Home Novel Komedi/Romantik Komedi AWAK JANGAN NAKAL
AWAK JANGAN NAKAL
muRni aQiLa
24/2/2014 23:27:42
212,485
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 6
PENAT rasanya menelaah apabila otak sudah berasa tepu. Ayu yang meniarap kembali berbaring setelah menutup buku notanya. Sambil menguap dia menutup mulut. Jam menunjukkan pukul 11.00 malam. Patutlah...

Baru sekejap tadi dia dengar Darus balik ke rumah. Dari dalam bilik yang dikongsi bersama dua orang sepupunya itu, dia dengar suara pak ciknya itu berbual-bual dengan mak ciknya. Seperti biasalah, ada saja bebelan Maziah.

Yang pasti setiap kali Maziah membebel, namanya pasti akan disebut-sebut. Ada saja aduan Maziah perihal dirinya kepada Darus. Balik kelas lambatlah, tak nak menolong dia di dapurlah, asyik memerap dalam biliklah. Ada saja yang Maziah tak puas hati.

Malas dia nak memikirkan itu semua. Lalu dia mencapai telefon bimbit. Di Zurich, baru pukul 5.00 petang. Dia mahu menghubungi ibunya dengan menggunakan panggilan internet. Sebaik sahaja talian bersambut, salam diberi dengan rasa teruja.

“Anak ibu ni sihat tak?”

“Mestilah sihat, ibu. Kalau tak, Ayu tak call.” Ayu ketawa. Seketika kemudian dia menutup mulut, bimbang Adila dan Mastura yang sedang tidur di atas katil bujang di kiri dan kanannya terjaga. Dia tidur di atas tilam di tengah-tengah antara kedua-dua katil itu. Sepupunya tidur awal sebab esok sekolah. Adila 11 tahun. Mastura pula tingkatan 4.

“Ibu tengah buat apa tu?” soalnya pula. Sekadar berbasa-basi. Bukan ada hal penting pun dia menghubungi Safia. Dapat mendengar suara pun jadilah. Hilang rindunya.

“Ibu tengah tengok TV. Ayah awak belum balik dari kelas. Katanya hari ni kelas sampai pukul 6.00.”

Ayu mengangguk. Kadir menyambung pelajaran ke peringkat PhD di Zurich. Sebagai isteri, Safia mengikut suaminya itu walau ke mana Kadir pergi.

“Oh...” Tak semena-mena air mata Ayu bergenang. Dia rindu sangat pada Safia.

“Cukup tak duit yang ibu bagi setiap bulan tu? Belajar degree mesti banyak pakai duit. Kalau tak cukup beritahu ibu ya? Nanti ibu masukkan lagi.” Suara Safia kedengaran risau.

“Cukup, bu... cukup sangat. Ibu jangan risau. Ayu pandai berjimat cermat. Lagipun Pak Cik Darus ada. Dia pun bagi duit belanja.” Kenyataan yang terakhir itu Ayu menipu. Darus tak pernah bertanya sama ada dia ada duit atau tidak. Kadang-kadang sangat Darus menghulurkan duit belanja. Air mata yang bergenangan luruh ke pipi. Hatinya serta-merta rasa sebak.

“Ibu tahu pak cik Ayu tu boleh jaga Ayu. Sejak Ayu duduk dengan adik ibu tu, ibu tak rasa risau sangat. Dulu masa Ayu duduk kolej kat Seri Iskandar, ya ALLAH... risau betul ibu.”

Ayu tersenyum sambil menyeka air mata. Baguslah kalau ibu sangka begitu. Dia tak mahu ibunya susah hati walaupun sebenarnya dia lebih gembira tinggal di kolej bersama kawan-kawan yang susah senang tetap mahu bersama. Dengan pak cik sendiri, langsung tak mahu ambil tahu tentang dirinya. Mak cik pula kuat membebel dan selalu mencari kesalahannya. Ada tiga orang adik sepupu, langsung tak hormatkannya.

Tiba-tiba kedengaran kekecohan di luar bilik. Darus dan Maziah sedang bertekak. “Ibu, ibu... nanti Ayu call ibu lagi. Mengantuklah. Assalamualaikum...” Tidak sempat Safia membalas kata-katanya, dia sudah memutuskan talian.

Dia dengar dengan jelas namanya disebut Maziah dan Darus. Ya ALLAH... apa lagi kali ni? Dadanya diamuk debar yang bukan kepalang. Apa aku nak buat ni?

