Home Novel Cinta PENGANTIN EKSPRES
PENGANTIN EKSPRES (BAB 3) - TERPAKSA

"Betul Liya setuju ni?" soal Ryan. Nama sebenar Rayyan, tetapi lebih suka orang panggil Ryan saja. Rayyan itu sudah sedap di dengar tetapi mengapa perlu di ubah. Tak sukalah. Aleeya memandang wajah bakal suaminya. Baru kenal tak sampai dua hari sudah mahu berkahwin. Nampak sangat terdesak. Memang terdesak pun kerana saat ini dia hanya fikirkan abah dan mak saja. Kasihan mak dan abah yang terpaksa menanggung malu di kampung. Terbayang wajah mak membuatkan Aleeya tersedu. Kasihan mak. Perasaan kasihan ini lah yang membuatkan Aleeya sudah nekah. Sudah tidak peduli soal hati sendiri.

Abah lain lah kerana jiwa lelaki tak akan sama dengan jiwa orang perempuan. Mesti abah bersedih hati dengan apa yang menimpa diri anak bongsunya. Cuma abah tak tunjuk saja. Tetapi apa pun abah tentu pedih hati dengan kejadian yang tidak disangka-sangka ini.
"Encik Rayyan kena jumpa mak dan abah saya di kampung dulu. Kalau dia orang setuju, kita kahwin!" jawab Aleeya cukup mudah. Tengok Rayyan pun sudah tahu mesti abah menolak. Huhuhu. Bakal menantu abah pakai rantai emas di tengkuknya. Bab ini paling abah tak suka. Abah sudahlah orang kuat masjid, alih-alih bakal menantu abah pakai rantai emas pula. Lelaki memakai perhiasan emas hukumnya haram, Aleeya. Andainya abah dan mak tidak setuju, macam mana Aleeya? Hendak berkeras juga ke? Hish, Rayyan ini bukannya sebarangan orang. Awak pun kenal siapa Rayyan, kan? Macam mana ni?

“Boleh, bila nak pergi?” soal Rayyan beria benar. Aleeya memandang ke arah lain. Betul ke tindakan aku nih? Nak kahwin dengan Rayyan semata-mata hendak menutup malu keluarga? Perasaan aku bagaimana? Itu satu hal. Hal kedua Rayyan ni sudah lah jenis perempuan keliling pinggang. Macam aku sengaja cari penyakit pulak. Siapa yang tak kenal Rayyan? Kaki perempuan, kaki minum lagi. Sebelum ini dia memang pernah terserempak Rayyan bersama kawan-kawan perempuannya beberapa kali tetapi tidak sangka pula Rayyan memilihnya untuk dijadikan teman hati. Rayyan ni betul ke nak kahwin dengan aku? Atau dia hanya nak mainkan perasaan aku?

“Jumaat ni..,” jawab Aleeya. Jumaat kan hari cuti di Kedah. Lagi pun abah tak sibuk kalau hari jumaat.

“Beres. Jumaat ni saya datang jemput awak!”

“Okey!” Mudah sangat Aleeya membuat keputusan.

Hari ini baru selasa kan, boleh lah aku berfikir, atau paling tidak boleh lah buat solat istikharah, mohon petunjuk dari ALLAH yang satu. Bagaimana kalau dia memang ditakdirkan menjadi jodohku? Aduhai, apakah aku redha untuk menerima dia yang serba kemewahan tetapi kekurangan cahaya iman. Aleeya, bukan senang hendak mendidik seorang lelaki ke arahan kehidupan islamiah. Rayyan awak tu bukannya calang-calang orang lah. Dia belajar di luar negara. Ayahnya kacukan melayu-inggeris. Emaknya pula memang anak melayu tetapi ada kacukan cina pula. Jadi, pegangan agama keluarga mereka dari awal lagi memang longgar. Dan awak tu??? Semalam kata nekad hari ini lain pula bila berhadapan dengan Rayyan. Aleeya, Aleeya, awak ni tak ada pendirian lah.

Abah awak memang lah tidak memilih dalam hal begini tetapi cara kehidupan awak dengan Rayyan terlalu jauh berbeza? Kena fikir juga tu.

Rayyan sudah hilang dari pandangan anak matanya. Nampak Rayyan berjalan masuk ke dalam pejabat kepunyaannya. Pejabat kami hanya bersebelahan saja. Rayyan bos di tempat kerjanya. Aku ni kuli saja lah. Mesti gempak hari ini kalau orang tahu apa yang aku dan Rayyan rancangkan. Bukan kecil rancangan kami, rancangan besar pula tu. Apa kata Puteri Shima dan Akma bila tahu aku mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Rayyan?

Tentu mereka tidak setuju. Abah dan mak di kampung pun belum tentu setuju, jadi usah fikir sampai sakit kepala kerana perkara ini belum tentu akan menjadi.

“Liya jumpa Rayyan?” soal Zuraida waktu Aleeya baru hendak duduk di kerusi. Kalau Zuraida nampak aku dan Rayyan tadi, tentu orang lain melihat juga.

“Yup!” akui Aleeya.

“Dia tu buaya, Liya. Akak kurang suka lah Liya jumpa dia!” beritahu Zuraida. Dah agak pun, mesti Zuraida tidak suka pertemuan antara Aleeya dan Rayyan tadi.

“Tahu!” sepatah saja yang muncul. Semua orang tahu siapa Rayyan, jadi tidak perlu menafikannya lagi.

“Dah dua kali Liya jumpa dengan dia selepas Liya putus tunang, akak rasa macam ada sesuatu saja, betul tak?” pancing Zuraida lagi membuatkan Aleeya sudah tidak senang duduk di atas kerusinya. Panas!

