JASMIN: MENCARI PELANGI CINTA
Jasmin
tidak mengendahkan nasihat Intan. Cadangan Mariam untuk berjumpa Bomoh Joyah
segera dipersetujuinya tanpa rasa cuak. Nafsu telah mengatasi akalnya.
Keinginan untuk melihat Farid dan Azura bercerai menjadi matlamat hati yang memuncak.
Untuk itu dia terpaksa berbohong
kepada Farid dan anak-anak bahawa dia akan ke out station selama dua
hari. Farid tidak banyak menyoalnya, kerana selama ini pun dia selalu
meninggalkan rumah demi tugas. Farid sudah terbiasa ditinggalkan. Apa lagi
sekarang selepas hadirnya Azura, Farid seperti tidak kisah langsung ketika
ditinggalkan. Farid seperti tidak rindu lagi padanya. Itu yang membuatkan azam
Jasmin semakin kuat untuk ‘mengenakan’ Farid.
Dia
mahu Farid ceraikan Azura. Dia mahu seluruh cinta dan perhatian Farid tertumpu
hanya untuk dia seorang saja. Kata Mariam, bomoh itu handal dan sudah banyak
kes sepertinya yang berjaya diselesaikan. Jasmin ingin mencubanya. Kalau
sebelum ini dia kurang percaya pada bomoh, kali ini dia mengubah pendirian dan
pemikirannya.
Tengah
hari itu dia sudah sampai ke kampung Mariam. Dan selepas makan tengah hari,
Jasmin dibawa ke rumah bomoh yang bernama Mak Joyah yang letaknya tidak jauh dari rumah Mariam. Mereka
dijemput naik dan duduk bersimpuh di tikar mengkuang di ruang tamu rumah itu.
Orang tua itu menggulung rokok daun sambil mulutnya mengunyah sirih. Jasmin
tidak biasa dengan keadaan itu. Dia tidak biasa melihat orang makan sirih.
Tekaknya naik loya bila orang tua itu meludahkan air sirih ke dalam sebuah tin
Milo yang khas diletakkan di hadapannya. Jasmin menoleh ke arah lain. Tidak
sanggup dia melihatnya.
Semua
hajat dan hasrat kedatangannya dicurahkan.Mak Joyah mengangguk
seakan-akan faham. Matanya merenung Jasmin dari atas ke bawah. Kemudian dia
pejamkan mata dan dahinya berkerut-kerut.
“Berat sakitnya ni…..”
“Kenapa mak cik?” Tanya Jasmin tak sabar. Orang
tua itu berkerut lagi.
“Badan anak ni banyak penyakatnya, disakat
dengan berbagai ilmu. Orang di sebelah sana tu bukan calang-calang orang. Suami
anak ni, dah banyak termakan banyak benda kotor sebab tulah dia sayang sangat
pada yang di sana tu! Tak apa, kalau dia boleh buat kita pun boleh,” janji Mak Joyah bersemangat sambil meludahkan lagi
air sirihnya. Sekali lagi Jasmin rasa loya. Hampir saja terburai isi perutnya
di saat itu. Namun dia menarik nafas
panjang dan cuba bertahan.
“Tolonglah
mak cik.Saya dah buntu
sangat ni.Tak tahu apa nak buat. Saya mahu suami saya balik kepada saya
macam dulu. Saya mahu dia ceraikan perempuan itu. Saya sudah tidak boleh
bersabar lagi…..” Jasmin merayu.
“Jangan bimbang, Mak Yah akan buat. Ada bawa
gambarnya tak?”
Jasmin mengeluarkan gambar Farid dan Azura dari dalam beg tangannya.
Setelah dua keping gambar itu berada di tangannya, Mak Joyah mengasapkannya di
atas asap kemenyan yang sudah tersedia di tempat bara.
“Malam ini Mak Yah akan kerjakan yang dua orang
ni. Sekarang Mak Yah nak bersihkan diri kamu tu dulu. Banyak sangat sial majal
dalam diri kamu ni…” Wanita separuh abad
itu bangkit dan berjalan ke sebuah bilik di hadapan mereka. Seketika dia keluar
dengan sehelai kain kuning lalu menghamparkannya dan memberi isyarat supaya
Jasmin duduk di atasnya.
