Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 25 : Sentiasa di sisimu:)

CEPAT sahaja masa berlalu. Semester baru sudah bermula. Sejak semalam ramai pelajar sudah mula membuat pendaftaran subjek. Tak terkecuali juga kepada Zahra dan Ida. Sejak awal pagi lagi mereka sudah terpacak di situ. Kalau boleh mereka nak uruskan semuanya secepat yang mungkin. Malas nak tunggu sampai petang.

“Sem akhir ni kita kena pilih satu subjek elektif, kan?” tanya Ida.

“Yup, apa dalam fikiran kau?” Zahra bertanya pula.

“Kau?” Soalan dibalas soalan.

“Orang tanya dia, dia tanya kita balik.”

Lagak Ida seperti orang yang tengah memikirkan sesuatu. “Rasa macam nak ambil subjek Islamic Accounting.”

“Kau?” Ida bertanya pula.

“Aku ingat nak ambil subjek tu juga.”

“Aku dengar subjek tu Puan Ummu Khadijah yang ajar, your favourite lecturer.”

“Aku pun ada dengar juga. Betul la kot.” Seronok Zahra sebab pensyarah tu pandai mengajar. Ditambah dengan keperibadiannya yang baik dan mudah mesra, membuatkan para pelajar gemar menghadiri kelasnya.

Keputusan telah dibuat. Tanpa membuang masa lagi mereka terus membuat pendaftaran melalui online di makmal komputer. Selesai dengan pendaftaran online, mereka menuju ke pejabat untuk mengambil slip pendaftaran subjek pula. Siap.

“Alhamdulillah, leganya dah selesai. Zahra, kau punya slip ok?” Ida dan Zahra baru saja melangkah keluar dari pejabat pusat pengajian mereka. Mereka mendapatkan tempat duduk di kerusi yang tersedia di lobi. Hendak memastikan agar tiada sebarang kesilapan pada slip mereka.

“Alhamdulillah, ok.” Zahra menyelitkan slipnya ke dalam fail sebelum menyimpan fail itu ke dalam beg galasnya. “Kita nak ke mana sekarang?”

“Kau dah lupa? Kita kena pilih hari dan register kelas tutorial. Takut clash dengan subjek kita. Kalau lambat nanti penuh hari yang kita nak.”

Zahra garu kepala. “Lupa pulak. Jom.” Zahra bangkit dari duduknya dan menyandang beg pada bahunya. Elok saja memulakan langkah, tiba-tiba bahunya berlaga dengan seseorang. Dia tersentak. Nyaris nak terjatuh ke belakang dibuatnya.

“Hoi! Buta ke!” tempelak Sheila. Mencerlung matanya memandang Zahra. Dia menolak kasar rambutnya ke belakang.

“Cantik bahasa kau! Aku yang buta atau kau?! Jomlah Ida.” Zahra menarik tangan Ida untuk berlalu pergi. Malas dia nak bertekak dengan Sheila. Tak fasal-fasal hilang mood dia pada hari tu.

Belum sempat nak pergi, Sheila menarik kasar bahu Zahra. “Kau ingat kau boleh blah macam tu je ke!” bentaknya lagi. Dia bercekak pinggang. Tak peduli dengan mata-mata yang memandang.

“Apa kau nak lagi hah!” Suara Zahra naik satu oktaf. Bahunya yang terasa sengal diurut. Hatinya semakin membara.

“Kau tahu tak dari dulu lagi aku benci tengok muka kau! Kau tu tak layak untuk Encik Arif la! Jangan harap kau akan dapat dia!” Sheila mengherdik kasar.

Tiba-tiba Zahra rasa berdebar-debar. Seolah-olah dia merasakan ada seseorang sedang merenungnya. Tak jauh daripada mereka, Arif sedang merenung tajam ke arahnya. Riak mukanya jelas menunjukkan bahawa dia tak suka Zahra terus melayan amarah Sheila.

Astaghfirullahal’azim! Sabar Zahra, sabar. Tak berbaloi bergaduh dengan orang macam Sheila ni. Tak lupa juga ayat-ayat dalam surah Toha yang pernah dipesan oleh Arif. Setiap kali jumpa minah ni, aku boleh jadi stress gila. Dalam masa yang sama dia terus menarik tangan Ida semula dan berlalu pergi.

“Woi! Aku belum habis lagi dengan kau la!” Sheila bertempik.

“Dah la tu Sheila. Tak malu ke? Semua orang tengah tengok ni. Encik Arif pun tengah tengok tu.” Seorang rakannya yang sedari tadi diam mula menegur. Malu dengan mata-mata yang memandang.

Terkejut beruk minah tu. “Hah! Apesal kau tak bagi tau awal-awal.” Dia mengetap giginya. Makin nipis harapannya untuk tackle Arif jika Arif melihat perlakuannya sebentar tadi.

