RESTORAN Thai
yang terletak di Bayan Lepas sememangnya terkenal dengan masakan Thainya. Bahkan
pemilik restoran sendiri membawa chef-chefnya dari Thailand. Bunyi keletang-keletung
sudu dan garpu berlaga antara satu sama lain menunjukkan pelanggan benar-benar
menikmati kesedapan makanan di situ.
Ditambah juga dengan suara-suara pelanggan yang sedang asyik berborak
antara satu sama lain. Sesekali kedengaran jeritan suara pelayan menyampaikan
pesanan yang baru diambil kepada tukang masak. Sedang asyik menikmati makanan Thai,
suddenly salah seorang pelanggan spontan terbangun dari kerusinya
dan...
“Whattt!!!”Ida menjerit. Membulat matanya melihat Zahra.
Pantas Zahra berdiri dan menekup mulut Ida. “Oi! Kot ya pun janganlah gimik
sangat. Kau tak sedar ke kita ada dekat mana ni?” Zahra dan Ida memandang
perlahan-lahan di sekeliling mereka. Keadaan yang bingit tiba-tiba menjadi
senyap. Seperti masa terhenti sebentar. Hampir semua orang sedang memerhatikan
mereka. Ida mengaru kepalanya yang tak gatal. Zahra pula dah tutup-tutup muka
dia. Mereka tarik sengih dan memohon maaf sebelum kembali duduk.
“Apalah kau ni. Terjerit sampai macam tu. Buat malu je.” Zahra masih menyembunyikan
mukanya dengan menu makanan yang berada di atas meja makan mereka.
“Ops, sorry. Aku teruja giler ni. Sepanjang aku tak ada rupa-rupanya
ada big story. Seperti kebiasaan aku nak tahu detail.
From A to Z. Tak boleh tinggal sikit pun.” Ida benar-benar teruja.
Telinga dipasang. Tak sabar hendak mengetahui insiden yang berlaku antara
Zahra, Arif, Johan dan Elis.
Terpaksalah Zahra menceritakan kesemuanya. Dia tahu Ida pasti akan terus
mendesaknya. Lambat-laun Ida pasti akan tahu juga. Sumber utama dia ialah
kedua-dua ibu bapa Zahra. Ibu bapa dia ibu bapa Ida juga. Ida sememangnya sekepala
dengan orang tua dia.
Dari tadi Zahra hanya bercerita. Ida pula tekun mendengarnya. Berkelip-kelip
mata Ida mendengar cerita daripada mulut Zahra. Pinggan yang berisi separuh
Nasi Goreng Daging Merah di hadapannya dibiarkan dahulu. Sesekali Ida
membeliakkan matanya. Kemudian dia akan ketawa pula. Macam orang tak betul pulak.
“Ho ho ho. Seronoknya aku dengar. Best betul la cerita kau ni.” Dari tadi Ida tak habis-habis
dengan sengihan di bibirnya. Ida ni Ratu Sengih kot. Tu yang banyak tersengih je.
“Apa yang seronoknya? Biasa je.” Zahra mencebik.
“Tak baik. Dia dah tolong kau tu. Penat-penat dia angkat kau. Betul-betul
macam dalam drama la.” Ida masih menguis nasi gorengnya dengan sudu. Belum ada
tanda-tanda untuk menghabiskannya. Masih teruja dengan cerita Zahra.
“Takde orang suruh dia angkat
pun.” Selamba aja Zahra bertutur begitu. Sesuap Nasi Goreng Thai Special disuap ke dalam mulut. Dikunyahnya perlahan-lahan
sebelum ditelan. Enak tak terkata.
“Kau ni, takkan dia nak biarkan kau terbaring kat situ je. Bukannya nak
berterima kasih, cakap macam tu pula.”
“Masa dia datang rumah hari tu, aku dah say
thanks la kat dia.” Zahra
menyuapkan suapan yang terakhir ke dalam mulutnya. Kemudian dia mengambil tisu
yang dihantar sekali bersama-sama dengan pesanan mereka dan terus mengelap
mulutnya.
