Hati Hajah Norlida
tidak sama dengan hati Hajah Afida. Kalau Hajah Afida hidup dilamun rindu
terhadap anak kesayangannya Qisya, Hajah Norlida pula hidup dalam rasa benci
dan marah yang teramat sangat.
Haji Zahari, apa lagi.
Marahnya seolah-olah Affian sudah melakukan jenayah besar. Semua barang-barang
milik Affian dibuang. Tidak ada satu yang tinggal. Bilik Affian dikosongkan.
Semua perabut dan barang-barang milik Affian dibuang ke dalam tong sampah.
Motor milik Affian, dijual. Pendeknya dalam rumah itu langsung tidak ada
barang-barang Affian lagi. Benar-benar mereka membuang Affian dari keluarga
itu.
“Jangan ada lagi cerita
mengenai dia dalam rumah ni. Siapa yang sebut nama anak derhaka itu, jaga dia!”
Itu amaran Haji Zahari.
“Ibu juga tak suka
siapapun ambil tahu atau berhubungan dengan dia. Kalau ibu dapat tahu ada yang
langgar perintah ibu, tahulah ibu nak ajar orang tu!” balas Hajah Norlida pula.
“Ibu, abah... kenapa
sampai macam ni. Besar sangatkah kesalahan Fian hingga macam ni dia dihukum,”
kata Safrina dengan mata yang basah. Dia sangat rapat dengan Affian namun dia
tidak meramal adiknya akan bertindak begitu.
“Why? Rina juga nak
ikut dibuang macam budak tu?” Mata Hajah Norlida melorot tajam ke arah Safrina.
“Kita sepatutnya beri
dia ruang untuk fikirkan masa depan dia, ibu.” Safwan pula menyampuk.
“No means no!.
Siapa lagi nak bantah? Siapa lagi nak derhaka? Silakan. Pergi semua, biar
tinggal kami berdua di rumah ini,” kata Hajah Norlida, dengan suara meninggi.
Akhirnya, Alawiah
sebagai kakak hanya mampu mengesat air mata. Dia kenal ibu bapanya. Begitu juga
dengan Safwan dan Safrina. Masing-masing mengangguk perlahan. Perintah ibu
tidak berani dibantah walau hati sangat meruntun sedih melihat saudara mereka
dibuang dari senarai keluarga.
“Sesiapa yang membantu
atau menolong dia, sama derhaka dengan dia!” kata Haji Zahari berupa ancaman.
Safrina rasa tindakan
dan ancaman itu begitu tidak adil kepada adiknya Affian. Betulkah mereka akan
menjadi anak derhaka kalau melanggar perintah itu?
“Tolonglah ustaz. Saya rasa sangat keliru dengan fatwa
yang dibuat oleh ibu bapa saya ni. Betulkah kami akan jadi anak derhaka?” tanya
Safrina di hadapan seorang ustaz.
“Memang ibu dan ayah
adalah dua orang yang diberi kemuliaan oleh ALLAH untuk mendapat hak yang baik
daripada anak-anak. Memang benar ada hadis menyatakan ‘keredaan ibu bapa adalah
keredaan ALLAH.’ Tetapi ALLAH juga tidak suka pada permusuhan dan putusnya
hubungan silaturrahim. Jadi, kamu mesti bertindak bijak asal tidak melukakan hati
kedua-duanya.”
Safrina menyimpan
semuanya dalam hati.
Kehidupan Qisya dan
Affian sebagai siswa berubah selepas menjadi suami isteri. Mereka mula mengatur
masa dan jadual study bersama. Begitu juga mereka berkongsi pendapat dan ilmu
dalam menyiapkan assignment.
Mereka rasa lebih aman
dan tenang. Affian menggunakan duit simpanannya untuk menyewa sebuah flat yang
berdekatan dengan kampus.
“Maafkan abang kalau Sya rasa tak selesa dengan rumah ni.
Hanya ini yang abang mampu. Abang janji, akan sediakan rumah yang lebih baik
selepas kita habis belajar. Abang akan buat apa saja demi Sya,” kata Affian.
“Ini pun dah cukup
untuk Sya. Sya bersyukur dengan apa yang ada. Janji kita ada tempat tinggal.
Janji kita dapat study bersama. Kita tak ada banyak masa lagi. Final
exam akan tiba tak lama lagi. Kita tak boleh lengah lagi,” balas Qisya pula.
Itu ikrar mereka.
Selain untuk mencapai kejayaan cemerlang, juga untuk membuktikan kepada keluarga
mereka bahawa niat mereka berkahwin kerana ALLAH.
Kerinduan kepada
keluarga tetap ada dalam hati Affian.
Affian juga tidak mahu
menjadi anak derhaka. Dia cuba mendekati ibu bapa dan adik beradiknya yang
lain. Namun, semua usahanya tidak berhasil. Panggilannya tidak pernah berjawab.
E-mail juga tidak pernah diendahkan.
“Mereka tak angkat,”
kata Affian kepada Qisya setiap kali dia cuba menelefon.
“Tak apalah, esok kita
cuba lagi.” Qisya cuba memberi harapan. Walaupun dia sendiri tidak pasti apa
yang diucap itu akan menjadi benar.
“Apa kata kalau cuti hujung minggu ni kita
cuba balik ke rumah abang,”ajak Affian.
“Sya ikut saja. Kalau
itu yang abang nak. Tapi kalau mereka tak izinkan kita masuk, macam mana?”
tanya Qisya.
“Tak cuba kita tak
tahu. Abang pun tak berani nak beri andaian.”