“Tak ada apa-apa, kak!” kata Aleeya. Belum tentu aku jadi bertunang dengan dia sebab apa pun perlukan persetujuan dari abah dan mak di kampung. Jadi, jangan cakap apa-apa lagi kerana semuanya belum pasti.

“Liya, akak kenal kamu lah. Kamu bukannya jenis keluar dengan lelaki ikut suka hati kamu saja, kecuali lelaki yang ada ikatan atau pun pertalian dengan kamu saja,” suara Zuraida sudah agak meninggi. Marah ke?

Aleeya tersenyum, cuba menenangkan hati sendiri dan juga cuba menenangkan perasaan Zuraida, kawan satu pejabatnya ini.

Betul, Liya tak akan keluar dengan lelaki yang tidak ada hubungan dengan Liya. Dulu, Liya hanya keluar dengan Azlan saja, kerana Azlan adalah kekasih hati merangkap bakal suami Liya, tetapi sekarang Liya sudah dua kali keluar dengan Rayyan, lelaki buaya darat itu. Wal hal sudah banyak kali Rayyan ingin berjumpa dengannya sewaktu dia menjadi tunang Azlan, tetapi Aleeya tidak berminat pun.

Hmm.. sesuatu yang berlaku bukan atas rancangan kita. Itu yang betul. Semuanya terasa segar di dalam kepala otak Aleeya bagaimana siri-siri pertemuan antara dia dan Rayyan, arkitek terkenal itu.

“Liya, Encik Rayyan nak berkenalan dengan awak!” beritahu Atun, kerani di sini. Sudah tiga kali Atun beritahu kepada Aleeya tentang ini.

“Tak nak lah!” jawab Aleeya. Waktu itu dia masih menjadi tunang Azlan. Buat apa berkenalan dengan Rayyan, sedangkan dia bakal menjadi isteri orang. Tidak pasal bergaduh dengan Azlan pula kerana hal kecil ini. Aleeya mahu menjaga statusnya sebagai tunang orang. Lagipun tak baik lah ada lelaki lain selain Azlan.

“Kawan biasa saja lah. Bukannya ada apa-apa pun!” pujuk Atun.

“Tak mahu lah!” tolak Aleeya. Dengan Rayyan lagi lah nak mahu berkawan. Rayyan tu tak layak untuk dibuat kawan pun. Memang lah Rayyan segak dan kaya tetapi perangai buruk, kata Aleeya di dalam hati.

“Kenapa? Sebab Liya orang alim, Rayyan tu orang hina, begitu?” uji Atun pula. Sengaja mahu tahu apa alasan Aleeya di dalam hal ini. Aleeya menolak Rayyan kerana Aleeya orang yang ada pegangan agama, tidak seperti Rayyan yang kaki kelab malam dan suka minum wain yang memabukkan itu?

“Mana ada, siapa lah Liya untuk membezakan sesama manusia. Liya pun manusia biasa saja, yang ada banyak kelemahan!” tepis Aleeya. Kata abah, jangan terlalu bencikan seseorang, tapi benci berubah menjadi sayang pula. Tengok, sekarang apa sudah jadi? Dia dan Rayyan?? Tak beraninya nak fikir semua itu sekarang. Takut pun ada jugak lah!

Atun tak pernah mengalah menjadi orang tengah Rayyan, dan yang pastinya Rayyan itu tidak berhenti dari mengharap. Mungkin kerana Rayyan ingat ikatan tunang itu tidak bermaksud apa-apa kepadanya sebab itu dia mahu berkenalan dan berkawan dengan Aleeya. Cuma dua bulan sebelum tarikh perkahwinan Aleeya, Rayyan menyepi diri dan sekarang mula memberanikan diri apa bila tahu Aleeya tidak jadi kahwin dengan Azlan kerana Azlan sudah berkahwin dengan perempuan lain. Semua ini seolah memberi peluang kepada Rayyan? Betul tak Aleeya?

“Liya!” panggil Zuraida mengejutkan Aleeya dari terkenangkan Atun. Wajah Atun segera hilang dalam fikirannya.

“Apa kak?”

“Jauhnya awak mengelamun. Ingat siapa? Azlan?”

“Azlan dah jadi suami orang. Kalau saya ingat pun dah tak ada maknanya, kak!” suara Aleeya geram dan sakit hati tiba-tiba. Untuk apa lah aku kenangkan orang yang sudah mencalitkan arang di muka aku. Kerana Azlan, keluarga aku mendapat malu.

“Habis tu?”

“Liya ok kak, janganlah akak susah hati!” putus Aleeya sambil bangun dari tempat duduknya. Hendak pergi solat lah kat surau. Sebenarnya nak larikan diri dari Zuraida yang mengundang banyak pertanyaan. Banyak sangat soal jawabnya, sedangkan semua ini masih di peringkat awal. Masih rahsia.

“Azlan!”Sebut nama Azlan lagilah saya perlukan Rayyan. Saya nak kahwin dengan Rayyan juga kerana Rayyan saja yang sudi ajak saya kahwin saat ini. Rayyan yang datang ketika saya keluh kesah ditinggalkan oleh Azlan. Saya nak tebus maruah keluarga saya yang dihina dan dicaci oleh orang kampung kerana perbuatan Azlan, putus Aleeya.

Tiba-tiba Aleeya jadi berani dan nekad pula untuk berkahwin dengan Rayyan, lelaki banyak perempuan itu.

Liya akan pujuk mak dan abah supaya terima Rayyan juga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.