Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,736
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

“BUAT apa kamu datang ke sini?” Aldi terkejut dengan kehadiran Nurlisa yang tiba-tiba muncul di hadapannya pada pagi itu. Dia sedang bermenung di balkoni. Lamunannya terhenti tiba-tiba. Yang dilamunkannya pun hanyalah gadis itu.Gadis yang tabah dan sabar. Miliki keistimewaan yang tersendiri.

Hatinya mulai rindu jika tidak dapat merenung wajah gadis itu dalam sehari.Bukan sahaja sehari. Bahkan sejam pun dia berasa sudah terlalu lama. Bibirnya mengukir senyuman apabila terkenangkan detik-detik gadis itu mencuci tangannya sewaktu dia mengalami kecederaan semalam. Saat itu amat indah dirasakannya. Namun senyuman itu segera hilang apabila menyedari Nurlisa berada di sampingnya. Wajahnya kembali serius.

“Bibik suruh tanya encik, tengah hari ini encik nak makan apa?” Nurlisa bertanya dengan lembut. Matanya menatap wajah Aldi.

Aldi diam. Nurlisa menunggu dengan sabar. Aldi menggerak-gerakkan kerusi rodanya di sekitar balkoni. “Terubuk bakar!” Suara Aldi agak perlahan.

“Yang lain encik?” Nurlisa bertanya lagi. Bimbang jika disaji makanan yang tidak bertepatan dengan seleranya, makanan yang disajikan akan menjadi santapan permaidani.

Aldi hanya diam.

“Saya beritahu bibik, ya.” Nurlisa melemparkan senyumannya kepada lelaki itu walaupun tidak pernah mendapat balasan sebelum beredar dari situ.

Beberapa minit kemudian, gadis itu muncul lagi.

“Err... encik! Bibik suruh saya...” Nurlisa tergagap-gagap apabila Aldi merenung tajam kepadanya. “Bibik suruh saya cuci luka di tangan encik!” Sambungnya. Dia bimbang, Aldi akan melenting dengan permintaannya itu.

Aldi diam, namun perlahan-lahan dia menggerakkan kerusi rodanya menuju ke bilik dan terus ke singki. Di situ Nurlisa telah menyiapkan peralatannya.

“Alhamdulillah. Luka-luka di tapak tangan encik ni, tidak bernanah,” ujar Nurlisa sambil matanya menumpu kepada tapak tangan Aldi yang luka. Masih ada calar-calarnya.

Aldi memasamkan mukanya. Tidak memberi respons kepada kata-kata gadis itu. “Nanti kamu suapkan aku makan tengah hari!” Dia memberi arahan sebaik sahaja Nurlisa menyelesaikan tugasnya dan beredar daripada bilik itu.

Nurlisa tidak menjawab. Dia akur dengan kehendak Aldi kerana memahami situasi lelaki itu pada waktu itu. Kedua-dua tanganya luka. Jari jemarinya pun luka. Hampir kesemua jarinya dibalut dengan plaster.

TERUBUK bakar sudah tersaji di atas meja. Air asam yang disediakan oleh Bibik Sunarti begitu menyelerakan sekali. Sayur campur goreng mungkin akan membuka selera Aldi kerana warna-warna sayurannya. Kuahnya likat. Udang serta sotong menjadi rencahnya. Pencuci mulut, puding sago berkuah.

Nurlisa menanti dengan sabar arahan lelaki itu. Pinggan nasi sudah berada ditangannya. Sekiranya Aldi enggan duduk di meja makan, tugasnya menjadi rumit. Bagaimana hendak menyuap nasi berlaukkan terubuk bakar yang banyak tulang itu, yang pastinya perlu dicicah dengan air asam terlebih dahulu? Kalau dicurahkan dengan air asam awal-awal, ikannya akan menjadi kembang pula dan tidak menyelerakan lagi.

Dengan lafaz bismillah, dia memulakan tugasnya menyuap Aldi. Nurlisa melakukan segalanya dengan sabar tanpa bersuara. Tugasnya dilakukan tanpa rungutan. Dia bersyukur kerana Aldi nampaknya berselera untuk makan. Mudah-mudahan dia segera sembuh. Diberi pertunjuk dan hidayah oleh Allah dan kembali seperti dulu. Begitulah doanya di dalam hati dan setiap kali selepas bersolat. Sama ada solat wajib atau solat sunat. Dia mendoakan untuk semua orang.

Aldi memerhatikan gelagat Nurlisa memisahkan tulang ikan terubuk daripada isinya tanpa berkelip dan bibir yang terkunci. Gadis itu melakukan segalanya dengan sabar dan tekun. Sebelum gumpalan isi ikan terubuk itu dicicahkannya dalam air asam, Nurlisa memperhatikannya sekali lagi kalau-kalau ada tulang yang masih terlekat. Barulah disuapkannya ke dalam mulut Aldi yang mengangakan mulutnya macam anak burung.

