SEBAIK sahaja
habis mengajar, Arif bergegas semula ke Pusat Pengajian Pengurusan. Dia perlu
mengambil beberapa dokumen dan menguruskan beberapa perkara dengan opis. Al-maklumlah dia masih baru lagi di
situ. Jadi banyak perkara yang perlu dia settle dengan pihak pengurusan.
Dia yang baru sahaja mematikan enjin kereta, dikejutkan dengan bunyi
telefon bimbitnya. Telefon bimbit berjenama Nokia Lumia 800 yang berada di dalam
beg komputer riba dikeluarkan. Mesej daripada
umi rupanya.
1 message received
From Umi: Assalamualaikum, dah habis
kuliah terus call
umi tau.
Sejurus selepas membaca mesej tersebut, Arif terus membuat panggilan.
Selepas beberapa saat, panggilan dijawab.
“Assalamualaikum umi,” Arif memberi salam dengan senyuman.
“Wa’alaikumsalam, Arif dah habis kuliah?” Salam dijawab Hajah Kalsom.
“Dah umi, baru saja. Ada apa hal umi?” Lembut sahaja tutur Arif dengan
uminya.
“Umi cuma nak tahu hujung minggu depan kamu balik tak?” Hajah Kalsom
meminta kepastian.
“Insya-Allah kalau tak ada halangan, Arif balik.” Sambil itu Arif mula melangkah
keluar daripada kereta. Tangan kanan menjinjing beg komputer riba. Sementara
telefon bimbit masih lagi melekap pada telinga kiri. Setelah mengunci kereta Nissan Latio Hatchback berwarna
Chardonnay
Gold miliknya, Arif
terus mengorak langkah ke biliknya yang berada di aras satu.
“Jangan kamu lupa pula. Kamu tahu jelah walid kamu tu. Dok asyik tanyakan fasal kamu bila nak balik,” pesan Hajah Kalsom.
“Insya-Allah Arif tak lupa umi. Walid sihat?”
“Alhamdulillah sihat. Along dan Ros sihat?
“Alhamdulillah Semua sihat. Along baru balik dari Dubai. Kedai bunga kak
Ros pun makin maju. Asyraf dengan Aleeya, umi tak payah tanya lagi, cucu-cucu umi tu
makin pandai bercakap. Tak terlayan Arif.” Seronok Arif menceritakan perihal
tentang anak-anak buah kesayangannya. Si kembar kecil yang kian membesar dengan
sihatnya. Ditambah dengan celoteh mereka yang sering mencuit hati. Tak
kering gusi dibuatnya. Ada masa tak terjawab soalan-soalan yang ditanya mereka.
Terlebih genius pula.
“Rindunya umi dengan cucu-cucu umi. Kamu pula bila nak ada anak
sendiri? Asyik dok main dengan anak
orang.” Hajah Kalsom mula mengeluarkan topik kahwin. Bukan apa, sejak
kematian isteri lima tahun yang lalu, Arif tidak pernah menunjukkan
tanda-tanda bahawa dia akan mencari pengganti arwah. Belum ada yang dapat
memecahkan lagi tembok cinta yang dibina untuk isterinya.
Cinta suci buat arwah teramat mendalam. Bagaikan cinta Nabi Muhammad s.a.w
kepada Siti Khadijah r.a. Sepanjang dua puluh lima tahun hidup bersama,
perasaan cinta baginda terhadap Siti Khadijah tidak pernah luntur walau sedikit pun. Malah ia terus bercambah dan harus diambil panduan oleh seluruh umatnya.
Walau hebat mana tentangan orang Kafir Quraisy, Siti Khadijah tetap berada di
samping baginda. Sokongan dan dorongan sentiasa diberikan kepada suami
tercinta. Susah senang dan suka duka diharungi bersama.
“Belum ketemu dengan jodoh umi. Okeylah umi, Arif ada kerja sikit.
Insya-Allah malam nanti Arif call umi ya.” Tanpa berkasar dengan umi yang telah bersusah
payah membesarkan dan mendidiknya, Arif bertutur dengan penuh sopan. Dia sebenarnya
agak sensitif apabila uminya mula membuka topik tentang kahwin. Namun dia tahu
bagaimana hendak menyembunyikan perasaannya itu.
Hajah Kalsom yang memahami isi hati anaknya hanya terpaksa membiarkan
sahaja. Ternyata rindu dan cinta anaknya pada arwah masih kuat. Ya Allah, Engkau
bukakanlah pintu hati anakku ini untuk bertemu jodoh lagi. Janganlah Engkau
membiarkan dia hidup berkelana di dunia ini seorang diri. Itu sahaja doa dan harapan uminya.
