Home Novel Keluarga Secebis Kasih
Secebis Kasih
Alia Alizs
26/1/2019 11:22:33
143,473
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11
Riuh-rendah jalanraya dengan bunyi hon dari  kenderaan. Jalan punyalah sesak tadi. Naik kematu punggung Nadhila duduk dalam bas. Masuk je Bangsar, hujan selebat-lebatnya. Sampai tak nampak jalan. Tapi sekejab saja.

Bas berhenti di hadapan Central Market Kuala Lumpur, beberapa orang penumpang turun termasuk Nadhila. Hari semakin gelap, gerimis pula tu. Turun saja dari bas, Nadhila terus berjalan laju ke arah Puduraya. Banyak kedai-kedai dah tutup. Gerun juga dia lalu tepi-tepi kedai yang gelap. Hanya mengharapkan cahaya lampu dari kenderaan yang lalu dan lampu jalan yang samar.

Sesekali saja terserempak dengan pejalan kaki yang lain. Dia pun tak tahu jam berapa sekarang ni. Susah tiada handphone. Jam tangan pula tiada. Aduhai Nadhila. Tawakal sajalah. Nak bertanya pada orang, tak yakin pula dia tanya ditengah-tengah jalan ni. Tak pasal-pasal lain pula jadinya. Mungkin sudah masuk jam 10.00 malam kut, tekanya dalam hati. Belum pernah lagi dia selewat ni ke KL. Tapi kenderaan masih banyak, hanya pejalan kaki je kurang.

Kenapalah rasa lambat pula langkahnya. Dah paling lajulah tu dia jalan. Berdebar-debar pula hatinya. Berhenti di lampu isyarat pejalan kaki. Membiarkan kenderaan melintas. Di kanannya seorang lelaki bertubuh kurus kering, memakai tshirt maroon. Tak silap, lelaki itu satu bas dengannya tadi tapi tak perasaan pula lelaki ini naik dari mana. Rasa curiga pula Nadhila pada lelaki itu. Nadhila menoleh pada lelaki itu, lelaki itu memandangnya dengan pandangan tajam sekali. Atas bawah dipandangnya Nadhila. Seramnya.

Nadhila buat biasa saja tapi dalam hati. Ya Allah.!! Lindungilah aku.. Doa dan doa. Apabila lampu pejalan kaki bertukar hijau. Dengan laju Nadhila terus melangkah. Nadhila sengaja jalan perlahan, lelaki itu pun jalan perlahan juga. Apabila Nadhila jalan laju, dia pun jalan laju juga. Ah.. Sudah!!

Melalui depan Kotaraya. Tempat ni paling Nadhila tak suka lalu. Banyak budak-budak nakal lepak. Memang akan kena kacau, lepas itu berani pula sentuh-sentuh. Walaupun kawasan itu, ramai orang tapi kalau budak-budak nakal buat hal pada orang lain. Tiada siapa berani menegur, memarahi jauh sekali. Paling tidak pun mereka hanya mampu melihat saja. Membiarkan mangsa dikacau. Mungkin mereka takut bila mereka menolong mangsa, mereka pula yang akan kena. Biasalah tu, hidup di KL. Makin nak menolong makin sendiri yang kena. Hanya yang betul-betul berani saja akan tolong mangsa. Perkara pernah terjadi didepan mata Nadhila. Bukan sekali dua tapi banyak kali. Menakutkan!! Itulah sebabnya kenapa Nadhif selalu marah Nadhila kalau  turun KL. Bahaya untuk dirinya. Sebenarnya ada sebab kenapa Nadhif marah padanya. Ah!! Malas dia nak fikir pasal abangnya. Masih sakit lagi hatinya.

Nadhila berjalan laju. Lelaki itu semakin menghampirinya dan menyentuh lengan Nadhila ketika melalui satu kawasan gelap di sebelah Kotaraya. Nadhila menoleh ke belakang. Lelaki itu senyum miang.

"Nak ke mana jalan laju-laju. Jom abang temankan..!" Nadhila terus berjalan. Begnya dipeluk. Berdegup kencang jantungnya. Nak minta tolong pada siapa waktu-waktu macam ni. Berani-berani Nadhila pun dalam keadaan macam ni jadi takut juga dia.

"Adik manis.. !! Tunggulah.." Lelaki itu terus sentap tangan Nadhila. Nadhila tepis kasar.

" Apa ni? Kau nak apa?!" Nadhila melawan. Berhenti langkahnya.

" Amboii.. Garangnya. Ni yang buat abang suka ni.." Semakin berani lelaki itu mendekati Nadhila.

"Oitt.. Kau nak makan sorang je ke? Bawalah aku sekali" Seorang lagi lelaki muncul dari arah belakang Nadhila.

