Home Novel Keluarga TOLONG CARI SUAMIKU!
TOLONG CARI SUAMIKU!
Asmah Hashim
21/12/2013 22:40:47
95,412
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
BAB 12

 

Mastura sibuk memunggah barang-barangnya masuk ke bilik tetamu. Dia tersenyum sendiri. Pandai-pandai mereka memberinya bilik kecil itu, kemudian hendak jadikan dia pembantu rumah. Ingat zaman Ibu Mertua atau Antara Dua Darjat? Dia pun sekolah juga. Entah berapa banyak novel yang telah dibacanya kisah ibu mertua seksa menantu atau madu buli madu.

Dia akan pertahankan haknya sehingga ke titisan darah terakhir. Dia bukan insan lemah yang mudah dikotak-katikkan. Kalau ikutkan hati, boleh sahaja dia keluar dari rumah itu. Kalau tidak kerana memikirkan rancangan yang diatur dengan pak longnya, tidak mahu dia berlama di rumah itu.

Kehadiran peguam keluarga itu membuatkan ketiga-tiga penghuni rumah itu berkumpul di ruang yang sama. Masing-masing saling memandang ke arah lain. Mastura mengulit dan membelai Maria yang duduk di pangkuannya. Halijah menyilang kaki sambil duduk penuh bergaya. Katrina bermain dengan jari-jemarinya menunggu dengan sabar apa yang bakal dibacakan oleh peguam bernama Haji Arshad itu nanti.

“Lambat lagi ke, Tuan Arshad?” tanya Katrina tidak sabar. Sampul surat yang hendak dibuka, bukannya payah mana pun. Sengaja hendak melengah-lengahkan masa. Kalau dia dapat separuh daripada harta tersebut, dia akan keluar dari rumah itu. Tidak sanggup serumah dengan madunya itu. Buat sakit hati dan jiwa sahaja.

Bukan dia tidak sayang ibu mertuanya tetapi menjaga dan membela bukan kerjanya. Orang tuanya sendiri dia tidak rawat, inikan pula hanya bekas ibu mertua. Biar tarafnya sama dengan ibunya sendiri. Bukan dia tidak hormat, tetapi tidak mungkin dia menghabiskan usia mudanya dengan menjaga orang tua itu. Dia berharap biar madunya tidak dapat sesen pun. Sebelum majlis pernikahan, wasiat harta arwah suaminya telah diubah atas permintaan ibu mertuanya. Wasiat diberi nama agar tidak dituntut oleh orang lain terutama isteri tua arwah suaminya.

“Sabarlah, Rina.” Halijah memujuk. Gelojoh sangat. Macamlah harta itu hendak lari ke mana-mana. Atau dia sendiri yang hendak lari? Wajah kelat menantunya ditatap seketika. Cantik, tetapi wajah yang tiada serinya. Dia mengalihkan pandangan ke arah Mastura yang sedang mengulit Maria, cucunya yang langsung tidak pernah dipegang dan disentuh, hanya pada hari pertama dia berlagak baik. Konon meraikan kehadiran kedua-dua beranak itu. Di dalam hati ada duri dan tanahnya tandus. Mana mungkin ada taman, berbunga mekar kasih dan sayang kepada kedua beranak itu. Membiarkan benih-benih dendam dan kebencian tumbuh subur tanpa siraman kasih dan sayang.

Dia lihat tiada reaksi teruja ingin mengetahui apa yang ditinggalkan oleh arwah suaminya. Mungkin sudah banyak agaknya harta dia sendiri? Kalau tidak, mana mungkin dia mengajikan tiga orang pembantu rumah? Setakat ini kau menang. ‘Kau tunggulah. Kau ingat aku akan duduk berpeluk tubuh aje?’ detik hati kecilnya.

“Baiklah, saya baca wasiat yang telah dibuat oleh arwah Wan Ashraf Wan Kamarudin pada hari arwah ditemui meninggal di dalam keretanya. Harap pihak Puan Hajah Halijah dan menantu bersabar dengan ujian yang menimpa.” Haji Arshad memulakan bicara. Membacakan wasiat yang telah ditulis oleh pelanggannya.

