Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,549
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
46


      ‘Dan tuturkanlah perkataan kamu atau sembunyikan (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.’  Al – Quran.  Surah Al – Mulk.  Ayat tiga belas.

      Setitis air mata jatuh ke atas lembaran Al – Quran yang kutatang di atas pangku.  Pecah berderai meresap ke atas muka kertas yang terkandung ayat – ayat suci ini.  Mataku terkelip – kelip membaca ayat ini berulang – kali.  Menahan getaran rasa sayu yang menusuk hati.  Masih berteleku di atas sejadah walaupun sunat tahajjud sudah lama selesai.  Aku masih tidak mahu melepaskan ruang kudus ini di antara seorang hamba dengan Penciptanya.  Di kala suasana yang bening ini aku masih meminta.  Masih mengadu.  Masih mempamerkan hati yang luka kepada - Nya.  Pada siapa lagi dapat aku luahkan melainkan hanya padaNya.

      Dahiku kembali menyentuh sejadah.  Terasa hilang segala beban yang aku tanggung pada saat ini.  Fikiranku menjadi kosong.  Hilang sudah semua perasaan yang berkecamuk dalam diri.  Satu – satunya ruang untuk aku mengumpulkan kembali seluruh kekuatan yang bersisa untuk menempuh dunia luar.  Di dalam sujud ini, aku tidak mempunyai sebarang tujuan melainkan untuk mengakui Keesaan dan KeagunganNya.  Mengakui bahawa Dia adalah Tuhan sekalian alam.  Dan hanya padaNya jugalah aku serahkan segala urusanku.

      Selesai melipat sejadah aku keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu di tingkat bawah.  Kelihatan ibu masih lagi di atas tikar sejadah.  Mungkin dia juga baru selesai solat sunat.  Aku menghampiri ibu dan duduk di sebelahnya sebaik sahaja dia meraupkan tangan ke mukanya tanda selesai berdoa.  Wajah ibu yang bersih tersenyum memandangku.

      “Along ikut ibu dan ayah ke masjid pagi ini?” ibu bertanya melihat keadaanku yang sudah bersiap memakai baju melayu.

      Aku mengangguk.  Itu sahajalah antara cebisan masa yang dapat aku luangkan bersama kedua orang tuaku kini.  Aku sudah menjual unit service apartment di Kuala Lumpur memandangkan aku kini lebih banyak membuat lawatan perniagaan ke luar negara.  Lagipun mereka sudah semakin tua, ada baiknya mereka tinggal serumah denganku untuk memudahkan apa – apa urusan yang perlu.

      “Esok Along akan ke Jakarta semula, ibu.  Mungkin hujung minggu ini Along akan ke Shanghai pula untuk seminggu.  Ada melawat beberapa kilang di China,” aku terangkan kepada ibu jadual mingguanku.  Agar mudah untuk ibu membuat perancangan sekiranya memerlukan apa – apa semasa ketiadaanku.

      “Lamanya,” ujar ibu.

      “Alhamdulillah, rezeki syarikat,” aku tersenyum.  Semenjak aku pulang dari London tahun lalu, pintu rezeki syarikatku semakin terbuka luas.  Mungkin juga berkat doa ibu dan ayah.

      “Rizal pergi sekali?” tanya ibu.

      “Dia sudah bertolak semalam ke Jakarta.  Dia ikut Tan Sri Effendy menaiki kapal terbang peribadinya.  Katanya Tan Sri ada urusan lain yang perlu diselesaikan sebelum mesyuarat dengan Exim Bank esok di Jakarta.”

      Ibu mengangguk.  Matanya yang redup itu mengamati semula wajahku.  Riak wajahnya kelihatan bimbang.

      “Badan Along ini sudah semakin susut.  Along tak jaga makankah semasa di luar negeri?” ibu bertanya sambil memegang pergelangan tanganku.

      Aku ketawa kecil.  Tidak mahu ibu menjadi gusar atas perkara – perkara yang remeh.  Pandailah anak lelakinya ini menjaga diri di rantau orang.

      “Memang makan.  Tetapi kurang serasi agaknya.  Itu sebab Along suka balik rumah untuk makan masakan ibu,” nada suaraku mengusik cuba mengambil hati ibu.  Walaupun pada hakikatnya, aku menyedari selera makanku kini semakin berkurang. 

      “Ibu nak ikut Along pergi Jakarta dan Shanghai?” aku mengusik ibu.  Sudah selalu kutanya soalan ini dan jawapannya serupa sahaja.  Dia tidak mahu meninggalkan ayah sendirian terkontang – kanting.  Aku tersenyum mengenangkan pada usia begini mereka tidak suka berjauhan antara satu sama lain.

      “Ibu tidak boleh ikut.  Bukankah Zharif sekeluarga akan tiba petang ini di lapangan terbang?  Nanti boleh Along minta Usop uruskan pengambilan mereka?” balas ibu mengingatkan aku bahawa adikku akan pulang hari ini dari United Kingdom.  Aku terlupa pula mengenai hal itu kerana terlalu sibuk dengan urusan jadualku yang padat.

      Aku mengangguk.  Ibu tersenyum sendiri.  Mungkin merasa seronok untuk berjumpa kembali anak dan cucu – cucunya setelah setahun lebih berpergian.  Terutama yang kecil sekali.   Rumah yang besar ini terlalu sepi bagi ibu dan ayah.  Hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di sini semasa ketiadaanku.  Sungguhpun pada siangnya Usop dan pembantu rumah akan menguruskan rumah ini, tetapi ia tidak sama dengan ketiadaan ahli keluarga.

      “Along sudah tidak melawat United Kingdom lagi kah?  Sudah hampir setahun sejak along pulang dari sana,” tanya ibu tiba – tiba.  Kenapa pula ibu bertanya soalan itu pada subuh – subuh begini.  

      Aku hanya mengangkat bahu.  Sungguh aku tidak tahu bagaimana hendak membalas pertanyaan ibu.

      “Bukankah Edinburgh cantik pada musim luruh sekarang?” tanya ibu lagi membayangkan.

      Aku terimbas rimbunan pohon yang berdaun kuning keemasan.  Padang rumput yang hijau dan lembap.  Langit biru.  Cuaca yang dingin.  Jari – jemari yang runcing lembut menggengam erat tanganku.  Rambut panjang yang diseka ke belakang telinganya sewaktu ditiup angin lembut.  Matanya yang bundar.  Dan suaranya yang meruntun hatiku.

      “Entah, ibu.  Bukan selera Along,” jawabku pendek menepis memori silam.

      Ibu tidak sempat membalas apabila sejurus kemudian ayah keluar dari pintu biliknya menuju ke ruang tamu.  Ibu berkalih memandang ayah.  Ayah sudah siap memakai jubah putih dan berketayap.  Memakai wangian yang kuat baunya. 

      “Kita sudah sediakah?  Sekejap lagi masuk subuh,” ujar ayah membetulkan ketayapnya.

      Ibu mengangguk dan bangkit dari sejadah.  Aku turut bangun, mencapai kunci kereta dan bergerak ke muka pintu.  Suasana di sekitar rumah ini masih lagi sunyi sepi.  Aku mencapai tongkat untuk ayah dan kusuakan kepadanya sebelum memanaskan enjin kereta.  Sambil menunggu ibu dan ayah memasuki kereta, aku bersyukur mereka masih lagi sihat dan berupaya untuk pergi berjemaah di masjid.  Itu padaku juga rezeki.                                                                                                                       

      Kereta kemudian kupacu setelah ibu dan ayah menutup pintu kereta.  Membelah keheningan sebelum berkumandangnya azan subuh.

Previous: 45
Next: 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.