Kerana tak mahumendengar kekecohan semakin melarat, lekas-lekas dia berbaring dan menyelimutkan diri. Mata dipejamkan seolah-olah sudah tidur. Suara melengking Maziah makin kuat. Dia langsung tak boleh tidur.

“Abang tu tak duduk kat rumah! Tak tahu apa yang jadi! Tak tahu macam mana perangai anak saudara awak tu!” Maziah terpekik lagi.

“Jangan nak tuduh sebarangan,” kata Darus selamba.

“Nak menangkan anak saudara sendiri aje abang ni! Dahlah dia tu pemalas! Semua benda nak disuruh. Sama macam bapak saudara dia jugak,” kata Maziah dengan celopar. “Duduk rumah memerap dalam bilik aje. Entah apa dia buat. Dasar keturunan pemalas!”

Darus buat tak dengar. Dia bersandar di sofa sambil menonton televisyen.

Makin berapi hati Maziah. “Kalau macam ni, lama-lama dalam rumah ni tak ada apa-apalah yang tinggallah jawabnya. Semua benda dia nak curi!”

Darus masih beku dan keras di sofa. Malas dia nak melayan bebelan Maziah. Makin dilayan, makin naik hantu nanti.

“Buat pekak pulak orang tua ni! Abang dengar ke tak saya cakap? Pekak ke? Kalau dah selalu macam ni, lama-lama saya tak boleh nak sabar! Tak kiralah dia siapa! Anak saudara abang ke, apa ke... kalau saya dah geram, saya tak kira! Kalau saya kata saya ganyang, saya ganyang! Saya dah tak boleh sabar dah ni!” Maziah terus merempuh masuk ke dalam bilik anak-anak daranya.

Dilihat Ayu sedang tidur di atas tilam yang dibentangkan di atas lantai. Anak-anaknya tidur di atas katil.

“Tengok ni! Membuta aje kerja dia! Kurang ajar! Bangun! Hoi, bangunlah!” tengking Maziah. Kakinya menyepak kaki Ayu,membuatkan Ayu terus bangun terduduk. “Kurang ajar betul kau ni, Ayu! Hidup kau kerjanya nak mencuri aje ke? Kau jangan sampai aku tampar muka kau tu!”

Ayu kecut perut melihat muka Maziah yang menyinga itu. Baru saja dia nak membela diri, dilihat Darus sudah masuk ke dalam bilik itu juga.

“Apa bising-bising ni, Ziah? Dah malam buta. Dahlah, keluar! Budak-budak nak tidur tu. Esok nak sekolah. Ayu ada kelas.” Darus memaut bahu Maziah, mengajak keluar, tapi Maziah mengeraskan diri.

“Saya dah tak boleh nak sabar lagi, bang! Dah kerap sangat duit simpanan saya hilang. Dia ni memang tak reti diuntung! Dah bagi duduk menumpang, buat perangai pulak! Kalau ikut hati aku ni, aku kerjakan kau cukup-cukup! Bagi balik duit aku yang kau curi tu, Ayu! Bagi balik!”

Darus memegang tangan Maziah agar tak mengapa-apakan Ayu.

“Mak cik...” Ayu cuba menjelaskan, tapi ngeri dia melihat mak ciknya itu mengamuk. Dadanya berdebar-debar kerana terlalu cuak dituduh begitu. Tertelan liur dia nak bersuara. Dia mesti pertahankan diri. Dia tak pernah mencuri. Langsung tak pernah!

“Apa yang bising-bising ni?” rungut Mastura. Dia bangun sambil menggonyoh-gonyoh matanya. Mamai. “Diamlah... orang nak tidur pun tak boleh! Esok pagi orang nak sekolah!” Dia merengus. “Memekak aje!”

“Nak tidur, tidur ajelah!” Maziah menghamun anaknya itu. Dia memandang Ayu yang masih duduk bersila di atas tilam. “Bak balik duit aku! Bak balik!”

“Duit? Duit apa?” tanya Ayu yang memang tak tahu-menahu. Kalau ada barang yang hilang dalam rumah, mesti dia yang dituduh. Kalau duit sesiapa yang hilang, dia juga yang disyaki.

“Kau tak payah nak buat muka blur! Tak payah nak berlakonlah, Ayu. Tahu tak, aku meluat tengok muka kau ni? Aku meluat! Bak balik duit aku yang kau curi tu!” Maziah menadah tangan sambil menjegilkan mata.