“Saya, Wan Ashraf Wan Kamarudin, ketika membuat wasiat ini dalam keadaan sedar, sihat dan tiada penyakit nyanyuk atau ada orang lain yang mempengaruhi keputusan yang dibuat. Segala harta peninggalan saya, saham syarikat di dalam dan luar negara, rumah yang diduduki oleh ibu saya semuanya saya serahkan kepada penama Wan Mastura binti Wan Harun sebagai pemegang amanah harta yang akan diwariskan kepada anak saya, Wan Maria binti Wan Ashraf.

Kepada isteri kedua saya, Katrina yang sememangnya dilahirkan dari keluarga yang berada dan berharta rasanya tidak memerlukan semua warisan saya. Kepada ibu saya, dia boleh terus tinggal di rumah itu. Wan Mastura binti Wan Harun dilantik sebagai penjaga harta ini.

Mastura tidak boleh keluar dari rumah yang diduduki sekarang sehinggalah Maria berusia 21 tahun dan mampu berdikari. Katrina pula akan diberi alaun sebanyak RM1500 sebulah sahaja. Ehsan dari saya sebagai suaminya.

Saya harap tiada sebarang pertikaian berlaku. Keputusan yang dibuat adalah muktamad. Sebarang pemindahan harta tidak akan dibenarkan berlaku. Jika itu berlaku segala harta ini akan diserahkan kepada Baitulmal.

Tidak dibenarkan juga ditukar milik jika perkara itu berlaku, seperti perkara di atas, seluruh harta akan diserahkan kepada pihak Baitulmal.” Haji Arshad menarik nafas panjang. Selesai tugasan pertama. Dia pasti ada yang akan berkicau, meraung dan mengaum bagaikan singa lapar kerana harta itu hanya diserahkan kepada Maria seorang sahaja, Mastura sebagai pemegang amanah menjaga harta tersebut.

Apa lagi? Menyirap darah Halijah dan Kartina ketika Haji Arshad membaca wasiat itu.

“Kau silap baca ke, Arshad?!” jerit Halijah, tidak percaya dengan apa yang dia dengar tadi. Dia tidak pekak. Telinganya bersih, tiada sebarang kekotoran. Jelas di pendengarannya.

“Rina tak dapat apa-apa? Hanya RM1500 sebulan? Nak makan apa? Baju Rina sehelai aje dah harga beribu-ribu ringgit. Ibu! Mana aci?” rengek Katrina, marah dan geram. Lain yang diharapkan, lain yang jadi. Mahu sahaja dia tembak peguam yang sudah lama menjadi peguam keluarga ibu mertuanya itu. Buat sakit mata dan sakit telinga sahaja mendengar butiran wasiat.

Bila pula arwah suaminya tukar wasiat tersebut? Takkan sebelum meninggal? Hisy, bila? Katrina mengetap bibir. Rasa mahu digigit lidahnya biar putus. Janji sudah dibuat dengan kedua-dua orang tuanya untuk memberi beberapa ratusan ribu ringgit. Dalam keadaan begini bukan ratusan ribu, ratusan ringgitpun belum tentu.

“Puan hajah... Puan Katrina. Inilah yang telah ditulis oleh arwah sebelum dia menemui ajal pada hari yang sama. Harap puan hajah dan Katrina terima dengan hati yang terbuka. Kerja saya sudah selesai. Puan Mastura tolong tandatangan di sini tanda penyerahan harta ini kepada puan sebagai pemegang amanah kepada Maria, anak puan yang merupakan waris tunggal harta-harta ini,” kata Haji Arshad.

Mastura terdiam. Segala keputusan arwah suaminya pasti disanggah oleh kedua-dua insan yang berada di hadapannya. Api kebencian sedang marak menyala di mata masing-masing. Kalau mereka harimau atau binatang buas sudah pasti dia dan Maria ditelan hidup-hidup tidak tunggu lagi. Biar lenyap di muka bumi.

