Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,685
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 9

Tengku Faiq menarik nafas dalam-dalam ketika langkahnya sudah sampai ke destinsi. Pintu bilik wad perseorangan yang tertera nama ‘Hadif Aufiah binti Iskandar’ ditolak perlahan-lahan. Dijengah sedikit kepalanya ke dalam wad itu sebelum melangkah masuk sepenuhnya apabila matanya menangkap susuk tubuh yang terbaring di katil pesakit.

‘Fuhhh... nasib baik tidur lagi,’ bisik hatinya.

Tangan anaknya dipimpin masuk ke dalam wad itu. Jari telunjuk dinaikkan dan diletakkan di bibirnya. Tengku Auni Ufairah mengangguk tanda faham dengan isyarat babahnya yang tidak mengizinkan dia berbuat bising.

Wajah putih bersih itu direnung. Teringat akan pertelingkahan kecil antara dia dan gadis itu. ‘Muka cute, tapi garang nak mampus!’ bisik hati Tengku Faiq.

Dia perasan wajah comel itu agak lokek dengan senyuman ketika berbual dengannya tadi. Mata redupnya seolah-olah menyembunyikan sesuatu apabila disoal tentang sanak saudara.

‘Kalau nak ikut tarikh lahir dalam IC, muda lagi budak ni. Baru 25 tahun,’ getus hatinya. Matanya merenung dalam wajah putih bersih itu. Wajah itu kelihatan comel sekali apabila tidur.

“Babah... Aunty ni tidur macam sleeping beauty,” bisik anaknya.

“Sayang babah ni dah terbawa-bawa cerita dongeng pula ya?” usik Tengku Faiq. Juga dalam suara yang diperlahankan.

“Betullah, babah. Macam sleeping beauty. Walaupun kepala aunty berbalut, mata pejam, tapi tetap nampak cantik. Aunty ni sakit ya, babah? Kaki pun tergantung,” komen Tengku Auni Ufairah, jujur.

“Yalah... nak menang aje. Aunty ni tengah sakit, sayang. Dia yang selamatkan kita tadi.”

“Mesti aunty ni suka tengok cerita Spiderman. Terbang-terbang, lompat-lompat selamatkan orang,” bicara tulus si kecil itu mengundang tawa Tengku Faiq.

“Babah ni asyik-asyik ketawa, lepas tu cubit pipi Auni.” Tengku Auni Ufairah mengomel sambil wajahnya mengelak daripada dicubit oleh Tengku Faiq.

Dua beranak itu saling usik-mengusik hinggakan tidak sedar ada mata yang memerhati. Pandangannya penuh sayu melihat keletah anak dan ayah bergurau senda. Gadis itu cuba bangun untuk membetulkan pembaringan, namun kesakitan yang mencengkam mengatasi niatnya. Saat itu jeritan halus terbit daripada bibir mungilnya lalu mematikan terus gurauan dua beranak itu.

“Cik Adif jangan banyak bergerak. Cik Adif lemah lagi tu,” ujar Tengku Faiq sambil cuba membantu Adif membetulkan duduknya.

“Terima kasih,” balas Adif ringkas. Bola matanya menangkap seraut wajah comel yang tidak berkedip merenung dirinya. Senyuman manis diukir dan dihadiahkan buat si kecil itu. Tangannya menggamit si kecil itu agar dekat dengannya. Rindu mencengkam tangkai hatinya tatkala melihat raut wajah comel itu persis seseorang yang amat dikenali.

“Aunty sakit, eh?” Bibir mungil itu menutur perlahan. Terletus tawa kecil di bibir Adif melihat keletah si kecil itu, lalu kepalanya dianggukkan tanda mengiakan.

“Siapa nama adik comel ni?” Adif cuba beramah. Tidak dipedulikan Tengku Faiq yang leka memerhati.

“Auni. Aunty pun comel juga. Tapi kesian aunty. Auni nak ucapkan terima kasih sebab selamatkan Auni dengan babah. Atuk cakap, Auni kena berterima kasih dengan aunty.” Panjang lebar celoteh si kecil itu.

