Home Novel Komedi/Romantik Komedi Ustaz Pink
Bab 2 : Zahra punya rival

SEBAIK sahaja habis mengajar, Arif bergegas semula ke Pusat Pengajian Pengurusan. Dia perlu mengambil beberapa dokumen dan menguruskan beberapa perkara dengan opis. Al-maklumlah dia masih baru lagi di situ. Jadi banyak perkara yang perlu dia settle dengan pihak pengurusan.

Dia yang baru sahaja mematikan enjin kereta, dikejutkan dengan bunyi telefon bimbitnya. Telefon bimbit berjenama Nokia Lumia 800 yang berada di dalam beg komputer riba dikeluarkan. Mesej daripada umi rupanya.


message received

From Umi: Assalamualaikum, dah habis kuliah terus call umi tau.


Sejurus selepas membaca mesej tersebut, Arif terus membuat panggilan. Selepas beberapa saat, panggilan dijawab.

“Assalamualaikum umi,” Arif memberi salam dengan senyuman.

“Wa’alaikumsalam, Arif dah habis kuliah?” Salam dijawab Hajah Kalsom.

“Dah umi, baru saja. Ada apa hal umi?” Lembut sahaja tutur Arif dengan uminya.

“Umi cuma nak tahu hujung minggu depan kamu balik tak?” Hajah Kalsom meminta kepastian.

“Insya-Allah kalau tak ada halangan, Arif balik.” Sambil itu Arif mula melangkah keluar daripada kereta. Tangan kanan menjinjing beg komputer riba. Sementara telefon bimbit masih lagi melekap pada telinga kiri. Setelah mengunci kereta Nissan Latio Hatchback berwarna Chardonnay Gold miliknyaArif terus mengorak langkah ke biliknya yang berada di aras satu.

“Jangan kamu lupa pula. Kamu tahu jelah walid kamu tu. Dok asyik tanyakan fasal kamu bila nak balik,” pesan Hajah Kalsom.

“Insya-Allah Arif tak lupa umi. Walid sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Along dan Ros sihat?

“Alhamdulillah Semua sihat. Along baru balik dari Dubai. Kedai bunga kak Ros pun makin maju. Asyraf dengan Aleeya, umi tak payah tanya lagi, cucu-cucu umi tu makin pandai bercakap. Tak terlayan Arif.” Seronok Arif menceritakan perihal tentang anak-anak buah kesayangannya. Si kembar kecil yang kian membesar dengan sihatnya. Ditambah dengan celoteh mereka yang sering mencuit hati. Tak kering gusi dibuatnya. Ada masa tak terjawab soalan-soalan yang ditanya mereka. Terlebih genius pula.

“Rindunya umi dengan cucu-cucu umi. Kamu pula bila nak ada anak sendiri? Asyik dok main dengan anak orang.” Hajah Kalsom mula mengeluarkan topik kahwin. Bukan apa, sejak kematian isteri lima tahun yang lalu, Arif tidak pernah menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan mencari pengganti arwah. Belum ada yang dapat memecahkan lagi tembok cinta yang dibina untuk isterinya.

Cinta suci buat arwah teramat mendalam. Bagaikan cinta Nabi Muhammad s.a.w kepada Siti Khadijah r.a. Sepanjang dua puluh lima tahun hidup bersama, perasaan cinta baginda terhadap Siti Khadijah tidak pernah luntur walau sedikit pun. Malah ia terus bercambah dan harus diambil panduan oleh seluruh umatnya. Walau hebat mana tentangan orang Kafir Quraisy, Siti Khadijah tetap berada di samping baginda. Sokongan dan dorongan sentiasa diberikan kepada suami tercinta. Susah senang dan suka duka diharungi bersama.

“Belum ketemu dengan jodoh umi. Okeylah umi, Arif ada kerja sikit. Insya-Allah malam nanti Arif call umi ya.” Tanpa berkasar dengan umi yang telah bersusah payah membesarkan dan mendidiknya, Arif bertutur dengan penuh sopan. Dia sebenarnya agak sensitif apabila uminya mula membuka topik tentang kahwin. Namun dia tahu bagaimana hendak menyembunyikan perasaannya itu.

Hajah Kalsom yang memahami isi hati anaknya hanya terpaksa membiarkan sahaja. Ternyata rindu dan cinta anaknya pada arwah masih kuat. Ya Allah, Engkau bukakanlah pintu hati anakku ini untuk bertemu jodoh lagi. Janganlah Engkau membiarkan dia hidup berkelana di dunia ini seorang diri. Itu sahaja doa dan harapan uminya.

