Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,735
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
6


      Pandangan kulontarkan ke arah luar jendela.  Masih memerhatikan saki baki penumpang yang sudah beransur – ansur kurang di atas platform.  Sebentar lagi mungkin.  Mulutku mula terkumat – kamit membaca ayat Kursi.  Satu kelaziman sebelum memulakan perjalanan yang jauh.

      “Excuse me.”

      Suara halus menerobos corong telingaku.  Aku berpaling ke arah suara itu.

      Tanpa berkata apa - apa aku menatap wajah gadis sombong yang menegurku tadi.  Mulutku masih terkumat – kamit menghabiskan bacaan ayat Kursi.

      “Is that your luggage? Can you push your bag further in? I need to wedge this small bag in between so that it would not slide during the journey,” ujarnya dengan intonasi bahasa Inggeris yang sempurna.  Matanya mengerling ke atas ruang penyimpanan bagasi.  Di tangannya sebuah beg kecil berwarna biru muda.

      Aku bangun mencapai rak di atas.  Beg galas biru laut yang aku sandang sehari suntuk ke sana ke mari sememangnya berat berisi beberapa helai baju panas yang tebal, bungkusan pakaian kotor yang dipakai di Frankfurt minggu lepas, dan juga bungkusan pek makanan segera dari Malaysia yang dikirim oleh ibu untuk adikku di Edinburgh.  Mungkin gadis ini tidak berupaya untuk mengalihkannya.  Aku tolak beg biruku memberi ruang yang lebih untuk bagasi gadis ini.

      Lantas aku mencapai beg kecil biru muda yang dipegang erat oleh jemarinya.  Pada awalnya dia enggan melepaskan mungkin kerana berpendapat dia boleh menyusunnya sendiri.  Aku memandang wajah gadis ini sambil terpinga – pinga kenapa dia menyusahkan aku sebegini rupa dan tidak membenarkan aku menyempurnakan susunan bagasi tersebut.  Gadis itu kemudiannya melepaskan genggaman dan membiarkan aku menyendal beg kecil itu di celah belakang bagasiku. 

      Aku kembali duduk di kerusi dan memandang ke luar jendela.  Sejujurnya aku tidak tahu ke mana lagi hendak ku lontarkan pandangan.  Terasa segan apabila gadis yang ku cari – cari wajahnya tadi kini berada betul – betul di sebelahku.  Langsung aku tidak terfikir situasi begini boleh terjadi.  Aku tidak tahu doa apa lagi yang perlu aku baca untuk menghilangkan rasa yang mengasak di hati. 

      Ini bakal menjadi tempoh terpanjang di dalam hidupku.  Barangkali dia juga bukan berbangsa Melayu seperti yang aku sangkakan.  Gaya pertuturan bahasa Inggerisnya terlalu sempurna untuk lidah Melayu.  Bicaranya bertatah lenggok tempatan.  Membuatkan aku terperosok kelu di sudut jendela dirundung angin – angin gelisah yang berputar enak di dalam.

      Tetapi matanya yang bundar itu adalah sepasang mata Melayu. 

      Sangkal satu dua angin yang berputar.

      “Come to think of it, I think it might be better for me to keep the bag here with me.  I do not want to disturb you during the journey to reach for that bag,” suara gadis itu mematikan pertelingkahan angin – angin gelisah.

      Apa.

      Aku memandang wajah gadis itu dan rak simpan bagasi bersilih – ganti. 

      Apa salahnya kalau dia perlu mengganggu aku sepanjang perjalanan sekalipun.  Aku mahu mendengar suara gadis itu berkali – kali.  Biar sampai luruh cuping telingaku pun tidak mengapa.

      “Just leave the bag there.  Don’t worry about it,” aku menjawab malas.  Menyelindungi beban – beban debaran yang memberat.