"Hahaha.. Boleh bro. Jangan risau..!!" Nadhila memandang serius pada lelaki jahat itu. Dia dah bersiap sedia dengan langkahnya. Ada yang patah tangan nanti ni.

" Jangan berani kau nak sentuh aku. Tepi..!" Kata Nadhila kasar. Mula melangkah.

" Nantilah adik manis...!!" Lelaki itu cuba menarik lengan Nadhila. Dan dengan sepantas kilat Nadhila tendang lututnya dengan kuat sekali. Mengaduh kesakitan lelaki jahat itu.

" Alamak..!! Janganlah main kasar adik manis. Adik kasar abang pun kasar juga..!" Kawannya pula cuba menghampiri Nadhila.

Hampir Nadhila diterkamnya tapi Nadhila sempat mengelak. Beg dicampak ke tepi. Lelaki itu semakin kasar, pergelangan tangan Nadhila disentap lagi, Nadhila tetap melawan dan terus gigit tangan lelaki itu sekuat hati. Pegangan tangannya dilepaskan dan menjerit kesakitan.

" Aduhhh..!! "

" Padan muka..!! Kau nak lagi. Meh sini.." Memang tak tahu takut Nadhila ni. Makin dicabar pula penjahat tu. Yang sorang dari arah tepi pula cuba memukul Nadhila. Nadhila lagi hebat terus tendang kemaluan lelaki itu. Terduduk lelaki itu. Langsung tak mampu berkata-kata. Sudahlah kena tendang di lutut tadi, kali ni kena tendang di kemaluannya pula.

"Amacam bro.. Best tak?!" Nadhila perli. Senyum. Beberapa orang menonton aksi mereka. Tiada seorang pun yang mahu membantu. Hanya terdengar jeritan menyuruh telefon polis. Sabar sajalah.  Mujurlah Nadhila ni ada ilmu silat kampung. Dia manfaatkan sebaiknya.
 
Tanpa Nadhila sedar, kawan penjahat itu dari arah belakang mengambil seketul batu sederhana besar ditepi tiang lampu dan mahu memukul kepala Nadhila dan...

"Oiii...!!" Satu jeritan kuat suara lelaki bertopi dari arah tepi berlari ke arah Nadhila. Penjahat itu menoleh serentak. Terpaku seketika.

"Berambus..!! Kalau tak, patah kepala kau aku kerjakan. Berambus..!!" Mata penjahat itu merenung tajam mata lelaki bertopi. Berlawanan mata. Nadhila cuba mengintai wajah lelaki bertopi yang betul-betul berdiri dihadapannya menghalang dia dari si penjahat itu. Tapi Nadhila boleh pula dengan selamba mengambil beg berdekatan penjahat.

Mata penjahat melirik pada Nadhila, dengan wajah bengis. Dua hati sama ada mahu menerkam Nadhila atau tidak. Tercengang lelaki bertopi dengan reaksi selamba Nadhila. Nadhila tunduk mengambil beg dan tangan terus menghayun begnya yang berisi buku tebal dan pakaian ke muka penjahat itu. Tepat kena mukanya. Ambil kau!

" Pergilah berambus. Yang kau berdiri lagi dekat sini dah kenapa. Bengonggg..!!" Terus saja dua penjahat itu lari lintang pukang. Nadhila memerhati penjahat itu sampai hilang dari pandangannya.

"Hahahaaa.. Awak ni betul-betul lah Dhila.." Nadhila terus menoleh pada lelaki bertopi itu. Suaranya seperti kenal.

" Laaa.. Awak ke?! Hahahaa.. " Nadhila gelak. Dah dua-dua gelak. Orang yang menonton kejadian tadi pun bersurai.

" Hey!! Macam mana awak boleh ada dekat sini? Ooo awak ni kaki rayap ye, cari anak ayam ye.." teka Nadhila. Sengaja.

" Ishh!! Agak-agaklah menuduh pun. Saya ni insan suci tau..!" Jawab Shakil.

" Hmm.. Sucilah sangaaatttt..!! Okeylah Encik Shakil. Terima kasih tolong saya ye. Moga Allah balas hati suci awak tu. Byee..!!" Kata Nadhila dan terus berjalan meninggalkan Shakil.

" Eh.. Eh.. Kejab!! Dhila.. Tunggu.. Tunggu..!!" Shakil mengejar Nadhila yang laju berjalan. Nadhila berhentikan langkah.

" Iye.. Nak apa lagi? Saya dah lewat ni.." Mendongak sikit kepalanya memandang wajah Shakil yang tinggi itu.

" Awak nak pergi mana malam-malam ni? Sorang-sorang pula tu.." tanya Shakil lembut.

" Saya nak pergi Puduraya tu ha. Dahlah.. Saya dah lambat dah ni.. Bye.. Bye..!!" Nadhila jalan semula.