“Jaga diri kamu baik-baik. Kirim salam sekali pada abang dan kakak ipar kamu. Peluk cium Asyraf dan Aleeya untuk umi sekali,” pesan Hajah Kalsom lagi yang sentiasa rindukan anak-anak dan cucu-cucunya.

“Insya-Allah umi.”

Setelah berpamitan, Arif mengakhiri perbualan mereka. Sebuah keluhan kecil keluar daripada mulut Arif. Astaghfirullahal'azim! Allah tak suka hamba-hamba-Nya mengeluh.

“Encik Arif.” Seseorang memanggil namanya dari arah kanan. Dia yang sedang membuka pintu bilik pejabatnya menoleh ke arah pemanggil. Kelihatan seperti pelajarnya.

“Ya saya, ada apa-apa yang boleh saya bantu kamu?” Arif mengagak kedatangan pelajarnya ini berkemungkinan ada kaitan dengan kuliah pagi tadi.

“Sheila ingat nak minta tolong Encik Arif. Ada part yang Sheila tak fahamlah. Boleh kita bincang dalam bilik Encik Arif.” Dengan suara yang sedikit manja Sheila yang membahasakan diri dengan namanya sendiri cuba untuk menarik perhatian Arif. Sebenarnya sejak pertama kali melihat jejaka itu di dewan kuliah tadi, Sheila mula menaruh minat terhadap Arif. Kalau boleh dia ingin bertemu dengan Arif. Selalu. Sepanjang masa. Dah jatuh hati gamaknya si Sheila ni.

Arif mula terasa kurang manis sekiranya dia membenarkan Sheila masuk ke dalam biliknya. Dengan pakaian Sheila yang agak menjolok mata, dikhuatiri timbul fitnah pula. Jadi dia hanya berdiri di luar.

“Bahagian mana yang awak tidak faham? Bukankah saya sudah memberikan arahan tadi. Sekiranya ada apa-apa masalah sila e-mel kepada saya dulu,” tegas Arif. Sebagai seorang pendidik, Arif cuba untuk memberi tunjuk ajar tanpa bersangka apa-apa. Walaupun Arif seorang pendidik, dia tetap harus menjaga batas pergaulannya dengan pelajar perempuan. Tambahan mereka adalah bukan muhrim.

“Erm, Sheila ingat nak jumpa terus lagi senang. Sorry Encik Arif. Encik Arif boleh ajarkan tak?” Dalam teragak-agak, Sheila mencuba lagi. Sambil bermain-main dengan hujung rambutnya yang melepasi bahu.

“Baiklah saya maafkan. Tapi selepas ni saya tak akan berkompromi lagi.” Namun Arif tetap tidak mempelawa Sheila untuk masuk. Mereka hanya berbincang di luar.

“Faham Encik Arif.” Sheila berasa lega apabila suara Arif tidak kedengaran tegas lagi. Dengan hati yang berbunga, dia mengajukan soalan yang dia kurang jelas semasa di kuliah tadi. Sesekali matanya melirik ke wajah Arif. Rambut yang menghalang pandangannya diselitkan ke belakang telinga. Menonjolkan telinga yang ditindik lebih daripada satu.

Sekali pandang Arif ni tak ubah seperti orang Korea. Nak cakap macam orang Jepun pun ada. Kulitnya cerah dan bebas tanpa sebarang jerawat atau parut jerawat. Keningnya lebat dan matanya sentiasa kelihatan redup. Memukau mata yang memandangnya. Mungkin disebabkan Arif rajin berwuduk membuatkan wajahnya kelihatan bersih dan nampak tenang senantiasa. Orangnya juga tinggi sehinggakan Sheila terpaksa mendongakkan kepalanya untuk memandang ke arah Arif. Ditambahkan juga dengan lesung pipit pada sebelah kiri pipinya. Cair hati Sheila melihat senyuman Arif semasa di dalam dewan kuliah tadi. Secair ais di kutub utara.

“Dah faham?” soal Arif apabila dia sudah selesai memberikan penerangan kepada Sheila.

“Rasanya Sheila dah faham. Terima kasih banyak-banyak Encik Arif. Kalau Sheila tak faham Sheila akan e-mel kepada Encik Arif ya.” Sheila tersenyum simpul. Setelah puas menemui jejaka idamannya, dia pun berlalu pergi.

Arif beristighfar melihat telatah dan penampilan pelajarnya itu. Ya Allah! Kau berikanlah petunjuk hidayah kepadanya. Arif memohon yang terbaik untuk pelajarnya itu. Sesungguhnya memohon kebaikan kepada seseorang adalah lebih baik daripada mengucapkan kata-kata yang boleh merendah-rendahkan orang lain. Walidnya sering kali mengingatkan dia tentang hal ini. ‘Belum tentu kita akan menjadi lebih baik daripada orang itu. Mungkin juga satu hari nanti Allah akan menjadikan dia lebih baik daripada kita. Manusia boleh berubah. Sama ada menjadi baik atau sebaliknya.’

