2
MENTARI tidaklah seterik semalam ketika Adira melangkah
meninggalkan rumah. Tetapi alam bagai ditabiri kabus dek jerebu yang semakin
menebal. Di sana sini terasa kekeringan. Wap panas segera menyapa muka ketika
kaki melangkah ke kereta. |
“Mudah-mudahan berita baik itu memang untuk kau, Di,” ujar Zara
ketika mengiringi Adira ke kereta. Senyuman manis terukir di bibir, namun tanpa
sebarang harapan berbunga di hati.
“Kau rasa?” soal Adira memandang tepat wajah Zara. “Ada berita
baik untuk aku ke?”
“Kalau Mia dah beria-ia kata ada berita baik, mestilah ada berita
baik mak kau nak sampaikan. Ada ke mak nak tipu anak?” soal Zara pula.
Adira ketawa. Harapan itu tidak juga hadir. Kalaupun ada, ia amat
sedikit. Mungkin berita baik itu memang bukan untuknya, tetapi jika sudah ada
pesanan daripada abah dengan emak di kampung mintanya balik, jangan tidak-tidak
kena balik juga.
Abah tidak kisah kalau alasan boleh diterima. Kalau emak, jangan!
Nanti panjang rajuknya. Bukan sehari dua. Malah kalau balik dua, tiga bulan
akan datang pun, rajuk emak masih belum hilang.
JALAN KUCHING tidak pernah lengang. Kenderaaan bagai air
sungai tak pernah ada surutnya. Kereta dipandu agak perlahan kerana jarak
pandangan yang terbatas. Sebelum keluar rumah, dia sempat mendengar laporan Jabatan Metreologi.
Indeks jerebu di Lembah Kelang mencapai bacaan 110. Jarak pandangan hanya dua
kilometer. Hujan diramal tidak akan turun sehingga awal bulan depan.
Adira menguatkan penghawa dingin, melawan rasa bahang yang
menghimpit dari luar. Rumput-rumput mulai menguning di kiri kanan jalan
menandakan Kuala Lumpur memang sudah lama tidak disimbahi hujan. Bila agaknya
kekeringan itu akan berakhir?
Namun, dia tidak memikirkan sangat tentang Kuala Lumpur yang
kering-kontang sekarang. Mindanya lebih pada arahan Hajah Salbiah yang mahu
mereka dua beradik pulang ke kampung. Berita baik apa?
Kalau berita baik, mengapa Mia tidak gembira menyampaikannya?
Hati Adira berbisik lagi. Malah Mia seperti tidak puas hati ketika bercakap
dengannya beberapa hari lalu.
“MAK suruh kau balik hujung minggu ni, kak,” ujar Mia di
hujung talian.
“Balik?”
“Ya. Dia suruh Kak Di dengan Mia balik.” Keras suara Mia berserta
rungutan. Dia sudah ada program hujung minggu ini. Emak pula suruh balik.
“Ada hal apa agaknya, ya?”
soal Adira lagi.
“Abah kata ada berita baik,” jawab Mia dengan nada suara yang
masih keras.
“Apa beritanya?”
“Kau ni banyak tanyalah, Kak Di! Nak tau balik sajalah.” Mia
semakin marah.
Berita baik tetapi marah-marah? Adira melepaskan nafas berat.
Andai benar itu berita baik yang ditunggu sekian lama, bererti penantian itu
akan berakhir. Bererti dia tidak perlu menjawab banyak pertanyaan. Dalam usia
37 tahun sekarang, terlalu kerap dia mendengar pertanyaan yang satu itu.
“KAU ni tak nak kahwin ke, Di?” soal mak long ketika
berkumpul beramai-ramai sewaktu kenduri doa selamat di rumah mak lang.
“Nak tunggu apa lagi, Di? Putera William pun dah kahwin dengan
Kate Middleton, takkan nak tunggu dia lagi?” usik mak lang, tergelak-gelak.
“Tunggu Shah Rukh Khan ceraikan bini dia kut?” tambah Mak Piah
lagi disambut derai ketawa mak cik-mak cik yang sedang mengupas bawang.
