Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,115
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 23

DIAM tak diam, sudah hampir sebulan Ayu rapat dengan Shahrul. Hampir sebulan! Dia yang pada asalnya cuma sukakan Shahrul dalam diam-diam, boleh bertegur sapa mesra. Bahkan jadi rapat dan masuk kali ini sudah dua kali dia keluar berdua dengan Shahrul!

Dia memejamkan mata sambil mengulum senyum. Memang sungguh tak disangka. Malah, mereka kerap bermesej walaupun hanya bertanya khabar. Kembang dadanya dibelai bahagia begini.

Tiba-tiba matanya terbelalak daripada pejam. Tangan kiri diangkat untuk melihat jam di pergelangannya. “Eh, dah nak pukul 8.00!”

Segera dia bingkas bangun dari lantai bilik yang sepi itu. Mastura dan Adila menonton televisyen di ruang tamu. Dia pula selepas menunaikan solat maghrib, duduk berlunjur menyiapkan tugasan dan nota.

Dia bersiap serba ringkas. Sangat ringkas. Skirt labuh, baju T lengan panjang dan selendang yang dililit biasa. Pakai bedak bayi di muka dan pelembab bibir. Siap!

Baru saja dia nak melangkah keluar dari bilik, suarasumbang sudah bergema.

“Bukan main lagi kau ya? Malam-malam keluar. Nak pergi lorong ke?”

Ayu berpaling. Dilihat Maziah sedang duduk di sofa sambil mulut mengunyah epal. “Mak cik, Ayu nak keluar jumpa kawan.”

“Kawanlah sangat,” sampuk Mastura bernada sindiran. “Entah-entah jumpa jantan. Buat projek!”

Mulut dia ni kan... kalau dapat dicilikan, sesuai sangat! Geram Ayu menengokkannya. Tak padan dengan masih bersekolah.

“Kau nak jumpa jantan, kan?” tebak Maziah yang sudah membelalakkan mata memandang Ayu. “Kau jangan ingat orang sekeliling ni buta. Kau buat benda-benda tak senonoh, tak elok... semua orang bercerita. Jantan yang selalu datang kat gerai mengendeng kat kau tu, kau ingat aku tak tahu? Orang dok mengata tahu tak? Yang malu, yang tebal muka... ni hah!” Dituding mukanya sendiri.

“Dia kawan satu kampus,” terang Ayu, memaksudkan si Jeffry walaupun dia bukannya kawan pun dengan lelaki itu. Tak berkawan langsung! Bahkan kalau boleh dia nak bermusuh dengan Jeffry.

“Habis, kalau satu kampus bolehlah kau nak buat tak senonoh? Aku dengar orang cakap kau bukan main lagi dengan budak tu. Terkekek-kekek ketawa bergurau senda. Time aku tak ada, berani pulak budak tu datang. Kalau aku ada, tak nampak pulak batang hidung dia,” bebel Maziah dengan reaksi meluat.

“Entah. Gatal!” sampuk Mastura perlahan. Walaupun perlahan, tapi cukup sinis.

Pedih telinga Ayu. Pedih lagi hatinya. Lantas dia teringatkan Jeffry. Bila masa pulak aku terkekek-kekek ketawa dengan si Jeff tu?

Dia tak pernah langsung mempelawa Jeffry datang ke gerai. Jeffry sendiri yang terhegeh-hegeh datang. Jeffry punya pasallah ni. Sekarang aku dah jadi bahan umpatan jiran-jiran. Geram betullah! Ngok ngek!

“Aku tengok orang lain yang masuk U tak ada pulak perangai macam kau ni, Ayu.” Maziah masih mahu membahasakan anak saudara suaminya itu. “Semua belajar betul-betul. Tak ada nak menggatal dating sana, dating sini macam kau. Kalau kau dah miang sangat, tak payah belajar. Kahwin terus, senang! Tak payah lagi laki aku menanggung kau.”

