9
“Assalamualaikum,
puan.” Seorang anggota polis wanita berpakaian seragam yang lalu di hadapan
mereka memberikan salam kemudian terus memberikan tabik hormat.
“Waalaikumussalam…” jawab Mira dan Zuha hampir
serentak. Kemudian mereka melangkah menuju ke balai polis yang hanya terletak
beberapa meter daripada kuarters yang juga terletak di dalam kawasan balai
polis mereka bertugas.
Sememangnya pegawai-pegawai polis terutama yang
belum berkahwin diwajibkan untuk tinggal di kuarters kerajaan untuk memudahkan
urusan sekiranya ada kes kecemasan yang memerlukan tindakan segera daripada
mereka.
“Selamat pagi, puan!” Seorang koperal polis
lelaki berpakaian seragam yang bertugas di kaunter pertanyaan juga bangun
memberi tabik hormat.
Zuha dan Mira membalas sapaan selamat daripada
anggota tersebut. Kemudian mereka terus
melangkah menuju ke bangunan yang menempatkan semua pegawai penyiasat.
Tiba di meja, Mira terus duduk menghadap
komputer. Biasanya pagi-pagi, dia akan terus memeriksa e-mel yang dihantar oleh
jabatan untuk mendapatkan arahan terkini berkaitan dengan tugasan mereka.
Telefon di atas meja Mira tiba-tiba
berbunyi. Mira terus mengangkat gagang
lalu dilekapkan ke telinganya.
“Puan, ada kes baru. Seorang perempuan Melayu
meninggal dunia, disyaki dibunuh,” kata pengadu lelaki tersebut.
“Di mana?” tanya Mira. Pen di tangan telah
bersedia untuk mencatitkan butir-butir penting yang diperlukan sebelum keluar
menyiasat.
“Di Taman Tasek, rumah nombor 14,” jawab si
pemanggil.
“Baiklah, saya akan ke sana segera.” Pantas Mira
menjawab sebelum memutuskan talian. Seketika, dia mengangkat semula gagang
telefon dan terus membuat panggilan lain.
“Malik, awak ikut saya sekarang. Kita ada kes.
Lagi satu, awak tolong suruh pemandu standby. Lagi lima minit saya
keluar,” arah Mira kepada Malik, yang merupakan jurugambar khas di jabatan
mereka.
“Baiklah, puan,” ujar Malik. Dia cukup arif
dengan tugasnya. Dia telah bertugas di situ sejak sepuluh tahun yang lepas.
Sekiranya ada kes-kes yang dilaporkan, maka dia atau mana-mana jurugambar yang
lain akan diarahkan oleh Pegawai Penyiasat untuk mengikut mereka ke tempat
kejadian bagi merakamkan gambar mangsa dan kawasan kejadian.
Lebih kurang setengah jam perjalanan dari balai, mereka tiba di tempat
kejadian yang dimaksudkan. Apabila Mira turun dari jeep polis, orang
ramai telah mula berkerumun di hadapan sebuah rumah teres kos rendah. Rumah
yang agak lusuh dan pudar warna catnya itu telah direntang dengan tali kuning
bertulisan “POLIS” yang bermaksud bahawa kawasan itu dilarang dari dimasuki
oleh orang ramai.
Mira berjalan ke arah rumah yang dimaklumkan.
Malik mendahuluinya dan segera
mengarahkan agar orang ramai yang mengerumuni kawasan pagar rumah supaya
bergerak ke tepi untuk memberi laluan kepada mereka.
Kelihatan beberapa anggota polis berpakaian
seragam telah berada di situ dan berkawal di pintu masuk rumah untuk memastikan
kawasan tempat kejadian tidak dicerobohi. Prosedur ini penting bagi mengelakkan
kesan-kesan atau bukti-bukti yang boleh membantu penyelesaian kes ini diganggu
atau diusik.
Di ruang tamu, Mira dapat melihat sekujur tubuh
wanita terbaring di laluan menghala ke dapur. Separuh dari tubuh wanita itu
telah ditutupi dengan selimut berwarna merah bata. Dua orang kanak-kanak diam
membisu di ruang tamu dengan wajah yang sugul. Apabila melihat kehadiran Mira,
mereka mendongakkan kepala dan mata mereka.
