Home Novel Cinta Redha TakdirMU
Redha TakdirMU
16/1/2014 11:18:41
27,472
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

YANTI membelek-belek buku catatan Lidya itu. Pada helaian pertama Lidya sudah mencatatkan,

Yanti, sudah beberapa hari aku tidak melihat wajahmu. Jangan bimbang Yanti. Aku tidak pernah berkecil hati kerana memahami setiap dari kita ada permasalahan masing-masing, yang sentiasa membelit diri. Sementara menanti kedatanganmu, aku garapkan sendiri kisah dukaku itu. Aku bimbang sekiranya tatkala kedatanganmu ke sini lagi nanti, mungkin aku sudah tiada di dunia ini.

Tidak tahu apa yang tersembunyi di dalam fikiran lelaki yang bernama Wahid itu sewaktu mendesak aku mengikutnya ke rumah tumpangan itu. Mataku meliar ke sana dan ke sini. Tidak ingin bersangka buruk kepada tunangan sendiri yang kononnya terlalu mengasihi diri ini, tetapi aku tidak dapat mendustai hati sendiri yang bimbang dan cemas.

“Room 112, hujung sana sebelah kiri berdepan dengan lif!” Gadis di kaunter menghulurkan kunci kepada Wahid. Dia tersenyum-senyum sewaktu memandangku.

“Cepat sayang!” Wahid merangkul pinggangku supaya berjalan beriringan dengannya. Dia kelihatan tidak sabar-sabar. Tidak tahu apa yang dikejar-kejarkannya. Sampai di pintu bilik, Wahid tergesa-gesa membuka kunci dan menolak tubuhku ke dalam bilik diikuti dirinya.

“Wahid, kenapa ni? Nak buat apa bawa Lidya ke sini ni?”

“Wahid ada masalah nak bincangkan dengan Lidya!” Wahid cuba memeluk bahuku pula. Aku tidak pula menepisnya. Aku harus bertenang menghadapi Wahid yang kelihatan tidak menentu perasaannya.

“Kita duduk di kerusi sana!” Aku menarik tangan Wahid ke kerusi di tepi dinding berhampiran jendela. Mataku mengitari seluruh bilik itu. Berlangsir hijau yang tebal kainnya. Ada sebuah katil yang dibaluti cadar warna hijau muda senada dengan warna langsir. Begitu juga sampul bantalnya.

Wahid terus kelihatan tidak karuan. Dia meramas-ramas jejarinya sendiri. Di dalam bilik berhawa dingin, tubuhnya dilimpahi peluh. Sesekali dia menanggalkan cermin mata yang dipakai dan mengesat peluh yang berkumpul di bawah matanya.

“Wahid, tak boleh begini! Kan dari dulu lagi Lidya telah katakan, ada apa-apa masalah, berterus terang, ceritakan dengan Lidya!Walau seberat mana, insya-ALLAH, Lidya sudi mendengarnya.” Dengan suara perlahan, aku memujuk Wahid. Mataku merenungi Wahid dari hujung dahi ke hujung kaki.

“Lidya! Maafkan Wahid. Wahib rasa serba salah dan takut kehilangan Lidya jika Wahid menceritakan segalanya kepada Lidya!” Wahid menjatuhkan lututnya di atas lantai dan hidungnya mencecah kepala lututku. Kepalanya didongakkan dan matanya merenung kepadaku.

“Kalau Wahid tak cerita, bagaimana Lidya dapat membantu menyelesaikan permasalahan ini!” Aku terus memujuk. Suaraku seakan berlagu. Aku cuba mengawal debaran di dadaku. Aku menyembunyikan rasa takut. Wahid, pada saat itu kelihatan berbeza benar tingkah lakunya.

“Lidya! Please sayang! Ikut Wahid, kita bernikah di sempadan malam ini juga!” Suara Wahid begitu mengharap.

Aku terkejut dengan bicara Wahid. Dahiku berkerut memandang lelaki itu. Harapannya terlalu tinggi mungkin, sehingga dia merembeskan air mata sambil mencium lututku bertalu-talu.

“Wahid bertenang! Kenapa sampai nak menikah di sempadan pula ni? Wahid ada masalah apa sebenarnya? Lidya tak ada masalah apa-apa. Famili okey, Lidya okey. Tak ada sebab yang mengharuskan kita menikah di sana!” Aku bersuara agak tegas dalam kelembutan.