Asal mula tatkala mula
Minta pulang pulih
seperti sediakala
Kejut jaga tatkala lena
Apa alamat apa tanda apa
bala
Hei…! Petala langit
petala bumi
Angin digerak semangat
diangkat
Bertitih asal usul jiwa
pusaka
Pusaka ayah pusaka bonda
Minta pulih minta beredar
Semua sakit pening jiwa
lara
Sial majal semua lalu
seperti sirih pulang ke
gagang
seperti keris pulang ke
sarung.
Itulah sebahagian jampi serapah dan mentera
yang sempat ditangkap maksudnya oleh Jasmin. Yang selebihnya tidak difahaminya.
Kemudian Mak Joyah mengurut-ngurut belakang Jasmin dengan menteranya itu.
Setelah tiga kali dia berhenti dan memusingkan pula badan Jasmin. Kemudian
mereka berhadapan muka. Bau sirih melalui pernafasan orang tua itu hampir
membuatkan Jasmin termuntah. Dia menahan nafasnya sebaik mungkin supaya tidak
tercium bau sirih yang memualkan itu.
Kemudian Mak Joyah mengambil sebotol air yang
memang telah tersedia di sebelahnya. Dia menjampi air itu dan memberikan kepada
Jasmin.
“Ambil air ini, campurkan dengan sebaldi air
lain. Pukul dua belas malam nanti kau mandilah dengan air ini.” Jasmin
mengambil air itu. Kemudian tujuh biji limau purut dan tujuh jenis bunga pula
dijampi. Limau dan bunga itu untuk mandian tepat jam dua belas malam selama
tiga malam.
“Jangan
susah hati, sekali kena saja habis dia!”Ucap Mak Joyah dengan begitu yakin. Jasmin pula
mula tertarik dengan kata-kata orang tua itu.
“Mak cik
yakin ke mereka akan bercerai?” Tanya Jasmin menduga.
“Jangan bimbang. Kalau kes ni dah sampai ke tangan mak cik biasanya tak
sampai dua minggu nanti bercerailah mereka,” jawap orang tua itu. Nada suaranya
penuh angkuh dan sombong. Namun Jasmin riang dan tersenyum mendengarnya. Selama
ini dia tidak pernah yakin pada bomoh, tapi hari ini bukan setakat yakin, malah
dia percaya seratus peratus pada kenyataan yang tidak pasti itu.
Selepas dua hari di kampung Mariam, akhirnya
Jasmin pulang ke Kuala Lumpur dengan hati berbunga riang. Barang-barang yang
dibawa dari rumah Mak Joyah disembunyikan dalam almari pakaiannya. Dia tidak
mahu Farid tahu apa yang sedang diusahakannya. Bunga dan limau yang sudah siap
dijampi di letakkan di bilik air. Sekejap lagi dia akan mandi bunga dan
berlangir limau untuk mencukupkan syarat yang diberikan. Seketul kemenyan
diletakkan di muka pintu rumah, supaya Farid melangkahnya setiap pagi dan
petang. Kata Mak Joyah, kalau Farid sudah melangkahnya dia tidak akan melangkah
ke tempat lain lagi. Hati dan perasaannya akan melekat di rumah itu.
Jasmin mandi sambil menyanyi-nyanyi. Malam ini
kalau Farid ‘berkehendak’kan layanannya dia akan melayan Farid dengan hati
senang. Dia tidak akan menolak permintaan Farid. Dia akan melayannya
sebagaimana mereka baru kawin dulu. Itu janjinya. Kemudian dia senyum lagi. Air
bunga yang sudah dicampur dengan perahan limau purut di gosok-gosokkan ke
badannya. Kulitnya masih tegang dan licin. Setiap hari dia memanjakan kulitnya
itu dengan losyen pelembut kulit. Sebulan sekali pula dia akan ke salun untuk
mandi susu dan sauna. Dia rasa, dia masih mampu melayan kehendak batin Farid
dengan baik. Farid tak perlukan wanita lain. Dia masih sihat dan masih mampu. Dia belum menopaus lagi…
“Mama,
ada call!”Laung anak sulungnya Faizul.Jasmin mempercepatkan mandinya dan mencapai tuala
lalu keluar dengan tergesa-gesa. Faizul sudah menyambungkan panggilan itu ke
biliknya. Dia mengangkat gagang telefon dan melekapkan ke telinganya.
“Min,
abang ni…bila Min balik?”