"Tapi awak nak pergi mana sebenarnya ni?!" Shakil mengekorinya. Jalan disebelah Nadhila. Nadhila buat muka bengang.

" Saya nak ke Puduraya nak ambil bas balik JB. Puashati?! Saya nak cepat, nak ambil bas last.." jawab Nadhila sambil berjalan.

"Balik JB?! Bukan awak balik lusa ke?!" Nadhila berkerut.

" Awak ni banyak tanyalah. Sukahati sayalah nak balik malam ni ke, esok ke, lusa ke, tahun depan ke. Susahkan awak ke?! Kecohlah dia ni.." Nadhila menjeling. Dia menuju ke jalanraya mahu melintas jalan. Pandang kanan dan kiri, apabila tiada kenderaan terus jalan laju. Shakil masih lagi mengekorinya.

"Tapi kan dah lewat ni. Bas dah tak adalah. Bas last ke JB jam 11.00 malam. Ni dah 11.20malam.." Shakil memberitahunya. Nadhila tak hiraukan pun. Terus je jalan.

" Bukan ada satu bas je kut. Melambak kan..!" Nadhila menjeling pada Shakil.

" Orang cakap tak percaya. Pergilah tengok sendiri kalau tak percaya.." Nadhila terus jalan laju. Shakil tetap ikut dari belakang. 


Nadhila menaiki anak-anak tangga. Dah banyak kaunter tutup. Dia jalan menuju ke kaunter Bas Transnasional seperti biasa. Bertanya pada kaunter. Muka sedih. Shakil senyum melihatnya. Nadhila jalan lemah ke arah Shakil.

" Kan..! Tulah orang cakap tak percaya. Saya ni orang JB, dah masak sangat dah bab perjalanan bas ni. Waktu perjalanan semua saya tahulah! Saya sebelum ni pun naik bas juga.." jelas Shakil. Nadhila berkerut pandang sekilas wajah Shakil. Membisu. Lalu, jalan ke tempat menunggu. Duduk di bangku batu. Mengeluh kecil. Shakil memerhati saja. Duduk disebelah Nadhila.

" Awak nak buat apa ni? Kaunter bas buka esok pagi tau.."

" Saya tunggu sini je. Awak pergilah balik.." Jawab Nadhila perlahan.

"Nak tunggu sini? Tak kan nak tidur sini. Jom ikut saya..!"

"Taknak lah. Awak nak buat tak baik dekat saya kan?! Taknak.. Taknak.. Saya lagi selamat dekat sini.." Nadhila menolak. 

"Astagfirullah Al Azim. Janganlah fikir bukan-bukan. Saya tak sejahat tulah.."

"Zaman sekarang ni yang jahat dah sah jahat. Tapi yang konon baik tu lagi jahat dari yang jahat tau tak. Taknak lah.. Dah.. Dah.. Awak pergi balik. Jangan kacau saya, saya nak tidur..!" Nadhila masih menolak. Geleng kepala Shakil. Nadhila menyandarkan kepala dan konon-konon menutup mata. Shakil tiada pilihan. Dengan cara baik Nadhila tak ikut, jadi dia buat cara kasar. Terus tangan Nadhila ditarik.

"Heyyy! Lepaslah. Awak nak bawa saya ke mana ni.." Nadhila meronta-ronta minta dilepaskan. Shakil tak menjawab. Dibiarkan Nadhila membebel.

" Sakitlah.." Menjerit perlahan.

" Sorry.. Sorry..!! Jangan panik. Ni adik saya, dia ni memang degil. Nak ajak makan pun susah.." Shakil menerangkan apabila ada beberapa orang yang memandangnya semacam. Mesti orang fikir sesuatu apabila melihat Nadhila meronta-ronta minta dilepaskan. Setelah mendengar penjelasan Shakil, baru mereka senyum dan angguk tanda faham.

"Adik?? Bila masa saya jadi adik awak ha?" Lepaslah. Ni kalau saya bagitahu abang saya. Mesti awak kena tembak dengan dia.!" Masih membebel mulut Nadhila. Shakil terus menarik tangan Nadhila ke parkir kereta. Sunyi dan gelap gelita. Hanya ada beberapa buah lampu saja yang terpasang. Menakutkan!

" Nak lepas sangat kan? Okey saya lepaskan. Pergilah.. Nak pergi mana, pergilah. Tempat ni keras tau, banyak kes bunuh dekat sini. Baru-baru ni perempuan kena penggal kepala. Tapi kepalanya tak jumpa, yang jumpa badan je. Orang cakap kepala tu berlegar-legar dekat kawasan ni nak cari badannya. Waktu-waktu macam nilah dia selalu keluar. Sebab tu tempat ni sunyi, tak ada orang berani nak parkir sini, kepala tu nak ikut balik. So, awak nak pergi kan. Pergilah.. Hati-hati tau. Saya balik dulu. Byee...!!" Nadhila telan liur. Pandang kanan dan kiri.