“Wahid, sayang! Terlalu sayang pada Lidya! Tolonglah sayang!” Wahid mengekori aku yang bangun berjalan di ruang bilik itu untuk menenangkan hati. Dia terus merayu-rayu.

“Bawa bertenang! Tak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan! Masalah yang kecil, jika diperhatikan sangat, akan menjadi sangat besar. Masalah yang besar jika kita hadapi dengan tenang akan menjadi kecil!” Aku cuba menasihati Wahid. Dapatkah Wahid menerima nasihat dalam keadaan dirinya yang tidak karuan itu?

“Lidya! Wahid selalu terperangkap dengan kata-kata Lidya!Tapi..” Wahid cuba memeluk aku pula. Nasib baik aku sempat mengelak. Lenganku pula yang ditariknya. Tubuhku terus diraih supaya rapat kepadanya. Degup dadaku, debarnya bergemuruh.

“Kalau begitu, sampai bila masalah tak boleh selesai!Wahid, kan Lidya dah katakan dulu, Lidya tidak suka berada di dalam keadaan begini.Tak menentu, samar-samar! Ceritakanlah! Kita bincang dan selesaikan sama-sama.” Aku kembali duduk di kerusi, cuba mententeramkan perasaan. Aku bersyukur kerana Wahid tidak lagi rapat dengan diriku. “Kalau Wahid tak mahu cakap, biar Lidya yang teka!” Aku merenungi Wahid yang datang menghampiri aku semula.

“Wahid dah ada isteri?” Terpacul pertanyaan dari bibirku.

Wahid terdiam. Dia kelihatan tergamam dengan persoalanku. Pertanyaanku tidak mendapat jawapan. “Wahid sayangkan Lidya! Sumpah! Demi ALLAH!” Sebaliknya dia terus memeluk tubuhku dengan kuat sambil menyembamkan mukanya di dadaku.

Aku yang sedang duduk di kerusi tidak dapat melarikan diri lagi. Wahid menangis teresak seperti anak kecil. Pertanyaanku tidak dijawab, air matanya pula yang tumpah.

“Jawablah Wahid, jawablah pertanyaan Lidya! Jangan dijawab dengan tangisan. Air mata membawa beribu pengertian. Lidya inginkan jawapan yang tepat!” Aku cuba menolak tubuh Wahid dari tubuhku dengan perlahan dan mendesaknya supaya bercakap benar. Berkata sejujurnya.

“Wahid sayang, Lidya! Wahid tak mahu kitaberpisah! Sumpah! Demi ALLAH!” Begitulah jawapan Wahid. Masih samar-samar. Kemudiannya dia membisikkan sesuatukepadaku.“Sayang, relakanlah! Tolonglah!” Wahid terus merayu-rayu. Bahuku pula menjadi sasaran bibirnya.

What?” Terbelalak mataku mendengarkan rancangan Wahid.Kerelaan apakah yang dipinta oleh lelaki ini?“Wahid ingat Lidya ni apa? Begitu rendah pandangan Wahid pada Lidya! Tak payah kahwin pun tak apa kalau nak buat rancangan kotor ini!” Aku bersuara agak kuat. Mataku bulat memandangnya. Rasa marahku mula bertandang.

“Wahid benar-benar sayangkan Lidya! Wahid tak mahu Lidya tinggalkan Wahid!Kalau kita ikut rancangan tu, tak ada masalah apa-apa lagi.Emak bapak Lidya pun akan bersetuju. Malam ni juga kita boleh bernikah!” Wahid memelukku sekali lagi. Hidungnya mencecah pipiku pula.

Aku berasa geli geleman dan rasa jijik. Aku tolak Wahid dengan kuat sehingga pelukannya terlepas. Imanku masih kuat. “Kalau sayang, mengapa buat Lidya begini! Mengapa?” Suaraku seakan berbisik. Mataku memandang Wahid yang kelihatan terkejut dengan kekasaranku. Begitu caranya lelaki menyelesaikan masalahnya. Masalah yang sedia ada ditambah lagi dengan masalah yang semakin merumitkan serta menjijikkan.

“Hantarkan Lidya balik sekarang juga! Aku mencapai beg tangan di atas katil dan bergegas keluar dari bilik itu dengan langkah yang laju.

“Lidya! Lidya!” Terdengar suara Wahid melaungkan namaku.