“Takkanlah Ayu nak mencuri, Ziah. Jangan nak tuduh dia.” Darus cuba mendamaikan. Dia pun sebenarnya serba salah. Yang seorang anak saudara. Yang seorang lagi isteri.

“Saya bukan menuduh. Tapi sejak dia duduk rumah ni, ada saja barang yang hilang. Duit tak usah cakaplah. Pantang lepa, habis lesap!” Maziah menjeling Ayu dengan rasa menyampah. “Bagilah balik duit aku! Kau pekak ke apa?!” tengkingnya.

“Tak, mak cik. Ayu tak ambil pun duit mak cik tu.” Ayu masih cuba membela diri walaupun tahu Maziah takkan percaya kata-katanya.

Darus menghela nafas panjang. “Ayu, pulangkanlah duit mak cik kau ni. Kau pun satu. Dah tahu mak cik kau ni macam singa, kau ambil duit dia buat apa?” Dia akhirnya menyebelahi Maziah.

Mastura menyelimutkan diri hingga menutup kepala dan menyambung tidur. Adila langsung tidak berkutik. Tidur mati!

“Dia ni, kalau kita minta elok-elok, takkan bagi punya! Bak sini wallet kau!” Maziah terus menggeledah beg sandang Ayu, mencari beg duit gadis itu.

Air mata Ayu mula bergenangan. “Mak cik... Ayu tak ambil duit mak cik. Betul. Ayu tak curi. Ayu tak curi.” Pipinya mula basah. Kenapalah Maziah asyik nak menuduhnya? Kenapa tak percayakan dia? Dia tak pernah mencuri. Setiap bulan ibunya memberi wang belanja RM300 sebulan. Memang tak banyak, tapi cukup kerana dia sangat berjimat.

“Kau ingat aku percaya cakap kau! Dari mula kau masuk rumah ni, aku dah dapat rasa. Kau ni jenis manusia tak guna! Aku sara hidup kau, macam ni kau buat pada orang yang bela kau? Memang tak guna kau ni!” bebel Maziah. Dapat saja beg duit Ayu, dibukanya dan mengeluarkan semua wang yang ada. Dia memandang Darus.

“Mak cik, jangan! Duit Ayu tu. Jangan ambil, mak cik...” rayu Ayu dengan genangan air mata.

“Tengok ni, bang! Tengok! Banyak duit dia. Mana dia dapat duit banyak ni kalau bukan duit saya?” Maziah menunjal-nunjal kepala Ayu dengan rasa geram dan sakit hati. “Argh... pencuri! Geram betullah aku dengan kau ni!”

Ayu hanya mampu menangis dan melihat semua wangnya diambil Maziah. Duit syiling pun diambil juga. “Mak cik...” Dia cuba merayu.

“Apa mak cik, mak cik? Apa?! Duit kau yang aku ambil ni pun tak cukup lagi nak bayar apa yang kau dah curi. Nah, ambil balik wallet kau ni!” Maziah mencampak beg duit tersebut ke muka Ayu.

Terluka hati Ayu diperlakukan begitu. Pipi yang terkena campakan beg duitnya tadi diusap-usap, terasa sakit. “Ayu tak mencuri, mak cik... pak cik. Ayu tak ambil duit mak cik. Tolonglah percaya.” Makin banyak air mata yang tumpah.

Darus tak tahu nak buat apa. Nak percaya salah, tak percaya pun salah. Memang betul cakap Maziah. Sejak Ayu tinggal bersama mereka, ada saja duit Maziah yang hilang.

“Pak cik...” Ayu cuba meraih kepercayaan Darus.

Darus mengeluh panjang dan menggeleng. “Kau ni, Ayu... tak sangka pulak aku ada anak saudara pencuri. Sekali lagi kau buat, nahas kau aku kerjakan nanti!” ugutnya pura-pura kerana mahu memuaskan hati Maziah.

Pedih hati Ayu melihat riak wajah pak ciknya itu yang seperti percaya dengan tuduhan Maziah. Makin kecewa apabila melihat Darus keluar dari bilik itu bersama Maziah tanpa memandangnya.

“Kurang ajar! Duduk rumah aku nak mencuri pulak!” Sempat Maziah menyeranah sebelum menghempas kuat pintu bilik.

Ayu merebahkan tubuh di atas tilam bersama perasaan kecewa. Bantal ditekup ke muka. Dia menangis teresak-esak.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.