“Jaga diri kamu baik-baik. Kirim salam sekali pada abang dan kakak ipar
kamu. Peluk cium Asyraf dan Aleeya untuk umi sekali,” pesan Hajah Kalsom lagi yang
sentiasa rindukan anak-anak dan cucu-cucunya.
“Insya-Allah umi.”
Setelah berpamitan, Arif mengakhiri perbualan mereka. Sebuah keluhan kecil
keluar daripada mulut Arif. Astaghfirullahal'azim!
Allah tak suka hamba-hamba-Nya mengeluh.
“Encik Arif.” Seseorang memanggil namanya dari arah kanan. Dia yang sedang
membuka pintu bilik pejabatnya menoleh ke arah pemanggil. Kelihatan seperti
pelajarnya.
“Ya saya, ada apa-apa yang boleh saya bantu kamu?” Arif mengagak kedatangan
pelajarnya ini berkemungkinan ada kaitan dengan kuliah pagi tadi.
“Sheila ingat nak minta tolong Encik Arif. Ada part yang Sheila tak fahamlah. Boleh kita bincang dalam bilik
Encik Arif.” Dengan suara yang sedikit manja Sheila yang membahasakan diri
dengan namanya sendiri cuba untuk menarik perhatian Arif. Sebenarnya sejak pertama
kali melihat jejaka itu di dewan kuliah tadi, Sheila mula menaruh minat
terhadap Arif. Kalau boleh dia ingin bertemu dengan Arif. Selalu. Sepanjang
masa. Dah jatuh hati gamaknya si Sheila ni.
Arif mula terasa kurang manis sekiranya dia membenarkan Sheila masuk ke
dalam biliknya. Dengan pakaian Sheila yang agak menjolok mata, dikhuatiri timbul fitnah pula. Jadi dia hanya berdiri di luar.
“Bahagian mana yang awak tidak faham? Bukankah saya sudah memberikan arahan
tadi. Sekiranya ada apa-apa masalah sila e-mel kepada saya dulu,” tegas Arif.
Sebagai seorang pendidik, Arif cuba untuk memberi tunjuk ajar tanpa bersangka
apa-apa. Walaupun Arif seorang pendidik, dia tetap harus menjaga batas
pergaulannya dengan pelajar perempuan. Tambahan mereka adalah bukan muhrim.
“Erm, Sheila ingat nak jumpa
terus lagi senang. Sorry Encik Arif. Encik Arif boleh ajarkan tak?” Dalam
teragak-agak, Sheila mencuba lagi. Sambil bermain-main dengan hujung rambutnya
yang melepasi bahu.
“Baiklah saya maafkan. Tapi selepas ni saya tak akan berkompromi lagi.” Namun
Arif tetap tidak mempelawa Sheila untuk masuk. Mereka hanya berbincang di luar.
“Faham Encik Arif.” Sheila berasa lega apabila suara Arif tidak kedengaran
tegas lagi. Dengan hati yang berbunga, dia mengajukan soalan yang dia kurang
jelas semasa di kuliah tadi. Sesekali matanya melirik ke wajah Arif. Rambut
yang menghalang pandangannya diselitkan ke belakang telinga. Menonjolkan
telinga yang ditindik lebih daripada satu.
Sekali pandang Arif ni tak ubah seperti orang Korea. Nak cakap macam orang
Jepun pun ada. Kulitnya cerah dan bebas tanpa sebarang jerawat atau parut
jerawat. Keningnya lebat dan matanya sentiasa kelihatan redup. Memukau mata
yang memandangnya. Mungkin disebabkan Arif rajin berwuduk membuatkan wajahnya
kelihatan bersih dan nampak tenang senantiasa. Orangnya juga tinggi sehinggakan
Sheila terpaksa mendongakkan kepalanya untuk memandang ke arah Arif.
Ditambahkan juga dengan lesung pipit pada sebelah kiri pipinya. Cair hati
Sheila melihat senyuman Arif semasa di dalam dewan kuliah tadi. Secair ais di kutub
utara.
“Dah faham?” soal Arif apabila dia sudah selesai memberikan penerangan
kepada Sheila.
“Rasanya Sheila dah faham. Terima kasih banyak-banyak Encik Arif. Kalau
Sheila tak faham Sheila akan e-mel kepada Encik Arif ya.” Sheila tersenyum
simpul. Setelah puas menemui jejaka idamannya, dia pun berlalu pergi.
Arif beristighfar melihat telatah dan penampilan pelajarnya itu. Ya Allah!
Kau berikanlah petunjuk hidayah kepadanya.
Arif memohon yang terbaik untuk pelajarnya itu. Sesungguhnya memohon
kebaikan kepada seseorang adalah lebih baik daripada mengucapkan kata-kata yang
boleh merendah-rendahkan orang lain. Walidnya sering kali mengingatkan dia
tentang hal ini. ‘Belum tentu kita akan
menjadi lebih baik daripada orang itu. Mungkin juga satu hari nanti Allah akan
menjadikan dia lebih baik daripada kita. Manusia boleh berubah. Sama ada
menjadi baik atau sebaliknya.’