Aku tidak mempedulikannya. Aku terus menuruni tangga menuju ke lobi. ‘Aku tidak boleh membiarkan diriku bersama Wahid, jika keadaannya begitu. Aku takut sesuatu yang buruk terjadi kepadaku. Maruah diriku tidak akan tergadai untuk mendapatkan tali perkahwinan. Biar aku menjadi anak dara tua sampai bila-bila.’ Begitulah bisik hatiku.

Wahid menghantarku pulang. Di dalam kereta aku tidak bercakap walau satu patah perkataanku. Aku kesal dengan perlakuan Wahid yang menjijikkan.

Dengan fikiran yang berserabut disebabkan peristiwa yang baru aku alami bersama Wahid, aku kembali ke rumah sewaanku dengan perasaan serba salah. Pemikiranku dihujani dengan bermacam persoalan. Aku tidak tahu hendak meluahkan perasaan yang berkecamuk di dada ini kepada siapa.

Tingkah laku Wahid pada pertemuan itu, menghumbankan aku di dalam seribu satu macam persoalan. Pertanyaan yang tiada jawapan. Fikiranku menjadi kusut dan berserabut.

Di saat-saat begitulah, aku terkenangkan Michael. Hampir dua bulan aku tidak mendengar khabar berita daripadanya. Jangan-jangan Michael sudah melupai diri ini. Di kala keseorangan begini, air matalah yang menjadi teman yang paling setia.

LANGIT berwarna hitam. Sana sini bintang-bintang bertaburan. Seketika, bulan sabit menunjukkan wajahnya, muncul di sebalik awan yang berwarna kelabu, bersepuh warna kekuningan dek cahaya bulan.

Aku terkenangkan Wahid yang tidak mempedulikan diriku lagi. Aku diamuk rindu yang amat sarat, terpaksa memikul kerinduan itu bersendirian. Aku juga terkenangkan Idham. Segala kenangan silam membuatkan hatiku seolah pedih terhiris.

“Lidya, telefon!” Seorang teman serumah menyergah, mengejutkan lamunanku yang sedang termenung di beranda flat. Aku asyik merenung bintang-bintang di langit tinggi. Bercahaya dan bersinar dalam kegelapan. Indahnya ciptaan TUHAN. Malam itu malam minggu. Selepas isyak tadi dan setelah membaca al-quran dua tiga muka, aku sudah bermenung di beranda itu. Melayan fikiran sendiri.

“Tak nak jawab telefon ke?” Lagi sekali teman serumahku melaung dengan kuat.

Dalam keadaan perhubungan yang dingin di rumah itu dan tidak bertegur sapa, mujur Lina tidak bersikap begitu. Kalau yang lain-lain, seandainya ada panggilan telefon untukku, dengan sengaja mereka tidak menjawab apa-apa dan meletakkan gagang telefon bukan pada tempatnya atau menjawab dia sudah keluar. Sedangkan aku berada di dalam rumah, sama ada sedang menggosok baju atau melipat kain.

Helo, Lidya! Good night my dear! Apa khabar? Miss you so much!.” Terdengar suara yang sudah lama tidak kudengari, Michael Collin. Pemuda Serani berasal dari bumi Sarawak itu bersuara riang.

“Hmm, Mike! Saya okey. You di mana ni?” Aku menjawab dengan nada perlahan. Sungguh pun aku amat gembira menerima panggilan itu, aku seolah berbisik kerana jika boleh aku tidak mahu perbualanku didengari oleh penghuni lain dalam rumah itu.

“Cuba you teka?” Michael masih dengan keriangannya, namun memeningkan kepalaku yang sedang berserabut dengan masalah Wahid.

“Alah! Ceritalah! Nak teka-teka pula. Di bulan, di bintang bukan saya ada peralatan untuk meneropong!” Aku berpura-pura merajuk. Sebenarnya fikiranku sedang berserabut.

“Lidya! Cuba you pergi ke beranda tu dan lihat di bawah ni!Eh! Mike nampak tau Lidya sedang bercakap di telefon tepi tingkap tu! Langsir tingkap warna biru dan putih.” Michael meneruskan bicaranya.

