35
Elfira merebahkan tubuhnya ke sofa. Jarinya menekan
butang remote control. Tiada siaran yang berjaya menarik perhatiannya. Mahu
berbual dengan Sofea, gadis itu sudah keluar dengan Airel. Dia kini dihimpit
kebosanan. Matanya dipejam celikkan berulangkali dengan harapan akan ada
sesuatu yang bisa menarik perhatiannya. Namun hampa.
Dia mengatur
langkah ke biliknya. Tubuhnya direbahkan ke tilam empuk. Dia mengambil bantal
peluk lalu mengiring ke kanan. Matanya tertancap pada seutas jam tangan Guess.
Dia mengambil jam tangan tersebut lalu dipadankan pada pergelangan tangannya. Elfira
senyum sendiri. Cantik, padan dengan tangannya. Senyumannya yang tadi manis
kian hambar. Timbul pula rasa sesal di hati. Peristiwa siang tadi melayari
minda.
Firuz Eidil
sendawa kuat.
“Alhamdulillah.
Kenyang perut saya hari ini sedap awak masak L terima kasih,” puji Firuz Eidil.
Tubuhnya disandarkan ke kerusi.
Elfira tersenyum mendengar pujian yang lahir
daripada mulut Firuz Eidil. Dia tahu pujian itu ikhlas daripada Firuz Eidil.
“Selepas ini pasti
saya akan merindui masakan awak. Walaupun
pada mulanya awak tidaklah pandai sangat tapi lama-lama saya rasa
masakan awak semakin sedap,” pujinya lagi.
“Tak perlulah awak nak
puji lebih-lebih. Keputusan saya tetap sama. Takkan berubah.”
“Awak kata saya ni
jenis perasan. Tapi sebenarnya awak lagi perasan. Siapa yang puji awak? Saya cuma
nak uji sejauh mana tahap keperasanan awak itu.” Firuz Eidil mencebikkan
bibirnya.
Muka Elfira memerah
menahan geram kerana dipermainkan oleh Firuz Eidil. Dia sudah kehabisan idea
untuk membidas bicara Firuz Eidil. Akhirnya, dia menarik muka masam sambil
tangannya ligat mengemas meja makan. Pinggan kotor dibawanya ke sinki untuk
dicuci.
Firuz Eidil yang
sekadar memerhati gerak laku Elfira tercuit rasa. Dia sedar yang dia telah
menyakiti hati gadis itu secara tidak sengaja. Ekor matanya sahaja yang
mengekori langkah Elfira. Dia mendengus perlahan.
Perempuan tak boleh
bergurau sikit. Mudah benar tersentuh hatinya, gerutu Firuz Eidil. Dia bingkas
bangun. Kunci kereta yang terletak di atas almari hiasan diambilnya.
Firuz Eidil membuka
dashboard. Dia mengambil sesuatu dari dashboard. Lalu dibawanya masuk ke dalam
rumah. Dia merehatkan diri di ruang tamu sementara menunggu Elfira menyudahkan
cucian.
“Saya dah selesai
basuh pinggan mangkuk kotor. Jadi sekarang saya nak balik. Sebaik sahaja saya
melangkah keluar dari rumah ini bererti saya bukan lagi pemandu peribadi awak
dan bukan lagi bibik awak,” telus bicara Elfira.
“L, sebelum awak
balik saya nak bincang sesuatu dengan awak. Duduk dulu.” Firuz Eidil
mengunjukkan sofa di hadapannya.
Tanpa banyak
bicara, Elfira menuruti kehendak Firuz Eidil.
“Saya nak ucapkan
terima kasih pada awak kerana telah membantu saya selama setengah tahun ni.
Saya tahu saya dah banyak menyakiti hati awak. Saya harap awak tak kisah dengan
gurauan saya selama ini. Sesungguhnya saya tidak berniat untuk menyakiti awak.”
Pandai sungguh kau
berkata-kata Firuz, bisik Firuz Eidil sendiri.
Amboi manisnya dia
berkata-kata. Mana boleh tak kisah, punyalah sakit hati aku ni terhadap
gurauan-gurauan gila dia. Tapi tak apa sebab aku ada hadiah istimewa untuk dia.
“Awak dengar tak
apa yang saya cakapkan ni?” soal Firuz Eidil bengang.
“Dengar. Saya pun
dah lupakan hal yang lalu.”
“Bagus!” jerit Firuz
Eidil riang.
“Saya ada sesuatu
untuk awak.”
Firuz Eidil
menghulurkan satu bungkusan yang telah dibalut kemas kepada Elfira. Barang
bertukar tangan.
