Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 8 : Kenapa dia ada di sini?!

“ZAHRA.” Puan Sofea memanggil. Dia sedang berdiri di muka pintu bilik Zahra.

Dilihatnya Zahra sedang termenung di birai katil. Panggilan Puan Sofea dibiarkan sepi tanpa sahutan. Melihat Zahra begitu, perlahan-lahan Puan Sofea mendekati anaknya. Lalu dia melabuhkan punggungnya di sebelah Zahra.

“Kenapa ni Zahra?”

Zahra tersedar dari lamunannya. “Eh? Bila ibu masuk? Tak sedar pun.” Dia kelihatan terpinga-pinga.

Puan Sofea memberikan senyuman. “Baru saja. Ibu panggil tapi Zahra senyap. Tu yang ibu masuk.”

“Zahra minta maaf, Zahra tak sedar.” Zahra menekur pada lantai biliknya yang dipasang dengan lantai jenis parquet. Dengan wajahnya ketika itu, dia tahu Puan Sofea pasti akan mengesan sesuatu.

“Kenapa ni? Zahra masih fikirkan hal tu?” tanya Puan Sofea dengan rasa bimbang di hati. Belakang Zahra digosok lembut.

Zahra hanya menggelengkan kepala. Dia masih menekur pada lantai.

Puan Sofea menyelit anak rambut Zahra ke belakang telinga. Hatinya sedih tatkala melihat wajah sungul anaknya yang tersembunyi tadi. Zahra satu-satu anaknya dengan Encik Rahman. Buah hati mereka. Jadi dia tidak sanggup melihat anaknya menderita lagi. 

“Zahra, kalau ada apa-apa, bagi tau pada ibu dan abah. Jangan simpan sorang-sorang. Tak elok.”

Zahra panggung kepala. Lambat-lambat dia menoleh ke arah Puan Sofea di sisinya. Tangan ibunya itu diraih. “Zahra tak apa-apa. Cuma penat sikit je. Banyak assignment. Takde masa pun nak fikir fasal hal tu lagi. Ibu jangan risau ya.” Dalam kepayahan, dia masih cuba memberikan senyuman manis kepada ibunya.

“Kalau ada apa-apa, cakap terus dengan ibu tau. Ibu dan abah akan sentiasa berada di sisi Zahra.”

“Terima kasih ibu.” Lalu Zahra memeluk ibunya. Dia bersyukur kerana mempunyai ibu yang sangat prihatin dengannya.

“La, lupa pulak ibu. Ibu panggil Zahra ni sebab nak ajak Zahra ke masjid.”

“Masjid? Ada apa?” Zahra kelihatan bingung.

“Lailahaillallah! Kita kan nak solat sunat Aidiladha.” Puan Sofea menggelengkan kepala. Pelupa sungguh anaknya ini.

“Hehe terlupa pulak.” Zahra tersengih gigit jari. Apa la aku ni. Boleh pula terlupa sekejap hari ni hari raya haji. Tulah berangan lagi fasal cinta aku yang sekerat jalan tu. Zahra mengetuk kepalanya pula.

“Takpelah, ibu dengan abah jelah yang pergi. Zahra tak rasa nak pergi.” Agak-agaknya last aku menjejakkan kaki di masjid bila ya? Aku sendiri pun tak ingat. Raya puasa baru ni pun aku tak pergi. Bila ibu ajak gi, aku bagi alasan.

“Zahra dah lama tak gi masjid. Zahra bersiap sekarang ya. Ibu dan abah tunggu di bawah.” Puan Sofea memujuk.

Entah bagaimana, Zahra tergerak hati nak pergi pula. “Ibu turun dulu. Zahra nak pakai tudung dulu.”

Gembira Puan Sofea mendengarnya.

Tanpa membuang masa lagi, Zahra mengambil selendang yang tergantung di belakang pintu lalu memakainya ala kadar. Dari tadi dia sudah siap memakai baju kurung.


“IBU, Zahra keluar dulu ya.” Melihat Puan Sofea masih rancak berbual bersama jemaah wanita yang lain, Zahra meminta diri untuk keluar dari tempat solat wanita dulu. Bosan pula kalau duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa. Puan Sofea pula belum lagi menampakkan tanda-tanda mahu sudah. Group mak cik-mak cik la katakan.

Puan Sofea mengangguk tanda setuju. “Jangan pergi jauh sangat. Susah nak cari nanti.” Sempat dia berpesan sebelum Zahra pergi.

“Ok ibu.” Zahra terus bangun dan menuju ke pintu keluar. Sandal disauk kemas. Tali tote beg pada bahu dibetulkan. Baru saja hendak membuka langkah, terasa ada getaran dari begnya, datang daripada telefon bimbitnya. Spontan Zahra memeriksa telefon bimbitnya. Ada satu mesej baru masuk. Ida rupanya.


- Salam, Selamat Hari Raya Aidiladha. Kau terbungkang atas katil lagi ke? Hehe gurau je ;p Rugi kau tak balik KL. Ada rendang tok mah. Your favourite.


