2
Pergh! Kau ni tengah bad mood ke? Letih aku nak
sambut smash kau ni, Faiq! Agak-agaklah... kita bukannya nak masuk tournament!”
jerit Mus dalam suara yang tercungap-cungap. Tak cukup nafas dibuatnya bila
berlawan tenis dengan Tengku Faiq, sahabatnya yang telah dikenali sejak mereka
sama-sama menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Architecture.
“Baru tiga puluh minit dah
semput?” balas Tengku Faiq.
“Hei, aku bukan Farel yang champion
dalam tenis ni. Kau salah orang!” Mus tidak puas hati.
“Farel sibuk dengan urusan majlis
kahwin dialah. Kalau tak, dia pun aku kacau. Dahlah... break. Nanti semput pulak kawan aku ni.” Tengku Faiq menuju ke arah
bangku di tepi gelanggang tenis. Tuala kecil yang terselit di tepi beg
sandangnya di atas bangku itu dicapai lalu dikesat mukanya yang basah dengan
peluh. Botol air mineral dicapai pula dan diteguk rakus. Pandangannya diarahkan
pula pada Mus yang tajam memerhatikan dirinya. Faham benar dengan reaksi
sahabatnya, Tengku Faiq mengangkat dua belah tangannya tanda menyerah kalah.
“So, what’s up?Apa yang kau moody sangat ni?” soal Mus tanpa
berlapik.
“Adif...” jawab Tengku Faiq ringkas.
“Adif lagi... apa pula kes dengan
bini kau kali ni?”
“Aku nampak dia dengan lelaki lain
kat KLCC dua hari lepas. Aku syak lelaki tu ada hubungan dengan dia. Mesra
betul siap peluk cium lagi. Lelaki tu pun nampak muda. Macam anak ikan dia
aje,” luah Tengku Faiq. Hatinya membara apabila mengenangkan apa yang
dilihatnya.
“Mungkin tu saudara dia yang kau
tak kenal? Kau dah tanya Adif ke pasal ni?” Mus cuba meredakan keadaan.
Padanya, biarlah disiasat sedalam-dalamnya terlebih dahulu sebelum
menghukum.
Tengku Faiq mendengus kasar. “Dia
memang ada agenda tersembunyi nak kawin dengan aku, Mus.”
“Mana kau tahu dia ada agenda?
Entah-entah dia memang ikhlas terima cadangan abah kau tu. Tak baik tuduh
isteri kau macam tu, Faiq. Walaupun kau tak cintakan dia, tak ada perasaan
sayang pada dia, tapi kau tak boleh treat dia macam ni. Dia layan anak
kau elok, jaga makan pakai kau, jaga rumah tangga kau, kau nak apa lagi? Kau
kena belajar terima hakikat yang Sara dah tak ada, Faiq. Sekarang ni, Hadif
Aufiah tu isteri kau. Belajarlah terima kenyataan dan amanah baru dalam hidup
kau, Faiq.” Panjang lebar bicara Mus membuatkan Tengku Faiq terdiam.
“Faiq, Sara is your past. Move
on, Faiq. Keluarga kau dah lengkap
dengan kehadiran Adif sebagai isteri kau sekarang,” sambung Mus lagi.
“Tapi, Mus... dia tak mampu
gantikan tempat Sara di hati aku. Dia tak mampu, Mus. Hari-hari bila aku
pandang muka dia, aku rasa benci. Aku benci sebab aku dah menduakan cinta Sara.
Lagi-lagi pulak dengan sikap pelik dia tu. Aku tak boleh terima, Mus! Dia
dengan Sara macam langit dengan bumi!”
“Inilah masalah kau, Faiq. Kau
tutup pintu hati kau dari melihat kebaikan orang lain. Sara dah tak ada!
Sekarang kau ada Adif! Jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang diberikan
pada kau, Faiq. Kalau Adif itu tak sesempurna Sara di mata kau sekali pun, itu
tugas kau untuk mencorakkan hala tuju rumah tangga kau. Bincanglah elok-elok
dan bukannya nak tunding jari dan salahkan Adif semata-mata,” ujar Mus sambil
menepuk-nepuk bahu Tengku Faiq seolah-olah memberikan semangat kepada
sahabatnya.
Tengku Faiq hanya mendiamkan diri.
Kepalanya didongakkan, merenung langit membiru dan awan memutih yang
berkepul-kepul. Di situ, dia seolah-olah ternampak wajah arwah isterinya,
Maisara yang telah kembali ke rahmatullah ketika bertarung nyawa melahirkan
zuriatnya. Namun perlahan-lahan wajah itu menghilang dan diganti dengan wajah
isterinya kini, Hadif Aufiah. Wanita itu merupakan pilihan abah untuk menjadi
pengganti Maisara sekali gus menjadi mama kepada puteri tunggalnya.
Akur dengan permintaan abahnya,
Tengku Faiq menamatkan zaman dudanya dengan wanita yang dianggap misteri.
Berkali-kali telinganya disumbatkan dengan puji-pujian yang melambung mengenai
kebaikan dan sifat keibuan Hadif Aufiah oleh abahnya, tetapi hati kecilnya
menolak semua kenyataan itu kerana telah dikunci dengan cinta Maisara!
“Aduh!” jerit Tengku Faiq apabila
terasa sengal di bahunya akibat diketuk dengan raket tenis.
“Padan muka. Aku dok membebel kat
sini, dia boleh sedap-sedap berangan. Amboi, teringatkan Adif ke? Bagus! Masuk
jugak ceramah free aku dalam kepala kau tu,” ujar Mus dalam tawa yang
masih bersisa. Sengaja dia membakar hati sahabatnya.
