“Dalam luka ni. Kena jahit
dulu ni,” beritahu doktor yang memeriksa keadaan luka di tangan Tengku Faiq.
“Jahit aje doktor. Tapi, tolong
letak ubat bius banyak-banyak. Suami saya penakut sikit dengan jarum ni. Harap
muka aje macam Brad Pit, doktor...” sampuk Adif sebelum sempat Tengku Faiq
bersuara.
Terjegil mata Tengku Faiq apabila
mendengar kata-kata Adif. Pantas tangan kirinya mencari paha isterinya lalu
dicubit sekuat hati. Senyuman sungging dilemparkan pada doktor wanita yang
memeriksa lukanya tadi. Tertera tanda nama Dr. Salwa yang tersemat di jubah
putih milik doktor wanita itu.
“Sekejap ya.” Doktor itu terus
berlalu meninggalkan mereka tiga beranak di dalam bilik rawatan itu.
“Sakitlah! Yang awak cubit saya ni
kenapa?!” soal Adif dalam nada keras yang ditahan-tahan. Bisa cubitan Tengku
Faiq masih terasa. Diurut-urut pahanya untuk mengurangkan rasa sakit. Tengku
Auni yang berada di pangkuannya diam tidak berkutik kerana masih mengantuk.
“Padan muka. Balasan sebab
menjatuhkan air muka aku depan doktor tu,” balas Tengku Faiq dengan riak
sombong.
“Air mukalah sangat. Dasar Hitler
awak ni. Ego!” Adif masih tidak puas hati. Namun segera dimaniskan muka bila
doktor kembali bersama-sama seorang jururawat dan kelengkapan rawatan.
Cuak Tengku Faiq melihat jarum dan
beberapa kelengkapan rawatan yang akan digunakan untuk merawat lukanya. Pandangannya
dialihkan ke arah lain apabila doktor itu bersedia untuk menyuntiknya. Namun,
bola matanya terhenti di seraut wajah Adif yang tersenyum sinis ke arahnya.
Matanya membaca gerakan bibir isterinya.
‘Pe... na... kut!’
Bibirnya diketap kuat. Wajah isterinya
yang menahan ketawa direnung. Geram pula melihat keletah Adif yang tak
habis-habis mahu membakar perasaannya. Langsung tidak gentar pula tiap kali
berbalas pandangan dengannya walaupun pandangannya cukup tajam.
Adif sengaja membuat mimik muka
mengejek apabila menyedari wajah suaminya yang cuak tadi sudah mula berubah.
Mata Tengku Faiq tajam merenung dirinya. Namun, dia tidak sedikit pun gentar
malah membalas kembali pandangan tajam suaminya sambil mengedip-kedipkan
matanya. Senyuman sehabis manis diukir. Sengaja mengusik lelaki itu, namun riak
suaminya masih tidak berubah.
“Dah siap!”
Tengku Faiq segera menoleh ke arah
doktor muda itu. Jururawat di sebelahnya tergelak kecil melihat reaksi Tengku
Faiq yang membelek-belek tangannya yang sudah siap berbalut.
“Cepatnya?” Soalan Tengku Faiq
mengundang tawa doktor dan jururawat itu.
“Encik leka sangat tenung isteri
encik sampai tak sedar saya dah siap buat kerja. Romantik juga ya suami puan
ni?” balas doktor itu sambil melawak.
“Oh, suami saya memang macam ni.
Gatal tak kira tempat. By the way, terima kasih doktor. Ada apa-apa lagi
ke?” Adif bersuara apabila melihat suaminya masih tercengang-cengang.
“You’re welcome. Just be
careful with the wound.Nanti nurse akan bagi ubat yang saya dah list
tu,” balas doktor itu dengan ramah.
“Kalau macam tu, kami keluar dulu
ya doktor? Terima kasih,” ucap Adif. Dukungan Auni diperkemaskan sebelum bangun
dan berlalu keluar.
Tengku Faiq hanya mengikut dari
belakang. Senyuman dilemparkan sekali lagi kepada doktor yang merawatnya
sebelum melangkah keluar.
“Seronok kenakan aku?” soal Tengku
Faiq sinis setelah melabuhkan punggung di ruang menunggu ubat.
