Home Novel Cinta Salju Di Edinburgh
Salju Di Edinburgh
che'
4/6/2020 13:54:16
157,892
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
47


       Aku menyandarkan tubuh ke kerusi plastik di ruang menunggu balai berlepas lapangan terbang antarabangsa Soekarno – Hatta di Jakarta.  Penumpang – penumpang yang lain turut beransur memenuhi ruang menunggu dua tingkat ini.  Kapal terbang Air Asia yang ditunggu masih belum kelihatan di landasan.  Mungkin cuaca yang kurang elok menyebabkan sedikit kelewatan pada jadual penerbangan.  Jam di tangan aku kerling sekali lagi memastikan baki tempoh masa yang akan ditempuhi.

      Arip turut melabuhkan punggungnya di kerusi sebelah sambil menarik nafas lega.  Kepenatan barangkali berjalan jauh di sepanjang terminal menghala ke balai berlepas ini.  Aku menjeling ke arah sepatu kulit berwarna perang muda yang dipakainya.

      “Kenapa pakai kasut disko, Arip?  Bukannya selesa pun untuk berjalan jauh,” ujarku sambil memandang ke arah paparan skrin set televisyen gantung di sudut ruang balai ini.  Paparan skrin sedang menunjukkan saluran berita antarabangsa.  Seorang pegawai polis British sedang ditemuramah memberi komentar bisu di kaca televisyen.  Berita di London rupanya.  Aku tidak dapat memastikan intipati berita tersebut dari jarak ini.

      “Memang ke disko pun aku semalam, Bos.”

      Aku terpaling.  Apa pula yang dibuatnya selepas mesyuarat di tapak semalam.  Patutlah aku disuruh pulang ke hotel bersendirian.

      Arip ketawa melihat reaksiku. “Tapi aku tidak jadi masuk, Bos.  Sudah tidak larat mahu joget dangdutnya, Bos.  Pak Arifin hantar aku pulang terus.”

      “Arip.  Kita ada dua tahun lagi di Jakarta ini.  Kalau payah sangat, bawa sahaja bini dan anak engkau ke mari,” aku melontar pandang ke arah skrin televisyen semula.  Paparan berita kembali ke studio.  Menunjukkan wajah wanita berbangsa Inggeris menggerak – gerakkan mulutnya tanpa kedengaran butir bicara.

      “Bos, minggu lepas peguam kita Adnan ada hubungi aku mengenai kes Dato’ Megat.”

      Aku terdiam memberi tumpuan kepada Arip.  Mataku masih lagi melekat pada kaca televisyen gantung.  Leka menatap kemerahan bibir pembaca berita wanita tersebut.

      “Dia ingin berjumpa Bos untuk semakan akhir sebelum membuat serahan dokumen ke mahkamah.  Rasanya segala dokumen sudah lengkap semasa aku periksa minggu lepas, tetapi dia hendak berjumpa dengan Bos untuk kepastian,” sambung Arip.

      “Kepastian apa, Arip?” aku bertanya.  Rasanya keputusan sudah pun aku berikan.  Kenapa peguam ini masih ingin membazirkan masaku lagi.

      “Mana tahu kalau Dato’ Megat masih hendak membuat rundingan lagi dengan Bos untuk baki bayaran yang belum dilunaskan.”

      Aku tersenyum sinis.  Rundingan kali terakhir dengan Dato’Megat pada bulan lepas tidak berakhir dengan baik.  Kami tidak berjaya mencapai kata sepakat untuk tempoh pembayaran hutangnya.  Aku tidak dapat menerima terma pembayaran baki hutangnya yang dilanjutkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.  Masih ada dalam empat juta ringgit lagi tuntutan kami yang Dato’ Megat masih terhegeh – hegeh untuk membayar.  Namun pada masa yang sama, aku difahamkan dia telah membawa keluarganya melancong ke luar negara menerusi pakej percutian kapal mewah, membina rumah banglo tiga tingkat di Ampang dengan nilai yang mencecah jutaan ringgit, malahan dia juga telah menerima pembayaran daripada pihak Kementerian bagi penyerahan projek pada tahun lepas.  Pembayaran yang sepatutnya telah dijanjikan untuk melunaskan hutangnya pada syarikatku.

      Aku menggelengkan kepala.

      “Sesi rundingan telah berakhir, Arip.  Beri arahan kepada Adnan untuk teruskan pemfailan kes di mahkamah esok.  Jangan buang masa,” tegasku sambil memandang kepadanya.

       “Aku nak tengok salinan terima mahkamah atas meja aku sebelum pukul lima petang besok.”

      Arip mengangguk lantas mencapai telefon bimbitnya.  Menghubungi peguam kami barangkali.  Aku memandang ke arah luar balai dan mendapati sebuah kapal terbang Air Asia sudah tiba di landasan.  Penumpang – penumpang yang lain turut menyedari dan mula membuat barisan di pintu berlepas.  Aku mencapai beg komputer riba dan kot kerja di sebelahku lantas berdiri.  Sebentar lagi pintu berlepas akan dibuka dan tempat duduk tempahan kami akan diberi keutamaan untuk dipanggil dahulu.

      “Mari Arip,” ujarku menepuk bahu Arip.  Dia bingkas bangun dan menuruti langkahku menuju ke pintu berlepas.


Previous: 46
Next: 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.