Apa la nak jadi dengan zaman sekarang ni. Sesungguhnya salah satu tanda
kiamat ialah semakin ramai manusia yang mengikut ikutan orang bukan Islam. Hal
ini telah diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Bukankah sebagai umat akhir
zaman, seharusnya sunnah nabi yang menjadi ikutan, bukan orang Kafir dan
Yahudi. Ternyata jalan yang sah-sah terpesong daripada sinar kebahagiaan di
akhirat jua dipilih oleh mereka.
Amat menyedihkan apabila melihat anak-anak muda semakin liar mengikut
budaya orang barat. Pakaian tidak pernah cukup dengan kain. Bagi wanita, rambut didedahkan kepada yang bukan muhrim. Sehinggakan ada yang sanggup
menindik pada tempat yang tidak sepatutnya. Seperti lidahlah, dagulah dan
sebagainya. Nauzubillah! Sesungguhnya perkara ini amat menyedihkan bagi
seseorang yang mengaku sebagai Muslim.
Tanpa membuang masa, Arif terus masuk ke dalam biliknya. Jam pada pergelangan
tangan dipandang. Niat di hati mahu ke pejabat pengurusan tetapi masa seakan-akan
tidak mengizinkan. Sebentar lagi kakitangan pejabat pengurusan akan keluar
untuk makan tengah hari.
Nampaknya kena tunggu selepas pukul dua petang. Apa
kata aku pergi lunch dulu. Agaknya Iq ada di bilik dia tak? Arif bermonolog
di dalam hati. Terus sahaja Arif ke Pusat Pengajian Kemanusiaan untuk bertemu
dengan seseorang. Seseorang yang amat dia kenali sejak zaman kanak-kanak lagi.
TUK! TUK! TUK! Bunyi ketukan pada pintu mengejutkan pensyarah muda yang kelihatan seperti
lewat 20-an mengangkat mukanya. Dia yang sedang tekun menulis sesuatu tersenyum
melihat kedatangan Arif yang berada di hadapannya. Kedudukan cermin mata pada
hidung dibetulkan sedikit.
“Assalamualaikum. Khusyuk benar engkau menulis ya Iq. Sampai aku ketuk
banyak kali pun tak sedar.” Arif menyapa. Dia membalas senyuman ikhlas itu. Senyuman
itu kan satu sedekah. Tambahan, menurut hadis nabi, senyum yang tulus ikhlas
dan kata-kata yang baik itu adalah satu bentuk sedekah. Jadi tak salah kalau
kita sentiasa memberikan senyuman yang ikhlas
kepada orang lain.
“Wa’alaikumsalam. Ya Allah, Rif. Lamanya tak jumpa kau. Masuk, masuk. Kau
apa khabar?” Mereka berjabat tangan dan mendakap erat bersama-sama. Adat ini
sudah menjadi kebiasaan bagi Arif dan Iqbal. Adat yang menjadi kebiasaan masyarakat
Arab. Semasa bertemu dan berpisah orang Arab yang sama jantina akan mendakap
erat dan mencium pipi masing-masing. Ianya dikatakan sunnah. Hukumnya harus
jika ingin menunjukkan penghormatan atau rasa syukurnya atau ucapan terima
kasih kepada seseorang. Namun, sunnah itu boleh jadi haram andai sahaja timbul
nafsu songsang.
“Alhamdulillah. Sihat walafiat. Aku tak mengganggu kau ke ni?” Arif terus
duduk di hadapan Iqbal.
“Eh? Takdelah. Macam tak biasa pula kau ni. Ada urusan apa kau ke
mari?” soal Iqbal.
“Kebetulan aku lalu sini. Jadi aku singgah jap untuk bertanyakan khabar. Sudah jadi ustaz muda ya kau, Iq,” puji
Arif.
“Alhamdulillah rezeki aku, Rif. Kau pun apa kurangnya. Pensyarah muda juga. Dapat
juga kau tukar ke sini. Hari ini hari pertama kau mula mengajar sini kan?”
Iqbal bertanya.
Mendengar pertanyaan itu, Arif sudah mula tergelak kecil. Teringat kembali akan
pelajarnya tadi. Gelagatnya sungguh mencuit hati. Badan kecik tapi sekali dia
menjerit, boleh pecah gegendang telinga.
“Nampaknya ada sesuatu yang telah menggelikan hati kau?” Iqbal sudah mula mengesan
sesuatu pada riak wajahnya.
“Tiada apa-apa Iq. Cuma...” tutur Arif. Sedikit teragak-agak.
“Cuma apa? Bunyinya seperti ada ‘bidadari’ yang telah mengusik hati kau aja?” Penuh minat Iqbal bertanya, cuba meneka sambil tersengih.
