Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 17 : Calon menantu abah

“TERMENUNG LAGI.” Iqbal menegur Arif yang sedari tadi termenung seorang diri di luar balkoni. Dia menghulurkan muk berisi air milo panas kepada Arif.

Syukran,” ucap Arif sambil menyambut muk itu. Dia menghirup sedikit.

“Fikirkan apa ni?” tanya Iqbal. Bahu Arif ditepuk perlahan.

Arif melepaskan lelahnya. Dia hanya merenung ke arah jalanan yang diterangi lampu-lampu neon yang kelihatan sedikit kesuraman. Namun ia masih lagi dapat membantu para pejalan kaki dan pemandu untuk melalui jalan itu. Sesekali kedengaran bunyi hon kereta.

“Arwah Ati pernah cakap sesuatu di saat-saat akhir hidupnya.” Suara Arif kedengaran perlahan.

“Arwah cakap apa?” Iqbal bertanya lagi.

Arif menarik nafas panjang. “Arwah cakap kebahagiaan aku adalah kebahagiaan dia.” Setiap kali berbicara tentang arwah isterinya, hatinya pasti akan berasa sebak.

“Itu bermakna arwah nak kau bahagia. Dia mahu kau cari pengganti. Dia tak mahu kau habiskan sisa-sisa hidup kau di dunia ini seorang diri.”

“Takpelah Iq. Sekarang pun aku tengah bahagia.” Arif menengadah ke langit yang dihiasi dengan kerdipan bintang-bintang.

“Aku nak tanya kau betul-betul. Betul sekarang ni kau bahagia sebab arwah?” Arif menoleh kepada Iqbal. Macam ada makna tersirat aja soalan Iq ni.

“Maksud kau?” Arif kehairanan dengan pertanyaan Iqbal.

“Bukan sebab student kau tu?” Iqbal meneka.

“Zahra?” Arif angkat kening.

“Aku tak sebut nama dia pun. Kau yang sebut. Kan aku dah cakap sebelum ni. Aku nampak apa yang sedang berlaku pada kau. Sejak akhir-akhir ni kau dah banyak berubah. Sebelum ni kau banyak memendam rasa dan tak banyak bercakap,” tutur Iqbal penuh makna.

“Kau je yang rasa macam tu.” Arif berdalih.

“Percaya cakap aku, kau dah jatuh cinta lagi. Okey, aku nak masuk ke dalam dulu. Tak tahan aku dengan angin malam ni. Sejuk.” Iqbal yang sedang memeluk tubuhnya dek kedinginan malam berlalu pergi meninggalkan Arif di luar.

‘Ati, andai Ati masih ada di sisi abang ketika ini, pasti Ati tahu apa yang harus abang lakukan. Abang benar-benar buntu Ati.’ Sambil mendongak ke arah langit lagi, Arif bermonolog dalam hatinya.

Dilihatnya seolah-olah arwah Ati sedang menguntum senyuman manis kepadanya. Ya Allah, rahmatilah isteriku, Ati, dan Kau tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang beriman.


USAI MENUNAIKAN solat subuh, Zahra membaca surah al-Kahfi. Surah ke-18 dalam kitab suci ini menceritakan perihal tentang kisah ketauhidan kepada Allah s.w.t, kisah Ashab al-Kahfi, kisah Nabi Musa a.s bersama Nabi Khidir a.s, kisah Zulkarnain dan kisah Yakjuj dan Makjuj. 

Tambahan, hari ini adalah hari Jumaat. Besar fadilatnya jika seseorang itu membaca surah ini pada hari Jumaat. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, ‘Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya ada cahaya meneranginya antara dua Jumaat (yakni selama seminggu).’ Makanya, setiap kali penghulu segala hari tiba, Zahra berusaha menghabiskan surah ini sejurus selepas solat subuh.

Sejak mendapat petunjuk hidayah daripadaNya, Zahra rajin mengisi masa dengan membaca al-Quran. Sewaktu menjumpai al-Qurannya semula, hatinya luluh melihat keadaan kalam Allah itu. Dipenuhi dengan habuk tebal. Bukan setakat menangis teresak-esak. Hatinya turut sama menangis hiba. Mulai dari hari itu, dia berjanji akan sentiasa menjaga dan beramal dengan al-Qurannya itu.

Boleh dikatakan setiap kali selesai bersolat, Zahra akan membaca kitab suci ini sekurang-kurangnya satu muka surat. Dengan dorongan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh ibunya, dia berjaya membetulkan bacaannya yang salah. Selain itu, Zahra juga rajin menghadiri kelas-kelas agama dan ceramah agama yang diadakan di masjid khususnya.

Selesai mengaji, Zahra yang ‘baru’ ini akan turun ke dapur untuk membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Ok, Zahra yang ‘lama’ akan sambung tidur selepas solat subuh. Solat pun masa akhir-akhir waktu subuh. Masa matahari nak tunjuk muka baru dia kelam-kabut nak bangun.

“Assalamualaikum ibu.” Dengan suara yang ceria, Zahra memberi salam. Sambil itu dia memeluk Puan Sofea dari belakang.

“Wa’alaikumsalam. Anak ibu dah bangun.” Pipi kanan Zahra dicubit lembut.

