SAMPAI aja
di rumah, Zahra terus mencampakkan kasut di belakang pintu. Kunci kereta pula
dibiarkan di atas sofa. Plastik yang berisi polisterin makanan di letakkan di
atas meja makan di dapur. Kemudian dia terus berjalan laju ke biliknya.
Berdentum pintu bilik dihempasnya. Dia benar-benar melepaskan geramnya.
Puan Sofea yang memerhati dari tadi hanya menggelengkan melihat
kelakuan anaknya itu. Sudahlah panggilan tak dijawab, salam pun tak. Siang malam Puan Sofea berdoa siang agar anak kesayangannya itu akan menjadi lebih
lembut dan bersopan. Puan Sofea tahu Zahra bukanlah anak yang derhaka. Cuma
perangai dan percakapannya agak kasar.
Di dalam bilik, Zahra mencampakkan beg sandang dan fail di atas meja
studinya. Kemudian dia terus menghempas pula dirinya di atas katil. Mata
dilelapkan. Berharap semuanya akan berlalu pergi. Sakitnya hati apabila
mengenangkan apa yang berlaku pagi tadi. Benci! Benci! Benci! Dahlah pakai
kemeja berwarna pink. Dah macam... Argh!!!
Geramnya. Zahra yang sedang berbaring, menghentak-hentakkan kaki. Tanda tak berpuas
hati. Sebetulnya Arif memang mengenakan kemeja berwarna pink pada hari ini. Pink
yang lembut. Bukan yang striking.
JAM pada dinding
berdenting. Menandakan sudah pukul 4 petang. Di dapur, kelihatan Puan Sofea sedang sibuk
membuat kuih seri muka di dapur sebagai minum petang. Kepandaiannya dalam
membuat kuih-kuih tradisional tak perlu dipertikaikan lagi. Memang sedap. Ini juga salah satu caranya
untuk memikat hati suaminya. Bukan itu sahaja, segala jenis lauk, segala macam
nasi dan mi pun dia pandai buat. Berkat daripada air tangannya sendiri, suami
berserta anaknya tak pernah gemar makan di luar. Air tangan isteri
dan ibu yang penuh dengan kasih sayang dapat membahagiakan rumah tangan.
“Assalamualaikum. Sedapnya bau. Sampai ke luar saya bau,” puji Encik Rahman
yang baru pulang dari masjid berdekatan. Ada sedikit gotong royong selepas
solat zohor tadi.
“Wa’alaikumsalam, duduklah bang. Saya buatkan kuih kegemaran abang ni. Dah
nak siap ni.” Kuih seri muka yang baru dikukus dihidangkan di atas meja. Kuih
yang bebas daripada bahan pewarna. Asli menggunakan daun pandan sahaja. Puan
Sofea juga gemar bertanam di belakang rumah. Tanah yang sekangkang kera
digunakan dengan sebaiknya dengan menanam pelbagai jenis sayur dan daun. Senang
untuk kegunaannya serta menjimatkan wang.
“Patutlah tekak saya ni terasa nak makan kuih seri muka je hari ni. Rupa-rupanya isteri saya ni nak buat kuih seri muka.
Alhamdulillah.”
“Ada-ada saja abang ni. Saya buatkan teh o panas sekali.”
“Sedapnya. Untung saya ada isteri pandai masak macam awak ni.” Sambil
menyuap kuih seri muka ke dalam mulut, Encik Rahman memuji keenakan kuih
tersebut. Sebagai seorang suami, wajar bagi dia untuk memberikan pujian. Ini
juga salah satu cara untuk mengeratkan hubungan sesama suami isteri. Sedangkan
Nabi Muhammad s.a.w sendiri pun memuji isteri-isteri baginda. Tapi bukan pujian
yang melampau atau tanpa sebab. Ianya mestilah pujian yang ikhlas. Tak salah
sekiranya seorang suami memuji isterinya setelah melihat penat lelah isterinya memasak
atau melakukan kerja-kerja rumah yang lain. Dan isteri pula seharusnya memahami
suami yang penat bekerja seharian di luar.
“Eh, Zahra mana? Saya tengok kereta ada di luar.” Hairan melihat ketiadaan
anaknya. Tapi kereta yang diculik anaknya pagi tadi ada pula di luar rumah.
“Ada dekat atas tu. Tak turun-turun dari tadi. Balik saja rumah terus naik
ke atas. Muka pun mencuka. Adalah yang tak kena masa dia keluar ke kelas.
Abang bukan tak tahu perangai anak kita tu.”
“Macam mana lah nak jadi isteri orang kalau perangai asyik macam tu.”
“Entahlah bang. Dah banyak kali saya nasihatkan dia. Macam tu jugak.”
“Awak rasa-rasa dia ikut perangai awak ke masa muda dulu? Saya tak macam tu
pun.” Encik Rahman cuba untuk mengusik Puan Sofea pula. Bergurau je tu.
“Ish! Abang ni. Ada ke. Dia ikut
abang tu. Abang je yang tak nak
mengaku? Bukan ke masa abang nak pinang saya dulu abang buat perangai?” Puan
Sofea mencebik sebelum membalas. Tanda bergurau juga. Dia tahu suaminya hanya
bergurau. Asam garam rumah tangga. Tak sah kalau tak bergurau senda. Hidup
bersama-sama selama hampir tiga puluh tahun telah memasakkan perangai
masing-masing. Baik dan buruk diterima dengan baik.
“Itu dulu...” Tersengih Encik Rahman mengimbau kenangan dulu.
“Saya ingat awak betul-betul tak nak pinang saya masa tu,” usik Puan Sofea.
“Mana boleh saya tak nak. Dah la solehah. Cantik pulak tu. Siap pandai masak dan menjahit lagi.” Senyum sampai ke
telinga Puan Sofea mendengarnya.
Kedengaran bunyi tapak kaki menuruni tangga menarik perhatian mereka.
“Ibu, abah, lapar...” Muka Zahra yang nampak sememeh menunjukkan bahawa dia
baru bangun dari tidurnya. Dia terus duduk di sebelah ibunya sambil memegang
perutnya. Perut yang tidak diisi sejak pagi tadi sudah mula meragam lagi.
Terasa pedih sehingga ke hulu hati.
“Zahra, pergi basuh muka tu dulu,” arah Puan Sofea tanda tidak suka dengan
keadaan anaknya yang nampak kusut itu.
“Alah ibu, baru nak makan.” Zahra merungut dengan mata separuh terbuka.
“Zahra, cuba dengar cakap ibu tu. Tak baik merungut. Allah tak suka. Syurga
di bawah telapak kaki ibu. Ingat tu.” Encik Rahman mula memberi nasihat dengan
suara yang memujuk. Anaknya itu perlu diberi nasihat selalu. Seperti seorang
ayah menasihati kanak-kanak yang berumur enam tahun. Tanpa membantah lagi,
Zahra dengan malas-malas terus ke bilik air yang berada di sebelah dapur untuk
menyegarkan mukanya. Tak sampai seminit, dia duduk semula di sebelah ibunya.
“Kan dah nampak segar sikit anak abah ni,” ujar Encik Rahman sebaik sahaja
melihat anaknya itu. Puan Sofea pula menghidangkan dua potong kuih lapis kepada
anaknya. Tanpa membuang masa, Zahra terus menyuap ke dalam mulutnya.
“Dah baca bismillah?” Puan Sofea menegur.
“Dalam hati ibu.” Tersengih Zahra memandang ibunya. Kantoi! Cepat-cepat dia baca bismillah dalam hati. Suapan disambung
semula.
“Sedapnyaaa kedai pun tak macam ni.” Zahra memuji sambil mengisyaratkan thumbs up kepada ibunya.
“Makan banyak-banyak. Ibu tahu Zahra tak makan dari pagi tadi,” pesan Puan
Sofea.
Belum sempat Zahra nak jawab abah terlebih dahulu bersuara. “Zahra, kenapa
buat macam tu. Abah kan dah pesan banyak kali. Jangan sesekali skip makan. Kalau sakit lagi, macam mana? Ketegaq sungguh.” Encik Rahman mula risau. Sejak
kecil lagi Zahra tak boleh skip masa makan. Sebab dia ada gastrik. Boleh sampai
termuntah-muntah lagi. Cuma sekarang tak seteruk dulu. But still kena jaga jugak
kan?
Zahra menggaru kepalanya yang tak gatal. “Sorry
abah, tak sengaja.”
“Janji dengan abah lain kali Zahra tak buat lagi.”
“Ye abah tersayang. Zahra janji tak
buat lagi.” Mimik muka dimaniskan dengan senyuman yang melebar.
Semanis-manisnya. Selebar-lebarnya.
“Cuba bagi tau kat abah dan ibu. Awat dengan Zahra hari ni? Masa kuliah
ada masalah? Balik rumah terus menonong masuk ke bilik. Ibu panggil, tak menyahut.”
Puan Sofea cuba memancing apa masalah Zahra. Sambil-sambil itu dia mengusap
lembut belakang anaknya itu. Seorang ibu pasti mempunyai naluri keibuan yang
peka dan sensitif terhadap seorang anak. Tambah-tambah lagi anak kandung yang
membesar di depan mata sendiri. Jadi tak mustahil sekiranya Puan Sofea tahu
bahawa ada sesuatu yang mengganggu gugat keamanan anaknya itu.
“Malaslah nak cerita, ibu. Nanti hilang selera.” Muka Zahra yang bersinar
bak mentari kembali mendung bagaikan hujan ribut petir apabila mendengar
pertanyaan ibunya itu.
“Sampai macam tu sekali. Besar masalah Zahra ni.” Abah buat-buat terkejut.
Mata pun sengaja dibesarkan. Buat-buat terbeliak.
“Besarrr abah. Seumur hidup Zahra, tak pernah lagi jumpa dengan orang macam
tu. Menjengkelkan betul. Suka-suki hati dia je
malukan Zahra. Depan semua student
pulak tu.” Hati Zahra
yang sudah lama sejuk kembali menjadi panas. Dah hampir-hampir menggelegak. Like a boiling water.
“Student juga ke?” Encik Rahman ikut melayan anaknya.
“Tak abah, pensyarah yang berlagak macam Ustaz Don.” Zahra mencebik.
“Ni mesti sebab Zahra lambat masuk kuliah kan?” Puan Sofea meneka. Tulah
bangun lambat lagi.
“Orang lambat sepuluh minit je. Tu
pun nak kecoh. Dia siap bagi denda lagi. Ada ke disuruhnya Zahra buat solat
sunat taubat. Dia cakap Zahra tak hormat masa yang Allah bagi.” Zahra membebel dengan nada meluat.
Encik Rahman seperti berminat dengan cerita anaknya itu “Iyeee, ish, ish, ish.” Encik Rahman menggeleng.
“Iye abah. Siap suruh
beristighfar sebanyak lima ratus kali sebab Zahra kutuk dia dalam hati. Sape tak mengamuk.”
“Mana dia tahu Zahra kutuk dia?” soal Encik Rahman. Puan Sofea dari tadi
hanya mendengar dan memerhati.
“Dia main agak-agak. Bencilah Zahra nak tengok muka dia lagi. Menyampah
betul.” Zahra berdecit.
“Zahra tak baik benci pada orang lain. Nanti jatuh hati. Sapa yang susah.
Zahra juga.” Abah mula menyakat.
“Ish! Abah ni. Ada ke cakap macam
tu. Minta sangat-sangat dijauhkan. Zahra kan tunang orang. Abah dah lupa.”
Zahra pandang atas sambil menadah tangan. Gaya macam orang tengah berdoa sebab
mulut dia terkumat-kamit membacakan sesuatu.
“Abahnya pun. Johan tu nak bubuh tang
mana?” Encik Rahman tersengih mendengar teguran isterinya. Suapan terakhir
kuih seri muka dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Zahra, ibu tak nak Zahra terus macam ni. Tak baik. Buruk macam mana pun
orang tu, dia tetap pensyarah Zahra. Esok lusa Zahra kena menghadap dia lagi.”
Puan Sofea meneruskan lagi.
“Kalau tak boleh nak tengok jugak
macam mana?”
“Istighfar banyak-banyak. Tu syaitan nak kacau Zahra saja tu,” pujuk Puan
Sofea sambil mengusap belakang anaknya lagi.
“Sabar ya sayang. Sabar itu kan salah satu cabang daripada iman. Allah nak
uji Zahra sebenarnya ni. Allah suka hambanya yang sentiasa sabar walau apa jua
keadaan sekali pun. Apa kata lain kali, sebelum Zahra ke kelas, Zahra ambil
wuduk dulu. Sejuk sikit hati tu masa nak masuk ke kelas nanti.” Melihat anaknya
membisu, Puan Sofea cuba memujuknya lagi dengan kata-kata yang penuh dengan
nasihat.
