Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,747
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
22


      Keesokan harinya, badanku terasa sengal – sengal. 

      “Bangun Abang.  Ayo segera ke puncak Ben Nevis,” Omar menggoyang – goyangkan kakiku sambil tersenyum lebar.  Dia telah pun bersiap sambil memegang jaket tebal.

      “Kita perlu mendaki lagikah, Omar?” tanyaku dengan cemas.  Belum sembuh lagi dari pengalaman semalam, hari ini hendak ditambah pula keperitannya.  Selama 15 jam pula itu menurut Omar semalam.

      “Nggak.  Hari ini bisa menanjak dengan mobili dan gondola.  Bahkan Grandmama bisa melakukan.  Ayo, Papa menunggu di mobil,” jawab Omar seperti bertih jagung sebelum keluar dari ruang tamu membiarkan aku bangkit perlahan – lahan seperti Grandmama yang sakit pinggang.

      Kami berenam termasuk adik – adik lelaki Omar, menaiki van abang Mikael dan bergerak menuju ke stesen pengangkutan gondola di kaki puncak Ben Nevis.  Cuaca masih sejuk walaupun hari sudah mulai terang.  Langit biru mula kelihatan di balik lapisan awan yang tebal.  Kami tiba semasa stesen gondola masih lagi lengang pada pagi Ahad ini. 

      Pemandangan kami semasa menaiki gondola disajikan dengan hutan pokok – pokok fir yang berbaris di lereng kaki gunung.  Permukaan banjaran gunung menuju ke puncak pula dipenuhi rumput hijau kuning kering yang tumbuh melata.  Sebahagiannya hanyalah permukaan batu berwarna hitam merah warna musim luruh.  Sebaik sahaja gondola tiba di puncak, kami memulakan pendakian sambil diiringi angin sejuk yang bertiup kencang di atas puncak.  Keadaan puncak Ben Nevis berbentuk landai seperti plateu atau kawasan padang rumput kering yang luas sesuai untuk aktiviti sukan musim sejuk. 

     Kami berjalan merentasi plateu dan cerun landai hampir tiga kilometer jauhnya sebelum tiba di sebuah ruang meninjau yang menawarkan pemandangan menakjubkan.  Di hadapanku terbentang luas lembah sungai yang dikenali sebagai Glen dalam bahasa gaelic diapit rapat banjaran – banjaran gunung di kiri dan kanannya.  Salah seorang adik Omar yang memakai topi melambai – lambaikan tangannya ke arah lembah sungai tersebut.  Katanya rumah kabin mereka yang terletak di tepi lembah sungai itu boleh dilihat dari puncak ini.

      Aku hanya tersenyum melihat keletah mereka.

      “Bukan mudah untuk saya dan Zai membesarkan anak – anak ini di Scotland,” ujar abang Mikael tiba – tiba.  Entah bila dia muncul di sebelahku pun aku kurang pasti.

      “Mereka selalu tanya mengenai banyak masalah kerana mereka lihat teman mereka cara hidup berbeda.  Banyak yang tidak bisa dalam agama Islam, tetapi mereka lihat.  Dan mereka ingin tahu kenapa tidak bisa,” sebutan abang Mikael sepatah – sepatah dalam Bahasa Indonesia.  Bicaranya tidak sepetah Omar dan Ibrahim.  Namun dia tetap gigih berusaha.  Menurut kak Zainun sewaktu makan semalam, abang Mikael suka diberi kesempatan untuk berkomunikasi di dalam bahasa tersebut.

      “Saya rasa abang Mikael telah buat yang terbaik.  Omar telah dihantar ke sekolah tahfiz di Kashmir.  Ibrahim pula tinggal di kampung ibunya di Padang semasa kecil.  Adik – adiknya semua baik dan sopan belaka,” lontarku memuji ikhlas.  Sungguh aku bersetuju bahawa ianya bukan satu perkara yang mudah.

      “Alhamdullilah jika kamu rasa seperti itu.  Saya temu banyak anak – anak di sekolah namun berperilaku jelik.  Tidak baik dan berbahaya.”

      Abang Mikael termenung sebentar membiarkan aku tertanya – tanya sendiri.  Baru sahaja aku membuka mulut, anak – anaknya datang mengerumuni kami.  Semuanya berkicau lapar seperti anak burung.  Sudah hampir dua jam berada di kawasan puncak ini.  Kami membuat keputusan untuk kembali turun ke kaki gunung dan pulang ke rumah untuk makan tengahari.  Kecur juga air liurku apabila terbayangkan masakan kak Zainun yang dipengaruhi rasa Minang.

