Tengku Faiq menarik nafas
dalam-dalam ketika langkahnya sudah sampai ke destinsi. Pintu bilik wad
perseorangan yang tertera nama ‘Hadif Aufiah binti Iskandar’ ditolak
perlahan-lahan. Dijengah sedikit kepalanya ke dalam wad itu sebelum melangkah
masuk sepenuhnya apabila matanya menangkap susuk tubuh yang terbaring di katil
pesakit.
‘Fuhhh... nasib baik tidur lagi,’
bisik hatinya.
Tangan anaknya dipimpin masuk ke
dalam wad itu. Jari telunjuk dinaikkan dan diletakkan di bibirnya. Tengku Auni
Ufairah mengangguk tanda faham dengan isyarat babahnya yang tidak mengizinkan
dia berbuat bising.
Wajah putih bersih itu direnung.
Teringat akan pertelingkahan kecil antara dia dan gadis itu. ‘Muka cute,
tapi garang nak mampus!’ bisik hati Tengku Faiq.
Dia perasan wajah comel itu agak
lokek dengan senyuman ketika berbual dengannya tadi. Mata redupnya seolah-olah
menyembunyikan sesuatu apabila disoal tentang sanak saudara.
‘Kalau nak ikut tarikh lahir dalam
IC, muda lagi budak ni. Baru 25 tahun,’ getus hatinya. Matanya merenung dalam
wajah putih bersih itu. Wajah itu kelihatan comel sekali apabila tidur.
“Babah... Aunty ni tidur macam sleeping
beauty,” bisik anaknya.
“Sayang babah ni dah terbawa-bawa
cerita dongeng pula ya?” usik Tengku Faiq. Juga dalam suara yang diperlahankan.
“Betullah, babah. Macam sleeping
beauty. Walaupun kepala aunty berbalut, mata pejam, tapi tetap nampak
cantik. Aunty ni sakit ya, babah? Kaki pun tergantung,” komen Tengku Auni
Ufairah, jujur.
“Yalah... nak menang aje. Aunty ni
tengah sakit, sayang. Dia yang selamatkan kita tadi.”
“Mesti aunty ni suka tengok cerita
Spiderman. Terbang-terbang, lompat-lompat selamatkan orang,” bicara tulus si
kecil itu mengundang tawa Tengku Faiq.
“Babah ni asyik-asyik ketawa,
lepas tu cubit pipi Auni.” Tengku Auni Ufairah mengomel sambil wajahnya
mengelak daripada dicubit oleh Tengku Faiq.
Dua beranak itu saling
usik-mengusik hinggakan tidak sedar ada mata yang memerhati. Pandangannya penuh
sayu melihat keletah anak dan ayah bergurau senda. Gadis itu cuba bangun untuk
membetulkan pembaringan, namun kesakitan yang mencengkam mengatasi niatnya.
Saat itu jeritan halus terbit daripada bibir mungilnya lalu mematikan terus
gurauan dua beranak itu.
“Cik Adif jangan banyak bergerak.
Cik Adif lemah lagi tu,” ujar Tengku Faiq sambil cuba membantu Adif membetulkan
duduknya.
“Terima kasih,” balas Adif ringkas.
Bola matanya menangkap seraut wajah comel yang tidak berkedip merenung dirinya.
Senyuman manis diukir dan dihadiahkan buat si kecil itu. Tangannya menggamit si
kecil itu agar dekat dengannya. Rindu mencengkam tangkai hatinya tatkala
melihat raut wajah comel itu persis seseorang yang amat dikenali.
“Aunty sakit, eh?” Bibir mungil
itu menutur perlahan. Terletus tawa kecil di bibir Adif melihat keletah si
kecil itu, lalu kepalanya dianggukkan tanda mengiakan.
“Siapa nama adik comel ni?” Adif
cuba beramah. Tidak dipedulikan Tengku Faiq yang leka memerhati.
“Auni. Aunty pun comel juga. Tapi kesian aunty. Auni
nak ucapkan terima kasih sebab selamatkan Auni dengan babah. Atuk cakap, Auni
kena berterima kasih dengan aunty.” Panjang lebar celoteh si kecil itu.
Adif hanya mengangguk mengiakan
kata-kata si kecil itu. Sebak mencengkam tangkai hatinya tiba-tiba. Rindu pada
seseorang yang telah kembali kepada-Nya.
Deringan lagu ‘Showdown’ nyanyian
Black Eye Peas yang berkumandang memecahkan suasana hening di dalam bilik itu.
Tengku Faiq pantas mengeluarkan BlackBerry Curve dari poket corduroynya.
Punat hijau pantas ditekan. Dia melangkah keluar untuk menyambut panggilan itu.
Adif mengusap-usap pipi tembam
Auni yang kelihatan manja melentokkan kepala di sisinya. Terasa kasih sayangnya
tumpah serta-merta kepada anak itu. Sudah lama dia mengikuti perkembangan
mereka sekeluarga, namun baru hari ini dia dipertemukan walaupun dalam keadaan
yang tidak dijangka.
Selang beberapa ketika pintu wad
itu dikuak kembali. Kelihatan Tengku Faiq masuk beriringan dengan tiga orang
lelaki. Dua orang kelihatan hampir sebaya dengan Tengku Faiq sendiri manakala
seorang lagi kelihatan telah berusia. Tengku Auni bingkas bangun dan berlari
memeluk lelaki berusia itu.
“Atuk!” jerit si kecil itu sebelum
menyalami dan memeluk lelaki berusia itu. Adif hanya memerhati.
“Cik Adif, saya kenalkan ini abah
saya, Tengku Ismail. Mereka berdua ini pula teman rapat saya, Mus dan Farel,”
ujar Tengku Faiq.
Adif hanya melemparkan senyuman
kepada insan-insan yang hadir melawat dirinya.
“Terima kasih, nak. Terima kasih
kerana menyelamatkan anak dan cucu pak cik,” ujar Tengku Ismail ikhlas.
Pandangannya redup dan terharu melihat gadis itu yang terbaring lemah. Nyata
hati gadis itu terlalu baik kerana sanggup membahayakan diri demi menyelamatkan
orang lain.
“Sama-sama, pak cik. Kalau orang
lain di tempat saya pun, mesti akan buat benda yang sama. Dah kebetulan saya
ada di situ,” balas Adif.
“Walaupun kamu anggap kecil, tapi
pada pak cik ia tetap satu pengorbanan yang besar. Terima kasih sekali lagi,
nak. Kalau ada apa-apa masalah jangan segan-segan nak beritahu pak cik lepas ni
ya?”
Adif hanya tersenyum mendengar
pelawaan Tengku Ismail. Lelaki itu kelihatan sangat merendah diri. Perbualan
seterusnya hanya berkisar tentang Tengku Auni yang banyak berceloteh bertanya
itu ini dan keadaan kesihatannya kini. Adif hanya menyampuk sepatah dua kata
sahaja. Akalnya ligat untuk melaksanakan agenda yang telah sekian lama dirancang.
Matanya menilik susuk tubuh Tengku
Faiq yang kemas berkemeja biru indigo dan berseluar slack hitam. Vest
hitam yang dikenakan juga menampakkan ciri-ciri maskulin lelaki itu. Susuk
tubuh Tengku Faiq yang tinggi dan tegap ditambah lagi dengan kulitnya yang
cerah menyerlahkan lagi ketampanan yang jelas sekali mewarisi ketampanan
bapanya. Lesung pipit yang terbentuk di kedua-dua belah pipi lelaki itu ketika
tersenyum menambahkan lagi seri dan aura tersendiri Tengku Faiq. Hati Adif
bergetar...
‘Hensem jugak dia ni. Mesti Sara
jatuh cinta sungguh-sungguh dulu. Tapi tak mustahil, aku pun boleh cair tengok
muka dia ni. Hisy... fokus Adif! Fokus!’ getus hati Adif.
Terpandangkan wajah si kecil yang
erat memeluk atuknya, Adif nekad untuk meneruskan rancangan. ‘Aku takkan
mengalah walau apa pun yang akan terjadi! Ya Allah...
Bantulah hamba-Mu ini.’ Hati
kecil Adif mengadu pada Yang Maha Esa.