Aku meletakkan gagang telefon dan mengikut apa yang disuruh oleh temanku itu. Sebaik tubuhku menghampiri tembok separas dada di beranda itu, aku meninjau ke arah yang disebutkan Michael, di pondok telefon awam. Rumahku di tingkat empat. Mungkin lelaki itu telah ternampak aku lalu dia melambaikan tangannya. Aku kembali ke dalam rumah dan mencapai gagang telefon.

“Dah solat isyak?” Michael selalu mengingatkan aku begitu sebelum ini.

“Dahlah! Isyak kan masuk pukul 8.25 tadi!” Aku menjawab berbisik. Hatiku muram beberapa hari bagaikan disuluhi oleh cahaya bulan apabila mendengar suara Michael yang ceria.

“Bagus! Kalau macam tu, jom!” Michael tetap macam dulu. Tidak berubah. Walaupun sudah lama tidak bertemu dan menghubungiku.Kemesraannya tidak pernah kurang.

“Mike, dah malam ni, pukul 10.00 lebih dah!” Aku bagaikan dapat menjangka kehendak Michael. Jika dia datang malam-malam begitu, mesti mahu aku menemaninya makan.

“Lidya, I tunggu di gerai tu sampai you datang!” Michael terus meletakkan gagang telefon. Dalam keadaan serba salah, aku terpaksa juga menyalin pakaian tidurku kepada seluar jeans dan baju T hitam berkolar bulat menutup leher.

Tak sampai sepuluh minit, aku sudah berada di hadapannya, di gerai berhampiran dengan flat tempat tinggalku. “Thank you, darling!” Si Michael ini memang tidak habis-habis dengan panggilan sayangnya, darlingnya dan honey. Pemuda berwajah bulat dan berambut lurus itu turut tersenyum. Michael bertubuh sederhana dengan ketinggian lima kaki empat inci barangkali.

“Datang dengan apa?” Aku inginkan kepastian apabila melihat Michael berlenggang sahaja tanpa topi keledar di tangan seperti selalunya.

“Kuda I sakit! I pinjam kereta kawan!Lagipunhujan di PJ tadi.” Michael cuba bergurau.

Aku cuma tersenyum, tidak ketawa terkekek-kekek seperti selalu.Kami berjalan beriringan menuju ke meja makan yang tidak berapa langkah daripada situ.

Michael menarikkan kerusi untukku.

Kami duduk di meja yang paling hujung di gerai itu. Nasibbaik ada meja yang masih kosong.

“Are you okay, honey?” Michael terus menatap mataku.

Aku mengangguk-angguk, menyembunyikan apa yang bersarang di dalam jiwa.

Are you sure?” Michael semakin merapatkan wajahnya ke mukaku. Matanya merenung tajam.

Aku terdiam. Kelebihan pemuda ini, dia selalu dapat meneka riak di hatiku. Tiba-tiba aku berasa sebak. Di saat-saat aku memerlukan seseorang untuk berkongsi beban dukaku, Michael datang menyerah diri. Perasaan sebak semakin membuak.

“Nah... kan hujan dah turun!” Michael mengeluarkan sapu tangan dari poket baju dan mengesat pipiku.Tanpa disedari, aku menitiskan air mata.

“Mana ada hujan!” Dalam kebingungan, aku menadah-nadah tangan di udara, merasa titik hujan sambil mata menerawang ke angkasa. Bintang bertaburan.

“Bukan air hujan dari langitlah sayang. Tu... di pipi awak! Menangis. Mesti ada sesuatu yang menyedihkan. Itu pasallah, kaki saya macam di tarik-tarik untuk datang ke sini.” Michael menerangkan dengan nada lembut.

Aku berpura-pura selamba sambil duduk di kerusi di hadapannya. “Sampai hati tinggalkan I.” Suaraku seolah merajuk. Sengaja aku menduga lautan hati pemuda itu.

Micheal ketawa. “Bukan tinggalkan you! I kerja di tempat baru.” Dia menerangkan. Matanya masih merenungku dengan ekor matanya. Senyumannya melebar. Dia merenungiku ke atas dan ke bawah dengan pandangan sayang.

“Kenapa susut? Ada masalah apa?”Renungan daripada mata Michael yang bulat dan jernih menyebabkan aku berasa berdebar. Aku tutup debaran hati dengan berpura memandang ke tempat lain beberapa ketika. Soalan daripadanya tidak aku jawab. “Bagaimana dengan tempat kerja baru you?” Mengelakkan Michael daripada terus menyoal tentangku, tentang kesedihanku, aku menukar tajuk perbualan kami.