"Eleh.. Tak takut pun..!" Berlagak pula Nadhila ni. Masih berdiri sendiri. Memang betul-betul gelap. Tak ada orang langsung. Kecut perut jugalah. Dup.. Dap.. Dup.. Dap jantungnya. Nadhila berpatah balik mahu ke tempat menunggu tadi. Dia berjalan laju. Hanya terdengar tapak kasutnya sendiri. Naik bulu romanya. Berpeluh dia ketakutan. Alamak!! Mana pula jalannya ni. Aduh..!! Nadhila berkerut. Tak tahu nak ke kanan ke atau ke kiri. Kanan dan kirinya juga gelap. Dia ditengah-tengah.

"Krikkk... Krikkk..!!" Terdengar sesuatu di tiang batu dengan jelas sekali. Seperti bunyi cakaran pada batu. Dia menutup mata rapat. Takutt!

"Ya Allah..!! Lindungilah aku dari kepala tu..!" Suara perlahan. Semakin kuat pula bunyinya dan seperti bunyi itu menghampirinya pula. Tak boleh jadi ni. Mana aku nak lari, bisik hatinya. Satu.. dua.. tiga... Lariiii..!! Nadhila lari ke arah belakang, arah Shakil jalan tadi. Lari selaju mungkin.

" Dhila..!!" Shakil memanggilnya. Nadhila nampak kelibat Shakil. Terus lari ke arahnya dan terus memeluk lengan Shakil tanpa sengaja. Ketakutan teramat. Muka disembamkan pada bahu Shakil.

" Kenapa ni?! " Shakil saja bertanya. Padahal dia yang menakutkan Nadhila tadi. Shakil menahan gelak.

"Saya takut..!! Kepala tu ikut saya kut.." kata Nadhila dengan mata yang masih tertutup. Kuat betul lengan Shakil dipegang.

Shakil senyum lebar. Lawak!!

" Kan saya dah cakap. Degil lagi degil..! Selamat saya tak balik lagi. Kalau saya dah balik, macam mana?! Mesti kepala tu ikut mana awak pergi. Lain kali kalau orang cakap tu dengar sikit. Jangan melawan. Tahu?!"  Nadhila angkat kepala. Pandang muka Shakil.

" Dia pula nak membebel. Orang tengah takut kut. Dahlah.. Tak jadi takutlah macam ni.." Nadhila bengang. Senyum lagi Shakil. Terus buka pintu kereta. Nadhila tercegat lagi. Berkerut dahinya. Bengang lagi.

"Dahlah masuk dalam kereta cepat. Apa tercegat lagi tu. Nak tunggu kepala tu datang dekat ke..! Masuk cepat..!!" Arah Shakil. Tegas.

"Ishh!! Tak payahlah panggil kepala tu..! Kecoh betul lah.." Merungut Nadhila dan terus masuk dalam kereta. Cepat-cepat dia tutup pintu. Sandarkan badan, leganya rasa badan. Senyap.

Shakil menghidupkan enjin kereta. Memasang aircond. Menoleh pada Nadhila. Nampak letih wajah Nadhila.

" Dah makan belum?!" Tanya Shakil. Lembut suara. Nadhila geleng kepala.

" Petang?!" Pun geleng kepala. Shakil berkerut.

" Tengahari ada makan tak?!" Nadhila geleng lagi.

" Dari tengahari sampai ni awak tak makan langsung?!"

" Makan roti satu.." Mata memandang ke depan.

" Tak apalah. Saya bawa awak makan ya..!" Nadhila menoleh pada Shakil angguk dan senyum manis padanya. Shakil membalas senyuman. Memulakan pemanduan.

Nadhila memejamkan mata. Terasa letih sangat dia. Shakil menoleh lagi pada Nadhila. Simpati pada nasib Nadhila. Sebelum berjumpa dengan Nadhila tadi, Nadhif ada call dia. Minta tolong carikan Nadhila sampai dapat. Dan Nadhif dengan rendah egonya menceritakan kejadian pagi tadi. Nadhif meluahkan rasa kesalnya. Entah macam mana Nadhif boleh terbuka hati mahu cerita pada Shakil. Shakil dengar dan ambil positif masalah tuannya itu.

Dia tolong mana yang mampu. Dari apa yang diceritakan oleh Nadhif tadi dan sebelum ni. Dengan melihat sendiri layanan Nadhif pada Nadhila dan Nabiha. Mendengar perbualan adik-beradik itu sepanjang perjalanan dari Melaka ke KL. Shakil dapat rasakan, yang Nadhif nampak sangat lebihkan Nabiha. Kasihan Nadhila.

Simpati dan simpati. 

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Alia Alizs