“Baru
saja bang. Abang kat mana ni ?” Tanya Jasmin sengaja melunakkan suaranya untuk
memikat hati Farid.
“Abang masih kat office lagi. Ni ha,
abang nak beritahu Min abang tak dapat balik malam ni. Abang terpaksa balik ke
rumah Zura. Ibu dan ayahnya baru sampai dari kampung. Tak sedap pulak kalau tak
jengah. Besok abang balik. Okey Min ya, bye!” Farid meletakkan gagang sebelum
sempat Jasmin menyoal apa-apa.
Jasmin terkebil-kebil. Rasa hampa dan kecewa
mencengkam teluk rasa. Langkah pertamanya telah gagal. Sial! Makiannya semakin
memberat di dada. Dengan longlai dia menyarungkan baju dan turun ke bawah untuk
menemui anak-anaknya.
Di meja makan, Mak Inah sudah pun menyiapkan
makan malam untuk mereka. Jasmin memang lapar, tapi seleranya hilang sama
sekali. Kata-kata Farid tadi telah mengenyangkannya.
“Puan tak makan?” Tanya Mak Inah dengan hormat.
Dia takut melihat muka masam majikannya itu.
“Tak apalah Mak Inah. Saya dah kenyang. Suruh
saja budak-budak tu makan,” jawap Jasmin lemah. Mak Inah memanggil Faizul dan
adik-adiknya untuk makan. Tanpa disuruh Faizah, Fazwan dan Fazlina bangun
mendahului abangnya. Mak Inah pula mendukung Faiz yang baru berusia tiga tahun
itu. Anak itu terlalu manja dengan
Mak Inah daripada dengan Jasmin sendiri.
“Eh!
Ada sotong goreng berlada. Macam kat rumah ummi ya bang, ” kata Fazlina kepada
abangnya Faizul. Faizul dan yang lain-lainnya mengangguk. Mereka berebut untuk
mencedok masakan itu. Jasmin
tersentak dengan kata-kata Fazlina.
“Ummi
mana ni?” Jasmin membeliakkan matanya dengan marah. Dia memandang anak-anaknya
satu persatu dan akhir sekali kepada Mak Inah.Mak Inah tunduk diam. Wanita itu tidak berani
berkata apa-apa. Namun, Jasmin tahu Mak Inah tahu apa maksud kata-kata anaknya
tadi.
Mak
Inah diam membatu. Tidak berani bertentang mata dengan majikannya. Memang dia sudah beberapa kali dibawa ke
rumah Azura. Dan dia suka sekali dengan pekerti isteri muda majikannya itu.
Lembut dan pengasih.
“Ibu
Zura. Kat sana kan mama, ada seorang adik yang sangat comel. Kata babah itu
juga adik Ina. Ibu tu baik tau ma. Dia
masakkan kami masakan yang best-best.Seronok kat sana,” jawab Fazlina.
Walaupun baru berusia lima tahun, tapi kepetahannya mengalahkan kakaknya Faizah
yang sudah berusia sembilan tahun. Jasmin mengetap bibir dengan geram. Dia
meneliti wajah anak-anaknya satu persatu.
“O…kamu
semua ke sana ya? Berapa kali mama cakap, mama tak suka kamu semua ke sana. Berani kamu engkari perintah mama
ya!?”
“Bukan
salah kami. Babah yang bawa kami ke sana,” Faizul yang sulung cuba membetulkan
keadaan. Dia tak sanggup melihat kemarahan mamanya. Adik-adiknya tidak boleh
menjadi sasaran kemarahan itu.
Jasmin
terdiam. Betul juga kata Faizul itu. Kalau Farid tidak membawanya tentu
budak-budak itu tak tahu nak ke sana. Dia semakin terluka. Mula-mula Farid,
kini anak-anaknya yang dituba dengan kasih Azura.Mereka sudah pandai memuja dan memuji wanita itu
di hadapannya. Sungguh licik dan licin sekali wanita itu merampas kasih suami
dan anak-anak darinya. Dadanya mula panas. Jiwanya mula memberontak. Kalau
Farid ada, dia akan melepaskan geramnya
kepada lelaki itu. Dia tidak mahu kehilangan kasih anak-anaknya, setelah dia hampir kehilangan kasih Farid.