“Saya nak keluar jumpa kawan, nak bincang pasal pelajaran. Kat Seksyen 18 depan ni aje.” Ayu cuba pekakkan telinga daripada mengulas tuduhan-tuduhan Maziah tadi. Kalau dilayan, silap-silap boleh jadi gaduh. Selagi dia boleh bersabar, dia akan bertahan. Dan dia tahu dia sangat penyabar orangnya.

“Mak percayalah cakap dia tu. Malam-malam keluar nak buat apa lagi? Nak cari jantanlah tu!” Mastura menjadi batu api.

Astaghfirullah... mulut Mastura bukan main lancang. Sama naik macam Maziah. Mastura betul-betul mengikut perangai Maziah. Malah, mungkin entah-entah lagi teruk daripada Maziah kalau sudah besar nanti.

“Kau pergi! Pergi! Pukul 11.00 kau tak balik, tidurlah kau kat luar rumah!” kata Maziah sambil menjegilkan mata.

Ayu terdiam seketika sebelum dia berlalu ke pintu. Tiba di pintu, dia menoleh pada Maziah yang masih membeliakkan mata. “Assalamualaikum...” Tanpa menunggu dia berlalu keluar.

“Kurang ajar punya budak!” selar Maziah tanpa menjawab salam yang sepatutnya wajib dijawab.

“Memang kurang ajar, mak.” Mastura yang masih berbaring menonton televisyen turut menyampuk.

Adila daripada tadi fokus menonton, langsung tak menghiraukan perbualan emaknya dengan Ayu.

“Mana si Raffi ni? Dari petang tadi tak balik-balik. Merayau aje dia tu,” bebel Maziah lagi. Tiba-tiba dia tersedak, lalu terbatuk-batuk. Buah epal yang belum habis dimakan diletak ke tepi. “Mas, ambilkan mak air.” Dia terbatuk-batuk.

Mastura kaku tak bereaksi.

“Mas!” Maziah sudah tak senang duduk, masih terbatuk-batuk. “Ambilkanlah mak air! Aduh... dia ni. Mak tersedak ni.”

“Alah... mak pergilah ambil sendiri kat dapur. Orang nak tengok TV pun tak senang!” Mastura langsung tak memandang Maziah.

Sambil terbatuk-batuk, Maziah bangun ke dapur. “Aku dah tercekik ni, kau boleh buat tak kisah? Apa punya anaklah kau ni! Bertuah betul! Aku ni tercekik!” Dia terbatuk-batuk lagi.


“KERETA siapa awak bawa ni, Shah?” soal Ayu setelah kereta Vios TRD yang dinaiki mereka meluncur di jalan raya. “Kereta sepupu awak ke?”

Shahrul tergelak. “Kalau saya cakap ni kereta saya, awak percaya tak?”

Mata Ayu terbuntang. “Awak, biar betik? Ni kereta baru. Mesti mahal.”

“Tak ada yang ‘betik’, awak. Asalkan saya berusaha, saya boleh capai apa saja yang saya impikan. Kan saya pernah beritahu awak, saya kerja part time dengan sepupu saya tu. Alhamdulillah... berkat usaha gigih saya, saya dapat kereta yang saya idam-idamkan ni.” Shahrul tersenyum menawan.

Ayu meliarkan pandangan ke dalam kereta. Bestnya dapat naik kereta baru. Masih bau kedai lagi. Dia bukan tahu apa-apa pasal kereta. Bawa kereta tak reti, lesen pun tak ada.

“Kita nak pergi mana ni? Saya ada bawa buku rujukan sekali. Bolehlah awak nak tanya apa-apa yang awak tak faham.” Sempat Ayu menyengih sambil menunjuk buku yang dipegangnya.

“Alah... asyik studi, studi, studi, studi! Siang studi. Malam pun nak studi?” Shahrul bersuara lemah.

“Eh, bukan ke awak yang cakap nak jumpa malam ni nak bincang pasal subjek yang awak kata boleh pecahkan otak tu?”

“Memanglah. Tapi, tiba-tiba saya rasa penatlah asyik studi aje. Malam ni kita pergi makan kat Seksyen 13, ya. Lupakan sekejap pasal studi tu. Okey?” Shahrul memujuk sambil membuat muka sedih.

Ayu tersenyum. Shahrul kalau dah buat mimik muka begitu, lemah lutut dibuatnya.

“Macam tulah!” Shahrul ketawa. Diam Ayu sudah cukup memberi jawapan.

“Tapi balik cepat tau. Nanti mak cik saya bising.”

“Okey!” Shahrul angkat tangan kirinya paras kepala.

Ayu meleretkan senyuman. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. “Hah! Saya dengar awak kena panggil dengan dekan hari tu. Pasal kes gaduh. Betul ke?” Kecoh semalam apabila topik Shahrul bergaduh jadi buah mulut pelajar kampus.

“Wah! Wah!” Shahrul bagaikan terpegun. “Glamour jugak saya ni, kan? Sampaikan satu kampus tahu pasal saya.”

“Kalau dengan Geng Mat Ngek, mana tak kecohnya? Lagi-lagi si Jeff tu. Betul ke, awak? Kes apa sebenarnya ni? Apa dekan buat kat awak?” Bertubi-tubi soalan dituju.

Shahrul menghela nafas berat.

Ayu diam. Nampaknya mood Shahrul terus merundum. Agaknya Shahrul memang gaduh besar dengan Jeffry. Si Jeffry tu memang! Aku kena marah dengan Mak Cik Maziah pun sebab dia. Dia tu... asyik nak kucar-kacirkan hidup orang aje. Menyusahkan! Geram pulak dia. Dia pula yang emosi.

“Saya malaslah nak cakap pasal dia orang tu. Malas betul! Gila! Cari pasal pulak dengan saya. Dia orang dengki dengan saya, awak. Lagi-lagi lepas tengok saya pakai kereta ni!” dengus Shahrul. Wajahnya berubah masam.

Dia memandang Ayu sekilas. “Kalau awak jumpa dia orang, awak jangan layan. Lagi-lagi si Jeff tu. Silap-silap dengan awak sekali bermasalah. Nasib baik dekan bagi amaran aje kat kita orang pasal kes tu. Kalau tak, memang saya takkan maafkan dia orang!” cerita Shahrul agak beremosi. “Eh, bencilah nak cakap pasal Jeff tu! Jangan cakap lagi pasal dia. Benci betul saya.”

Ayu diam, tak mahu mencurah minyak pada api yang mula membara. Jeffry tu manusia apalah agaknya? Dia yang mendengar cerita Shahrul pun dah rasa bengang. Apatah lagi Shahrul yang dulu sangat akrab dengan Geng Mat Ngek tu. Dah, dah! Jangan sebut pasal dia orang lagi. Buat hilang mood aje.

“Err... kita pergi makan Thai food eh? Ke makan western food?” soal Ayu teruja.

Shahrul mengukir senyuman. “Tak. Kita makan makanan orang seberang.”

“Orang seberang? Seberang apa? Seberang kampung? Kampung mana?” Berkerut-kerut dahi Ayu memikirkannya.

Tertawa Shahrul dibuatnya. “Kita makan masakan Indonesia. Ayam penyet.” Dia memandang Ayu sekilas bersama senyuman yang terukir.

Cair hati Ayu dipandang begitu. Ada debaran mengusik jiwa. Senyumannya menguntum dalam hati. Apa yang sedang aku rasakan ketika ini, ya ALLAH?

“Awak sangat... special.”

Ayu rasa jantungnya bagaikan nak gugur. Debaran di dada semakin rancak.

“Sangat special di hati saya,” lanjut Shahrul sambil sempat bertembung mata dengan Ayu beberapa saat sebelum dia kembali fokus memandu. Dia sendiri tergamam kerana tak sangka ayat yang dituturkannya begitu lancar sekali.

Ketika ini Ayu rasa nak berlari dan ketawa dan kemudian memberitahu satu dunia yang Shahrul menganggapnya istimewa. Ya, dia sangat istimewa di hati Shahrul.

Perlahan-lahan dia menoleh ke kiri menghadap ke luar kereta sambil menyorokkan senyuman gembira yang tersimpul.


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.