“Minta maaflah encik, kalau masih ada tulang yang saya tidak nampak,” ucap gadis itu sambil tersenyum apabila memandang Aldi.

Aldi tetap berwajah selamba sambil mengunyah perlahan gumpalan nasi bercampur lauk yang telah menghuni mulutnya. Tiba-tiba kunyahannya terhenti. Ada tulang yang mencucuk lelangitnya. Dia tersedak.

“Tulang ke encik? Maaf, saya tak nampak.” Suara Nurlisa agak terketar. Dia bimbang Aldi akan mengamuk lalu menolak serta menepis pinggan mangkuk yang di sisi lengannya. Namun lelaki itu tidak menunjukkan wajah marah.

“Tapak tangan kamu!” Aldi bersuara kasar sambil menolak tulang dari dalam mulutnya ke hujung lidahnya lalu dikapit dengan gigi kacipnya. Tanpa membantah Nurlisa menadah tapak tangannya di tepi bibir lelaki itu. Lantas, tulang-tulang halus yang terkumpul dua tiga diluahkannya di atas tapak tangan gadis itu.

Nurlisa membuang tulang-tulang itu ke dalam bekas yang disediakannya dari tadi lalu membasuh tangan.Tugasnya untuk menyuap lelaki itu makan diteruskan semula dengan sabar dan senyuman. “Tambah nasi lagi encik?” Barulah dia bersuara sebaik sahaja sampai ke suapan yang terakhir.

Aldi mengeleng kepala.

Nurlisa menghampirkan pula gelas minuman ke bibir Aldi. Bagaikan anak kecil yang disuapkan oleh ibunya, Aldi mencicip air minuman itu perlahan-lahan. Dia memandang ke arah lain, apabila gadis itu merenungnya.

“Encik nak makan puding?” soal Nurlisa sambil matanya merenung ke wajah lelaki itu. Mata mereka bertentangan lagi. Kali ini Aldi membalas renungannya seketika sebelum membuang pandangan ke arah lain.

“Sikit saja!” Aldi menjawab agak perlahan. Nadanya masih seperti selalu. Keras dan tegang. Tiada kemesraan. Segalanya seolah asing. Lelaki itu hanya membatukan dirinya apabila Nurlisa mengesatkan sekitar bibirnya yang basah dengan tisu. Tanpa mengucapkan terima kasih, dia meninggalkan Nurlisa seorang diri di meja makan itu.

Nurlisa memahami yang Aldi tidak mahu makan lagi. Dia menyusun pinggan mangkuk ke atas troli dan ingin beredar dari bilik itu. Sebentar lagi, Bibik Sunarti akan membawa turun semua pinggan mangkuk itu ke dapur.

“Jangan pergi!” Aldi tiba-tiba bersuara. Tanpa gadis itu di sisinya dia berasa kesuraman di hatinya bertambah menebal. Kesuraman jiwanya kian lama seolah disuluhi cahaya apabila gadis itu berada di sampingnya. Hatinya berasa tenang dan damai untuk beberapa ketika. Apabila ditinggalkan keseorangan, dia berasa seolah ditusuk buluh runcing yang amat tajam.Tusukan itu membawa rasa sakit ke seluruh urat sarafnya. Perasaan itu sudah dirasakannya lama. Sejak kali pertama melihat gadis itu. Perasaan itu bertambah dari saat ke saat. Hari demi hari.

“Encik, saya belum sembahyang zuhur.” Nurlisa memberitahu dengan lembut dan perlahan. Dia sudah mendengar suara azan dari masjid yang berhampiran dengan vila itu sewaktu sedang menyuap Aldi makan. Dari kecil lagi dia cuba mengelakkan diri daripada melengah-lengahkan waktu solatnya.

“Zuhur?” Aldi bertanya kembali. Suaranya agak keras.

Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya sambil tersenyum lagi. “Nanti encik sembahyanglah. Dah masuk waktu, encik. Assalamualaikum...” Tanpa mempedulikan halangan daripada lelaki itu, Nurlisa tetap beredar juga dari situ. Kewajipan kepada Allah harus diutamakan.

Aldi membisu kembali. Tanpa rela, dia membiarkan Nurlisa melangkah pergi meninggalkannya seorang diri di kamar itu.Perasaannya seolah kosong. Segalanya menjadi hambar semula.

DUA minggu Nurlisa menyuapkan makanan untuk lelaki itu. Tidak sekali pun dia mengucapkan terima kasih kepada gadis itu. Kini tangannya sudah sembuh. Tidak perlu berplaster lagi. Luka di tangan sudah tidak ada parutnya pun. Keadaan tapak tangannya kembali seperti sebelumnya. Aldi melihat telapak tangannya, kemudian merenung ke dua kakinya pula. Mengapa kakinya tidak mahu sembuh? Bukankah telapak tangannya juga mengalami kecederaan tetapi boleh sembuh. Mengapakah kakinya tidak sembuh-sembuh?