“Macam mana la aku boleh miss babak ni. No
wonder aku rasa macam tak
nak balik ke KL je.” Ida memuncungkan mulutnya.
“Banyak la engkau punya babak. Bising pak ngah pulak nanti kalau kau tak
balik. Yang kau ni dari tadi dok main-main dengan nasi kau ni kenapa? Tak nak? Mai aku habiskan.” Zahra menarik pinggan
yang berisi nasi goreng Ida.
“Eh, nakkk. Siapa cakap aku tak nak?” Ida tersengih macam kerang busuk. Dia
menarik semula pinggannya.
Zahra sedang bermain-main dengan straw minumannya. Sebelah tangan digunakan
untuk menongkat dagu di atas meja.
“Tapi tak sangka kau boleh terserempak dengan Johan. Siap dengan bini dia
sekali pulak tu.” Pinggan nasi goreng yang tinggal separuh sudah dihabiskan.
Wajah Zahra bertukar menjadi keruh apabila Ida menyebut nama bekas
tunangnya itu.
“Sorry Zahra, aku tak patut sebut nama dia depan kau lagi.” Ada
nada rasa bersalah. Apelah aku ni. Pergi sebut nama dia lagi watpa.
“Takpe Ida. Aku tak salahkan kau pun.” Zahra tersenyum hambar. Dia tahu
sepupunya itu tak sengaja.
“Yang paling aku tak sangka, kau cakap kau nak bertunang dengan Encik Arif
depan dia orang. Agaknya macam mana la muka si dia masa tu? Superb la kau ni Zahra.” Ida siap beri tabik kepada Zahra. Si
dia yang Ida maksudkan ialah Johan. Tak berani nak sebut nama dia depan Zahra
lagi.
“Kau juga tahu mulut aku ni lagi cepat daripada otak aku ni. Belum sempat
nak fikir, mulut aku ni dah tolong jawabkan. Dah lah Ida, malas nak cakap fasal
dia dengan bini dia lagi.” Zahra mulai bosan untuk berbicara tentang Johan
lagi.
“Last question about him. Macam mana dia boleh ada kat Penang? Dia bukan orang Penang.
Family dia pun bukan orang sini.”
“Bini dia kot,” balas Zahra ringkas. Malas nak panjangkan cerita lagi.
Ida buat tanda zip mulut dan mengangguk sekali. Faham bahawa cerita tentang
Johan dah full stop.
“Tapi kan Ida, kenapa Encik Arif boleh panggil aku Ustazah Suka Bagi
Gelaran. Cuma sekali je aku terpanggil dia... apa nama watak supporting actor yang aku panggil dia hari tu?”
“Eun Shi Kyung.”
“Ha, Eun Shi Kyung. Ke... dia tahu aku panggil dia Ustaz Pink?” teka Zahra. Muka dia dah semacam. Duduk pun dah tak
senang.
“Maybe.” Ida menjongket bahu.
Zahra terkedu.
Untuk sesaat mereka saling berpandangan dan mendiamkan diri...
Kemudian serentak mereka menjawab sambil menggelengkan kepala. “Muri, muri, muri, muri (Tak mungkin, tak
mungkin, tak mungkin, tak mungkin).” Mentang-mentang dua-dua pernah ambil subjek
bahasa Jepun masa sekolah menengah dulu. Tak sah kalau tak cakap bahasa Jepun.
“Kalau ya macam mana?” Ida meneka pula.
“Aku rasa... aku pernah tersasul nama tu depan dia.” Perlahan sahaja suara
Zahra. Namun masih didengari oleh Ida.
“Bila?” Ida mendekatkan dirinya pada birai meja. Mata dia membulat sikit.
“Masa first time dia datang rumah aku. Masa nak bagi kain pelekat.” Muka
Zahra dah makin cuak. Bibir bawah digigit.
“Habis la kau.” Sengihan Ida semakin melebar.
