Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR (PA MAMAT CENGCONG)
Julia Basri hassan basri
15/5/2015 23:43:43
232,542
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 16
BAB 16
Hati Arish di geletek kelucuan. Gelagat Mel sering sahaja mencuit hatinya. Suka benar dia mengusik PA nya si mata biru ini. Arish akui, Mel bukanlah PA yang sempurna. Kerja dahlah lembab, belum di kira lagi perangai bendul dan blur tahap gabannya. Namun sesuatu yang pasti, Mel lah satu-satunya manusia yang yang mampu bertahan dengannnya selama setahun tiga bulan dan tiga hari. Tiga, empat PA nya sebelum ini paling koman hanya mampu bertahan sebulan dua sahaja. Sedikit sebanyak ketabahan dan kesetiaan Mel dalam menangani sifat cerewet luar biasanya itu mencuit jiwanya. Dalam kelekaannnya melangkah secara tidak sengaja Arish bertembung dengan seseorang.

“Adoi!! Apo kono eh jang ni hah? Lain kali cubo ekau jalan tu bukak mato bosar-bosar sikit!” dengus Masri kasar. Beberapa scroll lukisan yang di kepitnya di bawah ketiak habis jatuh terburai semuanya ke lantai.

Pantas Arish mencangkung. Tangannya ligat mengutip semula scroll lukisan tersebut. “Maaf ye, bang. Saya tak sengaja tadi. Saya betul-betul tak perasan.”

Scroll lukisan itu di serahkan semula pada Masri. Degup jantung Masri terhenti seketika tatkala seraut wajah milik Arish menerkam ke pandangan matanya.

“Ekau...eh...tak mungkin! Macam mano ekau boleh ado kek sini?”

Arish bingung. “Apa yang abang cakap ni? Saya tak fahamlah!”

Masri segera mengeluarkan sekeping kertas kanvas yang agak lusuh dari salah satu scroll tersebut lantas di hulurkannya pada Arish. Kali ini Arish benar-benar terpana. Wajah yang terlakar di atas kanvas tersebut saling tidak tumpah dengan wajahnya!

“Mana abang dapat gambar saya ni? Bila masa pula abang sempat lakar wajah saya, ya?”

Masri terkulat-kulat. Jiwanya merinding ketakutan. Fantasikah atau realiti semua ini? “Ekau...ekau kono balik ko tompat asal ekau. Jangan ganggu den!”

“Apa semua ni, bang? Nak balik ke mana ni?”

“Maso ei dah tibo. Ekau kono cari dio sampai dapat. Hanya ekau berduo yang dapek merungkai segalo-galonyo. Tak dapek den nak nolongnyo!”

Arish tambah bingung. “Cari dia? Dia yang mana pulak ni? Apa yang abang cuba sampaikan kat saya ni, hah? Cuba abang terus-terang dengan saya.”

“Ekau akan tahu jugo. Hanyo jauhari mongonal manikamnyo.”

Masri segera merampas lukisan tersebut dari tangan Arish. Terus sahaja dia mengorak kakinya laju-laju dari situ sebelum sempat Arish membingkiskan kata-kata. Termangu-mangu Arish seketika.

Jam di tiang sudah menunjukkan ke angka 10.50 malam. Masanya hampir tiba. Sebuah perjalanan untuk memenangi cinta baru bermula. Mel menarik nafas panjang. Dia bertekad, walau apapun yang terjadi, Rizal harus di jejaki. Selagi dia tidak bertentang mata sendiri dengan Rizal, jangan haraplah dia akan pulang semula ke Kuala Lumpur. Tak mungkin sama sekali.

Mata Mel meliar. Pandangannya menerawang ke satu demi satu bas yang mula berlabuh di terminal. Ya! Akhirnya matanya dapat menangkap kelibat sebuah bas dua tingkat berwarna coklat dengan tulisan merah hati. Hatinya bersorak gembira. Manakan tidak, seumur hidupnya belum pernah lagi dia menaiki bas dua tingkat semacam ini. Mel yakin dan pasti. Sebuah momen yang indah pasti sahaja akan menyelusuri di sepanjang perjalanannya nanti.

Terus sahaja kakinya di jejakkan ke dalam perut bas. Keriangannya terus berganda apabila mendapati tempat duduknya terletak di tingkat atas. Wow! Teruja dan ceria silih berganti. Pantas kaki di hayunkan ke anak tangga setapak demi setapak. Liar matanya menerawang mencari kerusi bernombor 33A. Yeay! Seperti yang di pinta, kerusi yang terletak di tepi tingkap menjadi miliknya. Mel terus melabuhkan punggung. Kebanyakan kerusi sudah mula di penuhi oleh para penumpang lain. Hanya kerusi di sebelahnya sahaja masih kekal kosong tidak berpenghuni. Minta-mintalah perempuan yang jadi peneman di sepanjang perjalanan memburu cinta ini, pinta Mel dalam hati.

Sesusuk tubuh sasa yang muncul tiba-tiba terus sahaja mengocak ketenangan Mel. Waduh, mamat cengcong ni lagi!