“Apa ni? Bom ke?”
seloroh Elfira.
“Saya tak gila nak
bagi awak bom.”
“Manalah tahu,”
usik Elfira lagi.
“Bukalah hadiah itu
dulu baru tahu isinya,” arah Firuz Eidil. Bibirnya menguntum senyum.
“Saya buka ya.”
Firuz Eidil
mengangguk perlahan. Elfira membuka balutan itu dengan kemas sekali. Firuz
Eidil leka melihat gelagat Elfira.
“Hem cantik. Betul
ke ni untuk saya?” duga Elfira.
“Yelah, kalau dah
saya bagi awak tentulah untuk awak!”
“Terima kasih.”
“Kasih diterima.”
“Apa?”
“Tak ada apa,”
jawab Firuz Eidil selamba.
“Saya pun ada
sesuatu untuk awak, Encik Firuz.”
“Untuk saya?” Firuz Eidil bertanya seperti
tidak percaya.
“Ya! Tunggu
sekejap.”
Elfira mendapatkan
barang tersebut di keretanya. Beberapa minit kemudian dia kembali semula ke
dalam rumah.
“Nah, untuk awak.
Istimewa daripada saya,” ujar Elfira sambil tersenyum penuh makna.
“Terima kasih.”
“Sama-sama.”
“Apa yang awak bagi
saya ni?”
“Kalau ya pun bukalah
dulu. Nanti barulah awak tahu isinya.”
“Macam kenal je
ayat tu,” perli Firuz Eidil. Elfira tersengih seperti kerang busuk.Namun begitu
wajahnya tetap comel.
“Mesti cantikkan?”
tanya Firuz Eidil lagi.
“Uihhh cantikkkk.”
Elfira menguntum senyum dengan penuh makna. Dengan
gelojohnya Firuz Eidil membuka balutan hadiah tu.
“Cantik kotak baldu
ni! Mesti ada sesuatu yang menarik di dalamnya kan?”
“Tengok
sendirilah!” jawab Elfira malas.
Tanpa lengah dia
membuka kotak tersebut. Firuz Eidil menjerit kuat. Tangannya pantas membuang
kotak tersebut. Elfira yang melihat gelagat Firuz Eidil lantas ketawa. Dia
begitu geli hati. Tawanya berdekah-dekah. Wajah Firuz Eidil sedikit pucat. Dia
mengambil kotak yang berisi patung yang menyerupai badut yang sedang
menjelirkan lidah.
“Oh, awak nak
kenakan saya ya. Nanti awak. Kalau saya dapat saya tak akan lepaskan.”
“Uwekk, kalau
berani kejarlah!” cabar Elfira. Dia terus berlari menuju ke belakang Sofa.
“Oh cabar saya ya!”
Firuz Eidil
mengejar Elfira. Habis satu ruang tamu dipusingnya. Tidak cukup di ruang tamu
mereka berkejaran hingga ke dapur. Kemudian dia berlari semula ke ruang tamu. Elfira
yang terlanggar kaki meja terjatuh dan duduk kesakitan.
“L, awak okey tak?”
tanya Firuz Eidil cemas.
Firuz Eidil segera
melihat keadaan kaki Elfira.
“Itulah awak ni,
kalau ya pun nak berlari, berhati-hatilah. Kan dah langgar kaki meja. Dengar
awak jatuh dah macam nangka busuk tau!”
“Awak ni nak tolong
saya atau nak mengata?”
“Dua-dua. Boleh
bangun tak ni?”
“Boleh!”
Elfira cuba untuk
bangun namun kakinya terlalu sakit membuatkan dia terduduk kembali.
“Biar saya tolong
awaklah!”
“Tapi...”
Firuz Eidil
membantu Elfira untuk bangun.
“Ouchh sakitlah!
Kalau nak tolong tu biarlah ikhlas.”
“Hish dia ni banyak
bunyi pulak. Orang dah nak tolong tu diam sahajalah! Cepatlah bangun.”
“Sabarlah! Kaki
saya sakit ni!”
“Lambat betul!”
Firuz Eidil terus
mengendong Elfira.
“Awak buat apa ni?”
Firuz Eidil tidak
menjawab. Dia diam membisu. Entah mengapa dia merasakan satu perasaan aneh
menyelubungi hatinya. Begitu juga dengan Elfira. Dia juga dapat merasai
sesuatu. Firuz Eidil membawa Elfira ke sofa. Sewaktu dia hendak meletakkan
Elfira ke sofa, tiba-tiba...
“FIRUZ EIDIL!” Julia menjerit kuat.