Malam
itu Jasmin tidur beralas api cemburu dan geram. Bayangan wajah Farid dan
kemesraannya Azura menghantui fikirannya hingga dia tidak mampu melelapkan
matanya sampai pagi. Dia menghitung nasib duka yang menimpa dirinya. Dia
mengira dirinya paling malang dan tidak berguna lagi.
Keesokannya
ketika Jasmin sampai ke pejabat, dia cuba mengelak dari bertembung dengan
Mariam. Dia tidak mahu Mariam tahu kegagalannya menjerat Farid malam tadi.
Mariam pula tidak berani
menegur bosnya bila melihat wajah muram
wanita itu sejak sampai di pejabat. Dia tahu mood Jasmin tak baik hari
itu. Sarang tabuan jangan dijolok. Harimau yang tidur jangan dikejut. Mariam
membuat kerjanya tanpa sepatah kata!
Pukul dua belas tengah hari,
tanpa disangka-sangka Jasmin menerima panggilan telefon dari Farid yang
mengajaknya makan tengah hari bersama. Hati yang kecewa sedikit terubat. Sudah
lama mereka tidak makan bersama. Apa mimpi Farid mengajaknya? Adakah mentera
Mak Joyah sudah mengena?
Suasana
di Restoren Delima agak sibuk kerana waktu makan tengah hari sudah tiba. Ramai
kaki tangan kerajaan dan swasta yang bekerja di sekitar restoren itu mengambil
peluang untuk mengisi perut.
“Dah
lama abang sampai?” Tanya Jasmin cuba berlagak mesra, ketika didapati Farid
sudah sedia menunggunya di sebuah meja.
“Baru
saja. Min nak makan apa?” Tanya Farid pula setelah Jasmin duduk.
“Apa-apalah
bang,” kata Jasmin dengan senyum. Farid memanggil pelayan dan membuat pesanan
dua pinggan nasi beriani dan dua gelas fresh orange.
“Apa
mimpi abang ajak Min makan ni?” Jasmin saja menduga.
“Saja
abang nak makan dengan Min. Dah lama kita tak makan tengah hari bersama macam
ni. Yalah kita sama-sama sibuk. Ada saja appoinmentdengan client.Hari
ini abang free, abang ajaklah Min keluar makan. Min tak suka?,” tanya
Farid dengan senyum serta merenung tepat ke mata Jasmin. Dengan cepat Jasmin
menggelengkan kepala dan tersenyum dengan senang.Tiba-tiba dia merasakan ada satu kelainan pada
cara renungan Farid kali ini. Dia terasa kasih yang dulu manis dan syahdu kini
menjalar dalam diri dengan kerinduan yang mendalam. Inikah namanya cinta?
Setelah
pesanan makanan sampai, Jasmin makan dengan penuh selera.Dia baru
teringat bahawa malam tadi dia tidak menjamah makanan dan pagi tadi pula
dia malas nak bersarapan.
“Malam
ni abang balik tak?”
“Eh baliklah. Tak kan tak balik…”
“Manalah tahu. Kot dah lupa nak balik.
Maklumlah…” Jasmin tidak menghabiskan kata-katanya. Dia sengaja cuba menggoda
Farid.
“Apa Min cakap ni. Abang tak pernah lupakan
Min. Min tu yang saja nak jauhkan diri dari abang. Bila tidur, Min suka letak
bantal peluk di tengah-tengah. Seolah-olah abang kahwin dengan bantal tu!”
Jawap Farid dengan ketawa. Jasmin mencubit Farid.
“Eh! Ada ketam terlepas dari menu!” Sekali lagi
ketawa pecah berderai. Dada Jasmin mula rasa lapang. Sah! Jampi Mak Joyah telah
menjadi. Itu belum lagi Farid melangkah kemenyan yang diletakkan di muka pintu.
Senyum Jasmin semakin lebar. Dia rasa kemenangan akan bersamanya tidak lama
lagi. Dan dia benar-benar teruja!
Dia melilau mencari Mariam ketika sampai di office.
Dia nak sampaikan berita gembira ini
kepada Mariam. Dia nak ucapkan terima kasih kerana susah payah Mariam
membawanya berjumpa Mak Joyah.
“Baguslah
tu puan. Saya tumpang gembira. Mudah-mudahan puan akan berjaya,” jawab Mariam
setelah Jasmin menceritakan semuanya.
“Saya
gembira sangat Yam. Terima kasih pada awak. Saya dah dapat rasakan perubahannya
yang mendadak. Tiba-tiba dia menjadi begitu
mesra dengan saya,” ujar Jasmin dengan mata yang bercahaya. Senyumnya
memekar di bibir.