Apa la nak jadi dengan zaman sekarang ni. Sesungguhnya salah satu tanda kiamat ialah semakin ramai manusia yang mengikut ikutan orang bukan Islam. Hal ini telah diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Bukankah sebagai umat akhir zaman, seharusnya sunnah nabi yang menjadi ikutan, bukan orang Kafir dan Yahudi. Ternyata jalan yang sah-sah terpesong daripada sinar kebahagiaan di akhirat jua dipilih oleh mereka.

Amat menyedihkan apabila melihat anak-anak muda semakin liar mengikut budaya orang barat. Pakaian tidak pernah cukup dengan kain. Bagi wanita, rambut didedahkan kepada yang bukan muhrim. Sehinggakan ada yang sanggup menindik pada tempat yang tidak sepatutnya. Seperti lidahlah, dagulah dan sebagainya. Nauzubillah! Sesungguhnya perkara ini amat menyedihkan bagi seseorang yang mengaku sebagai Muslim.

Tanpa membuang masa, Arif terus masuk ke dalam biliknya. Jam pada pergelangan tangan dipandang. Niat di hati mahu ke pejabat pengurusan tetapi masa seakan-akan tidak mengizinkan. Sebentar lagi kakitangan pejabat pengurusan akan keluar untuk makan tengah hari. 

Nampaknya kena tunggu selepas pukul dua petang. Apa kata aku pergi lunch dulu. Agaknya Iq ada di bilik dia tak? Arif bermonolog di dalam hati. Terus sahaja Arif ke Pusat Pengajian Kemanusiaan untuk bertemu dengan seseorang. Seseorang yang amat dia kenali sejak zaman kanak-kanak lagi.


TUK! TUK! TUK! Bunyi ketukan pada pintu mengejutkan pensyarah muda yang kelihatan seperti lewat 20-an mengangkat mukanya. Dia yang sedang tekun menulis sesuatu tersenyum melihat kedatangan Arif yang berada di hadapannya. Kedudukan cermin mata pada hidung dibetulkan sedikit.

“Assalamualaikum. Khusyuk benar engkau menulis ya Iq. Sampai aku ketuk banyak kali pun tak sedar.” Arif menyapa. Dia membalas senyuman ikhlas itu. Senyuman itu kan satu sedekah. Tambahan, menurut hadis nabi, senyum yang tulus ikhlas dan kata-kata yang baik itu adalah satu bentuk sedekah. Jadi tak salah kalau kita sentiasa memberikan senyuman yang ikhlas kepada orang lain.

“Wa’alaikumsalam. Ya Allah, Rif. Lamanya tak jumpa kau. Masuk, masuk. Kau apa khabar?” Mereka berjabat tangan dan mendakap erat bersama-sama. Adat ini sudah menjadi kebiasaan bagi Arif dan Iqbal. Adat yang menjadi kebiasaan masyarakat Arab. Semasa bertemu dan berpisah orang Arab yang sama jantina akan mendakap erat dan mencium pipi masing-masing. Ianya dikatakan sunnah. Hukumnya harus jika ingin menunjukkan penghormatan atau rasa syukurnya atau ucapan terima kasih kepada seseorang. Namun, sunnah itu boleh jadi haram andai sahaja timbul nafsu songsang.

“Alhamdulillah. Sihat walafiat. Aku tak mengganggu kau ke ni?” Arif terus duduk di hadapan Iqbal.

“Eh? Takdelah. Macam tak biasa pula kau ni. Ada urusan apa kau ke mari?” soal Iqbal.

“Kebetulan aku lalu sini. Jadi aku singgah jap untuk bertanyakan khabar. Sudah jadi ustaz muda ya kau, Iq,” puji Arif.

“Alhamdulillah rezeki aku, Rif. Kau pun apa kurangnya. Pensyarah muda juga. Dapat juga kau tukar ke sini. Hari ini hari pertama kau mula mengajar sini kan?” Iqbal bertanya.

Mendengar pertanyaan itu, Arif sudah mula tergelak kecil. Teringat kembali akan pelajarnya tadi. Gelagatnya sungguh mencuit hati. Badan kecik tapi sekali dia menjerit, boleh pecah gegendang telinga.

“Nampaknya ada sesuatu yang telah menggelikan hati kau?” Iqbal sudah mula mengesan sesuatu pada riak wajahnya.

“Tiada apa-apa Iq. Cuma...” tutur Arif. Sedikit teragak-agak.

“Cuma apa? Bunyinya seperti ada ‘bidadari’ yang telah mengusik hati kau aja?” Penuh minat Iqbal bertanya, cuba meneka sambil tersengih.

