33
“Amboi sekarang aku tengok kau dengan Firuz bukan main
rapat lagi. Ada apa-apa yang aku tak tahu ke?” soal Sofea lalu duduk di sebelah Elfira.
Elfira tidak
mengendahkan bicara Sofea. Dia begitu leka menonton Saiful Nita.
“Kau dengar tak apa
yang aku cakap ni L?” Sofea meninggikan sedikit suaranya.
“Dengar, aku dengan
Firuz tu tak ada apa-apalah. Aku dengan dia cuma bekas majikan dan bekas
pekerja. Tak lebih daripada itu.” Elfira mengambil kerepek kentang mister
potato yang berada ditangan Sofea.
“Cubalah ambil
elok-elok,” sungut Sofea.
“Suka hatilah.”
“L, dengarlah apa
aku nak cakap.”
“Apa lagi Fea? Aku
nak tengok cerita Saiful Nita pun tak senang,” rungut Elfira.
“Esok hari terakhir
kau tolong diakan?”
“Hem kenapa?”
“Jadi maknanya
minggu depan kau mula kerja di syarikat papa kaulah?”
“Macam itulah.”
“Wah, jadi bos besarlah kau. Dari seorang personal driver cum maid jadi pengarah
urusan.
“Dah papa aku nak
aku kerja dengan dia. Kalau ikutkan hati malas aku nak kerja dengan keluarga.
Tapi buat masa ni aku kerja sebagai PA aje.”
“Ala, lambat laun
kau tetap kena ambil alih syarikat papa kau. Agak-agak kau, nanti kau rindu tak
dengan si mat singa tu?”
“Soalan apalah yang
kau bagi kat aku ni?”
“Kenalah tanya. Aku
pelik tengok bos aku. Bos aku sanggup bercuti semata-mata ingin habiskan masa
bersama kau. Pergh kalau tunang dia tahu mahu lunyai kau dikerjakannya. Itu pun
hari-hari tunang dia telefon aku. Dah naik jenuh aku nak menjawabnya. Nasib
baik dia percaya cakap aku. Kalau tak aniaya kau orang.”
“Manalah aku tahu.
Pada aku dia bos, jadi suka hati dialah nak kerja ke nak cuti ke? Aku tak ada
hak nak halang.”
“Aku tahulah dia
bos. Tapi tingkah laku dia itu pelik sangat. Dia itu jenis yang pentingkan
kerja. Dia tak akan tinggalkan kerja semata-mata untuk urusan yang remeh-temeh.
Bahkan dia tak pernah tinggalkan kerja semata-mata untuk tunang dia sekali pun.
Tapi kerana kau dia sanggup tinggalkan semuanya.”
“Itu aku tak tahu
dan aku tak nak tahu. Sudahlah malas aku nak cakap pasal si mat singa tu lagi.
Bukan ada faedah pun.”
Sofea tidak mampu
untuk berkata-kata lagi. Walaupun hatinya kuat mengatakan yang Firuz Eidil
menyukai Elfira namun memandangkan sikap Elfira dia mengambil langkah untuk
tidak mengambil tahu.
“Okeylah Fea,
cerita ini dah habis aku nak masuk tidur dulu. Esok si mat singa tu nak ajak
aku pergi mana aku pun tak tahu. Kau bukan tak tahu sepanjang beberapa hari ini
penat aku temankan dia pergi sana sini.”
“Untunglah kau, dia
ajak kau ronda-ronda satu Malaysia.”
“Ha’ah yelah yang
penatnya aku dia duduk relaks je aku yang memandu ni penat tau. Dahlah aku nak
tidur.”
“Selamat malam, L.
Sebelum terlupa, percayalah cakap aku
yang dia cintakan kau,” usik Sofea. Matanya dikenyitkan nakal.
“Kau jangan nak
mengarut. Dia tu tunang orang. Aku...aku memang tak ada hati dengan dia. Okey.
Selamat malam.”
“Kau mungkin boleh
tipu aku tapi kau tak boleh tipu diri
kau,” bidas Sofea.
Elfira bingkas
bangun kemudian menuju ke biliknya. Sofea menutup televisyen. Tangannya pantas
mendail nombor tunangnya. Dia berasa lega apabila panggilannya bersambut.
Mendengar suara Airel membuatkan hatinya berbunga riang.