Seperti
yang sudah dirancang dalam hatinya, malam itu Jasmin melayan Farid dengan penuh
rela dan mesra. Dalam remang lampu tidur, dia tersenyum puas mendengar
dengkuran kecil Farid.
Begitulah
berlaku dalam masa dua minggu itu. Apa yang Jasmin harapkan hampir berlaku.
Farid banyak menghabiskan masa di rumahnya bersama anak-anak. Malah Farid
langsung tidak pulang ke rumah Azura lagi. Jasmin rasa cahaya kemenangan sedang
memancar ke arahnya.Dendam
kesumatnya terhadap Azura hampir berbalas. Senyumnya saban hari saban melebar.
Namun…
“Min,
abang kena balik ke rumah Zura. Dah hampir dua minggu abang tidak ke sana. Tadi
Zura telefon, si Hana demam. Zura dah bawa pergi klinik, tapi tak baik juga.
Mungkin Hana rindukan abang…” Ujar Farid selepas makan malam bersama Jasmin dan
anak-anak. Hati Jasmin tiba-tiba cuak. Wajahnya berubah masam.
“Alah…itu
hanya alasan saja.Abang
janganlah bimbang sangat. Budak tu tak apa-apa. Bukan anak yang rindu, tapi
maknya yang dah gatal,” jawap Jasmin dengan sinis. Kata-kata Jasmin membuatkan
hati Farid rasa kurang senang.
“Kenapa
Min cakap macam tu?”
“Kenapa
pula? Salahkah?” Jasmin meneliti wajah suaminya.
“Min
tak patut cakap Zura macam tu, dia tu sabar dan bertolak ansur orangnya. Apa
yang abang buat padanya dia tidak pernah merungut. Hana pula terlalu rapat
dengan abang. Abang patut balik untuk tengok mereka. Mereka tu tetap tanggung
jawab abang.Sama dengan Min
dan anak-anak di sini.”
Wajah
Jasmin masam mencuka. Payah untuk dia menerima bahawa mentera Mak Joyah gagal
mengikis ingatan Farid kepada bini mudanya itu seratus peratus. Cemburu dan
sakit hatinya kembali mencengkam rasa.
Ketika
Farid meninggalkannya, dia tidak menoleh pun ke arah Farid. Hatinya kembali
berdarah. Luka yang baru nak mengering, kini bernanah semula. Baru dia
bercadang dan menyimpan hajat untuk memberi kata putus kepada Farid supaya
membuat pilihan dan perhitungan kasih antara dia dan Azura. Kini sebaliknya
pula berlaku. Farid telah hilang di sebalik sepi malam. Farid sudah kembali
kepada isterinya…
“Tak
apalah, hari ini aku gagal. Esok belum tahu lagi. Aku akan cari bomoh yang
lebih handal. Aku akan bayar berapa pun harganya. Wang bukan segalanya. Kau jaga
Farid!” Itu bisikan iblis yang mula memujuk hati nubarinya.
“Mak
Inah!” Laungnya kepada pembantu rumah yang sudah sekian lama bekerja dengan
setia itu. Sunyi. Tiada jawapan. Tiada juga derapan kaki wanita seperuh umur
itu. Hatinya bertambah geram.
“Mak Inah! Mak Inah!!” Laungnya lagi. Tidak
lama kemudian, baru dia nampak kelibat wanita itu berlari-lari ke arahnya.
“Mak Inah ke mana? Pekak ke?
Saya panggil berkali-kali…!”
“Minta maaf puan, Mak Inah di bilik tadi. Mak
Inah tengah solat Isya’,” jawap wanita
itu dengan wajah ketakutan dan terkejut. Jasmin terdiam. Dia mula rasa bersalah
kerana melepaskan geram dan kemarahannya kepada pembantu rumah yang setia itu.
Akhirnya
dia bangun dan meninggalkan wanita itu. Mak Inah pula terkebil-kebil kerana tidak tahu kenapa dia dipanggil.
Namun, dia tidak sedikit pun berkecil hati kerana sudah faham benar dengan
angin satu badan majikannya itu. Dia sudah lali dengan jerit pekik Jasmin.
Semuanya terpaksa ditelan demi mencari rezeki untuk menyambung kehidupannya.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.