***

ZAHRA terus menuju ke tandas yang berdekatan. Hatinya sedih mengenangkan sikap kurang ajar rakan sekuliahnya itu. Mengherdiknya tak tentu fasal. Dah la ramai orang di lobi tu. Memalukan sahaja. Matanya makin dikaburi dengan air mata. Bila-bila masa sahaja empangan air matanya akan pecah. Ida turut menyusuli Zahra.

“Zahra, kau ok?” Ida melabuhkan tangan pada bahu Zahra. Dilihatnya Zahra tersedu-sedan menahan tangisan.

“Sabar Zahra. Tak berbaloi kau menangis sebab orang tak bertamadun tu.” Ida bersuara lagi, memujuk sepupunya.

Zahra menyapu air matanya. Ya, memang tak berbaloi. Tapi dia hanya manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan juga. Siapa yang tak terasa apabila diherdik sedemikian rupa. Diherdik dengan perkara yang tak berasas lagi. 

Apa dia cakap tadi? Aku tak layak untuk Encik Arif? Jangan harap aku boleh dapat dia? Sejak bila aku terhegeh-hegeh nakkan ustaz tu?! Bentak Zahra dalam hati. Air mata yang masih mengalir diseka.

Melihat Zahra berdiam diri, Ida turut sama mendiamkan diri. Kesian Zahra. Kenapa la Sheila tak habis-habis nak cari fasal dengan sepupu aku ni?

***

SEDARI tadi Arif masih termenung pada mejanya. Direnungnya komputer riba yang baru sahaja dihidupkan. Entah apa yang direnungkan pun dia sendiri tak sedar. Tangan kanannya sedang asyik bermain-main dengan pen. Sehinggakan telefon bimbitnya berdering pun dia tak sedar. Mindanya masih terbayang-bayangkan perbalahan di lobi sebentar tadi. Sememangnya hatinya tak senang melihat Zahra dimarahi sedemikian rupa. Mujur Zahra mampu menahan dirinya daripada terus bergaduh dengan Sheila.

Namun, apa yang menyayat hatinya ialah saat Zahra lalu di hadapannya, matanya sempat menangkap wajah keruh Zahra. Sepasang mata gadis itu mula berair. Dia percaya pada saat itu Zahra pasti sedang menahan diri daripada menangis.

Lamunannya mati apabila telefon bimbitnya berdering buat kali kedua. Tanda ada mesej sedang masuk. Arif menghela nafasnya. Dia tak seharusnya membiarkan dirinya terus memikirkan perihal Zahra. Ya ALLAH, ampunkan hamba-MU ini kerana membiarkan diri ini memikirkan sesuatu yang tidak halal bagiku. Tetapi aku tak mampu menghalang rasa yang sedang bertamu di hatiku ini. Aku tak mampu. Ya ALLAH, KAU berikanlah petunjuk kepada hamba-MU ini.

Telefon bimbit yang terdampar di atas meja dicapai. Ada satu panggilan tak dijawab dan satu pesanan ringkas baru. Kedua-duanya daripada Iqbal. Mesej tersebut dibaca.


+ Assalamualaikum, kau sibuk ke?


Tanpa melengahkan masa, Arif terus membuat panggilan. Panggilannya dijawab.

“Kau sibuk ke ni?” tanya Iqbal sejurus selepas menjawab salam.

“Tak sangat. Aku ada kat opis aku. Ada kerja sikit. Sorry tak jawab panggilan kau tadi.” Dia menolak kerusi ke belakang dan bangun dari duduknya. Lalu memusingkan dirinya ke belakang. Mata ditala keluar tingkap.

“Takpe, faham, faham. Dah time lunch ni. Kata nak lunch sama.” Iqbal mengingatkan. Sebetulnya pagi tadi mereka dah berjanji untuk makan tengah hari bersama.

Arif menepuk dahinya. Jam pada pergelangan tangan dipandang. “Lailahaillallah! Tak sedar pula dah pukul satu. Nasib baik kau ingatkan aku.”

“Kau ni, orang lain pun kerja juga tapi tak la sampai lupa nak ma...”

“Ok, ok, sebelum kawan aku ni membebel jom kita pergi sekarang,” cantas Arif.

Di hujung talian, kedengaran suara Iqbal sedang ketawa. “Tau takut. Aku tunggu kat tempat biasa.”

Talian dimatikan. Arif geleng kepala. Iq, Iq. Dah rupa macam Ustaz Slumber Rock. Ada masa sahabatnya itu tak ada rupa seperti seorang ustaz. Selamba, suka mengusik dan membebel. Sesiapa yang tidak mengenalinya, pasti tidak akan tahu bahawa sahabatnya itu adalah seorang ustaz. Lailahaillallah! Berangan lagi. Pantas Arif mengambil kunci kereta yang berada di dalam beg kerja dan keluar dari opisnya.


Terima kasih kerana sudi mengikuti e-novel ini. Enjoy^-^v
Hint untuk bab seterusnya: *angkat-angkat kening* :)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera