Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,733
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
36


      “Mula – mula saya hendak berterima kasih atas cadangan dan tawaran Tan Sri untuk menjadikan kami sebahagian daripada konsortium tersebut.  Tidak pernah saya termimpi untuk diberi peluang sedemikian.  Saya dan Rizal, sangatlah berminat dengan pelawaan tersebut,” aku memandang Rizal sekali lagi untuk memastikan.

      “Cuma kalau tidak keberatan, saya mohon tempoh sehari dua ini untuk memaklumkan kepada ayah saya mengenai cadangan Tan Sri.  Sungguhpun dia sudah bersara, memandangkan ini adalah projek yang besar, saya masih lagi menghormati pandangan dan buah fikirannya.  Lagipun ini masih lagi syarikat dia.  Saya cuma menguruskan bagi pihak keluarga.”

      Tan Sri tersenyum sambil menepuk bahuku. “Of course.  Kita berharap akan mendapat pertimbangan yang baik dan sewajarnya daripada kamu dan ayah kamu.”

      Sepuluh minit kemudiannya terdengar ketukan di pintu bilik.  Mungkin ada lagi temujanji lain yang Tan Sri Effendy perlu hadiri.  Aku memberi isyarat kepada Rizal untuk menyatakan hasrat kami untuk beredar memandangkan segalanya telah pun selesai.  Rizal mencapai kot biru dan beg kecil untuk disandang semula ke bahunya.  Kami bangkit dari sofa putih yang mewah itu.

      Sejurus kami berdiri, dua orang wanita muda berbangsa Inggeris berambut perang, bersolek tebal dan memakai pakaian yang singkat dan memberahikan memasuki ruang tamu suite ini.  Tan Sri turut berdiri sebaik sahaja mereka tiba.

      Aku terpinga – pinga melihat pakaian mereka yang menjolok mata.  Menampakkan kulit peha dan potongan pinggul mereka yang ketat.  Baju yang dipakai juga direka untuk menampakkan lurah dada yang dalam.  Kedua – duanya tersenyum menghampiri Tan Sri Effendy yang sedang mendepangkan tangan kepada mereka.  Wajah lelaki tua itu kelihatan seronok dan teruja dengan kehadiran kedua – dua wanita ini.

      “Kami balik dahulu, Tan Sri,” Rizal segera mematikan sangkaanku.  Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman semula.

      “Kenapa awal sangat, Rizal? Masih banyak waktu lagi.  Kawan – kawan saya baru sampai.  Kita boleh sembang sampai ke malam,” ujar Tan Sri sambil memeluk pinggang salah seorang wanita muda tersebut.  Wajah wanita tersebut kelihatan masih keanak – anakan seolah baru melepasi alam persekolahan.

      Rizal membalas dengan ketawa.  “Tak boleh,Tan Sri.  Nanti ada orang marah.”

      Tan Sri turut ketawa.  Membetulkan letak tali pinggangnya berkali – kali.

      “Muhammad bagaimana? Kawan saya ini ada dua.  Kamu masih bujang lagi kan?”

      Mukaku menjadi merah padam.  Binasa aku jadinya kalau terperangkap dengan ‘kawan – kawan’ Tan Sri ini.

      Rizal tergelak kuat sambil menepuk bahuku.  Mungkin menyedari apa yang terlintas di dalam kepalaku.

      Aku menundukkan pandangan sambil mengeleng – gelengkan kepala.  Merasa tidak selesa berada di dalam situasi begitu.  Zaman berseronok sudah berbelas tahun aku tinggalkan.  Aku tidak berhasrat mengulanginya langsung.  Kini yang terbayang di fikiranku adalah rumah dan ladang yang perlu kubina untuk seseorang yang amat istimewa.

      “Kami minta diri dahulu, Tan Sri.”  Aku menghulurkan tangan tanpa teragak – agak.  Aku mahu keluar dari bilik ini.

      Tan Sri Effendy menyambut tanganku dan berjabat erat.  Kami mengucapkan terima kasih dan keluar daripada bilik suite itu.  Hilaian ketawa perempuan jelas kedengaran sewaktu Rizal menutup pintu di belakangnya.  Kami berpandangan sebentar sebelum berjalan menuju ke lif.

      “Di mana Puan Sri?” tanyaku di dalam lif.

      “Di kampung.  Mereka tidak lagi tinggal bersama.”

      Aku terdiam.  Terasa simpati pula pada usia begitu terpaksa hidup berseorangan.

      “Tan Sri memang macam itu.  Ramai girlfriend.  Tetapi dia tidak campur – adukkan dengan soal kerja.  Agaknya itu cara dia berehat.  Release tension.  Anak - anaknya pun sudah tidak tinggal bersama dengannya,” sambung Rizal sebaik kami tiba di ruang lobi Hotel Berkeley.

      Aku terdiam mendengarkan cerita Rizal.  Apa guna duit yang banyak, berkepuk – kepuk kalau terpaksa hidup sendirian tanpa keluarga di sisi.  Alangkah sedihnya pada usia begitu masih lagi terperangkap dengan cita – cita dunia. 

      Serta – merta aku menjadi simpati dan tidak lagi kagum pada kemewahan yang dipamerkan di hotel ini, di bilik suite tadi, mahupun pada pakaian Tan Sri.  Mungkin bagi seseorang yang kaya seperti Tan Sri Effendy mampu untuk membeli khidmat teman perempuan yang muda dan bergetah.  Mungkin juga mencecah ribuan pound sterling untuk satu malam.  Tetapi itu sahajalah yang dijual beli.  Jiwanya tetap kosong dan hambar.  Dia pasti merasa sunyi apabila bangun keesokannya sendiri.  Seperti kamar hotelku pagi tadi.  Seperti langit mendung di kota London ini.

Previous: 35
Next: 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.