Zahra mengeluh. Terus dia mengetuk dahinya pada meja. Darn. Dia tak tahu bahawa awal-awal lagi Arif dah tahu.
***
SUARA gelak
tawa Asyraf dan Aleeya bergema menghiasi rumah banglo milik Ikram dan Roslinda.
Keriangan yang terpancar pada buah hati pengarang jantung mereka itu benar-benar
mencuit hati Arif sekeluarga. Riang sungguh mereka bermain bersama-sama di
tengah-tengah ruang tamu.
“Seronoknya umi dapat jumpa cucu-cucu umi ni.” Terukir senyuman manis pada
bibir Hajah Kalsom. Hatinya benar-benar gembira kerana dapat bertemu dengan
anak-anak serta cucu-cucunya. Terubat juga rindu seorang nenek kepada
cucu-cucunya.
Sampai sahaja Haji Daud dan Hajah Kalsom di Lapangan Terbang Pulau Pinang
lewat petang tadi, Arif terus membawa kedua orang tuanya ke rumah along. Tak
sabar mereka nak bertemu dengan Asyraf dan Aleeya.
“Asyraf mari, duduk dengan atuk.” Haji Daud memanggil cucunya dengan
senyuman manis pada wajahnya. Asyraf terus akur. Cepat sahaja dia berdiri dan
berlari ke arah atuknya.
Haji Daud mengangkat Asyraf dan meletakkan di atas ribanya. “Besar dah cucu
atuk ni. Beratnya dia.” Sebuah ciuman diberikan pada pipi cucunya itu. “Cium
pipi atuk sikit.” Pipi kanan disua kepada cucunya.
Asyraf terus akur. Sebuah ciuman hinggap di pipi kanan atuknya.
“Manjanya atuk dengan Asyraf.” Roslinda yang baru muncul dari dapur, sedang
menatang dulang berisi air buat ahli keluarganya. Dibantu Ikram.
“Dah cucu atuk. Kan Asyraf?” tanya Haji Daud kepada Asyraf. Asyraf terus
mengangguk je. Dia masih leka bermain-main dengan kereta mainan pemberian
Ikram. Alhamdulillah tangannya yang terseliuh sudah sembuh sepenuhnya.
“Kesiannya Aleeya main sorang-sorang. Meh kat nenek.” Hajah Kalsom pula
mengangkat Aleeya dan meletakkan pada ribanya. Rambut lurus Aleeya dibelai
perlahan.
“Habis la Ros. Atuk dengan nenek dia orang dah manjakan anak kita,” ujar Ikram
yang memerhati sambil tersenyum.
Roslinda turut sama tersenyum. “Kali ni walid dan umi duduk dekat sini lama
sikit kan?” Dulang yang ditatang diletakkan di atas meja kopi yang tersedia di
ruang tamu.
“Ada la dalam sebulan. Kenapa?” Haji Daud bertanya.
“Bukan apa walid, Asyraf dan Aleeya selalu juga tanya bila atuk dengan
nenek dia orang ni nak datang,” balas Ikram bagi pihak isterinya. Punggung
dilabuhkan di sisi walid pada sofa berangkai dua.
“Cucu atuk ni rindu kata atuk eyh.”
Asyraf mengangguk. Dia turun untuk mengambil blok mainan pula dan kembali
semula ke pangkuan atuknya. Blok mainan tersebut diberi kepada atuknya.
“Untuk atuk ke ni?” Haji Daud menyambutnya dengan hati yang girang.
“Hurm. Main sama.” Asyraf
mengangguk lagi sambil menjawab. Kedengaran pelat sikit bunyinya.
“Pandainya dia.” Kepala Asyraf diusap lembut oleh atuknya. Terserlah kasih
sayang seorang atuk kepada cucunya.
“Arif jemput la minum sekali,” pelawa Roslinda.
Arif yang duduk bersebelahan dengan Hajah Kalsom tak menyahut sedikit pun.
Dari tadi dia hanya termenung. Seolah-olah dia berada dalam dunianya sendiri.