      Tidak lama selepas makan tengahari kemudiannya, aku berehat di sofa ruang tamu.  Membiarkan kakiku tergantung di atas meja kecil.  Kedua – dua belah kakiku terasa agak kejang dan sengal.  Aku merasa segan untuk menyatakan kepada Omar bahawa aku tidak dapat mengikutinya ke trek basikal gunung petang ini kerana sakit kaki.  Pasti dia akan mentertawakan aku.  Lantas, aku berpura - pura mengantuk dan melelapkan mata.

      Pesanan ringkas kuterima sejurus selepas Omar beredar dari ruang tamu.  Daripada setiausahaku.  Pelik benar dia menghubungiku pada hari Ahad.

      ‘Encik Muhammad. Saya ingin maklumkan bahawa Encik Rizal akan berada di London pada hari selasa ini.  Dia telah mengaturkan perjumpaan dengan pihak RV Group pada hari rabu berikutnya.  Pukul 9 pagi di London.  Encik Muhammad dimohon hadir.’

      Keningku hampir sahaja bercantum tanda kurang bersetuju.  Aku perlu berada di Edinburgh pada hari rabu ini.  Aku sudah berjanji untuk menemui Amelia sekali lagi sebelum penerbangan pulangku ke Malaysia hujung minggu nanti.

      Namun memandangkan ini adalah mesyuarat perniagaan yang telah cuba diatur sekian lama, aku tidak boleh menolak sewenang – wenangnya permintaan rakan kongsi niagaku itu.

      ‘Saya perlukan penginapan di London pada tarikh tersebut.  Mungkin juga dua tiga hari selepasnya.  Sila aturkan dan maklumkan semula kepada saya. Terima kasih.’

      Aku menutup telefon.  Terbayang Zharif dan anak – anaknya di Edinburgh.  Sedikit rasa kesal bertinggung di benakku kerana tidak dapat meluangkan masa yang lebih dengan mereka.  Dengan berat hati, aku hubungi Zharif dan menyatakan kepadanya mengenai perubahan jadual percutianku. 

      Selesai menunaikan solat pada petang itu, Omar dan adik – adiknya pulang dari trek basikal gunung.  Baju dan pakaian mereka semuanya habis berlumuran lumpur.  Mereka semua berkerumun ke ruang basuhan untuk menguruskan pakaian mereka.  Serta – merta aku teringat baju kotorku semalam yang terlonggok di tepi mesin basuh.  

      Namun aku menjadi hairan apabila melihat baju dan seluar tersebut sudah kemas terlipat di hujung sofa.  Entah bila sampainya di atas sofa ini pun aku tidak sedar, mungkin semasa aku keluar mengambil wudhu’ tadi.  Apabila aku tanyakan kepada kak Zainun di dapur, dia mengagak bahawa Aisya yang menyelesaikan urusan kain baju tersebut kerana dia sendiri telah keluar pagi tadi ke pasaraya di Fort William.

      Aku terserempak dengan Aisya semasa dia sedang menyusun pinggan di meja makan untuk makan malam.  Lantas menegurnya.

      “Terima kasih Aisya sebab mencuci baju saya tadi.”

      Aku merasa agak janggal untuk membahasakan diriku sebagai abang sepertimana yang dipanggil oleh abang – abangnya terhadapku.  Namun merasa lebih kekok jika membahasakan diriku sebagai pakcik sedangkan aku jauh lebih muda daripada usia kedua orang tuanya.

     Aisya menjeling seketika ke arahku.  Matanya berwarna perang muda.  Bersinar tajam.  Aku tidak dapat membaca reaksi wajah remaja itu.  Menurut Omar, Aisya merupakan antara pelajar yang cerdik di sekolahnya.  Dia tidak banyak bercakap tetapi pendapatnya agak bijak dan boleh bertingkah dengan kedua – dua abangnya tanpa sebarang masalah.

      “Kasih diterima.”  Bersahaja.  Tanpa memandangku dia meneruskan kerjanya mengatur pinggan dan lauk – pauk di atas meja.  Kehadiranku tidak dihiraukan lagi.

      Selesai makan malam bersama keluarga mereka, abang Mikael memaklumkan mereka perlu pulang pada malam itu ke Inverness.  Semuanya perlu ke sekolah pagi - pagi esok, ujar kak Zainun tanpa mengendahkan keluhan malas anak - anaknya yang sudah bersusun di dalam van.  Abang Mikael menepuk bahuku beberapa kali sewaktu bersalaman dan berpelukan sebelum dia menghidupkan enjin dan berlalu.  Katanya, moga ketemu InsyaAllah.

      Meninggalkan aku, Omar dan Ibrahim di kabin itu sambil melambai – lambaikan tangan ke arah van mereka sebelum ianya hilang dari pandangan.

Previous: 21
Next: 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.