“Hmm... so far so good! Ada kelebihan dan kekurangannya.” Michael bersuara mesra. Masih dengan keriangannya.

“Nak tahu apa kelebihan dan kekurangannya?” ujar Michael lagi. Aku mengangguk-anggukkan kepala.

“Kelebihannya, hmm... kerja dalam ofis, berhawa dingin walaupun tidak berkerusi empuk!” Bicara Michael terhenti seketika apabila ada seekor kucing datang menggesel-gesel kakinya di bawah meja. “Kekurangannya, cuba teka?” Dia cuba bermain-main teka teki denganku.

“Di pejabat tu semuanya lelaki! Tak ada orang perempuan yang you boleh usik-usik, sakat-sakat, ganggu, kacau!” Aku selamba menjawab di sambung dengan ketawa kecil dihujung bicaraku itu.

Michael turut ketawa bersamaku. Berkerut-kerut pipinya sewaktu ketawa itu.

“Tengok tu! Tuduh I macam tu!!Mike tak usik semua perempuanlah!” Di tengah tawanya itu, Michael sempat mempertahankan diri. “Kekurangannya ialah. I selalu menyimpan rindu!” Suara Michael agak perlahan.

“Rindu? Ohhh!!!” Bibirku hanya mengungkapkan itu. Selepas itu bibirku seakan terkunci. Ada pertanyaan yang tersangkut di hujung lidahku. Aku ingin bertanyakan begini. ’Rindu pada siapa?’ Namun aku takut, pertanyaan menjerat diri sendiri. Bukankah aku sudah memiliki tunangan?

“Dah order makanan ke? Saya laparlah!Dah banyak hari tak selera nak makan.” Aku cuba bermanja dan mengelakkan cerita tentang kerinduan Michael berpanjangan.

“Tu, dah pun siap! Mike dah tahu apa yang Lidya suka makan. Dah hafal semuanya.” Michael membantu pelayan gerai mengeluarkan makanan dari dalam dulang dan diletakkanya di atas meja. Nasi goreng kampung dan tomyam untukku. Kuew teow kerang untuknya.

“Hai! Minuman tak order ke? Tercekiklah nanti!” Aku mengusik Michael apabila aku tersedak sebaik sahaja menghirup kuah tomyam.

“Dah! I dah pesan semuanya. Terlupa agaknya! Nanti!” Mata Michael mencari pelayan gerai tadi dan tangannya segera melambai sebaik sahaja melihat pemuda itu merenung ke arahnya.

“Bang, mana airnya?” Dalam suara yang agak kuat, Michael melaung.

Seketika kemudian, pelayan gerai membawa dulang yang terisi gelas. Air laici dan Nescafe ais.

Aku menikmati nasi goreng sesudu demi sesudu, disulami dengan tomyam dengan perlahan dan memaksa tekakku menelan. Tidak sampai empat sudu, aku tiba-tiba terhenti. Aku tiba-tiba mengingati Wahid. Perasaan sebakku kembali bertahta di hati, lalu air mataku menitis ke dalam pinggan nasi goreng.

Michael di hadapanku yang pada mulanya kelihatan asyik dengan seleranya turut terhenti apabila melihat aku cuma menguis-nguis nasi di dalam pinggan. “Depan rezeki, tak baik menangis! Makan dulu, lepas ni kita bincangkan masalah you. Makanlah!” Dia mengambil sudu dari tanganku dan menceduk nasi di pinggan dan cuba menyuapkan aku. Dia tidak pernah putus dengan sikap prihatinnya kepadaku.

“Nak makanlah ni! Macam mana tak menangis? Lidya sedih sebab awak baik sangat dengan Lidya! Bangsa kita tak serupa, agama pun tak sama. Tapi Mike ni terlalu mengambil berat, memahami melebihi kawan-kawan perempuan Lidya!” Aku tenang kembali apabila meluahkan kata-kata itu kepada Michael sambil mengambil kembali sudu ditangannya. Malunya aku jika dimanja sebegitu rupa di khalayak ramai.

“Sayang! Bangsa atau agama tu bukan ukurannya, yang pentingnya keikhlasan dalam persahabatan. Kasih sayang. Saya mengambil berat, sebab rasa sayang! Bila sayang, mesti tak mahu tengok you bersedih. Mike rasa bertanggungjawab untuk menghilangkan rasa sedih tu!” Michael tersengih-sengih menunjukkan giginya yang rata.

