Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
209,821
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 10
BARU sahaja Ayu nak membentang tilam di atas lantai, pintu bilik ditolak kasar. Dia berpaling. Adila dan Mastura masuk sambil ‘bercakaran’. Entah apa yang direbutkan.

“Akak ni dah kenapa? Bukan orang yang buatlah!” Adila menepis tangan Mastura.

Pintu dihempas kuat. Tersentak Ayu. Sebenarnya dia dah biasa. Mastura dengan Adila selalu bertengkar. Ada saja yang digaduhkan. Kadang-kadang dengan Raffi pun bergaduh sama.

“Kau pergi betulkan balik. Betulkan balik aku kata! Aku tak tahu. Kau yang buat.” Mastura menghenyakkan tubuh di atas katilnya.

“Orang tak buat, tak buatlah!” Adila menghentak-hentak kaki dengan wajah masam mencuka.

“Aku nampak kau yang pegang! Siap kau kejap lagi mak marah. Baik kau pergi betulkan balik. Kalau kau tak nak betulkan, aku cakap kat mak.”

Makin mencuka muka Adila. Ada riak nak menangis. Tercemik-cemik. Mata sudah merah berair. “Tak faham ke? Orang cakap tak buat, tak buatlah! Akak tu kenapa nak menuduh orang? Asyik orang aje salah!” Adila sudah menangis. Air mata bukan main laju mengalir ke pipinya.

Ayu tak mencelah. Tak berani dia. Dulu masa mula-mula tinggal di situ, dia pernah cuba meleraikan pergaduhan mereka. Konon-kononnya disebabkan dia lebih tua, tentulah Mastura dan Adila akan mendengar katanya. Tapi haram! Dia pulak yang kena herdik. Mulut Mastura sangat ‘bisa’, pedih telinganya mendengar.

“Kau tu memang tak guna. Semua benda kau pegang jadi rosak! Tangan kau tu patut kena potong!” Sekali lagi Mastura menyelar Adila.

“Akak ni kenapa?” Adila membentak. Dicapai bantal lalu dicampak ke muka Mastura. Marah betul dia.

Tidak sempat Mas mengelak. Buk! Tepat kena ke mukanya.

“Akak suka tuduh orang! Mulut macam puaka!”

Wah... umur 11 tahun tapi bercakap macam orang dewasa. Bingit telinga Ayu apabila masing-masing terpekik-pekik.

“Kurang ajar mulut kau ni! Nanti aku cili mulut kau tu!” Mastura melempar kembali bantal tadi ke muka Adila. Buk!

“Astaghfirullah...” Ayu yang asyik memerhati akhirnya berasa tak tertahan. Dua beradik ni kalau bergaduh, macam nak bermusuh sampai mati! “Tak baik buat macam tu, Mas.” Dia cuba cakap selembut mungkin.

“Sibuklah! Dahlah menumpang rumah orang.” Mastura menjeling Ayu dengan riak menyampah. “Buat semak bilik orang aje!”

Tengok! ‘Bisa’ kan kata-kata Mastura? Tapi, Ayu tak salahkan gadis itu. Mastura banyak mengikut apa yang orang terdekatnya buat. Mastura terikut-ikut apa saja perbuatan dan percakapan Maziah dan Darus.

“Memang Kak Ayu menumpang, tapi kita kena hormat orang lain. Tak kiralah dengan sesiapa pun. Tak kiralah sama ada orang tu muda atau tua.” Dia cuba memberi nasihat.

“Diamlah! Penyibuk!” herdik Mastura.

“Astaghfirullahalazim...” Ayu tak tahu cara nak menegur Mastura. Tegur baik-baik pun tak terima. Nak buat baik lagilah tak dilayan. Mereka sepupu hanya pada nama. Jangan kata bergurau, bersalam pun tak pernah.

“Kak Mas tu memang kurang ajar! Lempang mulut dia, Kak Ayu. Dia tu tahu lempang orang aje. Mulut sendiri kurang ajar tak lempang pulak.” Adila menghasut Ayu. Jadi batu api.

Baru Ayu nak memujuk dan menenangkan Adila, sekali lagi pintu dibuka dengan kasar. Tak jadi dia nak bersuara.

“Woi! Kau ni memanjang nak tidur aje, Ayu. Pergilah basuh pinggan kat singki tu. Berlambak! Bukan nak menolong duduk kat rumah ni. Buat tak reti aje kau ni. Takkan nak biar pinggan mangkuk kat singki tu menimbun-nimbun empat lima hari baru kau nak basuh!” Maziah memetir seperti biasa. Pantang betul dia kalau Ayu memerap di dalam bilik, tapi ada kerja rumah yang tak disiapkan.

Terpinga-pinga Ayu. Bukan ke selepas makan malam tadi dia yang bersihkan dapur? Semua pinggan mangkuk kotor dia sudah basuh? Selepas siap semuanya barulah dia menunaikan solat isyak dan sekarang dia mahu merehatkan diri.

“Pergilah! Eeii... kau ni. Tercangak-cangak... macam minta nak kena sepak pulak kau.”

