Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,720
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
24


      Awal subuh.  Aku menggigil kesejukan kerana anggota tubuhku dibasahi air yang dingin sewaktu mengambil wudhu’.  Telefon bimbit berbunyi sejurus sahaja aku mengangkat takbir.  Aku teruskan jua menyempurnakan solat subuh.  Selesai membaca doa dan ayat Kursi, aku mencapai telefon bimbit di atas sofa.  Nombor telefon ibu jelas terpampang di paparan skrin.  Dengan segera aku melompat ke atas sofa dan menarik selimut tebal kembali ke tubuhku sebelum mendail semula nombor itu.

      Terdengar suara ibu memberi salam.  Aku menyahut salam sambil tersenyum.  Lama juga tidak mendengar suara ibu.  Semenjak aku berkunjung ke Frankfurt.

      “Along sihat?” tanya ibu.

      “Sihat alhamdulillah.  Ibu sihat?”

      “Sihat.  Baru bangun tidur?” Pasti ibu menyangka aku tidak mengangkat panggilannya kerana aku sedang lena beradu.

      “Tidaklah, Along baru selesai solat.”  Aku tersengih sendiri kerana terasa seperti budak sekolah yang sedang melaporkan diri kepada guru besar.

      “Dengarnya sedang berseronok di Scotland.  Zharif sekeluarga tidak ikut sekali?” Aku mengagak Zharif telah bercerita panjang dengan ibu perihal aku mengembara bersama pemuda – pemuda ini di Scotland.

      “Dia sibuk, ibu.  Hujung minggu pun bekerja sampai lewat malam,” giliran aku membela diri.  Bersungguh – sungguh aku cuba meraih undi simpati.

      “Samalah tu adik – beradik.”

      Bagus, terkena semula pada batang hidungku.

      “Ibu dengar Along ada mesyuarat di London minggu depan.”  Wah, hebat sungguh ibuku mendapat maklumat risikan.  Mesti Zharif juga yang memberitahu ibu agaknya.  Takkan setiausaha aku pula yang menyampaikan laporan kepadanya.  Walaupun itu tidak mustahil kerana setiausahaku sering berhubung dengan ibu apabila aku menyuruhnya menyelesaikan urusan keluargaku.

      “Err... betul tu, ibu,” tergagap sedikit sewaktu menjawab soalan ibu.  Aku masih memikirkan bagaimana ibu mendapat maklumat tersebut.

      “Jadi Along masih balik pada tarikh yang sama atau ditunda lebih lewat lagi?”

      “Along kurang pasti lagi, ibu.  Buat masa ini masih pada tarikh yang sama.”

      “Baiklah.  Kalau Along perlu tunda penerbangan nanti maklumkanlah pada ibu.  Nanti senang ibu hendak mengurus jadual Usop.”  Aku tersengih lagi mendengar ibu menguruskan jadual kerja pemanduku sepanjang ketiadaanku.  Selalunya Usop goyang kaki sahaja semasa menemani aku kerja lewat di pejabat, sekarang pasti dia tahu bagaimana rasanya bertemu buku dengan ruas.

      “Bila Along akan pulang ke Edinburgh?” tanya ibu lagi.

      “Pagi ini,” jawabku pendek.  Secara tidak langsung terlintas di fikiranku tentang janji temu aku dengan Amelia pada lewat petang ini.

      “Ibu, Along nak cakap sikit,” ringan sahaja mulutku bertutur walaupun pada dasarnya aku masih kurang jelas apa yang ingin aku maklumkan pada ibu.

      “Apa dia?”

      Jantungku berdegup kencang.  Seumpama orang yang sedang berlari pecut.  Terimbas pula kenangan aku di zaman sekolah dikejar anjing bukit semasa balik dari mengaji Muqaddam di surau hujung taman.

      Lama juga aku terdiam.  Menyusun ayat.

      “Masa Along datang ke Edinburgh minggu lepas dengan keretapi, Along ada jumpa seseorang.  Budak perempuan.  Dia sedang menuntut PhD di London.  Kakaknya bekerja di Edinburgh.  Dia sedang melawat kakaknya.”

      Ibu masih diam tidak memberikan sebarang reaksi.

      “Kemudian Along berjumpa lagi dengan budak perempuan itu hari Jumaat lepas.  Di Edinburgh.”  Aku mengurut daguku seketika.  Terkapai – kapai aku rasa dengan hala tuju dan niat perbualan ini.  Entah bagaimana aku hendak sampaikan kepada ibu.  Atau apa yang hendak aku sampaikan sebenarnya pun aku tidak pasti.  Aku tidak pernah melalui perbualan sebegini dengan ibu.  Hanya sekali sahaja ibu pernah berjumpa dengan bekas teman wanitaku.  Itupun semasa zaman sekolah kerana aku membawanya datang ke rumah.

