Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,747
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
21


      Sinar matahari yang memancar dengan terang tengahari tadi kini sudah hilang.  Terhalang di balik lapisan awan tebal yang memutih.  Berarak perlahan – lahan menyelimuti puncak gunung Ben Nevis.  Angin sejuk yang bertiup dari tadinya kini mula terasa.  Jaket nipis ini menjadi batas sempadan angin sejuk dan peluh yang mula merenik di dalam baju.  Kasut pendaki yang kupinjam daripada Omar kini mula terasa berat setelah beberapa kali memijak lopak – lopak air yang berlumpur sepanjang denai tepi sungai Nevis.

      Omar dan Ibrahim masih berada tidak jauh di hadapanku mendaki jejak lumpur yang berbatuan di tepi lereng bukit ini.  Di bawah kaki lereng ini air sungai Nevis mengalir dengan rakus berbuih menghentam batu – batu besar yang jatuh di tepi tebingnya.  Aku melangkah denai yang curam dan sempit ini berhati – hati agar tidak tergelincir ke bawah.  Bukan sahaja bongkah batuan tajam menunggu, malahan kedinginan air sungai itu tidak dapat dibayangkan dalam cuaca begini.  Sesekali aku terdengar Omar berteriak memanggil agar melajukan langkahku mengikut rentaknya yang seolah – olah berlari mendaki lereng bukit ini.

      Hampir setengah jam kemudiannya kami keluar melepasi pokok – pokok tinggi dan denai yang curam itu.  Padang rumput kuning kehijauan terbentang luas menyambut pandanganku sebaik sahaja aku berhenti untuk mengambil nafas seketika.  Air sungai yang tadinya mengalir rakus kini menjadi tenang dan jernih.  Pandanganku menembus terus ke dasar sungai yang cetek ini.  Menyesal pula kerana tidak membawa bekalan air untuk diminum walaupun Kak Zainun, ibu kepada Omar ada berpesan sewaktu kami meninggalkan kabin awal tadi.  Menurut Omar pendakian ini hanya sekitar dua jam perjalanan lalu aku memilih untuk tidak membawa bekalan minuman kerana khuatir perlu mencari tandas pada waktu sejuk – sejuk begini.

      Kami terus berjalan di atas denai yang semakin melebar di tepi padang rumput ini.  Tidak kelihatan pula lembu – lembu yang pada awal pendakian tekun meragut rumput di tepi sungai.  Mungkin kerana hari sudah semakin lewat.  Aku cuma berharap hujan tidak turun.  Denai yang curam dan sempit tadi pasti menjadi lebih sukar sekiranya hujan pula turun membasahi bumi.    

      Bunga – bunga liar dan rerumputan kering berbaris di sepanjang denai ini.  

      “Abang, lihat itu!” teriak Ibrahim sambil menunjukkan jarinya ke arah air terjun yang tidak jauh dari situ.  Bunyinya bergema dipantulkan oleh tembok banjaran di keliling ini.

      “Steal Falls.  The tallest waterfall in Scotland.  Mengagumkan nggak?” Mendepangkan tangannya seolah – olah membuka tirai persembahan.  Raut wajahnya keanak – anakan mengingatkan aku bahawa dia adalah remaja yang baru sahaja setahun menuntut di universiti.  Meskipun tubuh badannya tinggi lampai seperti galah pengait.

      Kami berehat sebentar untuk menikmati pemandangan air terjun tersebut.  Percikan air terjun di bawahnya berkabus.  Hebat.  Berlatarbelakangkan pemandangan puncak gunung – gunung yang berbalam – balam diselimuti lapisan awan yang memutih.

      “Aku, Ibrahim dan Grandpa sering melewati tempat ini waktu Grandpa hidup.  Cuti musim panas sering kali dihabiskan seharian menanjak Ben Nevis.  Abang tahu nggak berapa tinggi puncaknya?” Omar berbicara sejurus dia melabuhkan punggung di sisiku.

      Aku hanya menggeleng.  Menunggu diberitahu oleh remaja yang ramah dan suka bercerita ini.  Mukanya kemerah – merahan lantaran berlarian sewaktu mendaki tadi.

      “2000 meter from sea level. Took us 15 hours to climb up and down the peak. Tapi aku nggak punya rencana bagi membawa abang menanjak hari ini.  Bahkan menyusur pulang harus sempat waktu sore.”  Omar mendongak seketika melihat langit yang kelabu, sebelum berpaling ke arah Ibrahim yang sudah terbaring di atas rerumputan.