Julia yang baru
sahaja pulang dari Johor Bahru sengaja singgah di rumah Firuz Eidil dengan
harapan untuk mengubat rindu pada tunangnya itu. Ditambah pula sudah seminggu Firuz
Eidil tidak menjawab panggilannya mahupun membalas mesej yang dihantarnya. Firuz
Eidil meletakkan Elfira ke sofa. Dia masih terkejut dan tidak menduga bahawa
Julia akan muncul di muka pintu rumahnya. Wajah Julia kelihatan bengis.Tiada
seulas senyuman di bibir Julia.
“Julia, bagaimana
you ada kat sini?”
“Kenapa you
terkejut? Sejak bila pulak I tak boleh datang ke sini?” soal Julia sinis.
“Maaf, saya balik
dulu.” Elfira mencelah. Dengan keadaan kaki yang masih terasa sakit dia
menguatkan dirinya untuk keluar dari rumah itu. Malangnya sebaik tiba di
hadapan Julia, wajahnya ditampar lalu tubuhnya ditolak kuat. Elfira terdorong
ke belakang lalu jatuh terduduk. Mereka saling berbalas pandangan.
“L, awak okey?”
Firuz Eidil segera mendapatkan Elfira.
“Kau nak ke mana? Urusan
kita belum selesai!” Keras nada Julia dipendengaran Elfira. Renungan Julia
seakan-akan mahu membunuhnya. Elfira menelan air liur.
“Sayang, biarkanlah
dia pergi.”
“Wah, cuba membela
nampak?” sinis bicara Julia.
“Siapa dia ni?”
Julia menuding jari tepat ke muka Elfira. Wajahnya kelihatan bengis.
“Kekasih gelap you?
Patutlah I telefon you tak jawab. I telefon di pejabat, Sofea kata you cuti. Semuanya
kerana dia ni?” soal Julia menyinga sambil menunjukkan ke arah Elfira.
Elfira masih cuba
mengawal perasaannya. Kalau boleh dia dia tidak mahu bertegang urat dengan
Julia. Elfira memandang ke arah Firuz Eidil yang sudah tertunduk layu. Lagak
lelaki itu bagai orang yang kalah dalam peperangan. Elfira semakin resah
gelisah. Dia ingin segera berlalu dari drama swasta yang baru hendak bermula
pengambarannya.
“Sayang, I minta
maaf. I dengan L tiada apa-apa hubungan. Tadi dia jatuh. I cuba bantu dia. Itu
saja. Tiba-tiba you masuk.”
“Firuz, you ingat I
ni buta. I dah lama saksikan gelagat you dengan dia. I nampak you gendung dia.
Memang dasar lelaki curang dan you memang perempuan murahan. Ops! you perempuan
ke?”
Elfira merenung
tajam ke arah Julia. Hatinya semakin membengkak. Diamnya bukan bererti dia
boleh dihina sesuka hati.
“Aku tak ada kena
mengena dengan masalah ini! Aku tak ada apa-apa hubungan dengan Firuz!” Elfira
menyatakan kebenaran.
“Hei, kau ingat aku
nak percaya kata-kata kau. Entah-entah kau orang ni dah terlanjur!” Lantang
sungguh bicara Julia. Dia sudah tidak mempedulikan hati dan perasaan sesiapa
lagi.
Pang!
Satu tamparan kena
tepat di muka Julia. Gadis itu terkasima. Dia tidak menyangka Firuz Eidil akan
menampar wajahnya. Tangannya mengelus lembut pipi gebunya. Air matanya mula
merembes keluar.
“Sampai hati you
tampar I hanya kerana perempuan murahan ni. Sekarang baru I tahu mana kedudukan
I dalam hati you. Kalau begitu cukup hubungan kita setakat di sini aje. Cincin
ini dah tak ada makna buat I lagi. You buatlah sesuka hati you dengan perempuan
murahan ni!”
Julia dalam sedu-sedan mencampakkan cincin
pertunangan mereka ke arah Firuz Eidil. Elfira tergamam. Begitu juga dengan Firuz
Eidil. Rasa sesal menular ke sanubari Elfira. Jika dia keluar lebih awal dari
rumah tersebut pasti semua ini takkan berlaku.
Julia membawa diri.
Air matanya satu persatu gugur ke pipi. Rasa kecewa menghimpit seluruh urat
nadinya. Lelaki yang selama ini dia sanjungi dan percaya akhirnya memusnahkan
mimpi- mimpi indahnya.
Firuz Eidil
terjelepuk duduk ke lantai. Kakinya terasa lemah. Cinta yang di bina
bertahun-tahun dengan Julia akhirnya musnah tanpa sempat dia membina istana
cinta mereka. Cincin pertunangan yang dicampakkan oleh Julia terletak elok di
lantai. Jiwanya kosong. Impiannya musnah!
Elfira mendekati Firuz
Eidil. Niatnya untuk memohon kemaafan walaupun dia sedar kesilapan itu bukannya
seratus peratus datang darinya. Belum sempat Elfira meluahkan bicara Firuz
Eidil terlebih dahulu meluahkan bicara.
“Pergi! Pergi kau
dari sini!”
“Tapi...”
“Apa lagi? Kerana
kau aku kehilangan Julia. Kau ingat kau tu siapa yang dapat pujuk aku. Antara
kau dengan Julia macam langit dengan bumi. Benar kata Julia kau itu perempuan
murahan. Kau ingat bila aku dah putus dengan Julia aku nak sukakan kau. Jangan
haraplah!”
“Tapi awak yang
angkat saya dulu. Salah saya ke? Buka mata awak besar-besar dan fikir adakah
salah saya ke semua ni?” jerkah Elfira. Sakit hatinya diperlakukan seperti itu.
“Kau nak salahkan
aku? Kau yang bodoh kerana membiarkan
aku angkat kau! Pergi dari sini! Aku benci tengok muka kau. Mulai hari ini
jangan kau jejakkan lagi kaki kau kat rumah aku!”
Elfira semakin
hilang sabar. Satu tamparan melayang ke wajah milik Firuz Eidil. Lelaki itu
terpempan. Matanya merenung Elfira. Menikam. Tanpa sepatah bicara, Elfira
meninggalkan Firuz Eidil berseorangan. Kaca-kaca jernih yang cuba ditahan
sedari tadi akhirnya pecah berderai juga. Hatinya terluka pedih. Terasa seperti
sedang dihiris dengan pisau.
Keretanya menderum
laju meninggalkan perkarangan rumah Firuz Eidil. Dia menangis sepuas-puasnya. Elfira
hilang tujuan. Dia tidak tahu arah mana yang harus dituju. Akhirnya dia
mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Itulah yang terbaik buat masa
ini. Fikirnya.
Elfira mendengus
kasar. Air mata yang bertakung ditubir matanya diseka perlahan. Dia merasakan
bahunya disentuh seseorang.
“L, kau okey ke?”
tanya Sofea yang tiba-tiba muncul.
“Astaghfirullah al
adzim, jauh benar ingatan aku melayang.” Elfira kembali ke dunia nyata. Air
mata yang mengalir dikesatnya.
“Bila kau balik dah
pukul berapa sekarang ni?”
“Dah pukul 10.
Aku baru sampai rumah. Puas aku panggil
kau tapi kau langsung tak jawab. Itu yang aku masuk bilik kau ni,” terang Sofea
panjang lebar.
“Kenapa kau
menangis?” soal Sofea lagi.
Tanpa menjawab
soalan Sofea dia lantas memeluk sahabat baiknya itu. Dia mengongoi seperti anak
kecil. Sofea terpempan. Belakang Elfira diusapnya lembut penuh pengertian dan
kasih sayang.
“Kau ada masalah
ke? Ceritalah pada aku.”
Elfira memandang
tepat ke anak mata Sofea. Matanya yang sudah memerah dan bengkak. Mukanya sudah
kelihatan sembab.
“L...”
Akhirnya Elfira
menceritakan apa yang telah berlaku siang tadi kepada Sofea. Tiada satu pun
yang tinggal. Sofea beristighfar.
“Aku tak sangka Firuz
akan cakap begitu dengan kau.”
“Tak apalah Fea.
Mungkin salah aku.”
“Sabarlah L.
Mungkin ada hikmah disebalik kejadian. Lupakan soal dia. Bukankah kau dah nak
bekerja minggu depan.” Sofea cuba memujuk Elfira.
“Mungkin benar kata
kau.” Elfira akhirnya menguntum secangkir senyuman walaupun kelihatan perit.
“Dah jam 10 malam.
Aku tak solat isyak lagi ni.” Elfira baru teringat yang dia masih belum
bersolat isyak.
“Ya ALLAH, aku pun
belum solat lagilah. Aku nak pergi mandi dululah. Kemudian nak solat dan tidur.
L, sabar okey dan berdoalah padaNya agar kau diberikan ketenangan.”
“Terima kasih Fea.”
Sofea mengangguk
lalu keluar dari bilik Elfira.
Elfira mengatur
langkah kakinya menuju ke bilik air. Dia mengambil wudhuk. Sejadah dibentang.
Telekung disarung ke tubuhnya. Dia menyerahkan dirinya kini pada penciptaNya.