“Buat apa kamu datang? Aku belum panggil lagi! Kalau aku tidak panggil jangan datang. Pergi!!!” Suaranya amat perlahan tetapi singgah juga ke telinga Nurlisa yang menghampirinya dengan terhincut-hincut.

“Tapi, tadi encik panggil saya!” Nurlisa bersuara selamba dan bersahaja. Dia merenungi wajah Aldi sambil melontarkan senyuman. Memang lelaki itu yang memekik memanggilnya melalui interkom. Matanya masih memandang wajah lelaki yang tidak pernah dilihatnya mengukir senyuman sejak dia berada di rumah itu. Aldi masih berwajah keruh dan masam. Hanya jambangnya kelihatan kemas sedikit.

“Nak saya bacakan surat khabar?” Nurlisa mengingatkan Aldi. Setiap hari selepas sarapan lelaki itu akan meminta dia membacakan surat khabar. Matanya terus merenung Aldi yang membaluti tubuhnya dengan baju T kuning berbelang hitam dan berseluar sukan warna hitam.

“Baca surat khabar?” Aldi menyoal Nurlisa kembali dengan tegas dan matanya merenung ke arah lain. Dia seolah terlupa pada rutin itu.

“Ya, encik.” Nurlisa menjawab perlahan.Dia menunggu arahan daripada Aldi dengan sabar. Aldi kembali membisu tanpa kata. Diam tanda bersetuju. Beberapa bulan bersama lelaki itu, Nurlisa seolah dapat membaca kehendak hati Aldi.

Aldi menggerakkan kerusi rodanya dengan tangannya. Dia bergerak menuju ke balkoni yang berada di hujung kamarnya. Dari sana dia dapat melihat suasana di persekitaran hadapan vila itu keseluruhannya. Nurlisa terhincut-hincut mengekorinya sambil membawa akhbar harian.

“Budak! Baca tajuk berita di semua muka surat!Semuanya sekali!” Aldi mengarahkan Nurlisa yang berdiri bersandar ke tiang berbentuk seni bina Rom itu.

Pemuda kecewa putus cinta, membunuh diri. Mat rempit semakin mengganas. Tuntutan kenaikan gaji oleh Cuepacs.

Begitulah, Nurlisa membaca dengan jelas dan terang sambil berdiri. Aldi seolah ingin menderanya. Bukan sahaja tidak menyuruh gadis itu duduk di kerusi yang berada di hadapannya bahkan menyuruh Nurlisa membaca tajuk yang sama berulang-ulang kali dengan kuat dan jelas.

“Baca balik muka surat lima!” Aldi mengarahkan lagi. Dia melihat Nurlisa dengan ekor matanya. Di wajah gadis itu mempamerkan ketulusan hatinya.

“Ulang balik muka surat sepuluh! Baca dengan kuat!” Begitulah kata lelaki itu berulang kali. Matanya masih merenung ke wajah Nurlisa yang sedang menunduk. Tidak ada riak marah yang terlukis di wajah gadis itu. Dia tetap tenang dan bersahaja. Bacaannya tetap jelas.

“Baca balik kisah pemuda yang bunuh diri tadi! Baca! Baca!” Tiba-tiba Aldi menengking dan mengulang-ulang permintaannya macam orang hilang akal.Dia menggerak-gerakkan kerusi roda ke depan dan kebelakang.

Apa yang diminta, Nurlisa tetap membaca dengan sabar dan tenang. Surat khabar yang dipegang diselak ke depan dan ke belakang berkali-kali, berulang-ulang.

“Eh budak! Buat apa kamu baca? Berulang-ulang?” Mata Aldi merenung ke mata Nurlisa.

Nurlisa menundukkan wajahnya apabila tajamnya renungan mata lelaki itu seolah menusuk ke hatinya.

“Encik yang suruh!” Nurlisa menjawab selamba sambil menggigit bibirnya.

“Berapa lama kamu berdiri di situ?Tak rasa sakit kaki ke? Tak ada rasa lenguh ke?Tak ada rasa marah ke?” Aldi menyoal lagi dengan serius dan nada suara yang tegang.

“Tidak, encik. Saya pernah berdiri lebih lama dari ini. Saya yang pilih. Saya hadapi semuanya dengan sabar, tidak perlu merungut, encik.” Nurlisa menjawab dengan nada perlahan. Ekor matanya mengerling lelaki itu yang dilihatnya berpura-pura merenung ke arah lain. Sememangnya dia sudah biasa dengan kesusahan, keperitan hidup. Dia redha menempuhi segalanya kerana faham kehidupan di dunia ini hanyalah jambatan menuju ke kehidupan yang lebih kekal. Tidak diciptakan manusia selain untuk diuji oleh Tuhan yang memiliki langit dan bumi. Dia harus bersabar untuk menempuhi segalanya. Dengan ikhlas dan berlapang dada.

“Kamu jawab apa yang aku soal saja!” Aldi menghampirkan kerusi rodanya kepada Nurlisa yang sedang berdiri berhampiran tiang. Jawapan daripada gadis itu tadi, membuatkan hatinya terfikir sejenak.

“Luka di tangan aku boleh sembuh dalam masa dua minggu. Mengapa kaki aku tak boleh sembuh? Aku nak berjalan balik!Aku nak berlari! Aku nak bawa kereta!” Suara Aldi bertambah nyaring sambil menampar-nampar pehanya. Dia kelihatan tidak karuan kembali.

“Kau rawat luka ditangan aku sehingga jadi baik! Mengapa kau biarkan kaki aku begini? Jawab!” Aldi menengking Nurlisa.Suaranya keras.

Nurlisa beristighfar di dalam hati.

“Encik, beristighfar banyak-banyak encik! Bukan saya yang sembuhkan tangan encik.Sihat dan sakit, kepunyaan Allah. Dia yang berkuasa menyembuhkan, bukan kita. Kita hamba Allah. Kita tidak ada apa-apa kuasa pun encik. Kalau Allah nak beri kesihatan yang baik, dia akan beri kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Kalau Allah hendak memberi penyakit, dia akan memberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sebagai hamba-Nya yang kerdil, kita kena terima segala yang Allah telah tentukan kepada kita encik.” Pertama kali, Nurlisa berbicara panjang lebar dengan lelaki itu. Tanpa rasa takut, dia meluahkan apa yang ada di dalam fikirannya. Itulah kebenarannya. Segala-galanya Allah yang menentukan.

“Ini semua ujian untuk kita. Walau apa pun kita harus bersyukur dan sujud kepada-Nya kerana Dia yang maha besar, maha agung.” Sambung Nurlisa lagi. Bagaimanapun, nada suaranya tetap tidak berubah. Tenang dan lembut. Tengkingan dan sergahan daripada lelaki itu langsung tidak menggoyahkan sikapnya. Dia yang selalu bersikap lembut dan tenang.

“Syukur? Sujud? Hey budak! Kamu menyindir aku, ya!” Sambil bersuara garang, jari telunjuk Aldi dihalakan ke wajah Nurlisa.

Nurlisa terkejut dan berasa sedih dengan sangkaan itu. “Ti... tidak encik! Saya tidak berniat menyindir encik.” Suara Nurlisa sayu.

“Saya jawab soalan encik, kerana Allah.” Ada air jernih berkumpul di penjuru matanya. Bagaikan terhiris, pedih hatinya kerana tuduhan itu, sedangkan dia tidak sedikitpun berniat untuk mengguriskan hati lelaki itu.

“Tempang! Sudah! Pergi dari sini! Aku mahu bersendirian!” Aldi menggerakkan kerusi rodanya dan beralih ke tepi pagar balkoni yang menghala ke arah barat rumahnya. Pandangan matanya dilontarkan ke arah halaman rumah.

Nurlisa benar-benar terkejut dengan panggilan yang diterimanya daripada Aldi. Dia tidak pernah berkecil hati apabila Aldi memanggilnya dengan panggilan ‘budak’ walaupun sudah berbulan dia bekerja dirumah itu. Namun panggilan atau gelaran tempang begitu mencarik perasaannya. Hatinya bagai direntap dan dicarik-carik sehingga menjadi berkeping-keping.

Sudahlah begitu, dirinya diusir pula seolah kucing kurap yang tidak diperlukan. Walaupun sudah berkali dia dihalau begitu, namun pada hari itu, usiran yang diterima walaupun dalam nada perlahan amat menyentuh hatinya. Kata penghinaan yang dilemparkan oleh Aldi sebentar tadi benar-benar telah meremukkan hatinya.

Nurlisa yang terhincut-hincut ketika berjalan, segera meninggalkan bilik Aldi. Air matanya menanti masa untuk mengalir deras di pipinya. Suara esakannya terpaksa ditahan sehingga dadanya dirasakan seolah akan meletup.

Aldi melontarkan pandangannya ke arah lain. Tidak ingin melihat susuk gadis itu yang terhincut-hincut berjalan meninggalkan dirinya. Dia menekup pipi dengan telapak tangannya. Menahan air mata yang tertumpah. Nafasnya seolah terhalang seketika. Apabila dia berpaling, Nurlisa sudah pun tiada. Matanya merenung langit yang tiba-tiba kelihatan mendung. Titis-titis gerimis tidak semena-mena menghadiri bumi, seolah langit pun sudah terluka dan menitiskan air mata seumpama hati gadis itu.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.