      Aku mendengar dan mengangguk sekali – sekala.  Entah apa yang kuanggukkan pun aku tidak tahu. Yang terlintas di benakku hanyalah wajah Amelia.  Helaian rambut yang jatuh ke wajahnya sewaktu bahunya bergoncang melepaskan tawa.  Tangannya yang cuba menutup mulut namun sedikit terlewat menampakkan barisan giginya yang menarik.  Bibirnya merah.  Dan sedikit basah.  Aku memejamkan mata.  Menghela nafas yang panjang.

      Kami pulang segera tidak lama kemudiannya kerana benar sangkaanku, hujan gerimis mula membasahi denai – denai laluan kami.  Aku terpaksa berhati – hati sekali lagi menuruni cerun yang agak licin dan berlumpur.  Sesekali aku jatuh tergelincir apabila gagal mengimbangi badan.  Seluar dan baju sudah mula kotor dengan lumpur.  Begitu juga seluar Omar dan Ibrahim.  Kotor dan berlumpur.  Kami melangkah laju setelah di tiba di kawasan landai di tebing sungai.  Malah berlari – lari anak adakalanya kerana hujan semakin lebat.

      Setibanya di rumah kabin keluarga Omar, kami menerpa masuk melalui pintu belakang.  Bau masakan yang enak terus menusuk hidung.  Seorang gadis remaja yang mempunyai iras kacukan sedang memasak, terperanjat melihatku muncul tiba - tiba lalu terus keluar dari dapur.

      “Itu adikku, Aisya,” ujar Ibrahim sambil berpaling kepadaku.

      “Selesai sekolah namun bilangnya nggak ada jurusan menarik di universitas Edinburgh.  Mungkin membuat rencana ke universitas di Wales tahun depan.”

      Aku tercengang seketika.  Barangkali aku muncul sewaktu dia tidak mengenakan hijab, telahanku sewaktu menuju ke bilik air.  Baju dan seluar kotor semuanya kutanggalkan dan longgokkan di tepi mesin basuh.

     Malam itu kak Zainun telah menyediakan pelbagai juadah makanan di atas meja makan.  Sambal terung, lauk kurma daging, ayam goreng rempah dan sebagainya membuka seleraku yang sememangnya kelaparan setelah menghabiskan tenaga mendaki tadi.  Abang Mikail, bapanya si Omar, berserta adik – adik Omar yang lain semuanya turut serta makan bersama kami.  Mereka mempunyai keluarga yang besar.  Kesemuanya berhimpun di meja makan pada malam itu.  Hanya dua orang gadis remaja yang bertudung litup di meja itu, salah seorangnya adalah Aisya yang terserempak denganku di dapur siang tadi.  Seorang lagi adik perempuan Omar yang masih di sekolah rendah, paling bongsu agaknya melihat dia begitu manja dengan kak Zainun.  Yang lain semuanya adik – beradik lelaki yang tinggi lampai seperti Ibrahim.  Tidak sempat kuhafal namanya masing – masing. 

      Entah kenapa aku terasa seolah diperhatikan dari hujung mata sewaktu Aisya melintasi meja makan dan menuju ke dapur.  Mungkin sangkaanku sahaja tetapi sesekali pandangan kami bertembung, menangkap lirikan tajam sepasang mata remaja itu.  Dia langsung tidak bersuara denganku, apatah lagi menegurku.  Senyumanku pun tidak berbalas sewaktu diperkenalkan semasa makan malam.  

      Malam sungguh dingin sekali di Glen Nevis.  Aku menunaikan solat jama’ Maghrib dan Isya selesai makan dan kemudian menuju ke ruang tamu.  Omar sudah terbaring tidur di atas tilam yang dibentangkan di hadapan pendiang api.  Di atas sofa pula kelihatan tuala mandi berserta selimut down yang tebal terletak di hujungnya.  Aku menutup lampu di dinding.  Selimut tebal kutarik sebaik sahaja aku berbaring di atas sofa panjang di ruang tamu itu.  Dan di dalam kegelapan, paparan telefonku sempat bercahaya sebentar.  Penerimaan pesanan ringkas.

      Bibirku mengorak senyum.


Previous: 20
Next: 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.