“Masak apa ibu? Zahra tolong ya.” Zahra menyingsingkan baju kurungnya. Lagi satu perubahan baru Zahra. Setiap kali tiba aje hari Jumaat, dia akan mengenakan baju kurung walaupun hanya berada di rumah. Kain baju kurung tersebut mestilah jenis kain kapas. Sejuk dan sedap dipakai katanya. Ala-ala perempuan Melayu terakhir juga.

“Dah nak siap dah. Zahra tolong buatkan air kopi. Ibu dah jerang air,” pinta Puan Sofea.

“Okey.” Zahra mula mengeluarkan teko dari kabinet. Zahra ni pandai buat air. Masa first time dia buat air kopi, dia terletak garam instead of gula. Apalagi tersembur Encik Rahman masa minum air kopi buatan anaknya itu. Nasib baik keluarga sendiri yang rasa. Kalaulah dia hidang pada tetamu masa tu, manalah dia nak letak muka dia. Malu wei kalau bakal mak mentua tahu.

“Abah kat masjid lagi eyh ibu?”

“Haah, jap lagi balik la tu. Makin besar anak ibu ni.” Tersenyum Puan Sofea melihat Zahra.

“Mestilah Zahra dah besar. Umur pun dah berapa. Takkan nak balik ke umur enam tahun?”

“Ibu harap Zahra boleh dapat jodoh yang baik cepat. Kalau ada yang baik dan soleh tu terima jelah.” Puan Sofea berpesan.

“Insya-Allah ibu. Zahra pun tak nak tergesa-gesa lagi. Nak habiskan studi dulu.” Zahra menyampaikan hasratnya. Air kopi yang siap dibancuh, diletakkan di atas meja makan. Sedang Zahra mengambil cawan dan piring dia ternampak ibunya sedang mengelap air mata dengan hujung bajunya. Zahra terus mendapatkan ibunya.

“Eh, kenapa ibu menangis?” Zahra panik.

“Habuk masuk,” dalih Puan Sofea. Cuba menyembunyikan apa yang dia rasa ketika itu. Ibu mana tak rasa sedih apabila anaknya diperlakukan begitu.

“Ye ke?” Macam tak percaya je. Ibu tengah nangis ni. Fasal aku putus tunang ke?

Zahra merangkul bahu Puan Sofea dari belakang. “Ibu jangan risau. Insya-Allah putera idaman Zahra pasti akan muncul.” Zahra cuba melawak. Senang hatinya melihat ibunya ketawa.

“Putera idaman mana pulak dah ni?” Encik Rahman yang baru pulang dari masjid mula menegur.

Puan Sofea mencebik, tanda gurau. “Abang ni. Lain kali bagi salam. Ni tiba-tiba je.”

Encik Rahman menarik kerusi untuk duduk. “Awak tu yang tak dengar. Saya dah bagi salam masa nak masuk rumah tadi. Siapa yang nak cari putera idaman ni?”

“Siapa lagi kalau bukan anak abang. Saya buat apa? Saya kan dah ada abang.”

“Haah kan, saya lah putera idaman awak.”

Zahra berdeham. “Ehem, ehem. Zahra ada kat sini. Jealous Zahra tengok tau.” Dia mula mencedok nasi lemak yang dimasak oleh ibunya sejak pukul enam setengah pagi tadi. Kemudian menghidangkan kepada abah dan ibunya.

“Kalau jealous cepat-cepat la kahwin. Nak abah carikan?”

“Abah ada calon ke?” Zahra yang sudah mengambil tempat, mula mencedok sedikit sambal lalu diletakkan atas nasinya. Dari kecil lagi Zahra suka buat begitu. Letak sambal atas nasi lemak, lepas tu gaul semua.

“Ada. Zahra nak ke? Baik, soleh, rajin pergi masjid. Senang cerita semua yang baik-baik ada pada dia.” Encik Rahman mula mempromote anak orang.

“Sape?” Zahra ni macam berminat je. Berkelip-kelip mata dia.

“Siapa lagi kalau bukan pensyarah Zahra, Arif.” Keluar dah nama calon menantu Encik Rahman.

“Abah ni macam dah takde orang lain. Tak naklah.” Cepat-cepat Zahra menolak. Tahu takut. Ustaz Pink tu.

“Kenapa pulak?” Encik Rahman mengerutkan dahinya.

“Erm, erm, dia tu pelik.” Alasan apa pula Zahra bagi ni.

“Pelik yang macam mana? Abah tengok okey je. Sihat walafiat je anak orang tu.” Encik Rahman berasa hairan dengan anaknya. Ibu sedari tadi hanya memerhati dan tersenyum.

“Erm, erm, pokok pangkal ust..ustaz tu pelik” Tersekat-sekat Zahra membalas. Muka dia dah blushing. Hehehe.

“Zahra ni gelabah semacam ni kenapa? Zahra ada hati dengan Arif ke?” Puan Sofea mengusik. Naluri keibuannya tak silap. Dia dapat rasa apa yang anaknya rasakan.

“Ish! Ibu ni, ke situ pulak.” Zahra cuba tutup kegugupannya. Apesal dengan aku hari ni? Tak pernah-pernah macam ni depan mak bapak aku. Nasi lemak dalam pinggan dihabiskan.

Kedua-dua ibu bapa Zahra hanya tersenyum panjang melihat betapa gelabahnya anak mereka ketika itu. Tahulah mereka bahawa anak mereka sedang dilamun cinta tanpa disedari tuan punya hati sendiri. Dengan mak bapak tak boleh nak sorok-sorok. Dia orang tahu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera