Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,692
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

1


Adif!”

Adif mencari-cari arah suara yang menjerit lantang memanggil namanya hinggalah dia terpandang seraut wajah yang tegang dan masam mencuka itu.

‘Ah sudah... bala dah datang ni. Telan jeruk berapa balang gamaknya si Faiq ni,’ bisik hati kecilnya.

“Ya suamiku Tengku Faiq, sayang... saya belum pekak lagi...” Adif berlagak biasa malah suaranya sengaja dilunakkan walaupun dia tahu riak wajah suaminya itu menunjukkan peperangan bakal meletus bila-bila masa sahaja.

“Oh, aku ingat dah pekak. Dari tadi aku jerit-jerit panggil kau apasal kau tak sahut? Boleh tak kalau sehari kau tak sakitkan hati aku?” tengking lelaki itu.

“Ala... kanda sakit hati ke? Maaflah, dinda tersengaja tak menyahut. Tengoklah kanda panggil dinda macam mana? “Woi, Adif! Kau kat mana?!” Macam tu ya kanda manja-manjakan isteri? Jadi, tak salahkan kalau dinda buat tak tahu aje?” Adif masih beriak selamba. Malah, panggilan sayang tadi sudah bertukar menjadi kanda pula.

Matanya dikedipkan berkali-kali dengan senyuman lebar yang seakan-akan mengejek. Adif seakan ingin ketawa melihat wajah Tengku Faiq memerah dan bibir lelaki itu diketap kuat. Adif mula mengorak langkah ke dapur meninggalkan Tengku Faiq yang masih menyinga.

“Aku tak habis cakap lagi, Hadif Aufiah!” Tengkingan Tengku Faiq menghentikan langkah Adif.

“Tadi lunch makan jeruk ke sup tebuan? Atau kedua-dua sekali?” Mendatar saja ton suara Adif. Bosan apabila dirinya selalu menjadi sasaran amukan dan marah Tengku Faiq.

Tengku Faiq bengang. “Tak payah nak buat muka bosan. Kau tahu sebab apa aku marah sekarang ni?”

“Tak tahu. Cuba kanda terangkan... Maklumlah dinda ni blursikit. Dulu, masa kelas psikologi dinda tak fokus. Kanda yang bijak bestari sampai masterni mestri pro, kan? Jadi, katakan apa yang terbuku di hati kanda tu?” Selamba Adif membalas pertanyaan Tengku Faiq.

Shut up! Sakitnya hati bila cakap dengan kau ni! Tak payah nak berkanda-dinda boleh tak?! Geli! Geli tahu?!” Wajah Tengku Faiq semakin menyinga. Dia bengang apabila Adif seolah-olah mengejek dirinya.

“Baguslah. Tak payah cakap. Jadi, kanda tak perlulah nak marah-marah. Bukan apa... tak elok marah-marah ni. Kanda boleh kena darah tinggi nanti... Kesian... belum umur 40 dah kena darah tinggi. Silap-silap kena heart-attacksekali. Hisy... mintak dijauhkan. Nanti dinda jadi janda berhias pulak, kan?” Adif masih selamba sedangkan suaminya bagaikan singa lapar yang mahu menerkam mangsanya.

“Kau!” Tangan Tengku Faiq sudah diayunkan hampir mengenai pipi mulus Adif.

“Babah!” jerit seorang kanak-kanak yang tiba-tiba muncul.

Tengku Faiq tergamam. Tangannya hampir-hampir melekap ke pipi isterinya. Adif juga terkedu dengan tindakan drastik suaminya.

“Babah... kenapa babah marah mama?” Suara si kecil itu serak menahan tangis.

“Syhhh... diam sayang. Jangan nangis ya. Jom ikut mama. Kita main kat luar nak?” Adif segera berlalu sambil mendukung Tengku Auni Ufairah. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Tengku Faiq yang terkaku di situ. Hampir-hampir pipinya ditampar oleh lelaki itu tadi.

Tengku Auni yang masih menangis dipeluk erat. Mungkin masih terkejut apabila melihat babahnya dalam keadaan yang amat bengis. Mungkin itulah kali pertama dia melihat babahnya dalam keadaan demikian sedangkan dirinya sudah acap kali melihat dan menjadi mangsa lepas geram Tengku Faiq sejak mereka sah bergelar suami isteri empat bulan lalu.

Tengku Faiq menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hatinya masih panas. Marahnya belum reda, namun terdetik rasa kasihan dan kesal apabila mengenangkan anaknya yang kelihatan takut melihat dirinya sebentar tadi.

“Arghhh! Ini semua angkara perempuan tak sedar diri tu. Kalau tak... hidup aku tak kucar-kacir macam ni.” Tengku Faiq mengeluh. Dia bangun lalu melangkah ke balkoni untuk mengambil angin petang. Lebih tepat lagi menyejukkan hatinya yang panas.

Pandangannya terarah ke taman mini di halaman rumahnya. Kelihatan Tengku Auni dan Adif sedang duduk dan bergurau senda di tepi kolam ikan. Damai seketika hatinya melihat senyuman yang terukir di bibir puterinya. Namun bila melihat senyuman Adif yang penuh sinis dilemparkan ke arahnya serta-merta hatinya panas kembali.

Senyuman itu seakan-akan mengejek dirinya yang kalah dengan permainan perempuan misteri itu. Kalau tak kerana campur tangan abah, pasti perkahwinan dia dengan Adif takkan terjadi. Namun segalanya sudah terlambat. Adif bijak menjerat dirinya hingga ke gerbang perkahwinan yang semakin hari meyesakkan nafasnya! Ada sahaja perilaku Adif yang menyakitkan hatinya. Tengoklah tadi... hatinya meluap-luap rasa marah boleh si Adif sengaja membakar lagi dengan panggilan klasiknya. ‘Kanda konon... uwekkk! Aku belum mengalah, Adif!’

Adif melihat suaminya melangkah masuk semula ke bilik dengan wajah tegang. Sengaja dilemparkan senyuman sinis kepada suaminya sambil mengusap-usap kepala Auni yang ketawa apabila melihat ikan-ikan di dalam kolam itu timbul berebut makanan.

Bibirnya mencium pula ubun-ubun puteri tunggal Tengku Faiq. Sayangnya tumpah seikhlas hati kepada Tengku Auni Ufairah.

‘Adif... tabahkan hati. Kalau dia jadi api... biar kau jadi air. Ingat misi utama kau, Adif. Jangan semuanya musnah akibat sama-sama nak pertahankan ego. Macam-macam yang kau dah lalui... Ini hanya cebisan pahit dunia kau sekarang sebab Auni adalah yang utama dan harus diutamakan. Diam bukan bererti kau kalah, Adif... Sabar Adif!’ Hati kecilnya membisik kata-kata semangat. Hanya itu yang menjadi kekuatannya. Doa dan semangat.

Hatinya mengakui ada agenda tersembunyi di sebalik perkahwinan dia dan Tengku Faiq. Agenda yang menyebabkan Tengku Faiq begitu membenci dirinya. Tetapi agenda itu bukan untuk kepentingan dirinya. Tengku Faiq langsung tidak tahu, tidak faham dan tidak mahu faham. Disebabkan itu juga lelaki tu sering memberontak. Mengenangkan dirinya selalu dimaki dan menjadi tempat untuk suaminya melampiaskan rasa marah, Adif mengasuh hatinya untuk lebih tabah.

“Mama!”

Lamunan Adif terhenti. Senyuman manis dihadiahkan kepada Auni yang tidak berkedip memerhatikannya.

“Ya sayang. Sayang mama lapar ke?”

“Taklah. Mama sedih ke?” Wajah si kecil itu kelihatan polos sekali. Tangan kecil yang mengusap-usap pipi Adif dipegang dan dicium.

“Mama tak sedih, sayang. Mama fikirkan banyak benda tadi.” Adif membalas lembut.

“Mama fikir pasal babah marah mama ke?”

Adif tersenyum. “Ya. Auni tolong mama pujuk babah nak?”

“Nak! Auni tahu nak buat apa kalau babah merajuk!” Tengku Auni kelihatan teruja dengan cadangan mama tirinya.

“Sayang mama ni bijaklah. Okey, cuba bagitau mama apa yang mama kena buat untuk pujuk babah tu?” Adif mengikut rentak Tengku Auni.

“Tapi kena bisik. Tak boleh cakap kuat-kuat. Mama tunduk sikit, Auni nak bisik.”

Gelagat Tengku Auni mencuit naluri keibuan Adif. Hatinya diulit bahagia dengan kehadiran puteri cilik itu. Sungguh pun dugaan demi dugaan datang silih berganti dalam hidupnya, namun ada secebis kebahagiaan yang sentiasa menemani dirinya tanpa sedar. Adif hanya tersenyum mendengar cadangan puteri kecil itu.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.