“Sayang? Mike sayang Lidya?” Aku mengusik Michael. Perasaanku mulai tenang dan rasa terhibur dengan telatah Michael.

“Hmm... salah ke?” Michael menyoal aku kembali. Aku mengangkat bahu. Dalam pada berbual itu, dapat juga aku menghabiskan separuh nasi goreng dan separuh tomyam.

“Hmm... boleh Mike makan nasi goreng tu?”Permintaan daripada Michael mencuri tawaku.

“Eh! Tak boleh! Jangan makan sisa Lidya. Kita order yang lain ya!.” Tidak tahu apa sebabnya, sedari kecil aku tidak suka sesiapa makan sisa makananku atau aku makan sisa makanan orang lain.

Micheal ketawa. “Sengaja nak usik Lidya. Mike dah kenyang ni. Lagipun Mike cuba uji Lidya.”

So... sekarang macam mana Lidya! Dah rasa tenang sikitkan?” Sambil menghirup sisa Nescafe ais di hadapannya, Michael menyoal aku dengan nada yang perlahan dan riang.

“Alhamdulillah! Thank you...” untuk tidak menyusahkan hati Michael, aku menjawab begitu.Dia pun kelihatan lega dengan jawapanku.

“Itulah, lain kali jika ada masalah call. Takut tunang marah ke?” Michael cuba meneka.

Aku menggeleng dan sedikit terkejut dengan persoalan itu. Pertunanganku sebenarnya menjadi rahsia. Alangkan teman-teman sepejabat dan serumah pun tidak tahu, inikan pula hendak bercerita dengan Michael.

“Tunang? Mana tahu Lidya bertunang?” Aku menyoalMichael kembali.

Michael ketawa menyeringai, menunjukkan giginya yang tersusun tapi sederhana besar. Aku turut ketawa.

“Alah! Tak payah sembunyikan daripada I. Kita dah berkawan lama.”Ketawa Michael mengendur. “Pertama, cincin berlian di jari manis tu, tandanya apa?Bukankah tanda diri dah terikat atau diikat?” Sambil mengerling kepadaku, dia bersuara perlahan. Menyatakan pandangannya.

Aku membelek cincin yang dikatakan oleh Michael itu.

“Kedua, tubuh badan makin lama semakin kurus, sinar mata dah tak berseri lagi. Tak macam dulu-dulu! Lidya kan selalu happy dan ceria.” Michael merenung ke arahku sambil tangannya menupang dagu.

“Itu kan tanda-tanda ada permasalahan dalam perhubungan?”Michael cuba meneka sekali lagi. Matanya masih melirik ke arahku. “Dan you sedang memendam perasaan,” ujarnya lagi. “Dan kalau memendam perasaan, mesti diri terlontar dalam penderitaan!” Dia mengangkat keningnya sebaik sahaja selesai sahaja berbicara.

“Pandai saja meneka.Dan tekaan tu selalu tepat!”Aku mengakui akhirnya.

“Tunang marah ke kalau Lidya bertemu dengan saya?” Michael mengulangi persoalannya lagi. “Bukan begitu! Wahid tak pernah marah! Lidya pun tak pernah sorokkan apa-apa darinya. Kawan dengan siapa, jumpa dengan siapa, semua Lidya ceritakan padanya.”

“Oh! Sekarang baru nak mengaku, ya?Tunang nama Wahid ke? Kerja apa?” Bertubi-tubi persoalan yang keluar daripada bibir pemuda itu. “Betul Wahid tak marah ni?”

Belum sempat aku menjawab, Michael bertanya lagi. Aku hanya mampu mengangguk.

“Oh! Baguslah kalau begitu. Mike risau juga. Nanti kerana Mike, Lidya bergaduh dengan tunang pulak.” Michael bagaikan cuba menyerkap jarang untuk mengorek rahsia daripadaku.

“Itu maknanya tak ada jodoh. Apa nak buat!” Bersahaja aku memberi jawapan meskipun jendela hati diintip pilu apabila mengungkapkan kalimah ‘tak ada jodoh’.

Michael menatap wajahku.

Aku cuba menunjukkan ketenangan.

“Tak ada rasa kecewa?” Michael menguji lagi.