“Arif, Kak Ros tengah cakap dengan kamu tu. Termenung pulak budak ni.” Hajah
Kalsom menepuk perlahan paha Arif.
Arif terpinga-pinga. “Hah?”
“Haaa... ni mesti teringatkan buah hati,” usik Ikram. Pinggir bibirnya terjongket.
“Mana ada. Mengarut je.” Arif mengaru pelipis kirinya. Malu dengan kealpaannya.
Spontan Hajah Kalsom menoleh kepada Arif. “Arif ada buah hati?” soalnya.
Mahukan kepastian. Sekiranya benar Arif sudah mempunyai buah hati, dia
benar-benar bersyukur dan mahu terus masuk meminang bagi pihak anaknya itu.
“Mana ada umi. Along mengarut je tu.”
“Dah ada makwe tak nak mengaku pula.” Ikram masih dengan kerja mengusiknya.
Seronok melihat Arif yang terkulat-kulat.
“Siapa along? Siapa makwe Arif? Anak siapa?” Bersinar-sinar mata Hajah
Sofea bertanya.
“Anak atuk Rahman!” Belum sempat Ikram hendak menjawab, Aleeya terlebih
dahulu menjawab. Habis terperanjat semua orang. Terbeliak mata Arif mendengar
jawapan yang keluar daripada mulut kecil Aleeya. Tulus saja dia menjawabnya.
“Pandai-pandai je Aleeya ni.” Arif terus mengambil Aleeya daripada pangkuan
uminya. Pipi Aleeya ditariknya.
“Anak atuk Rahman?” Berkerut-kerut dahi Hajah Kalsom dan Haji Daud.
“Macam ni ceritanya, walid, umi...” Ikram mula membuka cerita. Cerita Zahra
menjaga Aleeya semasa Asyraf dihantar ke klinik.
“Aleeya kenal rupanya buah hati anak umi ni.” Suara Hajah Kalsom kedengaran
ceria.
“Ros pun tak sangka Aleeya pandai menjawab, kan bang?” Roslinda tersenyum
girang melihat anaknya yang semakin pandai bercakap.
“Dah anak kita,” balas Ikram sambil melebarkan senyuman manis kepada
isterinya. Dia turut bangga dengan anaknya itu.
“Bila nak kenalkan pada umi?” tanya Hajah Kalsom kepada Arif. Hatinya
teruja untuk bertemu dengan ‘anak atuk Rahman’ tu.
Arif menelan air liur yang dirasakan pahit. Habislah kalau umi mula
bertanya. “Arif tak ada makwe la umi. Anak Encik Rahman tu student Arif je. Kebetulan Arif kenal dengan ayah dia. Selalu
jumpa dekat masjid. Tu saja.
Pandai-pandai jelah Aleeya ni.” Dia menggeletek Aleeya di ribanya.
Termegah-megah Aleeya ketawa.
“Bukan apa Arif. Kalau ada yang baik dan solehah, tak salah Arif berkahwin
lagi. Bila lagi umi dan walid nak ada cucu daripada kamu pula.” Hajah Kalsom menyampaikan
hasratnya.
“Insya-ALLAH umi, kalau jumpa jodoh lagi.” Itu sahaja yang akan Arif
menjawab jika umi bertanya perihal kahwin.
“Awak ni Som. Sabar-sabar jelah. Betul kata Arif tu. Insya-ALLAH jodoh Arif
tu tak ke mana. ALLAH dah tentukan. Cuma kita saja yang tak tahu bila dan di
mana dia akan jumpa. Betulkan Asyraf?” tanya Haji Daud kepada cucunya.
“Hurm.” Asyraf terus mengangguk je. Tak mengerti apa-apa. Dari tadi dia
hanya leka bermain dengan kereta mainannya. Orang tanya dia angguk je.
Pecah ketawa mereka melihat telatah si kecil Asyraf ni.
p/s: maaf ya entry ni ustaz pink dgn zahra x digandingkan bersama, insya-Allah next entry ada
hint untuk next entry: SMS^-^