Eleh Ida ni. Nak perli aku la tu. Mesti dia terkejut kalau dia tahu aku kat masjid sekarang ni.


+ W’salam, you too. Selamat Hari Raya Aidiladha. Aku kat masjid la.


Sesaat kemudian, Ida membalas.


- Uso! Sah mak lang kena heret kau ni. Oklah mama dah panggil. Got to go now. Ta.


Uso dalam bahasa Jepun maknanya tipu. Memang kena heret dengan ibu pun. Tapi Zahra tak membantah pun. Dia ikut aja. Telefon bimbit disimpan semula ke dalam beg. Sambil itu Zahra mengheret kakinya ke kereta Encik Rahman. Sampai di kereta, abahnya tak kelihatan langsung. La ingatkan abah dah tunggu dalam kereta. Oleh kerana Zahra malas untuk masuk semula ke dalam masjid, dia bercadang untuk terus tunggu di situ.

Sedang asyik mengelamun, tiba-tiba matanya menangkap susuk tubuh seseorang yang amat dia kenali. Ustaz Pink! Kenapa dia boleh ada kat sini? Ada dengan abah pulak tu. Kelam-kabut Zahra menyembunyikan diri apabila dia merasakan Encik Rahman dan Arif sedang menuju ke kereta. Nak tak nak terpaksa la dia duduk mencangkung pada pintu kereta sebelah pemandu. 

Rasanya dia orang nampak aku tak tadi? Harap-harap tak. Dia cuba mengintai melalui cermin tingkap kereta dengan menaikkan kepalanya sedikit demi sedikit. Sesaat kemudian cepat-cepat dia menundukkan kepalanya semula. Alamak! Dia orang dah ada kat sebelah sana. Aduh! Tak boleh nak escape dah ni. Kalau Spiderman melekap di dinding bangunan, Zahra pula melekap pada pintu kereta abahnya. Dalam masa yang sama, Zahra memasang telinga, nak dengar setiap butir bicara antara Encik Rahman dan Arif.

“Mana pula isteri dengan anak pak cik?” Suara abah.

“Mereka ada dekat dalam lagi rasanya.” Suara Arif pula.

“Hah tu pun isteri pak cik.” Puan Sofea seperti sedang menuju ke arah mereka.

“Eh, mana Zahra?” Encik Rahman bersuara lagi.

Abah, Zahra ada dekat sini. Zahra yang mendengarnya menjawab dalam hati. Takut terkeluar suara, pantas dia menekup mulutnya.

“La... tadi dia cakap nak keluar dulu. Saya ingat dia dah tunggu dekat sini,” kata Puan Sofea yang sudah tiba di situ.

“Erm, mungkin dia ada dekat-dekat sini sahaja.” Arif mencelah.

“Anak ni...” Dahi Puan Sofea berkerut.

“Sofea, ni lah Arif yang saya cakapkan tu.” Encik Rahman mematikan persoalan yang timbul dalam pemikiran isterinya.

“Ya ke. Dapat juga mak cik berjumpa dengan kamu.”

Arif balas dengan senyuman.

“Pak cik, mak cik, saya kena pergi dulu. Nak balik ke Seremban. Bising pula umi kalau saya lambat sampai.”

Bagus, bagus. Cepat-cepatlah pergi. Kaki aku dah lenguh mencangkung ni. Omel Zahra dalam hati. Dari tadi dia masih statik mencangkung di tempat yang sama. Membuatkan kakinya terasa semakin kebas.

Setelah berpamitan, Arif pun beredar.

Fuh! Safe! Aduh! Kebasnya kaki aku ni. Ni semua Ustaz Pink punya pasal la ni. Zahra mengomel lagi dalam hati.

“Mana pulak Zahra ni?” Puan Sofea mulai bimbang.

Serta-merta Zahra berdiri dan menjerit sedikit. “Abah! Ibu!”

“Astaghfirullahal’azim! Budak bertuah ni. Terkejut abah dengan ibu.” Serentak Encik Rahman dan Puan Sofea beristighfar.

“Zahra buat apa kat sana? Dari tadi Zahra ada kat sana ke?” Dengan rasa pelik, Encik Rahman bertanya.

“Mana ada. Zahra baru je sampai.” Zahra mengelentong. Aduh! Bila la rasa kebas ni nak hilang? Nak berjalan pun susah!

“Macam tak percaya aja.” Puan Sofea berasa musykil. Dahi berkerut lagi.

Zahra garu pelipis kanannya. “Jomlah kita balik cepat. Lapar la. Tak sabar nak makan ketupat rendang ibu ni. Perut ni dah berkeroncong dari tadi.”Cepat-cepat otaknya mencari jalan untuk menyelamatkan diri apabila ibunya sudah buat muka pelik. Sengaja dia memegang perutnya. Buat-buat lapar. Er... tapi memang lapar tahap gaban pun.

Encik Rahman dan Puan Sofea hanya menggeleng. Ada-ada sahaja puteri tunggal mereka ni.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera