Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
65,736
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

ANGIN petang bertiup lembut. Di dada langit yang terbentang biru kelihatan tompok-tompok awan yang berwarna putih dan kelabu. Mungkin Beberapa ketika nanti hujan akan turun. Namun, kadangkala awan seluruhnya berwarna kelabu pun hujan tidak juga turun berhari-hari. Mak Cik Hasnah yang sedang duduk di muka pintu dapur rumah tempatnya berteduh mengurut-ngurutkan dadanya yang semakin meleper.

Batuk-batuk yang menerobos keluar daripada kerongkongnya semakin keras. Sesekali wanita separuh usia itu berludah ke luar pintu dapur. Hampir tiga tahun beliau disinggahi oleh penyakit batuk kering. Hampir tiga tahun jugalah dia ditinggalkan oleh Kudus. Lelaki yang menjadi bapa kepada enam orang anaknya. Alangkah keras dan keringnya hati lelaki. Sanggup meninggalkan isteri yang sedang menderita dan berpenyakit. Mudah sahaja mereka membuat keputusan untuk meninggalkan isteri apabila keinginan lelakinya jarang-jarang dapat dipenuhi.

Hujan di pipi tiba-tiba mendatangi. Tanpa disedari. Beberapa titis air mata menuruni pipinya yang semakin berkedut dan kekeringan. Hatinya diintip oleh rasa pilu yang amat menyakitkan. Kudus meninggalkannya tanpa pesan dan harta yang ditinggalkannya, hanya anak-anak mereka yang enam orang itu. Rumah yang didiami pun hanya sebuah rumah setinggan yang daif dan uzur. Sekadar boleh mereka anak beranak berhimpun di bawah atap yang bocor setiap kali waktu hujan datang. Rumah papan yang bersaiz 20 x 20 itu menanti saat sahaja untuk rebah ke bumi. Apatah lagi jika dilanda angin ribut, bergegar-gegar atap zink yang sudah hampir reput itu. Alangkah peritnya kehidupan, terpaksa pula membanting tulang membasuh kain baju di rumah orang untuk sesuap nasi bagi membesarkan anak-anak dan persekolahan mereka.

Dari ekor matanya, Mak Cik Hasnah melihat Nuraina terkocoh-kocoh datang ke dapur dan menyelongkar di bawah para kayu yang berwarna hitam. Para yang sudah buruk dan lama itu diambil dari tempat pembuangan sampah oleh Nurlisa dua tahun yang lalu. Buruk, namun masih boleh digunakan untuk menyusun serba sedikit barang-barang seperti teko, cawan dan periuk.

“Emak! Beras ada sikit saja lagi!Malam ni kita makan bubur nasi saja, ya?”Nuraina yang sedang menonggengkan tong beras yang terletak di bawah para tempat meletak pinggan-pinggan plastik, bersuara. Gadis itu tidak menyedari hati si ibu sedang meratap menghiba.

Suara anak gadis itu mengejutkan lamunan Mak Cik Hasnah. Dia mengesat pipi dan hujung mata dengan belakang tangan. Air mata yang terkumpul di penjuru mata berpindah ke belakang tangannya. Seketika kemudian matanya menyinggahi ke wajah anak itu. Nuraina berbaju T lusuh dan berseluar panjang berwarna hitam yang sudah kumal warnanya. Kemiskinan hidup mereka menyebabkan dia tidak mampu menyediakan pakaian cantik untuk anak-anak. Cukuplah sekadar dapat menutupi tubuh dan aurat serta bersih pula walaupun pakaian lama pemberian jiran-jiran.

“Asalkan dapat makan dan mengalas perut, syukurlah nak.” Mak Cik Hasnah bersuara serak. Dia terus bangun lalu berjalan menghampiri Nuraina. Kepalanya ditundukkan sambil matanya memerhatikan longgokan beras di dalam periuk yang jumlahnya mungkin hanya dua genggamnya sahaja.

“Awal lagi Aina, sekejap lagi masaklah! Kerja sekolah semua dah beres ke? Kalau sudah beres, pergi baca buku.” Mak Cik Hasnah bersuara sambil membuang pandangannya ke arah luar rumah. Suaranya agak bergetar menyimpan sebak.

Anak gadis itu diam. Dia faham benar dengan hati ibu yang inginkan anak-anak berjaya di dalam pelajaran supaya dapat mengubah nasib mereka apabila dewasa kelak.

“Kak Lisa akan beli barang-barang dapur hari ni, kan?” Nuraina melunakkan suaranya apabila bercakap dengan ibu yang berada di sisi. Wajah ibunya direnung sekilas. Nurlisa, kakaknya yang sulung. Mak Cik Hasnah tidak menjawab. Dadanya dihimpit oleh rasa sebak yang semakin menyesakkan pernafasannya. Kasihannya Lisa, terpaksa memikul tanggungjawab untuk mencari kerja dan menyara keluarga ini. Empat orang adik yang masih bersekolah dan seorang lagi yang berumur empat tahun. Seharusnya pada waktu itu anak sulungnya itu bergembira dan menikmati kehidupan remaja seperti gadis-gadis lain.

Mak Cik Hasnah terbatuk-batuk lagi. Tubuhnya bergoncang-goncang mengikut rentak batuk yang keluar dari kerongkongnya. Tubuhnya yang kurus. Setiap kali dia batuk begitu, dadanya akan berasa terlalu sakit.

“Mak! Mak! Minum air ni, ya.” Nuraina menghulurkan gelas plastik berisi air suam kepada Mak Cik Hasnah. Dia memandang wajah emaknya dengan perasaan yang teramat risau. Mata remajanya menyorot ke wajah emak yang kelihatan semakin cengkung. Tubuh emak semakin kurus dan melengkung mempamirkan penderitaan yang ditanggung. Tangannya mengusap-ngusap belakang emak yang masih terbatuk-batuk. Mak Cik Hasnah yang memakai baju kurung Kedah berbunga hijau.

Mak Cik Hasnah menyambut gelas yang dihulurkan lalu mencicip air suam yang terkandung di dalam gelas itu perlahan-lahan sambil matanya melihat keluar pintu. Langit kelihatan mendung menandakan hujan akan turun. Mendung dilangit seolah sama dengan mendung di hatinya di kala itu. Penderitaannya entah bila akan bernoktah. Matanya merenung lorong masuk ke perkarangan rumah mereka, sehingga saat itu Nurlisa belum menampakkan bayangnya.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.