      Gadis itu membalas libasan kata – kataku dengan lorekan senyuman yang sopan.  Dia tersipu.  Kulitnya yang putih melepak menjadi kemerah –merahan.  Halus tingkahnya membuatkan aku terpegun.  Lantas aku menjadi malu alah dan segera bangkit mendapatkan beg kecilnya kembali.  Aku serahkan kepadanya tanpa berkata apa –apa.  Menelan rasa segan yang bertimpuh di belakang tenggorokku.

      Penumpang – penumpang yang lain semuanya telah mengambil tempat duduk masing – masing.  Pegawai Virgin Rail sudah memasuki koc ini bagi memeriksa barisan kerusi penumpang yang masih kosong dengan senarai nama di tangannya.  Di luar lantai platform sudah kosong.  Pijakan – pijakan kaki dan seretan bagasi sudah berpindah masuk ke dalam gerabak.  Bersedia menuju ke daerah asing.

      Gadis berambut panjang itu masih lagi berdiri menyelesaikan urusan susunan bagasinya.  Masih lagi memakai jaket putih yang tebal.  Menyembunyikan susuk tubuhnya di balik jaket tebal itu.  Aku tidak dapat menahan diri lantas bertanya.

      “Are you a Malay?

      Gadis itu terhenti seakan tersentak lembut dan membalas pandanganku.

      “Yes,” jawabnya sambil tersenyum.

      “Gaya percakapannya tidak seperti orang Melayu,” ujarku mengingati kembali bait – bait perbualan kami.

      “Mungkin kerana saya sudah lama berada di sini,” jawabnya sambil melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah.  Barangkali sudah selesai.  Entah apa yang disusunnya berulang– kali pun aku tidak tahu. 

      “Sudah berapa lama berada di England?”  Apakah dia dibesarkan di sini bersama – sama keluarganya. 

      “Sudah hampir lima tahun saya di sini.  Menuntut di Cambridge.”

      Aku terkedu sebentar mendengar nama institusi pengajian tinggi yang berprestij itu.  Antara institusi pengajian yang termasyhur di dunia.

      “Jurusan apa?” tanyaku. 

      Entah dari mana keyakinanku muncul kembali.  Bersama pudarnya kabut resah yang awal tadi membenamkan aku ke lubang paling dalam.

      “Saya baru sahaja memulakan pengajian doktor falsafah jurusan kejuruteraan Aeronatik.  Ada lagi tiga tahun tempoh pengajian yang saya perlu lengkapkan.  Jadi secara keseluruhan saya akan menetap di sini lapan tahun lamanya,” ujarnya panjang – lebar.  Mata yang bundar itu menatapku bercahaya.  Dan tersenyum. 

      Aku ternganga lagi barangkali.  Di luar sedar.  Entahkan kerana tempoh pengajiannya yang lama atau senyumannya yang merusuh.  Segalanya bercelaru di luar sedarku.

      “Berapa umurnya?” aku cuba menghitung.  Dia tidak nampak berusia.  Selalunya penuntut pengajian doktor falsafah berada dalam lingkungan usia seperti adik iparku yang sedang menuntut di Edinburgh University.  Sekitar tiga puluhan juga.

      “Dua puluh tiga tahun,” jawabnya pendek.

      Masih menguntum senyuman.

      Rupanya gadis ini tiga belas tahun lebih muda daripadaku.  Senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya membuktikan terang – terang bahawa sangkaanku jauh meleset.  Dia bukannya seorang yang sombong.  Terdengar bilah – bilah tajam jatuh bergelimpangan di lantai benakku.

      “Jadi awak ini seorang jurutera.  Kenapa bidang Aeronatik?  Bagaimana pilihan pekerjaannya kelak?” Aku terus melemparkan soalan – soalan yang lazim diutara apabila dilatari suasana yang ringkas sebegini.

      “Saya masih belum memikirkannya.  Ada beberapa syarikat pembuatan kapal terbang seperti Boeing, Airbus yang membuat tawaran pekerjaan tetapi buat masa ini saya belum membuat pilihan,” ujarnya mengingat seketika.

      “Paling tidak mungkin saya boleh pertimbangkan kerjaya sebagai pensyarah,” ujarnya lagi dengan perlahan.  Mungkin bidang perguruan bukan minat utamanya.

