Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 32 : Ustaz Pink = Guard

MALAM itu, Zahra bercadang menonton Cerekarama TV3 seorang diri di ruang tamu. Sejak dari tadi matanya terarah pada kaca televisyen tapi mindanya entah melayang ke mana. Mengimbau masa silam. Eceh silam la sangat. Tak silam mana pun. Hanya mengimbau detik-detik pertemuan dia dengan Arif siang tadi. Nak tergelak juga apabila mengingati semula dialog antara dia dengan Arif, di hadapan rumah Zahra. 

Sebelum itu, sempat juga Arif membawa anak-anak saudaranya bermain di taman permainan di kawasan perumahan Zahra. Aleeya beria-ia suruh Zahra ikut sekali. Tanpa mengecewakan Aleeya, Zahra ikut juga.

“Err... Zahra boleh kita keluar lagi?” Teragak-agak Arif bertanya. Haih? Mana ketenangan yang Arif ada selama ini? Asyraf dan Aleeya dah keh keh keh dalam kereta.

“Hah?” Tercengang Zahra mendengar permintaan Arif. Biar betul pak cik ni. Nak ajak aku keluar date ke?

I mean Aleeya and Asyraf. For sure mereka nak keluar dengan Zahra lagi.” Arif membetulkan ayatnya. Nak mati ke apa, keluar berdua aja dengan Zahra.

“Ooo... insya-ALLAH boleh,” balas Zahra. Segaris senyuman terlakar di bibir.

“Tak takut ke duduk seorang ni?” tanya Arif yang mempamerkan kerisauannya. Mana tak risau. Anak dara duduk seorang diri di rumah. Dengan zaman sekarang ini, macam-macam boleh terjadi. Jenayah semakin berleluasa. Ya ALLAH, ENGKAU jauhilah kami dari sebarang bahaya. Sesungguhnya hanya ENGKAU sahaja yang dapat melindungi kami dari sebarang kejahatan.

Zahra pandang Arif.

“Yelah, zaman sekarang ni bukan boleh percaya sangat. Tiap-tiap hari ada aje berita yang kurang enak untuk didengari.” Arif masih lagi dengan kerisauannya.

“Kalau ada orang jahat, apa lagi, saya karate la dia nanti. Haiya!” Zahra siap buat aksi dengan tangan. Selamba benar si Zahra ni buat aksi macam tu depan Arif.

Loyar buruk pula budak ni. Badan tak padan dengan kecik, ada hati nak karate orang. Ni yang buat aku bertambah-tambah risau. “Cik Zahra, awak tu dah la kecik. Masih ada hati nak karate orang lagi?”

Zahra ketawa. “Hehe. Encik Arif, insya-ALLAH saya tak ada apa-apa. ALLAH kan ada? Dia boleh menjadi Pelindung saya.” Sebenarnya awal-awal lagi Zahra dah minta Ida temankan dia. Takut juga kena tinggal berseorangan.

“Baca kalimat ‘hasbunallah wa ni’mal wakil’ sebagai pelindung. Maksudnya cukuplah ALLAH bagi kami sebagai PENOLONG dan ALLAH adalah PELINDUNG paling baik. Amalkan sepanjang masa. Dan jangan lupa baca bismillah masa nak tutup pintu dan tingkap. Make sure semua berkunci,” pesan Arif serius. Dah mengalahkan ibu dan abah Zahra.

Kalimat mulia yang Arif maksudkan merupakan salah satu pintu kelapangan terbesar yang biasa diamalkan oleh orang-orang yang soleh. Malah diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s saat beliau dilemparkan ke dalam api yang marak menggunung dengan arahan Raja Namrud. Bukalah al-Quran, pasti akan menjumpai sirah ini dalam surah al-Anbiya’. Tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalam api yang sedang marak menjulang itu, dengan kekuasaan-NYA, sifat semula jadi api yang panas bertukar menjadi sejuk dan nyaman buat Nabi Ibrahim. Semuanya atas arahan ILAHI yang memberi arahan kepada api, ‘Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat kepada Ibrahim.’(al-Anbiya’ 21:69)

Mendengar pesanan Arif membuatkan Zahra ketawa lagi. Lucu kerana kerisauan Arif melebihi kerisauan kedua orang tuanya. “Encik Arif ni, abah dan ibu pun tak risau macam ni. Don’t worry, malam sikit, Ida akan datang tidur sini,” kata Zahra bagi menghilangkan kegusaran di hati Arif.

“Kalau ada apa-apa, call saya,” pesan Arif lagi.

Wah! Ambil berat juga Ustaz Pink ni. Risau benar dia dengan aku. Zahra hanya mengangguk. Terasa diri dihargai dan dilindungi pula. Macam dah ada bodyguard pula.

Secara jujurnya, Zahra dah mula rasa senang hati dengan Arif. Boleh bercakap dan berlawak dengan bersahaja. Tak seperti sebelum ni. Pantang bertemu mesti berperang. Zahra je yang selalu melancarkan perang. Arif pula dengan coolnya yang semula jadi.

Lamunan Zahra mati tatkala dia mendengar sesuatu yang kurang menyenangkan hati di luar rumahnya. Sepantas kilat dia bangun dari sofa. Terketar-ketar dia ke dapur untuk mencari sesuatu yang boleh dibuat sebagai pertahanan diri. Dalam banyak-banyak barang, kayu penggelek milik ibunya menjadi pilihan. Perlahan-lahan Zahra melihat melalui tingkap rumahnya. Belum apa-apa, terdengar pula suara orang mengerang kesakitan di halaman rumahnya.