Pasti kanak-kanak ini adalah anak si mati.
Hatinya tersentuh melihat keadaan kanak-kanak itu yang kusut masai.
“Malik, ambil gambar depan rumah dulu kemudian
baru ambik gambar kat dalam ni,” arah Mira. Sementara itu Mira menyarungkan
sarung tangan getah ke kedua-dua tangannya.
“Baik, inspektor,” jawab Malik kemudian terus melangkah
keluar ke hadapan.
Doktor Karamjit, pakar Forensik juga telah
berada di rumah ini apabila dimaklumkan oleh polis bahawa kes ini
berkemungkinan mempunyai unsur-unsur jenayah.
“Apa khabar doktor?” sapa Mira sambil melangkah
menghampiri doktor pakar tersebut. Matanya liar memerhati keadaan sekeliling
rumah itu.
“I’m okay,” jawab Doktor Karamjit sambil tersenyum.
Lelaki berbangsa Singh, berumur dalam lingkungan 40-an itu memang sudah cukup
dikenali di kalangan pegawai polis yang dikhaskan untuk menyiasat kes-kes yang
melibatkan kematian. Apabila sesuatu kematian dilaporkan atau mayat dijumpai,
bukan sahaja polis yang akan datang ke tempat tersebut, tetapi pakar forensik
juga akan turut dipanggil untuk memastikan keadaan sekeliling, keadaan mayat sewaktu
ditemui dan tempoh masa juga amat
penting untuk membantu penyiasatan polis.
Doktor Karamjit bertinggung berdekatan dengan
mayat wanita itu lalu membelek tubuh wanita itu beberapa kali. Dia memegang
leher, pergelangan tangan dan membuka kelopak mata wanita itu yang hanya
tertutup separuh.
“So, macam mana doc?”
tanya Mira lagi.
“I rasa dia dibunuh. Tengok ni. Ada kesan lebam
di tengkuk dia. Di dada juga ada lebam dan berdasarkan darah yang keluar dari
telinga, mulut dan hidung, saya rasa dia telah dicekik kemudian dipijak dengan
kuat di dada,” jawab Doktor Karamjit sambil menunjukkan beberapa bahagian badan
si mati kepada Mira.
Mira agak terkejut. Siapalah yang begitu kejam
sehingga sanggup memijak wanita ini? Apakah salah wanita ini sehingga diperlakukan
begitu? Dan apakah motifnya?
“I rasa si pembunuh dalam keadaan yang sangat
marah sebab kesan pijakan di dada amat kuat. I think tulang rusuk dia
patah. Cuba yourasa di sini,” jelas doktor itu lagi.
Mira terus menyarungkan sarung tangan getah di
kedua-dua tangannya lalu dia terus menyentuh tempat yang ditunjukkan oleh
Doktor Karamjit. Dia dapat rasakan seperti tulang-tulang yang patah apabila dia
menekan sedikit dada wanita itu.
“Ya lah, doc,” ujar Mira. Wajahnya
berkerut.
“I rasa dia meninggal dalam pukul 4.00 atau 5.00
pagi. Tubuh dia sudah sejuk dan sudah mula mengeras. Make sure you
hantar mayat ke hospital dengan segera.” Doktor Karamjit membuat andaian awal
selepas membuat pemeriksaan dan penilaian luaran.
Mira mengangguk. Doktor Karamjit bangun kemudian
melangkah ke arah sebuah beg hitam besar kepunyaannya yang diletakkan tidak
jauh dari situ. Dia mengeluarkan sebuah buku nota berwarna hitam lalu
mencatitkan sesuatu di dalamnya.
“Okeylah, I jumpa you di hospital nanti untuk post
mortem,” ujar Doktor Karamjit lalu dia melangkah keluar dari rumah itu.
Malik telah berada di dalam rumah semula dan
kini sedang sibuk merakamkan gambar di dalam kawasan rumah dan gambar mayat.