Dengan wajah selamba Arish melabuhkan punggung di sebelah Mel. “Jangan nak menganga sangatlah. Tahulah yang duduk kat sebelah awak ni the most handsome, tall and dark bachelor kat Kuala Lumpur ni. So tak payah nak excited sangat, ya.”

Erkk?! Geli telinga Mel. Rasa macam nak muntah pelangi pun ada. “Eh, tuan rupanya. Ingatkan mamat bangla mana tadi.”

Berubah air muka Arish. “Mamat bangla pulak? Aritu mamat cengcong. Seronok betul awak labelkan saya dengan berbagai jenis mamat, ya? Nasib baik kita kat atas bas, kalau kat pejabat, siaplah awak.”

Mel terkedu. Alamak! Dia dah tahulah. Habislah aku kali ni, gerutu Mel dalam hati.

Sedaya-upaya Mel cuba memaniskan muka. Melunakkan intonasi suara. “Eh, mana tuan dengar gossip liar tu? Tak betul tu. Salah faham aje semua ni. Takkanlah tuan nak percaya dengan cerita mengarut tu? Sebenarnya diorang tu cemburu tengok kemesraan di antara tuan dengan PA tuan yang paling setia ni.”

“Gossip liar ya? Dah, jangan banyak cakap. Bangun sekarang. Saya nak tempat kat tepi tingkap tu.”

“Eh, mana boleh. Susah payah saya beli tiket mahal macam ni semata-mata nak duduk tepi tingkap. Takkanlah suka-suka tuan nak ambil pula?”

Arish senyum sinis. “Aik? Tadi macam dengar aje orang tu cakap yang kononnya dia PA yang paling setia, tapi setakat kerusi pun tak boleh nak bagi kat tuannya. Setia apa ke bendanya tu?”

Mel mendongkol. Banyak songeh betullah mamat cencong ni! “Saya cuma PA tuan dalam pejabat aje. Sekarang ni kita kat luar. Lagipun hari ni cuti. Jadi terma kesetiaan tu tak termaktub dan terpakai dalam keadaan sekarang ni. Kerusi ni milik saya dulu, kini dan selamanya!”

“Saya tak peduli! Dalm pejabat ke, luar pejabat ke, awak tetap PA saya dulu, kini dan selamanya! Jadi awak kena patuh arahan saya!”

“Tak nak! Ini kerusi saya! Apa pun jadi saya takkan bagi kerusi ni!”

Fine! Awak tak nak bagi kerusi tu pada saya, ya? Tunggulah surat cinta dati saya bila awak masuk pejabat balik nanti!”

Mel sudah berdiri sambil bercekak pinggang. “Eh, mana aci main ugut-ugut orang pulak ni? Tuan jangan nak melampau sangat. Takkanlah pasal kerusi sampaikan tuan sanggup pecat saya?”

Arish bertempik. “Aci kat Indialah! Ah, peduli apa saya. Awak tak nak beralah dengan saya, maksudnya awak tak hormatkan saya sebagai tuan awak! Jadi apa gunanya saya simpan PA yang pentingkan diri sendiri macam awak ni? Kat luar sana banyak lagi orang yang beratur nak jadi PA saya, tau?”

“Memanglah ramai yang beratur tapi setakat jadi PA untuk sehari pastu berhenti sebab tak tahan, buat apa?” sindir Mel. Pedas dan menusuk hati.

Arish terus bangkit. Wajahnya merah bagaikan udang di bakar. Perang mulut di antara mereka bagaikan terhenti seketika namun perang mata pula bermula. Renungan tajam silih berganti. Masing-masing mengumpul bingkisan kata-kata dalam minda. Hanya menunggu masa untuk di hamburkan sahaja.

“Kenapa abang dengan kakak gaduh? Abang dengan kakak rebut kerusi ke? Cikgu adik cakap, kalau kita naik bas ke, LRT ke, kita kena bagi kerusi kat orang kurang upaya dulu. Tapi adik tengok abang dengan kakak sihat aje, tak sakit pun. Pastu kerusi memang ada dua, kan dah cukup sorang satu. Kenapa abang dengan kakak bergaduh lagi?”

Sentap. Sebijik terkena atas batang hidung masing-masing. Serentak Mel dan Arish berpaling ke arah suara itu. Si comel bertocang dua dengan gaun merah samar yang sudah tercegat di hadapan mereka terus sahaja menawan hati. Api kemarahan yang sedang menyala-nyala padam bagaikan di sirami hembusan sang bayu.

Seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an muncul di sebelah si comel itu dengan riak wajah serba salah. “Maafkan anak makcik, ya. Dia tak tahu apa yang dia cakap tu. Seri, jom duduk. Jangan sibuk hal orang.”

Wanita tersebut terus sahaja menyeret tangan anaknya dari situ. Arish dan Mel termangu-mangu. Malu menerkam benak masing-masing. Tak pasal-pasal kena tarbiah dengan budak kecil!

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.