Home Novel Cinta DINDA CINTA KANDA
DINDA CINTA KANDA
Nur Insyirah
17/3/2014 16:59:57
81,676
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

Adif memerhati bintang-bintang yang berkelipan di dada langit yang gelap-gelita. Tangannya mengusap-usap kepala Tengku Auni yang berada di atas ribanya. Si kecil itu agak manja dengan dirinya sejak hari pertama dia melangkah masuk ke dalam banglo itu sebagai isteri kepada Tengku Faiq.

Mengenangkan suaminya, dia melepaskan keluhan panjang. Sudah seminggu suaminya pulang lewat malam tatkala dia dan anaknya telah diulit mimpi dan keluar ketika mereka belum pun bangun. Entah di mana suaminya menunaikan solat subuh. Entah di mana juga suaminya mengisi perut. Faham benar dengan perubahan sikap suaminya kini.

Semuanya gara-gara campur tangan bapa mertuanya seminggu lepas. Ketika dia benar-benar tidak berdaya dan terlalu lemah. Bapa mertuanya yang membawanya ke klinik. Kesan lebam di wajahnya kian beransur pulih, namun hatinya yang remuk dengan sikap suaminya hanya dibiarkan sepi tanpa dirawat.

“Abah tak sangka panas baran kamu seteruk ni, Faiq!” Pecah hening malam dek tengkingan Tengku Ismail. Tengku Faiq yang duduk di sofa sambil menonton televisyen dipandang dengan rasa marah yang membuak.

Adif yang berdiri di sebelah Tengku Ismail dipimpin oleh mertuanya untuk duduk di sofa bertentangan dengan Tengku Faiq. Wajah lebam Adif, Tengku Faiq jeling dengan ekor mata. Benci dia melihat wajah itu.

“Faiq! Kamu dengar tak apa abah cakap tadi?!” Tengku Ismail berang semula bila melihat anaknya langsung tidak ambil peduli keadaan isterinya yang teruk dibelasah siang tadi.

Tengku Faiq mendengus kuat. Wajah Adif yang menunduk memandang karpet tebal di ruang tamu itu ditenung tajam. “Belum cacat pun lagi menantu kesayangan abah ni. Elok aje along tengok. Dia yang mengada-ngada nak bermanja dengan abah!”

“Faiq!” Tengku Ismail terus mengayunkan tangannya untuk menampar mulut celopar anaknya.

“Abah! Jangan... Adif tak ada apa-apa. Abah dengan abang janganlah bergaduh pasal Adif pulak.” Adif terus campur tangan dan sempat menahan tangan Tengku Ismail daripada memukul suaminya.

Tengku Ismail terduduk di sofa di hadapan anak dan menantunya. Wajahnya diraup perlahan. Bibirnya beberapa kali beristighfar. Tengku Ismail kemudian bersandar di sofa itu dengan memegang kepalanya yang berdenyut tiba-tiba.

“Abah...” panggil Adif perlahan. Dia risau melihat keadaan mertuanya yang nampak sedih benar. Tubuh mertuanya segera didekati.

Tengku Faiq hanya mencebik bila melihat mimik muka Adif yang sedih itu. ‘Dasar kaki kipas... Hebat kau berlakon depan abah... Konon menantu mithalilah tu,’ rungut hati Tengku Faiq.

“Along keluar dulu, bah. Panas hati along tengok muka dia ni!” Tengku Faiq bingkas bangun.

Tengku Ismail pantas menahan. “Nanti dulu, along! Ini amaran terakhir abah! Abah tak nak kejadian ni berulang lagi! Faham?!”

Tengku Faiq memandang wajah abahnya dan Adif sekilas. “Tengoklah, bah. Abah nasihatkan menantu abah tu dulu. Pesan kat dia jangan tahu nak cari jalan mudah nak senang!”

Tengku Ismail menggeleng bila melihat anaknya berlalu tanpa perasaan. Menderum bunyi kereta Tengku Faiq meninggalkan porch banglo dua tingkat itu.

“Biarlah dia sejuk dulu, bah... Tak apa... Adif okey. Abah jangan risau ya?” pujuk Adif. Dia faham apa yang difikirkan oleh bapa mertuanya.

Tengku Ismail memerhati wajah menantunya. “Adif yakin ke Adif boleh buat apa yang Adif rancang sebelum ni?”

Adif mengangguk. “Adif yakin, bah. Adif janji akan jaga Abang Faiq dengan Auni baik-baik. Adif yakin suatu hari nanti dia boleh terima Adif. Abah doakanlah kebahagiaan kami ya?”

“Abah tak putus berdoa, nak. Adif sabar ya? Anak abah tu berubah benar sejak arwah meninggal. Marah betul dia sejak abah paksa dia kahwin dengan Adif.”

“Tak apalah, bah... Kita pun kena faham dia juga. Kena bagi masa. Lagipun kami kahwin secara mendadak. Mungkin betul dia tak bersedia. Tapi, Adif akan sabar tunggu sampai dia betul-betul bersedia, bah.” Adif cuba meyakinkan mertuanya yang jelas tampak risau.

Tengku Ismail mengangguk-angguk kecil. “Besar pengorbanan kamu ni, nak... Semoga Allah memudahkan segala usaha kamu. Abah bangga dengan menantu abah ni.”

“Adif kuat pun sebab abah juga. Abah yang banyak bagi sokongan pada Adif. Pada Adif, abah ni dah macam ayah kandung Adif.”

“Oh ya... tadi Adif cakap nak pinjam duit daripada abah? Adif nak buat apa?” tanya Tengku Ismail tatkala teringatkan perbualannya dengan Adif yang tergendala tengah hari tadi.

Adif mengerutkan dahi sebelum tersengih. “Oh... Adif pun terlupa terus. Alah, sebenarnya Adif tak ada cash tadi. Nak pinjam dengan abah dalam dua ratus aje sebab nak bagi advance dekat staf Adif. Dia dah on the way ke mari sebab nak pinjam duit. Adif takut tak sempat aje nak pergi bank lagipun dia tengah rushing nak balik kampung.”

“Oh... macam tu. Habis macam mana dia sekarang? Dapat ke duit?” tanya Tengku Ismail lagi.

“Entahlah, bah. Nantilah Adif call balik. Tadi kan kita pergi klinik.”

“Hmm... kesian dia. Mesti susah hati tu. Tak apalah... Esok abah temankan Adif pergi bank in duit kat staf Adif tu. Pergilah naik berehat dulu.”

Adif akur. Dia terus meminta diri dan berlalu ke atas. Wajahnya yang jelas kelihatan kesan lebam dan bengkak ditilik di cermin sebaik sahaja masuk ke dalam bilik.

“Cantik corak muka aku ni,” ujar Adif perlahan sebelum melangkah ke bilik air.

Adif kembali ke alam realiti bila terasa ada gerakan kecil di ribanya. Melihat wajah polos Tengku Auni yang sedang lena di ribanya kini, membuatkan fikirannya melayang kembali mengenangkan detik-detik pertemuan dia dan Tengku Faiq sehingga membawa mereka ke gerbang perkawinan. Semuanya diaturkan oleh bapa mertuanya dan dia menyambut dengan hati yang lapang meskipun dia sedar cabaran yang hebat bakal menanti.

Previous: Bab 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.