Lekas-lekas Ayu bangun.

“Eh, nanti dulu!”

Langkah Ayu terhenti.

“Jam tangan aku pecah.” Maziah memandang Ayu meluat. “Entah siapalah yang punya kerja!” sindirnya pula.

Jadi, yang Mastura dan Adila gaduhkan pasal ‘benda yang rosak’ tadi tu jam tangan Maziahlah? Ah... habislah aku!Dada Ayu ketika ini terasa bergemuruh.

“Kalau kau marahkan aku, janganlah nak merosakkan harta benda aku. Kau fikir jam tangan aku tu murah? Beli kat pasar malam?” Maziah memanahkan matanya ke arah Ayu yang sudah tertunduk.

Adila dan Mastura saling berpandangan. Jelas riak wajah masing-masing tergambar perasaan lega. Langsung mereka tak menyangka emak mereka menuduh Ayu. Mereka terselamat!

Ya ALLAH... Lemah lutut Ayu ketika ini. Aku yang dituduh? Ketika itu jugalah dia memandang Mastura. Gadis itu sudah berbaring di atas katil sambil menyelimutkan diri. Pandangan dialihkan ke arah Adila. Sepupu kecilnya itu langsung tak mempedulikannya, pura-pura sedang membelek beg sekolah.

Dipandang Maziah yang sedang bercekak pinggang. Tajam renungan wanita itu. Luluhnya hati. Belum pun lama dia tinggal di rumah Darus, macam-macam yang dia dituduh. Dituduh mencuri, merosakkan harta benda... dituduh pemalas, tak menolong. Kenapa, ya ALLAH?

“Aku nak kau ganti balik jam aku tu. Aku nak jam yang sama. Kau tahu berapa harga dia? Kalau tak ada dua ratus, tak dapat jam tu tau! Lagi seminggu kau tak beli, kau jangan duduk kat rumah ni lagi!” gertak Maziah sambil menuding jari tepat ke arah wajah Ayu.

Ayu tersentak. “Mak cik...” Dia tergeleng-geleng. “Ayu tak pecahkan jam tangan mak cik. Ayu tak...”

“Aku tak percaya! Kau tu sengaja nak kenakan aku diam-diam. Kau nak sakitkan hati aku. Sebab tu buat rosak semua harta benda aku. Kau nak balas dendam kan? Berani betul kau ni. Berani betul!” Maziah menunjal-nunjal dahi Ayu.

“Ayu tak per...”

“Tak nak mengaku?!” tengking Maziah baran. “Dah buat, tak nak mengaku?! Dulu sebelum kau duduk rumah aku, tak pernah pun ada barang yang rosak. Sekarang ni, macam-macam kau buat. Kau ni kenapa busuk hati sangat? Dah duduk menumpang rumah aku, kau nak buat tahi pulak. Manusia jenis apa kau ni? Hah?! Manusia apa kau ni? Aku tak pernahlah jumpa orang macam kau. Eeii... kalau ikut hati aku, aku kerjakan kau cukup-cukup!”

Mata Ayu sudah terasa panas. Air mata bergenangan. Sebelum keluar dari bilik, sempat dia menoleh ke arah Adila dan Mastura yang selamba memandangnya. Sedikit pun tiada perasaan bersalah kerana menjadikan dia mangsa tuduhan.

“Cepatlah keluar!” herdik Maziah, geram tengok Ayu terhegeh-hegeh melangkah.

Sebaik saja Ayu menutup pintu bilik, Maziah berpaling ke arah Mastura dan Adila. “Anak mak nak tidur ya? Haa... tidur, tidur. Si Raffi entah ke mana saja dia tu. Tak balik-balik lagi. Asyik merayau pergi rumah kawan saja yang dia tahu. Tak reti nak balik ke dia tu?”

“Dia tidur rumah kawan dialah tu agaknya, mak.” Mastura menduga.

“Entah. Kot ya pun bagi tahulah mak. Hei, budak tu pun. Panjang betul kaki. Tak pernah nak lekat kat rumah. Dia pergi rumah siapa, Mas?”

“Manalah orang tahu. Alah, mak ni pun. Dia lelaki. Apa yang nak disibukkan? Kalau dia nak balik, pandai-pandailah dia. Itu pun nak kecoh. Dahlah, mak... orang dah mengantuk ni, nak tidur,” rungut Mastura.

“Yalah, yalah. Sayang mak sikit,Dila.” Maziah mendapatkan Adila lalu mencium kedua-dua pipi anak bongsunya itu. Selimut Adila dikemaskan.

Kemudian dia beralih ke katil Mastura pula. Dicium anak sulungnya itu pula. “Esok pagi jangan liat nak bangun. Esok sekolah,” pesannya.

“Ya, ya, ya...” balas Mastura sedikit membentak.

Sedikit pun Maziah tak terasa dengan sikap kurang ajar Mastura. Anak sendiri memanglah dia rasa sentiasa molek saja perangainya.

Sebelum keluar,Maziah memetik suis untuk memadamkan lampu.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.