PROLOG
Subhanallah... Alhamdulillah... Ya
Allah... aku bersyukur kepada-Mu. Akhirnya ENGKAU ketemukan kami setelah sekian lama aku
menderita kerana merindui mereka, Ya Allah...” Adif merintih perlahan tatkala
dia melihat seraut wajah ayu di samping seorang lelaki. Wanita itu nampak
sangat bahagia walaupun sekadar gambar.
“Cik Adif? Ada masalah ke?”
Adif pantas mengesat air matanya
bila ditegur oleh setiausaha kliennya.
“Oh... May, terkejut saya. Tak ada
apa-apa. Tengok gambar kahwin bos awak ni. Cantik betul isteri dia.” Adif cuba
berbasa-basi. Otaknya ligat mencari idea untuk mengorek rahsia mengenai
keluarga itu.
May tersenyum. Dia menghulurkan
secawan Milo panas kepada Adif. “Wife bos I memang cantik. Kata Encik
Mustaqim dan Encik Farel, Puan Sara ni penyayang dan baik hati.”
‘Dia memang baik... terlalu baik,
May...’ bisik hati Adif. Senyuman manis cuba dibentuk di bibirnya meskipun
kelihatan janggal. Kelopak matanya mula panas. Adif segera menenangkan dirinya.
“Oh... nama penuh dia apa?”
“Nur Maisara binti Iskandar...”
Adif terkedu. ‘Tepat! Memang orang
yang sama! Allahuakbar...’
“Cik Adif punya cup cakes
ni sedap betul. Cute-cute aje. Pastri-pastri tadi pun sedap sangat.
Semua tu resipi Cik Adif sendiri ke?” puji May sambil mulutnya sibuk mengunyah cup
cakes.
Adif tersengih melihat bakal ibu
yang begitu berselera menikmati cup cakes yang dibawanya. Bibirnya yang
comot dengan krim langsung tidak dipedulikan oleh May.
“Campur-campur. Ada resipi saya
sendiri. Ada juga chef saya yang buat,” balas Adif.
“I like it so much! So lepas ni kalau ada hi-tea event or my own personal
event, I tak cari lain dah! Nanti saya tempah dengan Cik Adif awal-awal.
Mana pulak bos ni lambat betul. Tadi cakap nak jumpa Cik Adif personally. By
the way,makanan untuk majlis semalam memang heaven!” Petah wanita
kacukan Baba Nyonya itu memuji-muji Adif.
“Tak payahlah nak formal sangat
dengan saya. Nak ber ‘cik-cik’ pula. Panggil saya Adif aje. Puan Sara selalu ke
datang ofis ni?” Adif cuba mengorek informasi.
May terdiam tiba-tiba.
Perlahan-lahan dia menggerakkan tubuhnya yang memboyot itu merapati Adif. “Puan
Sara sebenarnya dah tak ada... dia meninggal semasa melahirkan anak sulung
mereka. Sejak hari itu...”
Deringan telefon di atas meja
menghentikan cerita May yang baru bermula. May bingkas bangun untuk menyambut
panggilan itu. Kepalanya terangguk-angguk. Tangannya tangkas mencatatkan
sesuatu di atas kertas yang dicapai berhampiran dengan telefon itu.
Muka May berubah riak. Senyumannya
pudar. “Aiyaa... Adif... bos I ni angin satu macam pulak. Boleh tak you datang
ke sini semula esok? Bos terperangkap dalam kesesakan lalu lintas pulak. Lepas
tu nak kena pergi ke tapak projek terus sebab ada kes. Dia minta maaf sangat
pada you Adif. Boleh datang balik tak
esok?”
“Never mind. Its okay, May. I understand and I’ll come back tomorrow,”pintas
Adif sambil tersenyum. Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang. Adif ingin benar
bertemu empat mata dengan lelaki itu.
May menghela nafas tanda syukur.
“Mesti menyusahkan you aje nak berulang alik, kan? Tapi, nak buat macam mana
loh... bos I ni unexpected person.”
“Tak apalah. I okey, May. Kalau
tak ada apa-apa lagi, I nak gerak dulu.” Adif bangun untuk meminta diri.
“Okey Adif... by the way,
thanks again for the cup cakes.I tak sangka you bawa betul-betul tadi
untuk I.”
“You kan mengidam... nanti
kempunan pulak. Bye, May... see you tomorrow,” ujar Adif sebelum berlalu
meninggalkan pejabat TMF Architecture Sdn. Bhd.
Di hatinya bergolak dengan
pelbagai rasa. Sedih, gembira, terharu, sebak, semuanya berkumpul menjadi satu.
Air mata Adif tumpah sebaik sahaja tubuhnya berada di dalam MyVi putih
miliknya.
“Mak... ayah... Adif dah jumpa
Sara... tapi Sara dah tak ada... Sara dah ikut mak dengan ayah... Macam mana
Adif nak beritahu Amir nanti? Adif belum pasti dia kat mana...” Adif
teresak-esak menangis. Kepalanya dirapatkan ke stereng. Berjuraian air matanya turun
membasahi pipi mulus itu.
Tengku Faiq bin Tengku Ismail
Pengarah Urusan, TMF Architecture
Sdn. Bhd.
Tingkat 7, Wisma Persekutuan
40200 Shah Alam Selangor
03-3310223
Adif menggenggam erat kad bisnes
milik kliennya. Hatinya tidak sabar untuk bertemu dengan lelaki itu esok. Dalam
mengucap syukur kerana doanya telah termakbul... hatinya agak berdebar-debar
bila mengingati kembali wajah lelaki tampan persis pelakon Hollywood, Brad Pit.
Mereka beberapa kali bersua muka, tetapi langsung tidak mempunyai kesempatan
untuk berbual-bual. Namun, hari ini Adif merasakan dunia suramnya kembali
bercahaya apabila pencariannya selama ini berakhir.
“Tengku Faiq...” Meluncur sebaris
nama itu di bibirnya.
Dalam debaran yang mula terasa,
Adif cuba menenangkan dirinya. Esok, hari yang paling penting kerana esok akan
menjadi hari yang bersejarah buat dirinya. Mungkinkah?