Adif hanya mengangguk mengiakan kata-kata si kecil itu. Sebak mencengkam tangkai hatinya tiba-tiba. Rindu pada seseorang yang telah kembali kepada-Nya.

Deringan lagu ‘Showdown’ nyanyian Black Eye Peas yang berkumandang memecahkan suasana hening di dalam bilik itu. Tengku Faiq pantas mengeluarkan BlackBerry Curve dari poket corduroynya. Punat hijau pantas ditekan. Dia melangkah keluar untuk menyambut panggilan itu.

Adif mengusap-usap pipi tembam Auni yang kelihatan manja melentokkan kepala di sisinya. Terasa kasih sayangnya tumpah serta-merta kepada anak itu. Sudah lama dia mengikuti perkembangan mereka sekeluarga, namun baru hari ini dia dipertemukan walaupun dalam keadaan yang tidak dijangka.

Selang beberapa ketika pintu wad itu dikuak kembali. Kelihatan Tengku Faiq masuk beriringan dengan tiga orang lelaki. Dua orang kelihatan hampir sebaya dengan Tengku Faiq sendiri manakala seorang lagi kelihatan telah berusia. Tengku Auni bingkas bangun dan berlari memeluk lelaki berusia itu.

“Atuk!” jerit si kecil itu sebelum menyalami dan memeluk lelaki berusia itu. Adif hanya memerhati.

“Cik Adif, saya kenalkan ini abah saya, Tengku Ismail. Mereka berdua ini pula teman rapat saya, Mus dan Farel,” ujar Tengku Faiq.

Adif hanya melemparkan senyuman kepada insan-insan yang hadir melawat dirinya.

“Terima kasih, nak. Terima kasih kerana menyelamatkan anak dan cucu pak cik,” ujar Tengku Ismail ikhlas. Pandangannya redup dan terharu melihat gadis itu yang terbaring lemah. Nyata hati gadis itu terlalu baik kerana sanggup membahayakan diri demi menyelamatkan orang lain.

“Sama-sama, pak cik. Kalau orang lain di tempat saya pun, mesti akan buat benda yang sama. Dah kebetulan saya ada di situ,” balas Adif.

“Walaupun kamu anggap kecil, tapi pada pak cik ia tetap satu pengorbanan yang besar. Terima kasih sekali lagi, nak. Kalau ada apa-apa masalah jangan segan-segan nak beritahu pak cik lepas ni ya?”

Adif hanya tersenyum mendengar pelawaan Tengku Ismail. Lelaki itu kelihatan sangat merendah diri. Perbualan seterusnya hanya berkisar tentang Tengku Auni yang banyak berceloteh bertanya itu ini dan keadaan kesihatannya kini. Adif hanya menyampuk sepatah dua kata sahaja. Akalnya ligat untuk melaksanakan agenda yang telah sekian lama dirancang.

Matanya menilik susuk tubuh Tengku Faiq yang kemas berkemeja biru indigo dan berseluar slack hitam. Vest hitam yang dikenakan juga menampakkan ciri-ciri maskulin lelaki itu. Susuk tubuh Tengku Faiq yang tinggi dan tegap ditambah lagi dengan kulitnya yang cerah menyerlahkan lagi ketampanan yang jelas sekali mewarisi ketampanan bapanya. Lesung pipit yang terbentuk di kedua-dua belah pipi lelaki itu ketika tersenyum menambahkan lagi seri dan aura tersendiri Tengku Faiq. Hati Adif bergetar...

‘Hensem jugak dia ni. Mesti Sara jatuh cinta sungguh-sungguh dulu. Tapi tak mustahil, aku pun boleh cair tengok muka dia ni. Hisy... fokus Adif! Fokus!’ getus hati Adif.

Terpandangkan wajah si kecil yang erat memeluk atuknya, Adif nekad untuk meneruskan rancangan. ‘Aku takkan mengalah walau apa pun yang akan terjadi! Ya Allah... Bantulah hamba-Mu ini.’ Hati kecil Adif mengadu pada Yang Maha Esa.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.