Hibanya apabila jodohnya dijadikan bahan gurauan! Adira hanya
mampu tersenyum nipis sedang hati bagai disiat-siat. Tidakkah mereka tahu
bahawa jodoh itu milik ALLAH. DIA Yang Maha Mengetahui jodoh siapa untuk siapa.
Siapa kita yang mahu mengatur sesuatu yang memang hak-NYA?
“Mak bagi kau masa sampai hujung tahun ni saja, Di. Kalau tak ada
jugak, kau kena setuju pilihan mak.”
Adira termangu mendengar keputusan emaknya. Nampaknya tahap
kesabaran emak sudah sampai ke penghujung. Emak sudah tidak sanggup simpan anak
dara tua di dalam rumah dan menjadi bahan pertanyaan kawan dan jiran. Mungkin
ada umpat keji kerana anak dara emak yang lulusan universiti ini masih belum
laku-laku lagi. Memilih sangat agaknya. Dia nak cari orang setaraf dia. Mana
dia hendak teruna kampung? Teruna kampung tu apa? Kerja pun biasa-biasa. Gaji
tak banyak mana. Ingat dia hendak ke suami yang gaji lebih rendah daripada gaji
dia?
Sosek-sosek begitu juga sangat biasa. Sudah tidak terkira. Kenapa
masih ada yang pertikai jika jodohnya lambat sampai?
ADIRA baru terfikir, agaknya berita baik itu berkait soal
jodohnya. Ada orang masuk meminang? Ya ALLAH, kalau betul siapa agaknya? Yang
pasti emak dengan abah mesti sudah bersetuju. Emak sudah terima tanpa bertanya
dia. Itu syarat emak setahun yang lalu. Sampai kini syarat itu masih gagal
dipenuhinya. Bermakna emak memang sudah ada pilihan untuknya. Bermakna, berita
baik itu adalah berita pertunangannya?
Debar di dada Adira segera menerpa. Perasaan saling berganti.
Suka ada bimbang pun ada. Kalau betul dia sudah dipinang orang dia harus pasrah
menerima. Memang sudah tidak ada alasan untuk menolak. Teman lelaki tidak ada,
jauh sekali kekasih. Usia pun semakin bertambah. Rambut putih mulai timbul
sehelai dua. Kedut di bawah mata juga mulai muncul. Apa alasan dia untuk
menolak?
Tidak sabar untuk mendapat jawapan, Adira segera menghubungi
emak. Tetapi abah pula yang menjawab panggilan.
“Di ni, abah,” ujar Adira
agak gugup.
“Di dah dalam perjalanan. Ada apa agaknya mak dengan abah suruh
Di balik ni?” soal Adira cuba memancing jawapan.
“Sampai nanti abah bagitahu. Mia balik tak?” soal abah pula.
“Balik kut. Dia yang suruh Di balik, takkan dia tak balik pulak?”
Adira sedikit bengang dengan sikap adiknya. “Abah, apa halnya?” Dia mendesak.
Haji Ismail hanya ketawa. “Baliklah dulu,” bagitahunya, sengaja
mendera perasaan anaknya.
“Alah, abah ni… orang tak jadi balik nanti baru tau,” ujar Adira
merajuk manja.
“Adalah…”
Jawapan Haji Ismail membuatkan Adira geram.
“Hah, dahlah. Tu tengah
memandu, kan? Nanti kena langgar belakang pulak.” Kemudian Haji Ismail memberi
salam, menamatkan perbualan.
Belum sempat menjawab salam, bunyi dentuman di belakang
mengejutkan Adira. Dia terdorong ke depan. Tali pinggang keselamatan terasa
menjerut dada.
“Ya ALLAH! Apa pulak ni?” Dia memandang ke belakang melalui
cermin pandang belakang. Lantas dia memperlahankan kereta dan menghimpit ke
bahu jalan.
Sebuah kenderaan pacuan empat roda juga memperlahankan pacuannya
dan turut berhenti ke tepi jalan. Pemandunya keluar.