“Dia tidak berhak dapat harta ini!” jerkah Halijah.

“Saya tidak boleh berbuat apa-apa, puan hajah. Tidak boleh ada pemindahan. Kalau itu berlaku, semua orang tidak akan dapat apa-apa. Itulah yang telah tertulis di dalam wasiat ini,” terang Haji Arshad.

“Apa dah kau buat, Ashraf?!” jerit Halijah seperti orang hilang akal. Wajah Mastura ditenung dengan kejam. “Apa yang kau bagi anak aku makan, hah?! Sampai semua harta dia beri kepada kau dan anak kau aje?” Melengking suaranya bagaikan halilintar memecah bumi. Kalah kilat jika terdengar pancaran suara Halijah itu.

“Mas mana ada buat apa-apa?” Mastura membela diri. Dia tidak akan mendiamkan diri jika dihina. Bukan dia gila harta. Bukan dia mengemis dengan suaminya. Itu adalah hak Maria, anaknya.

“Berani kau jawab, ya?!” Halijah mengangkat tangan, namun pantas ditahan oleh Haji Arshad.

“Puan Hajah Halijah! Mastura menantu awak. Mulai sekarang dialah yang menguruskan segala keperluan puan. Lagi satu, puan tidak boleh menghalau dia dari rumah ini. Kalau dia keluar dari rumah ini, puan dan Katrina tidak akan dapat apa-apa,” terang Haji Arshad. Kecewa dengan sikap wanita yang sudah berumur itu.

“Semua ini tipu! Bohong!” Macam orang hilang akal, Halijah tidak tentu arah. Bagaimana mungkin semua hartanya jatuh ke tangan menantu yang dibencinya itu? Kenapa Ashraf sekejam itu, sanggup menyerahkan harta kepada isteri tuanya? Dia dan Katrina gigit jari?

Dia mundar-mandir mencari jalan. Wajah Haji Arshad dipandang dengan berang. Kalau Gunung Berapi Kelud meledak hebat, lebih hebat letusan hatinya ketika itu.

“Puan hajah,wasiat ini ditulis sendiri oleh arwah. Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Tugas saya sudah selesai. Saya mohon diri dahulu. Jika ada sebarang masalah datanglah ke pejabat.” Haji Arshad menunduk hormat. Beg bimbit dicapai terus berlalu keluar. Tidak mahu berlama, nanti lain jadinya. Biarlah mereka mengamuk sesama sendiri. Kerjanya hanya menyampaikan kehendak pelanggannya. Walaupun sudah lama menjadi peguam keluarga itu, sikap wanita itu tidak pernah berubah. Suka mengarah dan memberontak. Menyerang tanpa berfikir diri itu sudah cukup tua untuk mengamuk bagaikan orang muda.

Halijah mengetap bibir. Wajah Mastura yang duduk di hadapannya terasa bagaikan kecil sahaja. Mahu sahaja dia menerpa dan bergomol dengan menantunya itu.

“Ibu! Apa Abang Ashraf dah buat? Semua harta diserahkan kepada Mastura! Apa semuanya ni? Sia-sia aje kahwin dengan Abang Ashraf, habuk aje yang tinggal!” amuk Katrina.

“Suti!” panggil Mastura.

“Ya, puan?” Suti berlari anak mendekati majikannya.

“Bawa Maria masuk bilik. Buka televisyen untuknya,” arah Mastura.

Suti akur. Dia mendukung Maria dan masuk ke dalam bilik. Dia keluar semula untuk menjalankan kerja di dapur.

Mastura memandang wajah kedua-dua insan yang menjadi teman serumahnya itu. Teman serumah? Mahu tergelak pun ada. Seorang madu dan seorang lagi ibu mertua. Entah apa ujian yang bakal dihadapinya nanti. Kenapalah arwah meninggalkan semua harta di bawah seliannya? Boleh pusing kepala 360 darjah. Duit simpanan dan saham syarikat yang diletakkan atas namanya sejak dia berkahwin dengan arwah suami sudah jauh lebih daripada cukup. Aduhai, bagaimana dia hendak menghadapi dua insan yang sedang memandangnya bagaikan singa lapar? Bila-bila masa sahaja mereka akan menerkam. Dirinya bagaikan mangsa sahaja di mata mereka.

“Mas tak tahu-menahu pasal harta ini ibu... Rina,” ujarnya, memandang wajah mereka silih berganti. Seram pun ya juga. Mereka berdua, dia hanya sendirian.

“Jangan nak pura-pura tak tahu! Entah-entah kau pujuk Abang Ashraf tukar semua harta atas nama kau! Bukan ke arwah meninggal selepas berjumpa kau!” Tinggi nada suara Katrina.

“Betul, Rina. Saya tak tahu-menahu.” Mastura meyakinkan mereka. Siapa yang harus disalahkan? Arwah suaminya atau peguam yang menurut sahaja kehendak pelanggannya. Semua ini membingungkan dirinya sendiri. Kenapa pula suaminya meletakkan dirinya sebagai pemegang amanah? Bukan ibu mertuanya?

“Dasar perempuan tak sedar diri!” marah Halijah berapi-api. Memang hatinya sedang marah, panas dan menggelegak.

“Ibu!” Mastura benar-benar kecewa. Dia sedar dirinya tetapi janganlah dirinya dihina. Kenapalah mereka tidak mahu memahami keadaan? Arwah suaminya sendiri yang membuat keputusan, bukan dia yang memaksa. Kalaulah dia tahu semua harta diletakkan atas namanya sebagai pemegang amanah, sudah pasti dia menolak. Biarlah sebahagian sahaja menjadi milik anaknya. Itu sudah lebih dari cukup. Dia masih kuat. Masih boleh bekerja. Masih boleh berdikari. “Mas cuma menjadi pemegang amanah sahaja ibu, Rina. Harta yang ada semuanya milik Maria, anak arwah.”

“Samalah tu! Kau kan mak Maria?!” Katrina bercekak pinggang. “Dasar perempuan pisau cukur!” tuduhnya.

“Hei, aku sudah cukup bersabar dengan perangai pura-pura kau itu, Rina! Jangan sedap hati aje menuduh aku pisau cukur? Kalau aku pisau cukur, dah lama rambut kau aku cukur bagi botak! Main sedap mulut aje. Kau ingat bila aku berlembut dan diam, kau boleh tuduh dan buat sesuka hati. Okey, nak main kasar, ya? Mulai hari ini, segala perbelanjaan aku yang tentukan! Faham?!” kata Mastura agak kasar. Sedap sahaja menuduh dia pisau cukur? Faham ke tidak apa makna pisau cukur? Dia isteri arwah yang sah dan Maria adalah anak arwah dan sememangnya layak mendapatkan sebahagian daripada harta arwah. Tapi kalau semuanya diserahkan kepada Maria, apa yang hendak dikata?

“Amboi, garangnya? Dah tunjuk tembelang ya?” Halijah menjegilkan mata.

“Bukan itu maksud Mas, ibu!” Mastura merenung wajah ibu mertunya yang kelat. Dia mengangkat kaki berlalu dari situ. Kalau berlama, pasti ada yang hilang akal nanti. Silap hari bulan ada yang mati katak kejap lagi. Pasal harta, masing-masing hilang arah nanti. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Daun pintu dikunci dari dalam.

Dia memandang wajah Maria. Rasa mahu melonjak gembira lantaran semua harta diletakkan atas nama anaknya. Apatah lagi namanya diletakkan sebagai pemegang amanah. Hisy, tadi itu bukan ayat pura-pura. Jangan salah faham pula. Dia memang tidak meminta harta arwah suaminya diletakkan namanya, tetapi jika sudah diberi, takkan dia hendak menolak? Bak kata orang tua-tua, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Dapat harta, musuh juga tiba bersama.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.