TIGA malam berturut-turut Zahra melakukan solat istikharah. Dan tiga malam
berturut-turut itu juga, dia didatangi mimpi yang sama. Zahra mula
kerisauan. Hatinya mengatakan ada sesuatu bakal berlaku. Adakah ini petunjuk dari Allah?
“Hari ini Zahra tak ada kuliah kan?” soal Puan Sofea sewaktu dia dan anaknya
bersarapan.
“Takde. Kenapa ibu?”
“Tengah hari nanti ibu bapa Johan nak datang. Ada hal penting yang nak
dibincangkan. Zahra tahu?”
Zahra tersentak sedikit. “Tahu ibu. Johan ada call malam semalam,” tutur Zahra perlahan. Pandangannya tertunduk
ke bawah sikit. Tidak betah untuk dia menatap ibunya dalam keadaan menipu. Ya
Allah, ampunkan hambaMu ini. Aku tak mahu ibu risaukan aku. Zahra cuba
menyembunyikan perkara yang sebenar. Dia tidak mengetahui sebenarnya. Johan sendiri pun tak bagi tau apa-apa semasa dia menelefon Zahra semalam. Zahra
benar-benar berasa kecil hati dengan sikap Johan.
“Kenapa ni Zahra? Macam ada yang tak kena?” Bimbang dengan anaknya yang
tiba-tiba nampak muram. Wajah anaknya bertukar menjadi mendung.
“Tak ada apa-apalah ibu. Nak Zahra tolong apa-apa tak untuk makan tengah
hari nanti?” Zahra cuba untuk menceriakan keadaan. Tubir matanya terasa semakin
panas. Namun ditahan juga agar air mata tidak menitis.
“Selepas sarapan ni, ibu nak ke pasar sekejap. Zahra nak ikut?”
“Erm, boleh juga. Lagipun hari
ini tak ada kelas.” Walaupun, empangan air matanya hampir pecah, Zahra gagahkan diri untuk tidak menangis di hadapan ibunya.
“Kalau macam tu Zahra siap dulu.” Zahra berkata lagi sebelum Puan Sofea buka mulut. Dia terus bangun dan
menuju ke atas. Sebaik sahaja pintu bilik dikunci, Zahra berlari masuk ke dalam bilik
air. Pili air di singki, dipulas sampai habis. Sepuas-puasnya dia menangis. Sedih dengan tunangnya sendiri. Sampai
hati Johan tak bagi tahu. Mustahil Johan tak tahu ibu dan ayahnya nak
bertandang ke rumahnya pada hari itu. Zahra mula teringat akan mimpinya. Ya
Allah... air mata turun dengan deras. Sama deras dengan air paip yang mengalir keluar dari kepala pili. Zahra mula sedar, Johan semakin jauh
daripadanya. Allah s.w.t sudah memberikan petunjuk kepadanya.
“APA... apa... salah Zahra ibu? Ke... kenapa... Johan buat Zahra... macam ni?” Teresak-esak
Zahra menangis di pangkuan ibunya. Menyukarkan dia untuk mengeluarkan kata-kata.
Air matanya semakin deras mengalir. Segala kebenaran yang tersembunyi selama
ini telah terbongkar. Puan Sofea tetap setia berada di sampingnya sejak
kedatangan ayah dan ibu Johan tengah hari tadi. Membelai dan mendakap anaknya
yang benar-benar memerlukannya pada saat itu. Menangislah sayang sekiranya itu
yang dapat melegakan hati sayang.
“Zahra... ingat Allah. Allah tak pernah tinggalkan Zahra. Banyakkan
bersabar. Mungkin ada hikmahnya.” Puan Sofea memujuk dan memeluk erat anaknya. Ya
Allah, berikan kekuatan kepada anakku ini untuk menempuh dugaan yang Engkau
berikan kepadanya. Tabahkanlah dia dalam menghadapi ujianMu ini.
Mengapa Johan sendiri yang tak datang? Tak sangka dia seorang yang
pengecut! Benarlah telahan Zahra. Perubahan Johan selama ini sudah terjawab.
Johan sudah meninggalkannya. Johan sudah berubah hati dan berkahwin dengan
orang lain. Sedangkan mereka masih bertunang. Zahra benar-benar berasa sakit
hati diperlakukan begitu. Bagi dia Johan telah mengkhianati cinta dan hubungan
yang pernah mereka ciptakan bersama suatu ketika dahulu.
Encik Rahman yang hanya mendiamkan diri turut merasai kesedihan yang
melanda anaknya tika itu. Hatinya turut sama menangis melihat keadaan anaknya.
Tiada sepatah perkataan pun yang keluar daripada mulutnya. Tidak sudah-sudah
ayah dan ibu Johan memohon maaf atas apa yang telah dilakukan oleh anak mereka.
Mereka berasa amat kesal.
“KAU okey ke ni?” Sejak
dari tadi Zahra tak bersuara. Berkutik sedikit pun tidak. Hanya membuang
pandang ke arah lautan yang terbentang luas di hadapannya. Sudah hampir
seminggu Zahra putus tunang. Dalam seminggu itu juga air mata menjadi peneman
setianya. Terutamanya apabila dia berseorangan.
“Macam mana aku nak okey Ida...” Suaranya kedengaran sayu. Hatinya sebak. Tubir
matanya mula bergenang dengan air mata lagi.
“Sabar Zahra. Aku ada. Abah dan ibu kau pun ada. Yang paling penting Allah
sentiasa ada.” Ida mendakap erat bahu sepupunya itu. Cuba untuk menenteramkan
hati Zahra yang dah remuk.
“Ida... aku sedih. Susah aku nak lupakan dia. Kalau aku tahu aku takkan
terima dia.” Zahra kembali teresak-esak. Dia menyapu air mata yang semakin
jatuh berderai-derai ke pipi.
“Aku faham Zahra. Kau kena berdoa pada Allah untuk lupakan dia.
Sekurang-kurang kau tahu sekarang. Kalau masa nak nikah nanti dia tak muncul,
bertambah lara hati kau Zahra. Alhamdulillah, Allah berikan petunjuk dari awal
lagi,” pujuk Ida lagi.
“Sampai hati dia buat aku macam tu. Aku ni tunang dia. Kenapa mudah benar
dia berubah arah? Apa salah aku Ida? Apa salah aku pada dia? Aku tak boleh nak
maafkan dia,” luah Zahra dengan hati yang luruh.
“Sabar Zahra, sabar. Mungkin ada hikmat di sebalik semua ini. Allah lebih
mengetahui Zahra.” Ida menggenggam tangan Zahra untuk menyalurkan kekuatan dan
semangat.
“Tolong aku Ida. Aku nak buang semua kenangan aku bersama dia.” Zahra nekad
dia tidak mahu ditenggelamkan kedukaannya lagi. Dia mahu menjadi kuat. Biarlah
Johan dengan kehidupan dia sekarang. Apa yang pasti dia mahu melupakan segala
kenangan pahit manisnya bersama Johan.
“Aku akan sentiasa berada di samping kau. Don’t
worry.” Ida berasa lega
dengan kata-kata yang terluah dari mulut Zahra.
‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu
padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal
ia amat buruk bagimu dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya
itu) sedang kamu tidak mengetahui.’ (Surah al-Baqarah:216)