Serta-merta Zahra menyarung jubah dan tudung sebelum bergegas membuka pintu. Lampu di perkarangan rumahnya sudah terang benderang. Alangkah terperanjatnya dia apabila melihat dua orang lelaki. Seorang tu dia amat kenal. Mana tak kenal. Siang tadi baru jumpa. Di tepinya terdampar seorang lelaki asing. Tak pernah dilihatnya. Sikit pun tak kenal. Nampak macam dah pengsan.

“Zahra ok?” Arif bertanya. Renungannya cukup tajam. Pucat juga muka Zahra melihat situasi ini. Mujur ada pensyarahnya.

“Ok. Encik Arif tak apa-apa?” Zahra pula bertanya dengan kerisauan. Manalah tau, takut tercedera ke apa?

Arif mengangguk. Tanda dia tak apa-apa. “Saya nampak dia panjat pagar rumah Zahra. Rasanya dia nak pecah masuk rumah Zahra.” Ada kerisauan dalam nada suaranya yang tegas.

Zahra hanya tergamam. Mindanya kosong. Blur.

Melihat keadaan Zahra, Arif menyeluk poket seluarnya. Telefon bimbit dikeluarkan. Hendak membuat panggilan polis.

“Sekejap lagi polis datang. Lebih baik Zahra tunggu dekat dalam,” kata Arif sesudah mematikan talian. Dia menarik nafas panjang. Dalam hati, beristighfar panjang dia tengok Zahra pegang kayu penggelek. Budak ni betul-betul buat orang risau. Ingat kayu tu boleh menyelamatkan diri ke? Dahlah siang tadi bukan main lagi cakap nak karate orang. Apa pun syukur alhamdulillah Zahra tak apa-apa. Andai kata dia tiada di situ, rasanya dia akan menyesal tak sudah. Sesudah solat isyak di masjid tadi, hatinya tergerak untuk meninjau keadaan Zahra. Ternyata ALLAH telah mengerakkan hatinya untuk ke rumah Zahra. Syukur alhamdulillah.

“Takpe, saya duduk dekat pangkin.” Agak terketar-ketar kaki Zahra semasa berjalan ke pangkin.

Dalam masa yang sama jiran-jiran yang terdekat sudah mula membanjiri rumah Zahra. Mahu melihat apa yang terjadi. Kesal sungguh sebab dalam kawasan perumahan yang selama ini aman telah dicemari dengan kejadian sebegini. Apabila segala urusan selesai, masing-masing beredar pulang. Sempat juga berpesan pada Zahra supaya lebih berhati-hati.

Are you sure you will be fine alone? Bukan ke sepatutnya Ida temankan Zahra malam ni?” tanya Arif yang tak sudah-sudah meminta kepastian. Wajahnya masih serius dari tadi.

“Ida tak boleh datang sebab kawan dia masuk hospital. Jadi dia ada di sana sekarang ni. Insya-ALLAH saya ok. Encik Arif tak perlu risau. Lagipun esok ibu dan abah dah nak pulang,” balas Zahra perlahan. Sepasang matanya hanya menekur pada selipar di kakinya.

“Zahra pergi masuk dulu. Kunci semua pintu,” suruh pensyarahnya.

Zahra mendongak. Wajah Arif menyapa mata. “Encik Arif?”

“Saya akan balik selepas saya pastikan semuanya selamat,” ujar Arif apabila melihat Zahra masih lagi tercegat di luar. Akhirnya Zahra akur juga. Perlahan-lahan dia menapak masuk ke rumah. Lampu kalimantang di luar dibiarkan terpasang. Kemudian dia naik ke bilik tidurnya. Zahra hanya membiarkan biliknya malap dengan lampu di tepi katil. Badan yang terasa semakin letih direbahkan di atas katil.

Eh? Aku lupa nak ucap terima kasih dekat dia la. Tanpa membuang masa, Zahra mengirim SMS kepada Arif.

- Lupa pulak. Terima kasih sebab dah tolong saya tadi. Tq☺

+My pleasure☺ Now go to bed. Is already midnight.

“Ceh! Ingat aku ni budak lima tahun ke? Nak suruh pergi tidur pula,” getus Zahra seorang diri. Walhal dalam hati dah berbunga-bunga masa baca mesej tersebut. Sukar bagi Zahra melelapkan matanya pada malam itu. Hatinya kuat mengatakan Arif masih berada di halaman rumahnya. Zahra bangun dari katil dan menuju ke jendela. Memang benar. Arif masih berada di luar rumahnya. Tanpa disedari lelaki itu, Zahra mengintai sebentar. Dilihatnya Arif sedang memeluk tubuh sambil bersandar pada pintu kereta dan merenung ke arah langit.

Terasa selamat apabila Arif ada di sini walaupun jauh. Apa la yang dilihatnya? Ada shooting star ke? Zahra pun ikut sama mendongak ke langit. Wah! Cantiknya bintang-bintang ni. SubhanALLAH! Seperti pasir-pasir halus yang berkilau di pantai. Pencinta alam rupanya pak cik seorang ni? Hehe. Lama juga dia berkeadaan begitu sebelum matanya berair. Tanda dia sudah mengantuk giler. Zahra menguap dan menuju ke katil. Boleh juga dia tidur dengan lena malam itu. Dibuai mimpi nan indah.

Hint bab seterusnya: aku yang tersalah rumah ke ustaz ni yang tersalah rumah *garu kepala*?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera