Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
154,555
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
13


      Pagi – pagi lagi aku dikejutkan dengan suara Haziq yang seronok menyanyi lagu kanak – kanak.  Sambil menggosok mata aku melihat dia terkinja – kinja menyanyi dan menari mengikut irama lagu yang dimainkan dalam televisyen.  Adiknya Zahrane turut sama menggoyangkan punggungnya yang tebal dengan lampin itu menghayati irama lagu tersebut.  Aku perhatikan semula paparan di skrin televisyen.  Animasi kartun babi rupanya diiringi suara latar kanak – kanak.  Mataku menjadi luas terbuka serta - merta.

      “Haziq suka kartun inikah?” ujarku setelah bangkit dari sofa.

      Haziq yang masih dalam pakaian tidurnya berpusing mengadapku.  Matanya hitam bersinar memandangku seraya mengangguk.  Tersenyum simpul mendengar soalanku.

      “Yes! I love Peppa the pig,” teriaknya dengan girang.

      Lantas menyambung tariannya semula.

      Aku hanya menggelengkan kepala melihatkan keletah mereka berdua.  Selimut tebal yang kugunakan malam tadi kulipat semula dan diletakkan di hujung kaki sofa.  Memandangkan hari ini merupakan hari cuti untuk Haziq, aku biarkan dia terus leka menonton rancangan kartun kegemarannya.  Zahrane pula kudukung ke bilik air untuk ditukar lampinnya yang sudah sarat sekaligus memandikannya agar baunya tidak kekal masam hingga ke tengah hari.

     Tidak sampai sepuluh minit selepas aku menguruskan Zahrane, aku berada semula di dalam tab mandi sambil mencuci rambutku yang semakin panjang melepasi paras telinga.  Aku merancang untuk memotong rambut sebaik sahaja pulang ke Kuala Lumpur nanti.  Tetapi aku tidak merasa ingin pulang.  Teringat aku pada janji Amelia tempoh hari untuk menghubungiku namun sehingga kini masih menyepi.  Wajahnya melintas di fikiran.  Senyumannya yang menyejukkan. 

      Baru dua hari, aku memujuk hati.  Mengandaikan dia mungkin sibuk dengan urusannya.  Tidak punyai masa terluang barangkali.  Aneh sungguh aku berkelakuan seperti seorang remaja.  Resah dilanda gila bayang.  Bukannya aku tidak pernah mempunyai teman wanita.  Namun lain sungguh penangan gadis bermata bundar berhidung mancung ini.  Aku bagaikan terperangkap dalam sebuah kabut perasaan yang tidak aku fahami.

      Tiba – tiba bunyi berdentum di ruang tamu.  Diikuti dengan tangisan nyaring suara budak.  Aku terus mematikan air pancur panas.  Dengan buih shampu yang berkumpul di atas kepala aku keluar dari tab mandi.  Pantas mencapai tuala yang tersidai di pemanas dan terus membuka pintu bilik air.  Tuala kuikat di keliling pinggang sebelum melangkah ke ruang tamu.

      Haziq berlari mendapatkanku.  Zahrane sedang terlentang di atas lantai sambil menangis dengan lantang.

      “Pak long, Zahrane fall down,” ujar Haziq dengan cemas.

      Aku capai Zahrane dengan kedua – dua belah tangan lantas mendukungnya.  Kepalanya yang tebal dengan rambut berceracak itu  aku periksa dengan hujung jari.  Dibayangi rasa khuatir apabila mengingatkan dentuman kuat yang kudengari tadi.

      “Adik, tunjuk pak long sakit di mana?” aku bertanya sambil meniup kepalanya.  Basah mukanya dengan air mata.  Mulutnya pula terbuka mengongoi kecil.  Tapak tangan yang kecil itu memegang bahagian belakang kepalanya.

      Aku sentuh semula dengan hujung jariku perlahan – lahan.  Terdapat sebuah bincut kecil di bahagian kanan tengkoraknya.  Bingkas aku menuju ke peti ais dan mengeluarkan sebiji air batu.  Setelah membungkus air batu itu di dalam kain lap muka yang bersih, aku tuam perlahan – lahan ke atas kawasan yang bengkak.  Zahrane hanya menyandarkan dirinya sambil tersedu – sedu ke bahuku. 

      Tiba – tiba mataku menjadi pedih.  Buih – buih shampu di atas kepala sudah mengalir ke mataku.  Aku cuba mengelipkan mata beberapa kali namun kepedihan itu tidak berhenti menyucuk.  

      Loceng pintu pula berbunyi.  Siapa yang datang pada saat aku sedang lintang – pukang begini.  Bungkusan air batu kuletakkan di atas meja makan lantas kucapai tombol pintu untuk dibuka.  Zahrane masih lagi melekap di bahuku.  Risau juga kiranya buih – buih shampu ini mengalir ke mukanya.

      Seorang lelaki remaja yang tinggi lampai dalam lingkungan enam kaki terpacak di hadapan pintu.  Berambut pendek seperti fesyen rambut selebriti terkini dan memakai anting – anting di telinga kirinya.  Wajahnya mempunyai iras - iras orang Melayu dan berkulit sawo matang.  Dia tersenyum menegurku.

      “Hai, aku Ibrahim.  Aku menginap di flatnya depan ini,” dia memperkenalkan dirinya.

      Aku memandang pintu flat depan yang terbuka.  Bukankah unit itu didiami Omar yang singgah ke rumah baru – baru ini.

      “Itu bukan flat Omarkah?” tanyaku memastikan.

      “Benar, dia abang aku.  Dia sudah berpergian jogging.”

      Aku mengangguk.  Mataku terasa lebih pedih.  Buih – buih shampu tadi mungkin sudah membasahi mukaku.

      “Abang dalam kesulitan?  Aku dengarin suara anaknya menjerit,” dia bertanya sambil memandang Zahrane yang sedang melekap di bahuku.

      “Zahrane terjatuh tadi semasa abang di dalam bilik air,” ujarku pendek.  Aku berharap perbualan ini tamat segera kerana aku perlu membasuh mukaku.

      “Itu perkara normal.  Anak – anak sering demikian,” ujar remaja ini lagi dengan slang orang putih yang pekat.  Aku teringat Omar pernah menyatakan dia mempunyai pengalaman menjaga adik – beradik yang ramai.

      Haziq muncul tiba – tiba dari belakangku dan menyapa remaja ini.

      “Hai Ibrahim!” tegurnya girang.

      “Hello Haziq.  How are you? You are still in your pyjamas,” sambut Ibrahim.

      Haziq berlari keluar dan melompat ke dalam dakapan Ibrahim.  Wajahnya kelihatan riang didukung oleh remaja yang tinggi lampai itu.

      “Can we play Monopoly Deals, Ibrahim?” tanya Haziq.

      “Please, please,” rayu Haziq lagi.  Ibrahim hanya ketawa melihatnya.

      Aku pula terdiam memerhati gelagat mereka berdua.  Aku teringat Zharif pernah memberitahuku bahawa Omar dan adiknya selalu menjaga anak – anaknya sekiranya dia terpaksa keluar atas sesuatu urusan.  Mungkin itu sebabnya Haziq begitu mesra dengan remaja yang bernama Ibrahim ini.

      “I don’t know.  We have to ask permission from your uncle,” balas Ibrahim.  Kedua – duanya tersenyum lebar memandangku.  Wajah mereka tak ubah seperti budak – budak nakal yang ingin ponteng sekolah.

      “Of course, why not? If that is okay with you Ibrahim,” balasku sopan.  Aku tidak mahu menyusahkannya.

      “Bisa.”

      Ibrahim berpusing kembali menuju ke pintu flatnya yang terbuka sambil mendukung Haziq.  Dia berpaling sebentar ke arahku yang masih berdiri di depan pintu.

      “Nanti abang mampir makan tengahari di sini.  Kapan Omar pulang, dia akan masak spaghetti.”  Lidahnya terpelat – pelat berbicara Bahasa Indonesia.

      Aku hanya tersenyum mengangguk.  Air shampu terasa masin di hujung bibirku.

      “Oh iya, abang tahu nggak abang pakei handuk kaki sahaja?” Dia tersenyum kemudian menutup pintu.

      Aku memandang ke bawah.  Astaga, patutlah berangin sahaja selama ini.


Previous: 12
Next: 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.