      “Kalau bekerja dengan syarikat antarabangsa seperti Boeing dan Airbus, awak kena menetap lebih lama di sini.  Atau berpangkalan di Eropah,” aku cuba mengingat kembali dokumentari pembuatan kapal terbang Airbus yang berpusat di Peranchis.

      Gadis itu tersenyum mengiyakan.

      “Tak mahu balik Malaysiakah?” tanyaku lagi.

      Gadis itu menurunkan pandangannya.  Jari – jemarinya bermain dengan hujung bucu jaket putihnya.  Mungkin sedang memintalkan kata – kata untuk ditebarkan kepadaku.

      “Bukannya saya tidak mahu pulang.  Tentunya saya akan pulang ke Malaysia.  Keluarga saya berada di sana.  Cuma mungkin bukan dalam jangka masa terdekat,” ujarnya sambil mengangkat semula pandangannya.  Menentang mataku yang penuh dengan persoalan.

      “Banyak lagi perkara dan perancangan saya yang perlu diselesaikan,” sambungnya lagi.

      Jelas padaku bahawa gadis ini tidak menyimpan cita – cita untuk pulang segera ke tanah air.  Tambahan pula peluang kerjaya yang ditawarkan di sini adalah jauh lebih baik bagi keberuntungan masa hadapannya.  Lantas aku menukar tajuk perbualan.

      “Keluarganya di mana?” tanyaku penuh minat. 

      Mungkin dia berasal daripada keluarga yang baik – baik.  Bahasa pertuturannya pun elok dan menyenangkan.

      “Keluarga saya menetap di Petaling Jaya, Selangor.”

      “Petaling Jaya itu besar.  Kawasan mana rumahnya?” aku mencungkil.

      “Damansara Utama.  Saya bersekolah di sana,” sambutnya.  Galak matanya memerhatikan senyumanku yang semakin lebar.  Entah apa keseronokan yang hebat bercakaran dalam sanubariku. 

      Damansara Utama merupakan kawasan penempatan orang – orang berada disebabkan lokasinya yang terletak bersempadan dengan bandar Taman Tun Dr Ismail.  Harga perumahan di kawasan tersebut secara puratanya jauh lebih tinggi berbanding dengan mukim lain.  Begitu juga dengan gaya hidup dan selera golongan remaja dan muda – mudi di sana.  Istilah yang digunapakai oleh rakan – rakan sekolahku untuk mereka adalah uptown.

      “Awak juga berasal dari sana?” dia membuat telahan.

      Aku mengangguk.

      “Dari sekolah mana?” tanyanya lagi.

      Aku terdiam.  Bukannya aku tidak ingat tetapi kerana tempoh masa yang berlalu sejak zaman persekolahan agak lama sehinggakan nama sekolah pun telah ditukar selepas aku berpindah ke asrama penuh. 

      “Sekolah Menengah Seaport.”

      “Apa? Tak pernah dengar pun nama itu,” jawabnya pantas mengerutkan dahi.

      “Sekolah itu memang wujud pada zaman purba.  Sekarang sudah tiada lagi,” jawabku bersahaja.

      Gadis itu tergelak mendengarkan.  Menampakkan baris giginya yang putih bersih.

      Seperti ada sentuhan listrik aku tersenyum melihatnya ketawa.

      “Awak menuntut di universiti mana?” tanya dia lagi sesudah itu.  Duduknya pun sudah semakin selesa.

      Dia membuka jaket putih yang sedang dipakainya menampakkan baju panas berwarna merah berkolar V.  Aku terdiam sebentar.  Terpaku melihatnya menanggalkan jaket itu.  Entah dari mana bau wangi harum semerbak menerpa deria hidungku.  Keharuman itu sungguh enak meresap dan merempuh tembok yang telah kubina bertahun – tahun lamanya di dalam dada.  Segera aku larikan pandangan ke arah tingkap.

Previous: 5
Next: 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.