32
Angin malam bertiup lembut menampar tubuh dan wajah Tan
Sri Lukman Hakim. Malam bertambah indah dengan neon-neon yang bercahaya di
sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Puan Sri Karmila mendapatkan suaminya.
Ditatangnya dulang yang berisi minuman lalu diletakkan di hadapan suaminya.
“Jauh abang
termenung? Ingatkan buah hati ke?” Puan Sri Karmila mengusik manja.
“A’ah abang
teringatkan buah hati. Entah buah hati abang itu teringatkan abang ke tidak?” Tan
Sri Lukman Hakim mengeluh.
Puan Sri Karmila
menoleh ke arah suaminya. Matanya dijengilkan sebagai tanda tidak puas hati.
Jiwanya diamuk resah.
“Hai sejak bila
pula abang dah berani pasang baru di belakang saya?” soalnya cemburu. Tan Sri Lukman
Hakim tersenyum penuh makna.
“Eh, kita bertanya
dengan dia, boleh pula dia senyum ala-ala kambing dengan kita.”
“Sayang cemburu
ya?”soal Tan Sri Lukman Hakim mengusik.
“Tak,” jawab Puan
Sri Karmila cuba menafikannya. Pandangannya dikalihkan. Bergetar jiwanya
tatkala memandang ke arah suaminya.
“Tak perlulah
sayang nak berdalih, sekilas abang tengok muncung itu, abang dah tahu apa yang
tersirat dan tersurat di hati sayang.”
Puan Sri Karmila
mencebikkan bibirnya. Dia tahu pengalaman hidup bersama suaminya selama 31
tahun telah membuatkan mereka saling mengenali dan memahami. Dia teringat
bagaimana kali pertama dia bertentang mata dengan suaminya.
Perkahwinan mereka
bukanlah atas dasar cinta tetapi atas dasar pilihan keluarga. Kali pertama dia
bertentang mata dengan suaminya hanya pada hari pernikahan mereka dan itulah
cinta pandang pertamanya. Alhamdulillah mereka hidup bahagia disamping tiga
cahaya mata yang sudah membesar dengan sempurna.
“Amboi jauhnya
sayang termenung,” tegur Tan Sri Lukman Hakim.
“Tak adalah cuma
teringat masa muda-muda dulu. Eh, abang tak jawab soalan saya lagi tadi.”
“Soalan apa?” Tan
Sri Lukman Hakim pura-pura tidak mengerti.
“Siapa dia buah
hati abang tu yang abang bukan main khusyuk merindu.”
Tan Sri Lukman
Hakim ketawa besar. Kepalanya digelengkan.
“Siapa lagi buah
hati tu kalau bukan anak bongsu kita, L.”
“Abang sengaja
kenakan sayang. Tak baik tau!” Puan Sri Karmila menampar manja dada bidang sasa
suaminya. Malu dia kerana dipermainkan seperti itu.
Tan Sri Lukman
Hakim tertawa bahagia. Dia merangkul pinggang isterinya. Dahi isterinya dikucup
dengan penuh kasih sayang. Puan Sri Karmila tersenyum. Malu. Dia melentokkan
kepalanya di dada suaminya.
“Abang rasa dah
sampai masanya untuk kita carikan jodoh untuk L. Lagi pun siang tadi, Tengku
Zaim ada bertanyakan abang tentang L. Kalau boleh dia mahu jodohkan anak kita
dengan anak dia. Si Tengku Naim itu. Apa pendapat sayang?”
“Tengku Naim...” Puan
Sri Karmila cuba mengingat gerangan empunya nama.
“Oh, Tengku Naim,
budak yang suka buli L masa kecil dulu?” tanya Puan Sri Karmila.
“Dialah itu,” jawab
Tan Sri Lukman Hakim.
“Bukan ke dia
belajar di Australia?”
“Sekarang dah ada
kat Malaysia. Dia ambil alih perniagaan Tengku Zaim.”
“Tapi nak ke si L
itu terima cadangan kita?” tanya Puan Sri Karmila ragu-ragu.
“Abang rasa tak ada
masalah. Lagi pun sampai bila dia nak membujang? Bila kita tanya dia ada calon
ke tak jawapannya sentiasa tak. Jadi biar kita yang carikan jodoh untuknya.
Senang cerita.”
“Habis itu bila Tengku
Zaim nak masuk meminang?”
“Ewah, ewah sayang
pula yang excited. Macam dia pula
yang nak kahwin. Jangan-jangan masa keluarga abang masuk meminang dulu, sayang
pun over excited macam ni juga ya?” Tan
Sri Lukman Hakim menduga.
“Mana ada. Tak excited pun nak kahwin dengan abang,”
nafi Puan Sri Karmila.
“Ya ke?” Tan Sri
Lukman Hakim meletuskan tawa melihat telatah isterinya. Puan Sri Karmila turut
sama tertawa. Bahagia!
“Tapikan abang,
sayang rasa kita perlu bincang dulu dengan L. Buatnya budak itu dah ada pilihan
hati sendiri haru biru kita nanti. Malu kita pada Tengku Zaim dan Tengku
Laila.”
“Betul juga kata
sayang. Lagipun Tengku Zaim baru bertanya. Kalau kita dah setuju barulah dia masuk
merisik dan meminang.”
“Dah besar rupanya
anak kita itu. Saya rasa baru semalam saya kandungkan dan lahirkan dia. Diam
tak diam dah nak dipinang orang anak kita tu. Cepat betul masa berlalukan
abang.”
“Yelah, kita pun
dah semakin tua tinggal tunggu ajal menjelma.”
“Abang...”
“Ya sayang.”
“Sayang bangga jadi
isteri abang. Terima kasih kerana menerima sayang seadanya.”
“Sayang, bukankah
abang pernah katakan abang mahu cinta yang kita bina ini biarlah cinta hingga
ke syurga. Ingat, seorang lelaki tidak akan berjaya tanpa wanita di sisinya.
Abang bertuah kerana memiliki sayang sebagai isteri abang. Sayang adalah
anugerah ALLAH yang tidak ternilai dan anak-anak adalah amanah ALLAH yang termahal
buat abang. Terima kasih, sayang.”
“Kasih diterima
abang.”
Langit malam
dipandang mereka dengan penuh kesyukuran. Bulan dan bintang pasti cemburu
melihat kemesraan mereka.