Entah berapa kali dia berlegar-legar di biliknya. Kalau
berjalan kaki, agaknya sudah sampai ke KLCC. Penat berdiri dan berjalan, dia
duduk di birai katil. Mencari jalan bagaimana hendak mengenakan madunya itu.
Sudahlah rancangan pertama gagal. Rancangan kedua masih belum ada jalan.
Katrina melangkah laju menuju ke bilik ibu mertuanya yang asyik berkurung di
dalam bilik. Mentang-mentang di dalam biliknya ada semua. Sudah berhari-hari
tidak ke pejabat. Semuanya gara-gara madunya. Konon hendak menyakitkan hati
perempuan itu tapi hati sendiri yang sakit.
Bukan main lagi siap beli perabot baharu, penghawa dingin,
televisyen. Eh, pasang Astro lagi! Mahu terbakar hatinya apabila memikirkan
kejadian itu. Banyak agaknya duit yang telah ditinggalkan oleh arwah suaminya
sehingga begitu mudah madunya berbelanja. Dia satu sen pun belum dapat. Orang tuanya
sudah membebel setiap kali menelefon meminta duit. Mereka ingat dia cop duit di
sini agaknya? Bukan mudah hendak meyakinkan ibu mertuanya untuk mengeluarkan
duit sebanyak ratusan ribu ringgit. Mana dia hendak cari duit sebanyak itu?
Duit hantaran pun hanya puluhan ribu sahaja. Mana cukup.
Daun pintu diketuk perlahan. Menunggu sehingga kelibat ibu
mertuanya keluar. Entah apa yang dibuat agaknya duduk seorang diri di dalam
rumah. Sudahlah setiap hari terpaksa mencari makan di luar. Ada pembantu rumah diberhentikan.
Kononnya hendak jadikan madunya sebagai pembantu rumah.
“Mari masuk,” pelawa Halijah. Dia menarik tangan Katrina
yang berwajah muram. “Macam mana? Takkan nak suruh perempuan tu bawa keluar
barang-barang dia? Nanti apa kata dia pula? Tak pasal-pasal dia syak kita nak
kenakan dia.” Dia menarik nafas. “Semalam lagi hebat. Kita suruh dia masak
untuk kenduri di rumah ni. Dia terus tempah katering,” sambungnya lagi. Terdiam
dia seketika. Hanya mampu melihat, apatah lagi tetamu yang dijemput hampir
hadir semuanya. Licik juga menantu sulungnya itu.
“Ibu jangan bimbanglah. Baru dua malam dia kat sini.
Banyak lagi masa. Mulai esok dia uruskan semua urusan rumah. Ibu pula bila nak
ke pejabat? Wasiat pun belum dibaca lagi? Bila agaknya?” Katrina perlu bertindak
segera. Dia perlu tahu apa yang dia dapat dengan berkahwin dengan suaminya.
Sudahlah sanggup jadi isteri kedua dan kini sudah jadi balu pula.
“Esok kita jumpa peguam arwah Ashraf. Nanti kita tahulah
Ashraf tinggalkan hartanya kepada siapa.” Halijah tersenyum manis. Mereka
berdua sudah tahu siapa yang menjadi pemilik harta-harta tersebut. Cuma Mastura
masih tidak mengetahuinya.
“Jadi kita nak buat apa hari ini dengan menantu hantu ibu
tu?” Katrina ia menjengah ke tingkap. Rumput sudah mula meninggi di laman
rumah. Pancutan air terjun buatan sendiri masih tidak bercuci. Siapa hendak
buat itu semua? Takkan dia pula? “Kita suruh dia kemas rumahlah, ibu. Laman tu
bersepah. Pokok banyak kering. Kolam tak bercuci. Hari-hari makan kedai, mahu
putus leher Rina ni,” Dia mengomel pula.
“Bagus juga tu. Biar ibu turun beritahu dia. Pergilah beli
makanan di Restoran Sharifah. Ibu nak makan masak lemak ikan parang,” ujar
Halijah sebelum berlalu meninggalkan menantu kesayangannya itu.
Dia terus ke dapur. Bau masakan menerjah hidung. Apa pula
menantunya masak hari ini? Bau macam asam pedas? Takkanlah?
“Kau masak apa tu?” sapanya.
Mastura menoleh. Wajah ibu mertua yang berdiri tegak macam
tiang lampu dipandang sekali imbas. Api dikecilkan nanti hangit pula tumisannya
itu.
“Asam pedas ikan pari, ibu. Buka peti sejuk ada ikan pari.
Itu yang Mas masak. Ibu suka ke?” Dia cuba bermesra walaupun dia tahu tiada
sayang di hati ibu mertuanya terhadap dirinya. Biarlah. Dia hanya berharap
suatu hari nanti ibu mertuanya akan sayang padanya.
