LA LA LA LA. Sambil bernyanyi riang, Zahra mengemas biliknya yang dah lama tak
dibersihkan. Ida pula dah pulang ke KL. Bosan duduk sorang-sorang tanpa teman, jadi dia bercadang mengubah kedudukan
perabot dalam kamar tidurnya.
Pernah sekali dia bercita-cita nak jadi interior designer tapi tak kesampaian. Tiada bakat punya fasal. Akhirnya
subjek bermain dengan nombor menjadi pilihannya. Masa sekolah dulu pun, Zahra
selalu skor untuk subjek add
maths dengan math
mod. Selalu tip top.
“Ish! Macam tak kena je letak katil kat sini. Kalau pintu terbuka, mau
nampak aku tertonggeng atas katil. Tak boleh jadi ni.” Zahra mengubah semula katilnya
kepada kedudukan asal. Sedang sibuk mengalih itu dan ini, Puan Sofea melaungkan
namanya dari bawah.
Tahu ibunya memanggil, bergegas dia turun ke bawah. “Ya ibu. Jap, jap.”
“Eh, macam kenal je? Ni anak saudara
Encik Arif. Aleeya, kan?” Zahra bertanya saat dia melihat Aleeya yang sedang
duduk atas riba Puan Sofea.
“Haah, tadi abah terserempak
dengan pak usu dia di taman permainan,” kata Encik Rahman yang sedang
melabuhkan punggungnya sebelah Puan Sofea.
“So?” Sudah! Abah bawa balik Aleeya pula. Hari tu Ustaz Pink. Lepas ni siapa? Mak bapak ustaz tu? Abah siap tahu ustaz
tu pak usu dia pulak tu.
“Abang dia, Asyraf terjatuh masa main kat taman tadi. Rasanya tangan dia terseliuh. Jadi Arif terpaksa bawa Asyraf ke klinik. Kebetulan abah lalu di
situ. Arif minta tolong abah supaya tolong jagakan Aleeya sekejap sebab Aleeya ni
takut klinik. Hospital tak payah cakap. Dengar pun tak boleh,” terang Encik Rahman panjang lebar.
Zahra yang sudah mengambil tempat duduk berhadapan dengan kedua-dua ibu
bapanya hanya terangguk-angguk dari tadi. Macam burung belatuk. Tekun benar dia
mendengar. Seolah-olah abah sedang menceritakan bed time stories.
“Kesian Asyraf. Parents dia dah tahu ke ni?” Zahra bertanya lagi.
“Arif dah bagi tau. Papa dia ada meeting. Mama dia ke Kulim sebab kena hantar pesanan pelanggan,”
terang Encik Rahman lagi.
“Susahkan kalau dua-dua kerja. Takde
orang nak jaga. Tapi nasib baik dia orang ada ayah saudara yang boleh jagakan.”
Zahra berasa simpati. Bagi dia kalau boleh, dah ada anak nanti, dia nak jaga sendiri. Biar anak dia ada depan mata selalu.
“Nak buat macam mana? Itulah realiti dunia sekarang. Tapi ada yang bijak
mengurus. Walaupun dua-dua kerja tapi mereka masih bijak urusan anak-anak. Tak perlu pengasuh atau bibik.” Puan
Sofea pula bertutur. Sambil itu, rambut Aleeya yang mencecah paras bahu dibelai
lembut.
Aleeya dari tadi hanya mendiamkan diri sambil memeluk erat teddy bearnya
yang berwarna krim-krim putih. Siap ada reben merah lagi pada leher beruang tu.
Mujur juga dia tak menangis masa ikut Encik Rahman tadi. Agaknya muka Encik
Rahman nampak baik dan lembut macam atuk dia, sebab tu dia boleh ikut.
“Abah nak ke atas dulu. Nak mandi dan solat zohor. Lepas ni abah nak ke
rumah pak Samad. Ada gotong-royong sikit. Esok anak dia nak akad nikah dah.”
Encik Rahman mula bangun dari duduknya dan menuju ke tingkat atas.
Puan Sofea turut sama bangun. “Zahra, ibu nak ke rumah sebelah sekejap. Nak
hantar barang sikit. Zahra tolong tengok-tengokkan
Aleeya. Aleeya duduk dengan kakak ni eyh.
Kakak ni boleh main dengan Aleeya.” Puan Sofea meyakinkan Aleeya.
“Ta..ta..pi...” bilik Zahra belum habis dikemas lagi. Zahra menyambung
ayatnya yang tergantung dalam hati. Puan Sofea dah berlalu pergi. Aleeya
pula ditinggalkan bersama dengan Zahra.