Adira masih tergamam di tempat duduknya.
“Dia langgar kereta aku ke?” Lantas dia menanggalkan tali pinggang
keselamatannya dan membuka pintu. Dilihatnya seorang lelaki meluru ke arahnya.
“Awak ni memandu ke makan angin? Ingat jalan bapak awak ke, bawa
kereta sesuka hati? Kejap laju, kejap perlahan. Saya tak mahu bayar.”
Tersentap hati Adira mendengar kemarahan yang diledakkan
kepadanya. “Tak payahlah marah-marah kalau tak nak bayar pun,” ujarnya. Bengang
pula dia dengan lelaki itu yang tiba-tiba angin. Lelaki itu yang langgar
keretanya, dia pula yang dimarahi.
Lelaki itu merenung tajam wajah Adira. “Senang awak cakap, ya?”
Adira tidak menjawab. Sebaliknya beredar ke belakang dan melihat
apa terjadi pada keretanya.
Ya ALLAH! Bumper tercabut! Lampu
pecah. Sisi kiri kemek! Macam mana boleh jadi macam ni?
Dia panik. Kemarahannya muncul. Lelaki tadi sudah bercekak
pinggang di belakangnya.
“Hah, apa awak nak buat? Nak marah saya? Salah saya ke kalau awak
terhegeh-hegeh bawa kereta? Salah saya ke kalau awak memandu sambil bercinta?
Kalau dah perempuan tu, perempuan jugak! Kan bagus kalau Malaysia haramkan
perempuan bawa kereta? Menyusahkan! Buat macam Arab Saudi tu… senang.”
‘Eh, apa ni? Membebel kat aku pasal apa?’ Adira hanya mampu
melepas nafas panjang. Dia cuba menyabarkan dirinya walaupun terasa ringan
tangannya hendak dilayangkan ke muka lelaki itu.
“Tak apalah, memang salah saya,” ujarnya, pendek. Dia membetulkan
sedikit bumper yang hampir tercabut.
“Mari saya betulkan sikit. Nanti tercicir pulak tengah jalan,”
ujar lelaki itu mula berlembut.
Anehnya lelaki itu turut membantu. Mungkin jawapannya menurunkan
darjah kemarahan lelaki itu. Adira hanya membiarkan lelaki itu melakukan kerja
itu. ‘Baik juga dia. Tadi bukan main bengkeng,’ bisik hatinya.
“Ada bengkel sebelum bulatan Jalan Ipoh tu. Awak ambil kiri,
lepas tu kiri lagi dekat simpang nak ke Jinjang.” Lelaki itu memberi arahan.
Adira hanya menjeling. Walaupun bumper itu disangkut tidak
begitu kemas, sekurang-kurangnya dia sempat singgah ke bengkel di kampung. Dia
membuka pintu kereta dan memboloskan diri ke dalam.
“Ambil kiri, tau?” Sempat lelaki itu berpesan.
“Sampai kampung nanti saya pergilah ke bengkel,” ujar Adira.
“Kat mana kampung awak?”
“Ipoh.”
Lelaki itu ketawa sinis. “Belum sampai Tanjung Malim lagi bumper
ni dah cicir tau?”
“Cicir nanti, saya carilah bengkel.” Adira masuk ke dalam kereta
dan menghidupkan enjin kereta. Dia sudah bersedia untuk menekan minyak kereta.
“Tunggu!”
Adira yang sudah terlajak ke hadapan cepat-cepat menekan brek
keretanya. Dia menunggu lelaki itu menghampiri keretanya.
Lelaki itu sempat menghulurkan kad nama kepada Adira. “Nanti bagi
saya bil bengkel,” ujarnya dengan nada lebih sopan.
“Kata tak mau bayar?” Adira menyambut kad nama itu lalu
dibeleknya seketika.
“Call saya,” sambung lelaki itu lagi.
Tanpa berkata apa-apa,
Adira memecut keretanya.
Zarul yang bercekak pinggang memerhatikan kereta itu meluncur
meninggalkannya. ‘Perempuan ni memang Gila!’