Asam pedas? Manalah dia suka makan asam pedas? Halijah
mencebik.
“Mastura, memandangkan rumah kita tak ada pembantu rumah
dan tukang kebun, semua kerja dalam dan luar rumah Maslah yang buat. Nama pun
duduk menumpang. Ibu tahu rumah dan laman bersih setiap hari, faham!”
perintahnya.
Mastura yang baru sahaja selesai menanak nasi menoleh.
Terkejut juga dengan perintah ibu mertuanya itu. Kalau rumah itu kecil, mungkin
dia mampu buat seorang. Ini banglo dua tingkat. Laman rumah bukan main luas.
Banyak pula pokok bunga. Mahu separuh hari jika menyiram. Siap dengan taman
mini. Jenuhlah dia hendak membersihkannya. Jangan takut, jangan bimbang, pasti
ada jalan. Senyuman terukir di bibir. Sudah ada jalannya.
“Kenapa senyum? Faham tak cakap ibu?” Halijah kurang
selesa melihat senyuman terukir di bibir Mastura.
“Tak ada apa, ibu. Makan tengah hari saya hidangkan di
atas meja. Kalau ibu nak makan, nanti ambillah ya?” Mastura mengemas dapur dan
alatan yang sudah digunakan.
Halijah memerhatikan sahaja kepantasan Mastura bekerja di
dapur. Cekap. Namun perempuan itu tetap bukan menantu pilihan. Memandang wajah
itu buatkan hatinya sakit.
Mastura ke laman rumah. Dia mendail nombor seseorang. Usai
bercakap apa yang perlu, dia memeriksa apa yang patut. Taman mini itu sudah
berlumut. Airnya juga tidak jernih lagi. Buat apalah susah-susah membina taman
mini? Dia tahulah ibu mertuanya banyak duit, tapi takkan tak mampu nak gajinya
pekerja membersihkan kawasan laman ini? Dia mana pandai menjaga pokok-pokok
bunga in? Setakat menyiram, bolehlah. Rumahnya ada juga ditanam pokok bunga
tetapi tidaklah seluas dan sebanyak di laman banglo itu.
Hari sudah meninggi. Tak mungkin dia akan menyiram pokok
pada waktu begini. Mahu layu dan mati pokok-pokok tersebut. Dia menjengah ke
luar pagar. Tebing yang memisahkan kawasan tersebut dari tanah sebelah kukuh
binaannya. Matanya liar memerhati ke luar sehinggalah dia berhenti memandang
satu wajah. Wajah yang sangat dikenalinya. Wajah yang sentiasa bermain di
matanya apabila malam menjelang. Dia tidak percaya wajah itu berada di depan
matanya.
Mastura berlari keluar. Pintu pagar tidak berkunci. Dia
tercari kelibat wajah itu namun sudah tidak kelihatan. Dia pasti dia tidak
bermimpi. Bukankah hari masih siang? Tertunduk-tunduk dan terjengah-jengah.
“Kau cari apa?” tegur satu suara.
Sepantas kilat kepala Mastura menoleh. “Mas nampak Abang
Ashraf!” beritahunya.
“Kau gila agaknya? Siang-siang hari ni, mana ada hantu?
Abang Ashraf dah meninggallah!” Katrina pula tercari-cari. Seram sejuk pula
dirasakan apabila Mastura ternampak arwah suaminya. Tidak mungkin? Sahlah
madunya itu sudah hilang akal. Orang sudah meninggal boleh dilihat lagi?
Mustahil!
“Memang Abang Ashraf pandang ke rumah ni!” tegas Mastura.
Dia tidak buta dan dia pasti dia nampak arwah suaminya.
“Pergilah masuk. Orang dah mati, mana boleh hidup lagi?
Kau tak nampak ke mayatnya?” herdik Katrina. Jenazah arwah suaminya dibawa
balik ke rumah. Dikafankan, dan dimandikan. Disembahyangkan dan terus dibawa ke
kubur.
“Mayat arwah kan rentung? Kereta arwah terbakar hangus.
Mungkin yang meninggal bukan arwah suami kita? Mas yakin sangat, orang yang Mas
nampak itu suami kita!” Mastura masih bertegas. Matanya belum rabun lagi. Kalau
itu bukan suaminya, tetapi siapa? Tidak mungkin pelanduk dua serupa?
“Mulalah nak merepek. Pergilah masuk! Buang masa layan
omongan gila kau tu.” Katrina meninggalkan Mastura yang masih tercari-cari
orang yang dilihat tadi. Lantaklah. Orang mati, mana boleh hidup lagi? Kalau
dia hendak gila, biar Mastura gila seorang. Dia menghidupkan enjin kereta,
masuk gear terus menekan pedal minyak. Meluncur laju keretanya meninggalkan
pekarangan banglo yang terletak di dalam kawasan padang golf di Bangi.