Qisya diam. Dia amat
memahami perasaan Affian kerana dia sendiri amat merindui keluarganya.
“Lepas kita balik rumah
abang, kita balik rumah Sya pula. Kita kena berusaha cari jalan berdamai dan
mengalah dengan semua keluarga, Sya,” kata Affian lagi.
“Tapi, Sya takut nak
balik. Abah dah beri amaran keras. Sya tak diizin pijak rumah itu sampai dia
mati.”
“Itu cakap orang yang
sedang marah. Kita kena cuba.”
Qisya sudah berjanji
kepada dirinya untuk menjadi isteri yang taat dan solehah. Lalu ap sahaja
langkah Affian akan diekorinya walau hatinya sangat berat.
Hari minggu yang
dijanjikan. Seawal pagi, selesai menunaikan solat subuh Affian dan Qisya
bergerak ke Rawang, rumah keluarga Affian.
“Kita mesti pergi
pagi-pagi sebelum mereka keluar. Biasanya hari minggu, ibu dan abah ada
aktiviti luar selepas bersarapan.”
Qisya mengangguk dengan
hati berdebar. Dia belum pernah mengenali ibu dan ayah Affian. Dia hanya
mendengar cerita dari mulut Affian bahawa ayah dan ibunya adalah orang yang
bersifat tegas dan susah untuk bertolak ansur.
“Sya, jangan takut.
Kita akan hadapi semua kemungkinan bersama-sama.” Affian menggenggam tangan
Qisya dengan erat. Dia memberi semangat dan dalam masa yang sama dia juga
sedang mengumpul kekuatan diri sendiri.
Selepas hampir satu jam
perjalanan menaiki Komuter dari Bangi, mereka akhirnya sampai ke Stesen Rawang.
Dari Stesen itu mereka menaiki teksi ke Bandar Puteri Rawang. Hinggalah mereka
berdiri di hadapan pintu pagar sebuah rumah.
Affian menekan loceng
yang ada di pagar. Dia tahu pembantu rumahnya pasti sudah bangun dan sedang
menyiapkan makanan. Mbak Ratmi, orangnya sangat rajin dan pengasih.
Dua tiga kali menekan,
akhirnya seorang wanita Indonesia kelaur tergopoh gapah dengan tangan yang
masih basah.
“Affian! Maafkan mbak
kerana lambat keluar. Mbak tengah memasak tadi,” kata Mbak Ratmi, mesra.
“Tak apa mbak. Ibu dan
ayah ada tak, mbak?”
“Ada. Mari masuk.” Mbak
Ratmi membuka pagar.
“Mbak, kenalkan ini
Qisya isteri saya,” kata Affian memperkenalkan. Qisya bersalam dengan santun.
Wajah Mbak Ratmi berubah. Dia meneliti Qisya dari hujung rambut sampai ke
hujung kaki.
“Affian, mbak harap
kamu bersabar dengan apa saja dugaan ya! Kamu memang anak baik. Sejak mbak
kerja di sini, mbak sangat sayang sama kamu. Tapi...” Mbak Ratmi terhenti. Dia
menelan air liur. Dia gelisah. Ada
sesuatu yang ingin disampaikan tetapi dia tidak mampu.
Affian segera faham
maksud kata-kata Mbak Ratmi yang
terputus itu.
“Mbak, doakan saya
diterima semula di rumah ini ya,” kata Affian sambil menarik tangan Mbk Ratmi
dan mengucupnya. Ketika berbuat begitu, dia tidak anggap wanita itu orang gaji
di rumah itu.
Mbak Ratmi lebih dari
itu. Sekian lama dia makan dan minum hasil air tangan wanita itu. Kain baju dan
tempat tidurnya, wanita itu yang uruskan. Semasa akan menghadapi peperiksaan,
wanita itu yang menunggu ketika dia sedang belajar.
Tiba-tiba Mbak Ratmi
terharu. Dia menangis tanpa malu. Tangan Affian yang sedang menggenggam
tangannya membuatkan hatinya sangat tersentuh. Hanya Affian yang rajin
menemaninya. Anak majikannya ini tidak pernah melayan dia sebagai pembantu
rumah.
Affian memimpin tangan
Qisya masuk ke ruang tamu.
“Duduklah, biar mbak
panggilkan ibu dan bapa dulu,” kata Mbak Ratmi segera meninggalkan mereka
berdua di situ.
Qisya duduk dan
meneliti ke sekeliling. Gambar keluarga disusun cantik. Gambar Dr.Hajah Norlida
dan Dr. Haji Zahari tergantung dengan senyuman megah.
“Itulah gambar ibu dan
ayah mertua Sya. Ibu yang jelita dan abah yang kacak,” kata Affian dengan
ketawa perlahan.
Qisya ikut ketawa.
“Patutlah anaknya kacak,” balas Qisya.
“Abang kacak ke? Terima
kasih Sya,” kata Affian, semakin gelak.
Sedang mereka leka
melayan ketawa, Mbak Ratmi keluar dengan sedulang minuman.
“Mbak dah cakap dengan
ibu dan ayah saya?” tanya Affian, tidak sabar.
“Sudah. Mungkin sekejap
lagi mereka turun,” jawab Mbak Ratmi. Dia meletakkan di atas meja makan yang
letaknya tidak jauh dari ruang tamu itu.
“Mari sarapan dulu.
Affian mungkin rindu masakan mbak,” kata Mbak Ratmi.
Affian memimpin tangan
Qisya ke arah meja makan. Kemudian dengan penuh kasih sayang dia menarik kerusi
untuk Qisya duduk.