“Kalau ya pun tak salahkan?” Balas Arif bersahaja. Kagum dengan sahabatnya yang mudah mengesan
riak pada mukanya.
“Betul ke ni Rif? Terbuka juga pintu hati kau. Memang dah tiba masa untuk
kau mencari pengganti arwah Atiqah.”
Iqbal baru tersedar bahawa dia tidak
seharusnya menyebut nama arwah isteri Arif. “Aku minta maaf Rif. Aku tak
sengaja menyebut nama dia di depan kau.” Cepat-cepat dia memohon maaf di atas
kekhilafannya itu.
“Takpe Iq. Insya-Allah aku okey. Seharusnya
kita reda dengan ketentuanNya. Lagipun aku anggap tu mainan syaitan je,” ujar Arif.
“Apa pun istikharah Rif. Allah sentiasa ada untuk memberi petunjuk kepada
hamba-hambaNya. Kita ni sahaja yang sentiasa cuai dan lupa dengan kehadiranNya.
Berdoalah Rif.” Benar kata-kata Iqbal. Doa merupakan senjata bagi orang-orang
mukmin. Dengan berdoa hati akan rasa lebih tenang. Ia juga akan menghubungkan seseorang
itu terus kepada Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 152,‘Ingatlah kamu kepadaKu nescaya
Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu
mengingkari (nikmat) Ku.’
“Insya-Allah aku akan melakukannya.” Ada senyuman nipis pada bibir.
“Kau duduk mana sekarang?”
“Dengan along. Belum jumpa rumah lagi. Along suruh aku duduk dengan dia aja.
Tapi seganlah aku nak terus duduk kat
sana.”
“Ha, apa kata kau duduk dengan aku tapi jauh sikit la. Dekat seberang, Bandar
Perda. Apartmen pak andak aku. Sewa pun tak payah bayar.”
“Pak andak kau tak duduk sana?”
“Tak. Sekarang ni dia menetap di Taiping.”
Arif mengangguk-angguk. “Boleh juga tu. Eh, aku datang ni nak ajak kau lunch
sekali. Dah alang-alang aku ke mari apa salahnya aku
belanja kau makan. Boleh kita berbual sekali.”
“Alhamdulillah, rezeki aku nampaknya hari ni. Lain kali aku kena belanja
kau pula. Aku bawa kau makan nasi kandar nak? Ada tempat yang special
kalau nak makan nasi kandar ni. Ramai yang sanggup
beratur panjang tau semata-mata nak makan makanan yang menjadi kegemaran ramai
orang,” terang Iqbal panjang lebar. Dah macam bagi tazkirah pula. Tazkirah
tentang makanan.
“Boleh tahan juga selera makan kau ni. Setahu aku kau ni tak makan makanan
berempah dan pedas.”
“Nama pun duduk kat Penang,
sekali dah kena penangan nasi kandar mesti mau
lagi. Eh jomlah. Aku dah lapar sangat
ni.” Iqbal menepuk-nepuk perut.
“Kau ni perut kecik tapi kuat makan
rupanya.”
Iqbal tersengih-sengih dengan usikan Arif.
Arif dan Iqbal merupakan sahabat baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Semasa
melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, mereka mengambil bidang
yang berlainan. Arif dengan Perakaunan manakala Iqbal pula dengan Kuliyyah Ilmu
Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Walaupun begitu mereka tetap bersama bersahabat
baik sehinggakan dari mula semester yang pertama sehingga terakhir mereka
menghuni bilik yang sama. Suka dan duka dikongsi bersama. Habis sahaja semester yang
terakhir, Arif terus sambung master sehingga ke PhD dalam jurusan yang sama di
universiti yang sama. Iqbal pula terus ke Indonesia.
Buat pengetahuan, Iqbal ni kalau bab tentang cinta-cinta ni nombor satu.
Tapi cinta yang hanya ikhlas kerana Allah. Bukan kerana nafsu. Bukan juga kerana
duniawi semata-mata. Melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi Islam di Universitas
Al Azhar di Indonesia sememangnya memberikan dia peluang untuk membantu anak-anak
muda mencari cinta yang diredai Allah. Jadi tidak mustahil sekiranya dia dapat
mengesan apa yang ada dalam fikiran dan hati orang lain seperti Arif. Betapa
cantiknya cinta itu sekiranya direstuiNya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,“Ada tiga perkara. Siapa yang memilikinya akan merasai
kemanisan iman:-
1. Apabila Allah s.w.t. dan rasul-Nya lebih dikasihi dari selain keduanya.
2. Apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah s.w.t.
3. Apabila dia merasa benci untuk kembali menjadi kufur, seperti bencinya
dia dicampak ke dalam api.”
(Riwayat al-Bukhari)