Qisya terkejut dari
tidurnya. Dia bingkas bangun dengan cepat. Badannya basah berpeluh. Dia seperti
orang ketakutan.
“Sya, kenapa ni?” Affian
ikut terkejut dan terbangun.
“Sya mimpikan mama,”
jawab Qisya menutup mukanya dengan kedua tapak tangan. Dia menangis.
Affian memeluk
isterinya dan memujuk dengan penuh kasih sayang.
“Sya rindukan mama.”
“Siang esok kita call
mama. Mungkin kita boleh ke sana waktu abah tak ada,” kata Affian sambil
memeluk Qisya untuk menenangkan tangisnya.
Tidak lama, tangis
Qisya mula reda. Dia membetulkan dirinya. Kemudian dia berbaring semula.
“Tidurlah. Esok kita
call mama ya.” Affian menarik selimut dan menutup kaki Qisya.
“Bang, sampai bilakah
kita akan dibuang keluarga macam ni. Sya rasa tak sanggup nak menanggung rindu.
Mama pun mesti rindukan Sya.”
“Abang pun tak tahu
Sya. Kita kena sabar,” jawab Affian. Soalan itu juga yang sering menghantui
fikirannya.
Qisya tidur dalam mimpi
rindu yang manis. Dia bertemu mamanya dalam mimpi. Belum pernah dia berpisah
begini lama dengan Hajah Afida. Rindu yang semakin menyesakkan dada.
Pagi-pagi selesai
menunaikan solat subuh, telefon bimbit Qisya berdering. Dia menjeling nombor di
skrin. Kak Qaisara! Hatinya bergetar resah. Dia bimbangkan sesuatu yang tidak
diingini berlaku kepada mamanya, kerana kakaknya tidak pernah menelefonnya
sebelum ini.
“Helo Sya, dah solat?”
Suara Qaisara mesra di hujung talian. Seperti tidak pernah berlaku apa-apa
dalam hidup mereka.
“Dah, kak. Akak apa
khabar?”
“Alhamdulillah. Cuma
mama kurang sihat.”
Qisya semakin berdebar.
Dia teringat mimpinya malam tadi. Mimpi bahagian dapur rumah mereka terbakar.
Api marak menyala. Dia melihat mamanya di celah asap yang berkepul itu. Ya
ALLAH!
“Sya, mama tak apa-apa.
Dia cuma demam. Akak agak dia rindukan Sya. Nanti jam 9, selepas abah pergi
kerja Sya call mama. Mungkin kalau dah dengar suara Sya, demamnya akan kebah.”
Qaisara seperti tahu apa yang difikirkan oleh Qisya ketika itu.
“Kak, terima kasih,”
jawab Qisya dengan suara sebak. Dia cuba menahan air matanya. Namun ternyata,
ketabahannya tidak mampu membendung titik-titik jernih itu jatuh berguguran
bersama sebuah esakan kecil.
“Sabar Sya. Mama tak
apa-apa,” pujuk Qaisara selepas mendengar esakan Qisya.
“Sya rindu mama. Sya
rindau abah. Sya nak balik tengok mama dan abah,” balas Qisya di celah
esakannya.
“Belum masanya. Marah
abah belum reda. Sya hanya akan menyemarakkan api yang sedang menyala. Sabarlah
dan teruskan berdoa. Kalau Sya rindu, sedekahkan al-fatihah untuk mereka.”
Qisya menahan esakan.
Dia cuba memujuk hatinya agar tabah. Dia yang membuat keputusan ini. Maka dia
harus berani menghadapi semua dugaannya.
“Jangan lupa call mama.
Akak nak bersiap ni. Nak ke ofis. Jaga diri baik-baik,” kata Qaisara sebelum
talian dimatikan.
Qisya angguk perlahan.
Dia termenung.
“Siapa call, Sya?”
tanya Affian.
“Kak Sara. Dia suruh
call mama. Mama demam.” Qisya menjawab tanpa menoleh ke arah suaminya.
Affian tidak bertanya
lagi. Dia berjalan ke dapur dan cuba melarikan mata belasnya daripada melihat
kerinduan di mata Qisya.
Jam 9.00 pagi.
Qisya segera mendail
nombor telefon mamanya. Dia tahu waktu itu abahnya mesti sudah ke ofis.
Kebiasaannya begitu. Namun tidak hari itu.
“Assalamualaikum,
mama!” sapa Qisya selepas talian bersambung.
Diam. Tidak ada suara
yang menjawab. Hati Qisya cuak.
“Mama, mama sihat ke?”
“Hei, dia sihat ke,
sakit ke kau peduli apa? Apa hal kau nak tanya lagi selepas kau buat semua ni.
Biarlah kami mati, yang kau nak tanya lagi buat apa?” Suara Haji Hasnan
berdentum seperti guruh.
“Abah...”
“Siapa abah kau?”
Talian dimatikan. Tidak
sempat Qisya menyebut kata ampun dari abahnya. Dia terduduk dengan tangisan
yang mengongoi. Dia tidak dapat mendengar suara mamanya untuk melepaskan rindu.
Sebaliknya dia mendengar suara abahnya yang masih tidak berubah.
“Sya, sabarlah.” Hanya
itu yang mampu diucapkan oleh Affiana ketika itu. Dia menarik Qisya ke dalam
pelukannya dan membiarkan tangisan Qisya membasahi bahunya.
Lama, baru tangisan itu
reda.
“Macam mana Sya nak
jumpa mama. Mama sedang rindukan Sya...” rintih Qisya. Affian tidak berani berjanji
apa-apa. Dia tahu keadaan amat sukar sekarang.
Hajah Afida pula
terkejut mendengar suara keras suaminya, menengking sesaorang. Tidurnya
terganggu. Dia memasang telinga.
“Siapa abah kau?”
Dia tahu itu panggilan
dari Qisya. Hatinya teruja. Kerinduannya memuncak. Dia terlalu ingin mendengar
suara anaknya itu.
“Jangan awak
pandai-pandai nak buat hubungan dengan dia di belakang saya. Kalau sekali lagi
saya tahu dia call awak, saya akan hempaskan telefon ni!” kata Haji Hasnan
sebelum sempat Hajah Afida merayu untuk
mendengar suara Qisya.
Air mata seorang ibu
menitik lagi. Hanya matanya yang memandang keluar tingkap. Suaranya tidak
kedengaran. Ia tersekat di celah kerongkong. Sangat sakit dadanya.
Haji Hasnan langsung
tidak memberikan dia peluang untuk menagih haknya sebagai ibu.
‘Ya ALLAH, berikan aku
kekuatan untuk meneruskan takdir hidup yang KAU tentukan ini.’
Hanya itu yang mampu
didoakan dari hati yang tulus. Dia ingin teresak, namun dia terpaksa menyimpan
esakan itu. Bimbang akan membakar lagi hati suaminya.
“Tak payahlah awak nak
menangis kerana budak kurang ajar tu! Awak menangis air mata darah sekalipun,
kalau saya kata tidak maknanya tidak!” tegas Haji Hasnan. Dia melangkah pergi.
Kali ini baru Hajah Afida berani melepaskan tangisnya. Dia terhinggut-hinggut.
‘Tolong selamatkan
anakku, ya ALLAH. Tolong jauhi dia dari segala bahaya dunia dan bahaya
akhirat.’
Beberapa hari demam
Hajah Afida tidak kebah. Ubat yang diberikan oleh doktor langsung tidak memberi
kesan. Malah dia rasa semakin lesu. Demamnya terasa semakin membahang. Ia
sangat membimbangkan Qaisara dan Qais.
“Sya, ambilkan mama
air. Mama haus,” kata Hajah Afida. Matanya terpejam rapat. Qaisara menahan
tangis.
“Ma, minum airnya, ma.”
Qaisara menyua gelas air ke lulut Hajah Afida.
Hajah Afida membuka
mata. Dia melilau, mencari.
“Mana Sya? Tadi dia
janji nak jaga mama sampai mama sembuh,” kata Hajah Afida dengan suara yang
hampir tidak kedengaran.
“Mama, mama mengigau
tu. Sya belum balik lagi. Dia masih...”
“Oh! Mama lupa dia
masih di kolej. Dia kata habis periksa dia akan balik. Mama akan tunggu Sya,”
potong Hajah Afida dengan cepat.
Qaisara semakin
sengsara mendengar kata-kata mamanya. Dia menoleh mencari simpati dari abangnya
Qais.
“Mama, minumlah dulu.
Nanti kalau Sya dah habis periksa, mesti dia akan jaga mama dan tak akan
tinggalkan mama lagi,” kata Qais, sambil memicit kaki Hajah Afida. Dadanya
sebak.
“Abang, pujuklah abah.
Kesian mama... kesian Sya...” bisik
Qaisara ke telinga Qais.
Qais angguk. Dia bangun
dengan berat. Walaupun sudah tahu jawapannya, dia masih ingin mencuba. Mana
tahu hari itu ALLAH sudah lembutkan hati Haji Hasnan.
Haji Hasnan sedang
menonton rancangan berita. Dia begitu tekun hingga tidak sedar Qais duduk di
sebelahnya.
“Abah, boleh Is cakap
sikit,” kata Qais.
Haji Hasnan angguk
tanpa menoleh. Matanya masih tertumpu pada kaca putih di hadapannya.
“Izinkanlah Sya balik.
Mama tu rindukan Sya,” kata Qais penuh berhati-hati.
Dia tahu dia sedang berdepan dengan seorang ayah yang pemarah dan panas baran.
Kata-kata Qais seperti sengaja
mengejutkan harimau yang sedang lena. Haji
Hasnan menoleh dengan mata yang merenung tajam.
Qais tunduk. Dia bersedia
menerima semua kemungkinan, demi ibunya.
“Abah kata tidak. Is jangan
nak pandai-pandai memujuk abah. Sekarang abah belum marah pada Is. Jangan sampai
Is juga abah buang dari hidup abah,” kata Haji Hasnan dengan keras.
“Abah...”
“Sudah! Kalau Is nak buat
juga, Is bunuh abah dulu. Selagi abah hidup, budak kurang ajar tu jangan pijak rumah
ini!” tengking Haji Hasnan. Api marah mula menyala!