Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,656
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 10

Tengku Faiq leka meneliti lakaran bangunan yang disediakan oleh stafnya. Beberapa kali lakaran itu dibetulkan dan diubah suai, namun semuanya serba tidak kena. Meja kerjanya kelihatan bersepah dengan model-model bangunan dan gulungan pelan. Kepalanya digaru-garu dengan hujung pensil. Serabut!

Tangannya diluruskan dan diurut-urut leher dan bahunya yang terasa sengal akibat terlalu lama menunduk. Matanya melirik pula jam di dinding pejabatnya. Tepat pukul 12.45.

‘Patutlah sunyi sepi. Dah tengah malam rupa-rupanya.’ Lalu mejanya yang berselerak dikemas-kemas. Briefcasedicapai dan Tengku Faiq mengatur langkah keluar dari pejabatnya. Punat alarm BMW 7 Series berwarna hitam itu ditekan. Dengan tenang, Tengku Faiq memandu keluar dari bangunan setinggi sepuluh tingkat yang menempatkan pejabatnya itu.

Sudah hampir enam tahun dia menerajui syarikat TMF Architecture Sdn. Bhd. bersama-sama dua sahabat baiknya sejak dari zaman universiti lagi iatu Mus dan Farel. Segala suka duka mereka lalui bersama. Sahabat-sahabatnya itu juga telah dianggap seperti saudara kandungnya sendiri. Merekalah yang sering memberikan semangat tatkala dia hampir tidak berdaya untuk meneruskan hidup saat pemergian arwah isterinya, Maisara.

Maisara... mengenangkan sebaris nama itu membuatkan jiwanya merintih. Antara rindu dan cinta yang terkhianati.

‘Abang bersalah pada Sara... Abang terpaksa akur dengan permintaan abah, sayang. Maafkan abang kerana terpaksa mengahwini dia. Tapi, cinta abang tetap utuh buat Sara,’ rintih hati Tengku Faiq. Masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir arwah Maisara sebelum isterinya menghembuskan nafas terakhir ketika melahirkan puteri tunggalnya, Tengku Auni Ufairah.

“Abang... kalau ditakdirkan Sara pergi dulu... abang janji jaga anak kita baik-baik ya?” ujar Sara perlahan.

Tengku Faiq yang sedang menonton perlawanan bola sepak pasukan kegemarannya, Chelsea menentang Arsenal terus memfokuskan pandangannya ke wajah Maisara yang sedang baring di ribanya. “Ni kenapa nak mengarut malam-malam ni?”

“Alah... janganlah marah. Sara cakap aje... itu pun kalau... sebab orang cakap waktu melahirkan ni... macam nyawa di hujung tanduk... kalau nyawa dah terlepas tanduk, maknanya syahidlah Sara... Abang janji dulu dengan Sara... Janji kalau Sara dah tak ada, abang...”

Tengku Faiq segera menekup bibir isterinya. “Cinta abang hanya untuk Sara. Tiada yang lain. Kalau jasad Sara ditimbus tanah sekali pun... Sara bawa hati dan cinta abang sekali. Sebab tak mungkin abang akan berpaling dan curang dengan cinta kita,” balas Tengku Faiq tegas.

“Abang... janganlah macam tu. Anak kita perlukan kasih sayang seorang ibu juga. Abang pun perlukan seorang isteri untuk uruskan abang... untuk menyayangi dan disayangi. Tak semestinya Sara mati, cinta abang pun mati. Abang tetap boleh cintakan Sara dengan kiriman doa-doa abang buat Sara... tapi di dunia ni... abang juga perlukan seseorang...”

“Tak! Tak mungkin, Sara! Ni apa yang nak mengarut tengah-tengh malam ni? Sara jangan merepek boleh tak?” Tengku Faiq tidak sanggup mendengar kata-kata isterinya yang berbaur kematian itu. Dia akui mengingati mati ada ganjaran pahala, tetapi kata-kata isterinya itu...

Maisara bangun perlahan-lahan. Kandungannya yang sudah sarat dan menunggu hari itu membuatkan dia agak sukar bergerak pantas. Dia membetulkan duduknya dan melentokkan kepala di dada bidang suaminya. Tangan suaminya digenggam erat dan dikucup lama.

“I love you so much... janganlah marah ibu... ibu cakap aje. Babah ni garanglah sejak ibu mengandung ni,” rengek Maisara perlahan.

Tengku Faiq tersengih mendengar omelan isterinya. “Sampai mati pun cinta dan sayang abang tetap utuh buat Sara. Ingat tu!” Tangan Tengku Faiq mengusap-usap belakang isterinya. Tidak sabar rasanya menanti detik-detik bahagia untuk bergelar ibu dan bapa.

“Hubby! Nak tidur dalam kereta ni aje ke?” jerit Adif kuat sambil mengetuk-ngetuk cermin kereta Tengku Faiq.

Tengku Faiq yang terkejut apabila cermin keretanya diketuk kuat oleh isterinya pantas meraup wajah. Di mata Tengku Faiq seolah-olah ternampak kelibat arwah isterinya yang tersenyum manja. Tetapi rupa-rupanya susuk tubuh yang berada di hadapannya kini bukanlah arwah isterinya, Maisara tetapi isterinya kini, Hadif Aufiah.

‘Astaghfirullah... dah sampai rumah rupanya. Macam manalah aku tak sedar ni.’ Tengku Faiq bermonolog di dalam hati. Briefcase di sebelah dicapai sebelum melangkah keluar dari kereta. Adif yang masih tercegat di hadapannya langsung tidak dipedulikan. Malah, kehadiran wanita itu seolah-olah tidak wujud. Laju kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

Adif hanya melepaskan keluhan kecil. Adakalanya dia hampir menyerah kalah dengan sikap suaminya. Namun, dia juga sedar yang dia sendiri tidak pernah cuba untuk berbaik-baik dengan Tengku Faiq sejak mereka diijabkabulkan. Entah mengapa, dia sering melawan tiap kali Tengku Faiq menjadikan dirinya sebagai tempat melepaskan amarah. Saat suaminya menghina selepas mereka diijabkabulkan, dia telah nekad untuk tidak mengalah. Dan mungkin kerana itu, dia sering bertingkah dan bertindak berani di hadapan suaminya. Barulah buku bertemu ruas!

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.