“Tolonglah... buang masa aku je
ingatkan dia,” balas Tengku Faiq angkuh.
“Weh, kau jangan cakap besar Faiq.
Entah-entah lepas ni kau yang sasau kena penangan cinta Adif!”
“In your dream, Mus! Dahlah, jom balik. Layan kau ni tambah serabut kepala
aku. Ajak main tenis kejap pun dah semput.” Tengku Faiq bingkas bangun dan
mengemaskan beg sukannya.
“Nak balik sebab tak sabar nak
jumpa bini ke?”
Kata-kata Mus tidak diendahkan
oleh Tengku Faiq. Dia hanya mencebik mendengar kata-kata sahabatnya.
‘Faiq... Faiq... keras betul hati
kau,’ bisik hati Mus.
Sahabatnya masih belum menerima
hakikat yang kini dia telah kembali bergelar suami walaupun baru empat bulan
berkahwin dengan Hadif Aufiah. Di hujung minggu, Tengku Faiq kerap mengajak
dirinya dan Farel keluar dan adakalanya mereka berkelah bersama-sama Tengku
Auni Ufairah, satu-satunya puteri tunggal Tengku Faiq.
Kehadiran Hadif Aufiah seolah-olah
ditidakkan. Malah, sahabatnya sanggup pulang lewat dan bertapa di pejabat
mereka. Banyak kerja yang sepatutnya dilakukan oleh staf bawahan mereka, tetapi
diambil alih oleh Tengku Faiq sedangkan dia merupakan peneraju utama di
syarikat itu. Tengku Faiq benar-benar cuba menidakkan kehadiran Hadif Aufiah
dalam hidupnya!
“Hah! Yang kau ni berangan apa
pulak?” Herdikan kecil Tengku Faiq membuatkan Mus tersenyum.
Mus menekan alarm kereta
Nisan Murano berwarna hitam miliknya. Raket tenis dan beg sandangnya
disumbatkan ke dalam bootkereta lalu ditutup rapat. Manakala Tengku
Faiq pula hanya bersandar sambil memeluk tubuh di sisi BMW 7 Seriesnya yang
juga berwarna hitam. Warna kegemaran mereka. Raket tenis dan beg sandang yang
dikendong tadi hanya diletakkan di atas boot kereta.
“Agak-agak kaulah, Adif dah ada boyfriend
ke sebelum ni?” soal Mus.
“Apasal kau tanya macam tu?”
Mus tersengih bila Tengku Faiq
tajam merenungnya.“Tak adalah. Sebelum ni, kau kutuk dia bagai nak rak. Playgirl,
kaki kikislah, tapi aku tengok Adif tu macam jenis homey je. Bukannya
jenis kaki rambu ke, kaki lepak ke macam yang kau selalu momokkan dekat aku
tu.”
Mata Tengku Faiq mengecil. Tajam
mataya memandang Mus yang seolah-olah sedang membayangkan isterinya. “Amboi...
kau usha bini aku baik punya?”
“Eleh... jealouspulak.
Kata benci...” Meletus ketawa Mus bila melihat reaksi muka sahabatnya yang
berkerut-kerut.
“Baik sikit ya... Tak kuasa aku
nak cemburu kalau pasal dia tu. Dia tu hipokrit. Kaki bodek pun ya.” Tengku
Faiq mendengus kasar.
Mus menggeleng bila mendengar
rungutan Tengku Faiq mengenai Adif. Bukan kali pertama telinganya disajikan
dengan kata-kata sedemikian.
“Jangan lupa esok kita bincang
pasal pelan banglo Datuk Muzafar tu,” pesan Tengku Faiq sebelum menghidupkan
enjin keretanya.
“Kata nak serah kat budak kita
projek tu?” tanya Mus kehairanan. Setahunya, projek perumahan dikendalikan oleh
staf-staf kepercayaan mereka. Tengku Faiq hanya memantau dan mengikuti
perkembangan setiap fasa. ‘Betul-betul sengaja ‘menyibukkan’ diri si Faiq ni.’
“Alah... walaupun kita bos, tapi
tak bermakna kita lepas tangan projek macam ni pada staf saja. Aku tau kau pun
sibuk dengan projek-projek lain. Tapi, ni klien utama kita, aku cuma nak
bincang dengan kau dan Farel pasal konsep dan layout yang staf kita
buat. Itu aje,” balas Tengku Faiq.
“Okeylah kalau macam tu. Jumpa
esok kat ofis. Kau jangan nak melencong ke lain pulak. Balik ke rumah terus.
Ingat sikit isteri dengan anak kat rumah tu.” Sengaja ditekan perkataan isteri
untuk mengingatkan sabahatnya supaya tidak lepas tanggungjawab.
“Yalah... aku jalan dulu,” balas
Tengku Faiq ringkas, sebelum memecut BMW 7 Series itu.
“Bilalah kau nak berubah, Faiq...”
keluh Mus perlahan. Dia masih memerhatikan kereta Tengku Faiq yang kian hilang
daripada pandangannya.
“Faiq dah kahwin dua kali, Farel on
the waynak kahwin. Aku jugak yang menyendiri,” rungut Mus. Di mindanya
terimbas raut wajah seseorang yang telah lama terpisah dengannya.
Gear pandu ditolak. Perlahan-lahan
Murano hitam itu meninggalkan parkir kompleks sukan yang sering menjadi
kunjungannya bersama Tengku Faiq dan Farel pada waktu lapang.