“Best sangat! Kan saya dah cakap tu hobi baru saya
sekarang,” balas Adif dengan nada mengejek tanpa melihat wajah suaminya.
Pandangannya terarah pada si kecil dalam dakapannya.
Tengku Faiq mengetap kuat
bibirnya. “Kau ni memang...”
“Tengku Faiq!”
Bicara Tengku Faiq terhenti
apabila namanya dipanggil oleh seorang jururawat yang berada di kaunter ubat.
Langkahnya diatur menuju ke kaunter itu untuk mengambil ubat.
Adif hanya menggeleng melihat
Tengku Faiq yang berlalu menuju ke kaunter. Disabarkan hatinya untuk melayan
kerenah baran suaminya. Pantas kunci kereta milik suaminya dikeluarkan dari
poket seluar. Dia bangun perlahan-lahan sambil mencempung tubuh si kecil yang
kembali lena. Terasa lenguh tangannya kerana terlalu lama memangku tubuh anak
kecil itu. Langkahnya diaturkan pula ke arah pintu keluar klinik apabila
melihat suaminya telah selesai berurusan di kaunter.
“Adif!” Jeritan Tengku Faiq
mematikan langkah Adif. Dia berpaling ke arah suaminya yang sedang memegang
bungkusan plastik berisi ubat di tangan kirinya.
“Aku drive. Bak sini
kunci,” ujar Tengku Faiq ringkas.
“Dengan tangan berjahit tu? Tak
payah! Biar saya yang drive,” balas Adif sebelum mengatur langkah
menuruni anak tangga menuju ke arah BMW hitam milik Tengku Faiq.
“No way! Biar aku yang drive. Ini kereta aku!” Tengku
Faiq masih tidak mengalah. Kunci kereta di tangan isterinya cuba direbut.
Namun, Adif lebih pantas menyorokkan kunci itu.
“Dahlah kurang upaya. Berlagak
pulak. Tak payah nak mengada-ngada. Biar saya yang drive.” Adif masih
berdegil. Adegan tarik-menarik kunci terjadi di situ. Tengku Faiq masih tidak
mengalah. Dengan sebelah tangan, dia cuba merampas kunci keretanya yang kemas
dalam genggaman Adif.
Adif pula cuba menyembunyikan
kunci itu di sebalik tubuh Auni yang berada dalam dakapannya namun entah
bagaimana Adif tidak dapat mengimbangkan diri apabila Tengku Faiq merentap
tangan kanannya untuk merampas kunci kereta itu. Adif cuba menahan Auni
daripada terlepas tetapi dirinya semakin hilang imbangan.
“Aaaa...” Adif terjerit.
Melihat keadaan Adif, Tengku Faiq
segera memaut tubuh isterinya untuk menghalangnya daripada terjatuh.
Pandangannya bersatu. Kaku seketika Adif dalam pelukan suaminya di hadapan
klinik. Pekat malam yang sunyi itu terasa hening.
“Babah... kita kat mana ni?”
Soalan Tengku Auni mematikan lamunan pasangan itu yang kelihatan ‘hanyut’ dalam
dunia mereka. Bisu tanpa bicara.
“Sorry...” ujar Tengku Faiq. Namun pertanyaan anaknya tidak
dijawab.
Adif mengemaskan dukungannya.
Punat alarm kereta suaminya ditekan. Tubuh Tengku Auni diletakkan di
tempat duduk belakang. Ditepuk-tepuk perlahan tubuh Tengku Auni hingga si kecil
itu lena kembali. Pintu belakang ditutup. Tubuhnya dipusing menghadap Tengku
Faiq yang masih tercegat di sisi kereta. Kunci kereta dihulurkan kepada
suaminya. Namun, tidak disambut.
“Tak apalah. Kau drive,”
arah Tengku Faiq perlahan sebelum melangkah ke arah pintu sebelah pemandu.
Adif hanya mengangkat bahu. Pintu
di bahagian pemandu dibuka. Dengan lafaz bismillah, dia menghidupkan enjin kereta
dan memandu tenang meninggalkan kawasan klinik itu. Suaminya yang membisu
dikerling dengan ekor mata. Namun, tiada bicara antara mereka hinggalah tiba ke
destinasi mereka.