Setelah selesai, Mira memberi isyarat kepada anggota polis yang datang
bersamanya agar mengangkat dan membawa mayat wanita itu ke dalam jeep
polis dan terus dihantar ke hospital. Sebelum mayat di bawa keluar, mayat itu
dibungkus dengan plastik hitam untuk mengelakkan daripada dilihat oleh orang
yang masih ramai berkerumun di luar rumah.
Setelah mayat dihantar ke hospital, Mira terus
meninjau keadaan di dalam rumah itu. Dia tidak dapat melihat sebarang kesan
pecah masuk atau rompakan di dalam rumah itu kerana hasil soal siasat ringkas
kepada suami dan anak-anak si mati, mereka mengatakan tiada barang yang hilang.
Suami si mati pula tidak tahu apa-apa kerana sepanjang malam dia tidur dan
hanya sedar apabila dikejutkan oleh jiran yang datang ke rumah mereka pada pagi
itu.
“Encik Borhan, pintu belakang ni memang dalam
keadaan macam ni ke?” tanya Mira apabila melihat tombol pintu itu longgar dan
tidak boleh dikunci.
“Err... pintu tu memang macam tu. Dah lama dah.
Memang tak pernah berkunci,” jawab lelaki itu.
Mira mengerutkan dahinya. Kenapa lelaki itu
begitu cuai sekali? Kenapa dia membiarkan pintu dapur tidak berkunci? Tidakkah
dia fikirkan keselamatan isteri dan anak-anaknya?
Mira segera menyuruh Malik merakamkan gambar
pintu belakang tersebut dan keadaan dapur yang agak kotor dan berselerak dengan
pinggan dan cawan yang tidak berbasuh.
Mira membuka beg yang dibawanya bersama. Dia
mengeluarkan sebatang berus berbulu hitam kemudian dicelupkan ke dalam serbuk
hitam halus yang berada di dalam sebuah kotak. Setelah itu, Mira menyapukan berus
itu di tombol pintu luar dan dalam pintu dapur itu. Setelah itu, dia memberus
pula permukaan pintu dapur dan cermin tingkap dapur.
“Ada dapat cap jari ke, puan?” tanya Malik.
Mira menggeleng. “Dah comot. Cap jari dah
bercampur-campur dan tak lengkap. Saya rasa penceroboh pakai sarung tangan
berdasarkan kepada kesan pada leher si mati,” terang Mira lagi sambil tangannya
memasukkan semua kesan cap jari yang dapat dirakamkan ke dalam sampul surat
khas.
“Okey, Malik? Dah ambik gambar di seluruh
kawasan rumah?” tanya Mira setelah dia selesai menjalankan pemeriksaan. Sarung
tangan getah ditanggalkan kemudian disumbat ke dalam poket baju seragam sebelah
kanan.
“Dah, puan. Ada tempat lain lagi ke puan nak
saya rakamkan gambar?” tanya Malik lagi sambil memerhati keadaan sekeliling
takut terlepas pandang perkara-perkara penting yang perlu dirakamkan.
“Err... nanti dulu.” Buat seketika Mira berdiri
tegak sambil turut memerhati keadaan sekeliling. Dia perlu berhati-hati dan
memastikan bahawa segala bukti-bukti yang ada mesti dikaji dan diteliti agar
kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan memuaskan. “Saya rasa itu sahaja,”
jawab Mira.
Setelah selesai menyimpan peralatan untuk cap
jari, Mira mengarahkan Malik membawa balik selimut dan bantal yang digunakan
oleh si mati untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikaji. Mana tahu terdapat
sebarang kesan yang boleh menjadi petunjuk dalam kes ini.
Malik terus melakukan seperti yang diarahkan.
Selimut dan bantal dimasukkan ke dalam sebuah plastik hitam kemudian dibawa masuk
ke dalam jeep.
Mira memerhati lagi kawasan rumah itu. Dia cuba
mencari sebarang kesan pencerobohan yang boleh dikaitkan dengan kes ini. Di
bahagian pintu hadapan tiada tanda pecah masuk. Apakah motif pembunuh itu? Jika
rompakan, tiada pula barang yang hilang dan tiada tanda pecah masuk di rumah
ini.