“Zahra cuba ibu...” Perlahan sahaja Zahra menuturkan kata-katanya dengan
mengeluh panjang.
“Lagi satu Zahra. Abah nak ingatkan. Zahra tetap kena laksanakan solat
sunat taubat dengan istighfar tu sekali. Amanah tu. Abah juga tak nak Zahra
lambat ke kuliah lagi. Zahra dah besar. Dah kahwin nanti, Zahra nak ke suami
Zahra tengok Zahra ni suka bangun lambat ni?” Encik Rahman pula memberikan
nasihatnya. Dalam bergurau dengan keluarganya, Encik Rahman tegas apabila dia
menyentuh bab-bab agama ni..
“Tak abah. Okey, nanti Zahra akan tunaikan amanah tu. Fasal kahwin tu kan
lambat lagi?” Zahra menjawab acuh tak acuh.
“Abah tahu lambat lagi tapi Zahra kena ingat juga.” Encik Rahman bertegas
lagi.
“Ye...” Zahra yang sudah selesai
makan, mula bangun dan menuju ke singki untuk membasuh pinggan dan cawannya.
“Hah lagi satu Zahra, rajin-rajinkanlah masuk dapur. Kamu tu kena belajar
masak kalau nak ikat perut Johan nanti. Tengok macam ibu. Pandai dia masak. Perut
abah pun suka.” Encik Rahman menepuk-tepuk perut sambil memberikan tips untuk rumah tangga pula. Ibu hanya tersenyum.
“Alah abah ni, nanti-nantilah eyh.”
Zahra mengelat.
“Masa ni lah nak start belajar. Kalau tak bila lagi hang nak blajaq?” Keluar dah loghat Penang. Beberapa tahun duduk di
Penang sedikit sebanyak membantu mereka untuk bertutur macam orang Penang.
Encik Rahman yang sudah pencen, membuat keputusan untuk terus menetap di Bandar
Perda, Pulau Pinang. Katanya dah sebati dengan nasi kandar Penang. Tak boleh
kalau tak kena penangan Nasi Kandar Ali yang terletak di bandar Bukit Mertajam.
Tambahan, rumah yang mereka tinggal sekarang ni berada di kawasan
perkampungan. Taklah sepenuhnya perkampungan. Tapi masih terasa suasana kekampungan. Sebelum ni mereka menetap di
Kuala Lumpur. Lagipun Zahra boleh duduk sekali dengan mereka. Tak perlu
duduk di hostel.
“Okeylah abah, ibu, Zahra naik atas dulu. Nak mandi.” Zahra cuba tukar
topik.
“Patutlah dari tadi abah bau semacam je.”
Encik Rahman faham sangat dengan anaknya yang suka tukar topik apabila disuruh
belajar memasak.
“Abah ni...” Zahra yang selesai membasuh di singki, mencebikkan mulutnya, tanda bergurau.
MALAM kian
melabuhkan tirainya. Zahra masih lagi menunggu panggilan daripada Johan. Petang
tadi Johan membalas sms yang dihantarnya. Johan berjanji akan menelefonnya.
Zahra pula dari tadi asyik mengeluh je. Telefon bimbit yang terdampar di
atas meja studi dipandang beberapa kali. Namun telefon tersebut masih tetap
tidak berbunyi. Tiba-tiba ia berdering. Tanda ada call sedang masuk. Cepat-cepat Zahra bangun dari katil untuk
menjawabnya. “Hello Johan. Kenapa lambat sangat telefon Zahra?”
“Hello, hello. Bukan nak bagi salam. Ni aku la.” Zahra yang menyangka
Johan yang menelefonnya tersilap. Ceh! Ingatkan tunang aku.
Zahra berdecit. “Kau rupanya Ida. Nak apa? Kacau je orang tengah tunggu call.”
Ida sudah tergelak kecil. “Lain kali tengok dulu skrin telefon tu. Kau
tengah tunggu Johan eyh?”
Zahra menghempaskan badannya di atas katil. “Hang ni, sudah tahu mau
tanya lagi.”
“Aku saja je call kau. Kau dah ok ke ni?” Niat Ida baik untuk mengetahui
keadaan Zahra.
“Kau rasa aku dah okey ke?” Soalan dibalas dengan soalan.
“Manalah aku nak tahu. Sebab tu aku tanya. Bunyi gaya macam tak ok lagi je ni?”
“Malaslah nak cakap fasal hal tu lagi. Buang air liur je. Entah ape-ape.” Zahra
mendengus kuat.
“Bunyi macam benci sangat. Kau jangan... terjatuh cinta baru tahu. Sape susah, kau jugak yang susah nanti,” pesan Ida sambil mengekek.
“Choiii!!! Choi! Choi! Choi! Choi! Kau ni pun sama macam parent aku. Suka cakap macam tu,” sangkal Zahra dengan menyumpah
dalam bahasa Cina.
“Aku tak main-main la. Kau tak tengok cite
Korea ke? Hero dan heroin bergaduh dan saling benci-membenci, akhirnya mereka
terjatuh cinta sama-sama.”
Ida ni sememangnya kaki tengok drama Korea lakonan Lee Min Ho je. Semua cerita mamat tu dia balun tengok. Tak sah kalau tak tengok. Semuanya
bermula dengan drama yang bertajuk Boys
of Flowers versi
Jepun. Iaitu Hana Yori Dango hasil
lakonan mantap artis terkenal di Jepun, Matsumoto Jun dan Inoue Mao. Dia punyalah
sanggup ajak Zahra turun KL semata-mata nak tengok Hana Yori Dango Final
The Movie yang hanya
ditayangkan selama lebih kurang dua minggu je
kat pawagam TGV yang terpilih dan Cathay Cineplexes sahaja. Zahra seperti
biasa tak nak kecewakan sepupunya itu terpaksa mengikut je. Lagipun duit bas pergi balik dengan tiket wayang ditanggung
beres oleh Ida. Hampir pukul enam pagi dia orang sampai ke Matrikulasi Gopeng
Perak semula. Mujur masa tu kamceng dengan pak guard. Jadi tak kena tangkap. Punyalah nakal dua orang ni.
"Oit Ida, tu drama jelah. Ni realiti. R.E.A.L.I.T.I. Ada faham?" Siap tolong eja lagi.
"Yelah, yelah. Kalau terjadi juga macam mana?" Ida mengusik lagi.
“Kau nak aku letak telefon ke ni?” ugut Zahra.
“Aku tak usik dah. Tapi kan, selama kita studi dekat USM ni, tak pernah pun
tengok Encik Arif tu. Pensyarah baru ke?”
“Mana la aku nak tahu. Peduli apa aku kalau dia pensyarah baru pun. Boleh
tak kalau kita tak cakap pasal dia lagi? Meluat la nak dengar.” Zahra
mendengus.
“Yelah, tutup cerita fasal dia.
Sebenarnya aku telefon ni sebab nak ajak kau pergi library esok. Kita kan kena cari bahan rujukan untuk assignment. Selepas tu nak cari buku dekat kedai mahasiswa.” Ida
menyatakan niat sebenar dia menelefon Zahra.
“Pukul berapa?” Zahra garu kening kanannya.
“Dalam pukul sembilan pagi. Kau ambil aku dekat hostel boleh? Malas nak
tunggu bas. Kena panjat tangga la. Nak cross
jejantas lagi la. Sekali panjat dah megah. Malas la.
Boleh erk?” Ida tarik sengih di sebalik
talian.
“Boleh. Nak apa lagi?” Malas-malas Zahra jawab.
“Aku tahu lah kau tengah tunggu Johan call. Ye, aku nak letak dah ni. Tapi kau kena ingat. Buatnya perasaan benci dan meluat kau tu tukar jadi
suka baru kau tahu. Bye.” Pantas Ida mematikan talian selepas dia berkata sedemikian.
“Idaaa!!!” Zahra menjerit tanpa dia sedari perbualan sudah ditamatkan.
Bertuah punya budak. Pandai pulak nak
lari. Ada yang nak kena esok ni. Sejurus selepas itu, ada mesej masuk. Johan.
Zahra sudah mengagak sesuatu.