Aku ni tak pandai jaga budak-budak. Aku nak buat apa dengan budak ni? Selama
5 minit dia pandang Aleeya dengan mata jernihnya, Aleeya pandang dia dengan mata bundarnya.
Akhirnya sebuah keluhan lepas dari mulut Zahra. Dia bangun dan berdiri di hadapan
Aleeya.
Zahra tarik nafas sedalam-dalamnya dan menghembus perlahan-lahan. “Okey, here we go. Aleeya nak main apa?” Zahra tarik senyum sampai nampak
barisan gigi putihnya yang tersusun elok.
Aleeya senyap memandang Zahra.
Zahra mati akal.
“Jom ikut akak ke bilik.” Zahra
menghulurkan tangannya. Mujur Aleeya menyambutnya. Zahra terus memimpin Aleeya
ke biliknya.
“Tada! Ni lah bilik akak.” Zahra
menunjukkan biliknya yang dalam keadaan tongkang pecah. Aleeya tetap dalam
keadaan yang sama. Senyap dan hanya memerhati. Macam manalah aku nak
berinteraksi dengan budak ni? Sebuah keluhan lagi kedengaran dari mulut
Zahra.
“Okey, Aleeya duduk sini jap. Akak
pasang Upin & Ipin eyh. Akak nak
kemas bilik akak jap.” Zahra
meletakkan Aleeya yang masih memeluk teddy
bearnya di atas katil. Laptop dipasang dan diletakkan di hadapan Aleeya. Apabila Zahra
hendak pergi, dia merasakan hujung bajunya ditarik. Spontan dia menoleh. Aleeya
sedang memegang hujung bajunya. Mata bundarnya memandang Zahra. Seolah-olah mengajak Zahra untuk menonton bersama.
“Nak akak teman Aleeya ke?” teka Zahra. Aleeya mengangguk sekali. Nak tak
nak kena jugak teman. Zahra mengambil tempat di sebelah Aleeya. Pelik betul aku
tengok budak ni? Ada emas ke dalam mulut dia? Dari tadi tak buka mulut
langsung. Nak buat apa ya supaya dia bercakap? Nak juga dengar suara dia macam
mana. Mesti comel.
“Umur Aleeya berapa eyh?” Eh, kan
dulu Encik Arif pernah bagi tau.
Senyap.
“Tadika dekat mana eyh?”
Masih senyap.
“Siapa bagi teddy
bear ni eyh?”
Senyap juga. Zahra garu kepala. Macam mana ya?
“Erm... pak usu Aleeya tu... dah
ada makwe tak?” Apa punya soalan da.
Aleeya terus toleh pandang ke arah Zahra dengan muka tanda tanya.
Aik? Aku sebut je pak
usu, terus dia bagi respons. Eh? Jap jap, apesal
aku boleh tanya fasal Ustaz Pink tu pula? Budak ni pun bukan tahu makwe tu apa? Ish! Mengarut je aku ni. Zahra garu kepala.
“Makwe?” Tiba-tiba Aleeya
bersuara.
Alahai comelnya suara dia. Macam pelakon cilik Mia Sara Nasuha.
“Hah?” Terkulat-kulat Zahra. Dia mengetap bibirnya. Tulah mulut ni gatal
sangat gi tanya soalan macam tu watpa.
Kan dia dah pelik. Mestilah dia tak tahu makwe tu apa.
“Akak tanya je sebab nak dengar
suara Aleeya.” Pandailah kau Zahra. Aleeya masih memandangnya tak berkelip-kelip.
Zahra mengaru pelipis kanannya. “Erm...erm... Aleeya nak makan puding tak? Akak ada buat puding triple choco.” Zahra cuba lari daripada topik yang dia sendiri
cipta tadi. Teruk wei kalau Ustaz tu
tahu dia tanya anak saudara dia macam tu. Malu tak terhingga.
“Aleeya tunggu jap. Akak pergi
ambil eyh.” Terus Zahra ke dapur. Dia
kembali dengan dua piring kecil berisi puding triple choco di tangan. Satu untuk Aleeya dan satu lagi untuk dia. Mujur
juga Puan Sofea ada. Kalau tak, tak jadi puding la namanya.
Sejenak kemudian, filem Upin & Ipin masih terpasang. Aleeya pula dah terlena di pangkuan Zahra. Zahra yang tak berani nak bergerak sebab
tak nak Aleeya terbangun turut sama terlentok. Dan bilik dia masih seperti
tongkang pecah.