Dari apa yang
diberitahu oleh Doktor Karamjit sebentar tadi, Mira rasa pembunuh itu
seolah-olah memang mensasarkan kepada si mati sahaja. Adakah kerana dendam?
Apakah yang telah si mati lakukan? Pelbagai persoalan menerjah ruang fikiran
Mira. Dia tahu untuk menyelesaikan kes ini banyak yang dia perlu lakukan. Dia
juga perlu menemuramah beberapa saksi yang berada di dalam rumah itu.
Sedang Mira membelek tombol pintu di bahagian
hadapan rumah, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Mira segera menjawabnya.
“Mira, kau ada kes apa ni? Tak cakap kat aku
pun?” Suara nyaring Zuha kedengaran di hujung talian.
“Aku ada kes kat Tasek ni. Suspek kes bunuh. Dah
nak habis pun. Lepas ni aku nak pergi ke hospital untuk post mortem,”
jelas Mira sambil masih membelek-belek tombol pintu tersebut.
“Ada apa Zuha?” tanya Mira lagi kerana agak
jarang Zuha mencarinya awal-awal pagi begini.
“Bukan apa... tadi ASP Faizal cari kau,” jawab
Zuha. Kali ni nada suaranya sudah mengendur.
“Ada hal apa pulak? Kenapa dia tak call
Mira sendiri?” Hairan pulak Mira kenapa ASP Faizal mencarinya tiba-tiba.
Rasanya tidak ada kes-kes penting yang perlu dilaporkan kepada lelaki tersebut.
“Tak tau la pulak kenapa dia cari kau. Ada kes
dia nak assign kat kau kot.”
“Hai... berapa banyak kes dia nak assign
kat aku? Kes-kes dia yang dia malas buat pun dah berlambak kat atas meja aku
tu,” rungut Mira. Manik-manik peluh sudah kelihatan di hujung hidung dan atas
bibirnya.
“Alaa... nanti kau tanyalah dia sendiri. Okeylah
ya. Nanti kita jumpa kat pejabat tau,” pesan Zuha sebelum memutuskan talian.
Mira mengertap bibirnya. Serta merta hatinya
tersentap dan sakit apabila mendengar kata-kata Zuha mengenai ASP Faizal.
‘Hisy... lelaki tu, kalau tak menyusahkan aku tak boleh ke?’ rungut Mira sambil
mengertap bibir. Ada getar yang menggoncang kolam hatinya waktu itu.
Malas memikirkan lebih lanjut tujuan ASP Faizal
mencarinya, Mira menyambung semula tugasnya. Dia bertinggung untuk memeriksa
tombol pintu rumah sambil mulutnya sekali sekala merungut juga tentang lelaki
itu.
“Puan, kenapa ni?” tanya Malik apabila dilihat
Mira bercakap seorang diri dengan muka yang kelat.
Kedatangan Malik yang secara tiba-tiba
itu membuatkan Mira tersentak. “Errr...
tak ada apa-apa. Tadi Inspektor Zuha telefon,” jawab Mira pantas.
“Ada kes lagi ke puan?” tanya Malik lagi sambil
tersenyum.
Mira hanya menjungkit bahu. “Tak taulah... tadi
Inspektor Zuha kata ASP Faizal cari saya. Nak assign kerja lagi la tu,”
jawabnya dengan wajah kelat.
Malik tergelak mendengar kata-kata Inspektor
Mira. Bukannya dia tidak pernah mendengar Inspektor Mira merungut sebelum ini
tentang ASP Faizal. Malah sudah banyak kali. Dan setiap kali itu jugalah dia
akan ketawa begini. Baginya tidak elok sekiranya dia memberi komen memandangkan
kedua-dua mereka adalah ketuanya.
“Okeylah. Saya dah selesai kat sini. Jom kita ke
hospital,” arah Mira kepada Malik setelah dia berpuas hati tidak terdapat
sebarang kesan yang boleh dikaitkan dengan kes ini.