28
Firuz Eidil merenung keliling pejabatnya.Tiada perkara
yang menarik perhatiannya. Gambar tunangnya ditatap sepi. Senyuman yang terhias
pada gambar itu tidak mampu membuatkan hatinya tenang.
Hidupnya kini terasa kosong. Dirinya sendiri tidak
terurus rapi. Lagaknnya bagai orang kehilangan isteri. Mahu dikatakan dia sudah
berkahwin belum lagi tapi jika dilihat keadaannya sekarang memang akan
mengundang simpati sesiapa sahaja yang memandangnya. Semuanya kerana Elfira.
Dia bertambah sunyi apabila Ain Nadia dan Dira Nadia mengambil keputusan untuk
tinggal bersama ibu bapa mereka. Rumah yang dahulunya meriah kini kosong dan
sepi.
Elfira yang
membuatkan hatinya resah. Dia sendiri tidak sedar bila dia mula menyukai gadis
yang selama ini tidak sempurna di matanya. Tetapi sejak Elfira diberhentikan
kerja baru dia sedar ada sesuatu dalam hatinya untuk gadis itu. Pemergian Elfira
turut membawa separuh dari dirinya.
Dia rindukan gelak
tawa Elfira. Dia rindukan wajah cemberut Elfira setiap kali disuruh buat itu
dan ini. Dia rindukan pada lantangnya dan keberanian mengutarakan pendapat dan
berbalah dengannya. Dia rindukan semua tentang Elfira. Lamunannya terhadap Elfira
mati sebaik terdengar pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Sofea disebalik
pintu.
“Bos boleh saya masuk?”
“Awak dah masuk pun
Fea.”
Sofea tersenyum
malu.
“Saya buatkan kopi
o untuk bos.”
Sofea meletakkan
cawan yang berisi kopi o di atas meja Firuz Eidil. Firuz Eidil melihat sahaja
tingkah dan gerak geri Sofea.
“Boleh saya duduk
dan cakap sesuatu dengan bos?”
Firuz Eidil menatap
wajah Sofea. Firuz Eidil dapat mengagak apa yang mahu diperkatakan oleh Sofea.
Pasti tentang dirinya yang tidak terurus itu.
“Saya tahu apa yang
awak nak cakap Fea. Kenapa saya ni nampak teruk sangat ke Fea?” soal Firuz
Eidil dalam nada yang agak perlahan.
Sofea menghela
nafasnya lembut.
“Kalau bos tanya
saya, memang saya akan katakan yang rupa bos bukan setakat teruk tetapi terlalu
teruk. Saya sendiri macam dah tak kenal dengan bos lagi. Dulu bos bukan begini
orangnya. Tapi sejak akhir-akhir ini bos dah seperti tak komited dengan kerja
dan diri bos sendiri. Bos ada masalah ke?”
Firuz Eidil
mengalihkan pandangannya daripada Sofea. Dia memandang ke arah siling. Hatinya
masih berkira-kira sama ada mahu memberitahu Sofea atau tidak. Sofea masih lagi
sabar menanti. Dia yakin Firuz Eidil menjadi seperti itu kerana Elfira. Dia
masih menunggu reaksi daripada Firuz
Eidil. Firuz Eidil melepaskan nafasnya berat.
“Sofea, awak rasa L
akan maafkan saya atau tidak?”
“Oh, soal itu ke
yang merunsingkan bos. Kalau soal itu tak perlulah bos nak susah hati. L dah
lama maafkan bos. Dia itu bukan pendendam orangnya.”
“Fea, kalau saya
nak dia bekerja dengan saya semula awak rasa dia nak ke tak?”
“Kalau soal itu
saya tak pasti. Tapi mungkin tak agaknya. Kalau saya jadi dia pun saya tak akan
kembali bekerja dengan bos,” beritahu Sofea jujur.
“Jujurnya,” balas
Firuz Eidil lemah.
“Saya cuma cakap
apa yang saya fikir je.”
“Awak ada hak untuk
bercakap macam itu. Hem, Fea, L masih tinggal dengan awak ke?”
“Ya. Tapi sekarang
dia tak ada.”
“Dia pergi mana?”
“Bercuti.”
“Bercuti ke mana?”
“Yang tu saya tak
tahu. Apa yang saya tahu dia nak bercuti untuk rehatkan diri dan tenangkan
fikiran dia.”
“Tak akan awak tak
tahu. Awakkan kawan baik dia.”
“Ya tak tahu. Dia tak
nak cakap. Agaknya dia tahu yang bos nak menyibuk kot.”
Sengaja Sofea
membohongi Firuz Eidil. Manakala wajah Firuz Eidil kelihatan keruh.
“Kalau begitu tak
apalah.”
“Saya keluar dulu
bos.”
“Hem.”
Sofea berlalu dari
bilik Firuz Eidil. Sebaik keluar dari bilik Firuz Eidil, Sofea mengeleng kepala
sambil tersenyum.
Firuz, Firuz. Akhirnya
kau rebah juga dengan penangan si L tu. Baru kau tahu Elfira Tan Sri Lukman
Hakim punya kuasa, desis hati kecil Sofea.
Firuz Eidil kembali
merenung nasib dirinya.