      “Masih berhubungkah?” ibu membalas.  Aku mengangguk.  Mengiyakan.

      “Sekarang dia di St Andrews dengan kakaknya.  Along mungkin akan singgah berjumpa dia sebelum pulang ke London nanti,” ujarku perlahan.

      “Bukanlah singgah namanya kalau di St Andrews,” sambut ibu lagi.  Aku menelan air liur.  Lebih seperti tertelan.  Aku ingin sampaikan kepada ibu mengenai Amelia.  Aku mahu ibu tahu bahawa sesuatu telah berlaku pada anak lelakinya ini.  Sesuatu yang hebat.  Sesuatu yang penting.

      “Orang mana budak tu?” tanya ibu setelah lama aku terdiam.

      “Orang kita.  Berasal dari Damansara.  Bapanya kerja di situ.  Di hospital pakar,” jelasku.  Patah demi patah.  Aku tidak pasti apa yang ibu mahu tahu sebenarnya.  Boleh sahaja aku sebutkan satu – persatu fakta mengenai Amelia yang telah kuhafal sejak pertemuan kami.

      “Nama dia Amelia.”

      Laju sungguh mulut ini menyebut namanya.  Tidak tertahan langsung untuk diberitakan pada ibu.

      “Amelia Hakim.”  Aku sebut lagi supaya jelas kedengaran di corong telefon ini.  Supaya ibu ingat nama itu.

      “Berapa umurnya?” tanya ibu akhirnya.

      “Dua puluh tiga tahun.”

      “Mudanya,” sahut ibu dengan spontan.  Namun aku tidak mahu meneka apa yang bermain dalam fikiran ibu.  Aku hanya mengangguk.  Itu fakta.

      “Budaknya baik, ibu.  Along suka...,” aku tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan ayatku.  Perawakannya.  Penampilannya.  Bicaranya.  Pendek kata, semuanya tentang Amelia aku suka.  Aku tidak terjumpa cacat – cela.  Malah bau harum semerbak semasa dia menanggalkan jaket putihnya di atas keretapi pun masih lagi kuingat.  Tersimpan kemas dalam peti memori.

      Aku berdehem kecil.  Sudah kehilangan kata – kata di akhir pengakuan kepada guru besar ini.  Entah sampai atau tidak maksudku selama ini, aku tidak tahu.

      “Kalau suka, berkawanlah betul - betul.”

       Begitulah ibu.  Pesannya pendek – pendek sahaja.  Sungguhpun begitu, beban yang kutanggung dalam dada ini terasa bebas sebaik sahaja mendengar ibu berkata begitu.  Aku menarik nafas lega.

      “Bila dia habis belajar?” tanya ibu tiba –tiba.

      “Lagi tiga tahun.  InsyaAllah.”

      Ibu tidak berkata apa – apa mendengar jawapanku.

      “Baiklah Along, ibu nak solat zohor jemaah dengan ayah ni.  Along ada apa – apa lagi nak beritahu ibu?”

      “Dah tak ada, ibu.  Itu sahaja.”

      “Along, ayah cakap dia kirim salam pada Along.”

      “Waalaikumsalam,” jawabku spontan.

      “Ok.  Kalau ada apa – apa nanti beritahulah.  Ibu letak dulu ya.  Assalamualaikum.”  Aku menyahut salam ibu lalu menutup telefon bimbit.

      Aku kembali bersandar pada sofa panjang ini.  Selimut tebal masih membungkus hampir keseluruhan tubuhku.  Pendiang api telah lama padam.  Mungkin terpadam sewaktu aku tidur malam tadi.  Sinar matahari pagi mula memancar menerobos tirai jendela di belakang sofa ini dan menerangi lembut dinding di hadapanku.  Dinding kawasan pendiang api.  Membangkitkan warnanya yang suram.

      Sebentar lagi Omar akan mengetuk pintu bilik ruang tamu ini.  Dia telah memaklumkan padaku malam tadi bahawa kami perlu bertolak awal ke Edinburgh kerana Ibrahim perlu menghadiri kelas pada petang ini.  Aku mengerling jam tangan di atas meja kecil tepi sofa.  Masih punya masa.  Lantas kutarik selimut tebal ini dan berbaring semula.  Sambil memejamkan mata, aku biarkan pesanan ibu terngiang – ngiang di telinga.  Masih tertanya – tanya sendiri maksud perkataan ‘betul – betul’.

      Lalu aku teringat dialog filem Pendekar Bujang Lapuk oleh Pendekar Mustar.

      “Ini betul – betullah, bukan main – main!”

      “Choba’an...” jawabku sebagai Aziz Satar.  Terus bertapa di dalam perigi buta.  Menunggu ditimbun sampah.

Previous: 23
Next: 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.