Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,653
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

Tujuh bulan lalu....


Suasana di Tadika Annur Mawaddah hiruk-pikuk dengan suara kanak-kanak. Ada yang menjerit-jerit sambil berkejar-kejaran, ada yang ketawa, ada juga yang menangis. Tengku Faiq memimpin tangan puterinya masuk ke tadika itu. Langkahnya terhenti apabila dia merasakan langkah puterinya tidak seiring dengan langkah kakinya.

“Kenapa ni, sayang?” Tengku Faiq bertinggung di sisi puterinya. Wajah puterinya itu kelihatan ingin menangis. Hatinya bagaikan digaru-garu, namun bibirnya diketap kuat. Bimbang ketawanya meletus.

‘Takutlah tu. Tadi berani sangat...’ bisik hatinya.

“Sayang babah takut ya?” soal Tengku Faiq sambil matanya memandang tepat ke dasar mata anaknya. Tubir mata si kecil itu kelihatan berkaca-kaca. Belum sempat tubuh kecil itu dirangkul ke dalam pelukannya, air mata yang bertakung di tubir mata si kecil itu laju menuruni pipi montel yang putih gebu itu.

“Syhhh... kenapa dengan puteri babah ni? Cuba cakap dengan babah. Tadi Auni bukan main excited lagi nak masuk sekolah.” Tengku Faiq cuba memujuk. Si kecil itu erat memeluk tubuhnya. Seolah-olah cuba menyerap kekuatan daripadanya.

“Babah... Auni tak nak sekolah dekat sini, boleh?” Dalam esakan, si kecil itu mula bersuara.

Tengku Faiq memandang wajah puterinya, Tengku Auni Ufairah. Pandangannya seolah-olah meminta penjelasan daripada puteri tunggalnya. Keningnya dinaikkan sambil mengukir senyum paling manis buat puteri tersayang.

“Sebabnya?”

“Auni tak nak sama sekolah dengan Fifi. Dia selalu ejek Auni takde mama,” jelas si kecil itu dalam esakan. Jari telunjukknya dihalakan ke arah pintu masuk yang tidak jauh dari mereka. Kelihatan seorang kanak-kanak perempuan sedang berjalan masuk ke tadika itu sambil dipimpin oleh kedua ibu bapanya.

Tengku Faiq sebak mendengar esakan puterinya. Kekurangan yang dia tidak mampu perbaiki rupa-rupanya mengganggu emosi anaknya dalam diam. Keluhan berat dilepaskan. Dia memeluk erat tubuh kecil itu dan mencium pipi sembap anaknya berkali-kali. Sayangnya tumpah di situ.

“Kita balik ya, sayang. Nanti babah cari sekolah lain,” ujar Tengku Faiq. Pipi montel puterinya yang basah dek air mata diseka dengan ibu jarinya. Si kecil itu melentokkan kepalanya ke dada bidang babahnya. Pelukan erat babahnya membuatkan dirinya berasa selamat. Matanya dipejam erat seolah-olah mahu menangkis ejekan yang biasa didengarinya.

Tengku Faiq berasa sebak. Si kecil itu turut memendam rasa rupanya. Lantas, langkahnya diayun semula menuju ke kereta yang diparkir bertentangan dengan taska itu.

‘Sayangku, Maisara... abang akan pastikan puteri kita tidak akan berasa kurang kasih sayang.’ Hatinya berbisik. Fikirannya melayang kepada kenangan bersama arwah isterinya. Gelak tawa puterinya persis Maisara. Malah, keletah manja si kecil itu sama seperti manjanya Maisara dengan dirinya. Rindu bertamu lagi.

Pinn! Dummm! Bunyi hon dan brek kecemasan bersatu.

Saat itu, Tengku Faiq berasa tubuhnya ditolak kuat. Pergerakan yang pantas itu menyebabkan dia dan anaknya tercampak ke tepi jalan. Syukur, tangannya kemas merangkul tubuh si kecil itu. Kepalanya terasa berpinar-pinar. Duduknya cuba dibetulkan. Pandangannya ditebarkan pula ke sekeliling. Matanya kaku bila terpandang seorang perempuan berlumuran darah di kepala terbaring di tengah jalan yang dilintasinya tadi.

“Ya Allah!” Hanya itu yang dapat dilafazkan.

Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian. Tengku Auni mula menangis ketakutan. Tubuh babahnya dipeluk kemas. Tengku Faiq bingkas mendukung puterinya dan bangun untuk melihat keadaan perempuan yang telah menyelamatkan dia dan anaknya.

“Cik... cik...” Tengku Faiq cuba memanggil perempuan itu. Tubuh kecil molek itu bergerak sedikit demi sedikit. Erangan kecil kedengaran. Tengku Faiq menarik nafas lega kerana tubuh malang itu masih bernafas. Lantas, dia meminta bantuan beberapa orang awam yang mengerumuni kawasan itu untuk mengangkat perempuan itu ke dalam keretanya sebelum memecut laju ke hospital.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.