“Kalau ya pun tak salahkan?” Balas Arif bersahaja. Kagum dengan sahabatnya yang mudah mengesan riak pada mukanya.

“Betul ke ni Rif? Terbuka juga pintu hati kau. Memang dah tiba masa untuk kau mencari pengganti arwah Atiqah.” 

Iqbal baru tersedar bahawa dia tidak seharusnya menyebut nama arwah isteri Arif. “Aku minta maaf Rif. Aku tak sengaja menyebut nama dia di depan kau.” Cepat-cepat dia memohon maaf di atas kekhilafannya itu.

“Takpe Iq. Insya-Allah aku okey. Seharusnya kita reda dengan ketentuanNya. Lagipun aku anggap tu mainan syaitan je,” ujar Arif.

“Apa pun istikharah Rif. Allah sentiasa ada untuk memberi petunjuk kepada hamba-hambaNya. Kita ni sahaja yang sentiasa cuai dan lupa dengan kehadiranNya. Berdoalah Rif.” Benar kata-kata Iqbal. Doa merupakan senjata bagi orang-orang mukmin. Dengan berdoa hati akan rasa lebih tenang. Ia juga akan menghubungkan seseorang itu terus kepada Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah, ayat 152,Ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat) Ku.’

“Insya-Allah aku akan melakukannya.” Ada senyuman nipis pada bibir.

“Kau duduk mana sekarang?”

“Dengan along. Belum jumpa rumah lagi. Along suruh aku duduk dengan dia aja. Tapi seganlah aku nak terus duduk kat sana.”

“Ha, apa kata kau duduk dengan aku tapi jauh sikit la. Dekat seberang, Bandar Perda. Apartmen pak andak aku. Sewa pun tak payah bayar.”

“Pak andak kau tak duduk sana?”

“Tak. Sekarang ni dia menetap di Taiping.”

Arif mengangguk-angguk. “Boleh juga tu. Eh, aku datang ni nak ajak kau lunch sekali. Dah alang-alang aku ke mari apa salahnya aku belanja kau makan. Boleh kita berbual sekali.”

“Alhamdulillah, rezeki aku nampaknya hari ni. Lain kali aku kena belanja kau pula. Aku bawa kau makan nasi kandar nak? Ada tempat yang special kalau nak makan nasi kandar ni. Ramai yang sanggup beratur panjang tau semata-mata nak makan makanan yang menjadi kegemaran ramai orang,” terang Iqbal panjang lebar. Dah macam bagi tazkirah pula. Tazkirah tentang makanan.

“Boleh tahan juga selera makan kau ni. Setahu aku kau ni tak makan makanan berempah dan pedas.”

“Nama pun duduk kat Penang, sekali dah kena penangan nasi kandar mesti mau lagi. Eh jomlah. Aku dah lapar sangat ni.” Iqbal menepuk-nepuk perut.

“Kau ni perut kecik tapi kuat makan rupanya.”

Iqbal tersengih-sengih dengan usikan Arif.

Arif dan Iqbal merupakan sahabat baik sejak di bangku sekolah rendah lagi. Semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa, mereka mengambil bidang yang berlainan. Arif dengan Perakaunan manakala Iqbal pula dengan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan. Walaupun begitu mereka tetap bersama bersahabat baik sehinggakan dari mula semester yang pertama sehingga terakhir mereka menghuni bilik yang sama. Suka dan duka dikongsi bersama. Habis sahaja semester yang terakhir, Arif terus sambung master sehingga ke PhD dalam jurusan yang sama di universiti yang sama. Iqbal pula terus ke Indonesia.

Buat pengetahuan, Iqbal ni kalau bab tentang cinta-cinta ni nombor satu. Tapi cinta yang hanya ikhlas kerana Allah. Bukan kerana nafsu. Bukan juga kerana duniawi semata-mata. Melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi Islam di Universitas Al Azhar di Indonesia sememangnya memberikan dia peluang untuk membantu anak-anak muda mencari cinta yang diredai Allah. Jadi tidak mustahil sekiranya dia dapat mengesan apa yang ada dalam fikiran dan hati orang lain seperti Arif. Betapa cantiknya cinta itu sekiranya direstuiNya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,Ada tiga perkara. Siapa yang memilikinya akan merasai kemanisan iman:-

1. Apabila Allah s.w.t. dan rasul-Nya lebih dikasihi dari selain keduanya.

2. Apabila dia mengasihi seseorang hanya kerana Allah s.w.t.

3. Apabila dia merasa benci untuk kembali menjadi kufur, seperti bencinya dia dicampak ke dalam api.”

(Riwayat al-Bukhari)

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Pistacia Vera