam yang dibentangkan di atas lantai.
Anak-anaknya tidur di atas katil.
“Tengok ni! Membuta aje kerja dia! Kurang ajar! Bangun! Hoi, bangunlah!”
tengking Maziah. Kakinya menyepak kaki Ayu,membuatkan Ayu terus bangun terduduk.
“Kurang ajar betul kau ni, Ayu! Hidup kau kerjanya nak mencuri aje ke? Kau
jangan sampai aku tampar muka kau tu!”
Ayu kecut perut melihat muka Maziah yang menyinga itu. Baru saja dia nak
membela diri, dilihat Darus sudah masuk ke dalam bilik itu juga.
“Apa bising-bising ni, Ziah? Dah malam buta. Dahlah, keluar! Budak-budak
nak tidur tu. Esok nak sekolah. Ayu ada kelas.” Darus memaut bahu Maziah,
mengajak keluar, tapi Maziah mengeraskan diri.
“Saya dah tak boleh nak sabar lagi, bang! Dah kerap sangat duit simpanan
saya hilang. Dia ni memang tak reti diuntung! Dah bagi duduk menumpang, buat
perangai pulak! Kalau ikut hati aku ni, aku kerjakan kau cukup-cukup! Bagi
balik duit aku yang kau curi tu, Ayu! Bagi balik!”
Darus memegang tangan Maziah agar tak mengapa-apakan Ayu.
“Mak cik...” Ayu cuba menjelaskan, tapi ngeri dia melihat mak ciknya itu
mengamuk. Dadanya berdebar-debar kerana terlalu cuak dituduh begitu. Tertelan
liur dia nak bersuara. Dia mesti pertahankan diri. Dia tak pernah mencuri.
Langsung tak pernah!
“Apa yang bising-bising ni?” rungut Mastura. Dia bangun sambil
menggonyoh-gonyoh matanya. Mamai. “Diamlah... orang nak tidur pun tak boleh!
Esok pagi orang nak sekolah!” Dia merengus. “Memekak aje!”
“Nak tidur, tidur ajelah!” Maziah menghamun anaknya itu. Dia memandang Ayu
yang masih duduk bersila di atas tilam. “Bak balik duit aku! Bak balik!”
“Duit? Duit apa?” tanya Ayu yang memang tak tahu-menahu. Kalau ada barang
yang hilang dalam rumah, mesti dia yang dituduh. Kalau duit sesiapa yang
hilang, dia juga yang disyaki.
“Kau tak payah nak buat muka blur! Tak payah nak berlakonlah, Ayu.
Tahu tak, aku meluat tengok muka kau ni? Aku meluat! Bak balik duit aku yang
kau curi tu!” Maziah menadah tangan sambil menjegilkan mata.
“Takkanlah Ayu nak mencuri, Ziah. Jangan nak tuduh dia.” Darus cuba
mendamaikan. Dia pun sebenarnya serba salah. Yang seorang anak saudara. Yang
seorang lagi isteri.
“Saya bukan menuduh. Tapi sejak dia duduk rumah ni, ada saja barang yang
hilang. Duit tak usah cakaplah. Pantang lepa, habis lesap!” Maziah menjeling
Ayu dengan rasa menyampah. “Bagilah balik duit aku! Kau pekak ke apa?!”
tengkingnya.
“Tak, mak cik. Ayu tak ambil pun duit mak cik tu.” Ayu masih cuba membela
diri walaupun tahu Maziah takkan percaya kata-katanya.
Darus menghela nafas panjang. “Ayu, pulangkanlah duit mak cik kau ni. Kau
pun satu. Dah tahu mak cik kau ni macam singa, kau ambil duit dia buat apa?”
Dia akhirnya menyebelahi Maziah.
Mastura menyelimutkan diri hingga menutup kepala dan menyambung tidur.
Adila langsung tidak berkutik. Tidur mati!
“Dia ni, kalau kita minta elok-elok, takkan bagi punya! Bak sini wallet
kau!” Maziah terus menggeledah beg sandang Ayu, mencari beg duit gadis itu.
Air mata Ayu mula bergenangan. “Mak cik... Ayu tak ambil duit mak cik.
Betul. Ayu tak curi. Ayu tak curi.” Pipinya mula basah. Kenapalah Maziah asyik
nak menuduhnya? Kenapa tak percayakan dia? Dia tak pernah mencuri. Setiap bulan
ibunya memberi wang belanja RM300 sebulan. Memang tak banyak, tapi cukup kerana
dia sangat berjimat.
“Kau ingat aku percaya cakap kau! Dari mula kau masuk rumah ni, aku dah
dapat rasa. Kau ni jenis manusia tak guna! Aku sara hidup kau, macam ni kau
buat pada orang yang bela kau? Memang tak guna kau ni!” bebel Maziah. Dapat
saja beg duit Ayu, dibukanya dan mengeluarkan semua wang yang ada. Dia
memandang Darus.
“Mak cik, jangan! Duit Ayu tu. Jangan ambil, mak cik...” rayu Ayu dengan
genangan air mata.
“Tengok ni, bang! Tengok! Banyak duit dia. Mana dia dapat duit banyak ni
kalau bukan duit saya?” Maziah menunjal-nunjal kepala Ayu dengan rasa geram dan
sakit hati. “Argh... pencuri! Geram betullah aku dengan kau ni!”
Ayu hanya mampu menangis dan melihat semua wangnya diambil Maziah. Duit
syiling pun diambil juga. “Mak cik...” Dia cuba merayu.
“Apa mak cik, mak cik? Apa?! Duit kau yang aku ambil ni pun tak cukup lagi
nak bayar apa yang kau dah curi. Nah, ambil balik wallet kau ni!” Maziah
mencampak beg duit tersebut ke muka Ayu.
Terluka hati Ayu diperlakukan begitu. Pipi yang terkena campakan beg
duitnya tadi diusap-usap, terasa sakit. “Ayu tak mencuri, mak cik... pak cik.
Ayu tak ambil duit mak cik. Tolonglah percaya.” Makin banyak air mata yang
tumpah.
Darus tak tahu nak buat apa. Nak percaya salah, tak percaya pun salah.
Memang betul cakap Maziah. Sejak Ayu tinggal bersama mereka, ada saja duit
Maziah yang hilang.
“Pak cik...” Ayu cuba meraih kepercayaan Darus.
Darus mengeluh panjang dan menggeleng. “Kau ni, Ayu... tak sangka pulak
aku ada anak saudara pencuri. Sekali lagi kau buat, nahas kau aku kerjakan
nanti!” ugutnya pura-pura kerana mahu memuaskan hati Maziah.
Pedih hati Ayu melihat riak wajah pak ciknya itu yang seperti percaya
dengan tuduhan Maziah. Makin kecewa apabila melihat Darus keluar dari bilik itu
bersama Maziah tanpa memandangnya.
“Kurang ajar! Duduk rumah aku nak mencuri pulak!” Sempat Maziah menyeranah
sebelum menghempas kuat pintu bilik.
Ayu merebahkan tubuh di atas tilam bersama perasaan kecewa. Bantal ditekup
ke muka. Dia menangis teresak-esak.