1 message received
From
Johan: Sorry dear,
Johan x dapat nak call malam
ni. Ada problem
kat tempat kerja. I promise
I will call u tomorrow, ok? Take
care:)
Zahra mengeluh perlahan. Aku ni ada tunang tapi macam tak ada tunang.
Takkan lima minit pun tak boleh? Betul ke ada problem kat tempat kerja? Mesej Johan dibiarkan sepi tanpa sebarang reply. Malas hendak memikirkannya lagi, Zahra memalapkan lampu
di atas meja sisi yang terletak bersebelahan katilnya. Terus sahaja dia baring
semula dan melelapkan mata. Malam itu Zahra tidur bersama dengan linangan air
mata.
ARIF baru sahaja selesai mengalunkan surah Yasin. Sedekah buat arwah
Atiqah. Isteri yang amat dicintainya yang telah pulang ke Rahmatullah. Al-Quran
pemberian arwah isterinya itu ditutup dan dicium sebelum diletakkan semula di
atas rak bukunya. Buku yang bertajuk Fiqh Keutamaan (Fiqhul Aulawiyyat) hasil karangan Dr. Yusuf Al-Qardhawi, seorang
ulama yang terkenal pada era masa kini, diambil dari rak tersebut.
Sejak dari dulu lagi Arif telah dipupuk oleh walidnya untuk menanamkan
sifat membaca. Adalah satu kewajipan baginya untuk membaca sesuatu sebelum
masuk tidur. Halaman pertama dibuka. Matanya tertangkap hasil tulis arwah
Atiqah pada penjuru kanan bawah halaman tersebut.
Buat suami yang dicintai.
Semoga mendapat kemaslahatan
daripada karya yang hebat ini.
From
your lovely wife:)
Buku tersebut merupakan pemberian arwah isterinya. Arwah adalah seorang isteri
yang sangat baik dan soleh. Tak kira walau apa jua keadaan sekali pun dia
akan tetap ceria. Arwah juga dikenali dengan sifat suka menolong orang lain.
Kali pertama bersua muka, Arif tahu bahawa hatinya sudah terpaut pada
keperibadian Atiqah yang murah dengan senyuman. Senyuman yang tak pernah
lekang daripada bibirnya. Tak seperti kebanyakan pasangan lain pada masa kini,
perkahwinan Arif dan Atiqah diaturkan oleh keluarga. Ini tak bermaksud mereka
tak bahagia. Mereka sama-sama merasai kemanisan bercinta selepas berkahwin. Cinta
yang telah dihalalkan oleh Sang Khalid.
Walau hanya seketika sahaja mereka mengecap kebahagiaan berumah tangga,
Arif tetap bersyukur kerana pernah dipertemukan dengan isteri sebaik Atiqah.
Dia reda masa telah tiba untuk arwah pulang kepadaNya. Ternyata jodoh antara
mereka hanya tertulis setakat itu sahaja. Walau bagaimana pun dia juga manusia kerdil
di sisi Allah yang tidak pernah lari daripada kelemahan dan kesilapan. Perasaan
sedih dan rindu kepada arwah tetap dirasainya. Sesungguhnya Allah s.w.t telah
menentukan jodoh dan ajal seseorang itu sejak dari alam rahim lagi.
Dalam mengimbau kenangan lalu, tiba-tiba bayangan wajah Zahra muncul di
benak fikirannya. Atiqah dan Zahra sememangnya berbeza dari segi segala aspek. Ada
sesuatu yang mengocakkan ketenangan hati Arif tatkala melihat Zahra. Detik
pertama Arif melihat Zahra ialah semasa gadis itu sedang mengambil slip
pendaftaran subjek di pusat pengajian.
Kehadiran gadis kecil molek itu seolah-olah menarik hati Arif untuk
mengenalinya. Ditambah dengan peristiwa pagi tadi turut membuatkan dia
tersenyum.
Astaghfirullahal’azim! Budak tu pula yang aku fikirkan. Cepat-cepat Arif
beristighfar panjang. Oleh kerana mata masih terasa segar walaupun jam sudah
menunjukkan pukul dua empat puluh lima minit pagi, dia terus bingkas bangun
dari katil dan menuju ke bilik air untuk berwuduk. Dia ingin mendirikan solat
sunat tahajud dan taubat. Namun belum terbuka hatinya untuk melakukan solat istikharah.