Renungan matanya yang tajam itu seolah menembusi hatiku. Ya ALLAH kuatkanlah hati hambamu ini. Begitulah bisik hatiku. “Saya seorang muslim, Mike!” Aku cuba menjelaskan pendirianku. Aku tahu pemuda di depan mataku ini sedang mencari jalan untuk menyelusuri hatiku.

“Kalau muslim, kebal dari perasaan kecewa, begitu?” Michael menyoal lagi.

Aku ketawa kecil. Michael tidak pernah puas dengan satu soalan. “Eh! Kata dah baca tentang rukun iman!” Aku pula menguji Michael yang beberapa bulan dulu ada meminjam buku Suci Diri mencari ILAHI, terbitan Karya Bestari daripada aku.

“Oh ya! Baru Mike teringat. Seorang muslim mesti percaya kepada qada dan qadar.” Michael pula menyeringai. Matanya bercahaya.

“Lagipun Mike, kan hidup ni bagaikan percaturan! Kadangkala kita dengan sengaja memberi kemenangan kepada orang lain untuk mengelakkan kita daripada membuang masa terlalu lama.”Aku menerangkan prinsip hatiku.

“Itu maknanya takut untuk menghadapi risiko kekalahan!” Michael membuat tekaan dengan nada sinis.

“Bukan takut! Tetapi itulah pengorbanan.” Aku menjelaskan kepada Michael sambil mataku melihat jam di pergelangan tangan. Memberi isyarat kepada Michael bahawa aku sudah ingin pulang.

“Dah faham sangat dah! Kalau dah beri tanda-tanda tak selesa lagi untuk berbual tu, tengok jam berulang kali!” Michael bersuara dalam tawa. Sememangnya dia amat memahami tentang diriku. “Jom saya hantarkan balik!”

“Ala, tak payahlah susah-susah! Bukannya jauh. Tak sampai lima minit saya dah sampai ke rumah.” Aku tertawa dengan tawaran Michael. Mataku meninjau ke arah rumah sewaku, di flat yang berhadapan dengan gerai makan. Hanya sebuah lampu kecil yang dinyalakan. Lampu di dapur. Nampaknya semua penghuni rumah itu sudah tidur.

“Tak apalah! Saya hantarkan juga!Gelap di tangga tu! Nanti awak jatuh! Lagipun kalau ada orang-orang yang tidak berkenaan yang menunggu awak di tangga tu macam mana?” Michael masih lagi bergusar.

“Yalah! Bila dah hantar saya sampai depan pintu rumah, nanti awak turun ke bawah sorang pula!Saya pula risau keselamatan awak!” Aku keberatan menerima pelawaan Michael.

“Hmm... Apa masalahnya? Awak hantar saya turun ke bawah pula,” jawab Michael dalam tawa.

Aku tahu dia sedang berseloroh. “Hmm... Kalau macam tu, sampai pagi esok masalah tak selesai! Okeylah, Mike. Jomlah temankan saya! Saya bimbang, nanti tak tertunai hajat awak menemankan saya sehingga ke pintu rumah, awak meraung pula ditinggalkan sendirian di sini.” Giliran aku pula mengusik Michael sambil berjalan beriringan dengannya menuju ke tangga flat yang gelap gelita.

Tercungap juga Michael menaiki 36 anak tangga itu.

“Haa... kan dah penat! Saja suka nak menyeksa diri sendiri.” Aku mentertawakan Michael yang langkahnya lambat-lambat sebaik sahaja sampai di anak tangga yang terakhir.

“ Okey, Mike. Dah sampai. Ini rumahnya...” kataku perlahan kepada Michael yang berjalan beriringan denganku sehingga ke muka pintu. Tanganku telah tersedia dengan kunci untuk membuka gril dan pintu.

“Good night my dear.Take care.

“Okay... Thanks, Mike.” Aku menutup pintu sebaik sahaja Michael beredar dari situ Tidak manis dilihat orang jika seorang lelaki berlama-lama di hadapan pintu rumah anak-anak dara. Masuk ke rumah aku terus merebahkan diri di atas lantai. Aku terkenangkan Michael. Perhatian yang ditunjukkan oleh Michael kepadaku kadang kala membuatkan aku takut.Takut suatu hari nanti dia akan meminta lebih daripadaku. Lebih perhatian.Lebih kasih sayang. Sedangkan hal-hal itu akan membuat aku lemas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.