Aku
cepat-cepat bangun dan bersiap untuk mandi apabila tersedar dari tidurku pada
petang ini. Patutkah aku tidur di sisi lelaki ini! Lelaki di sisiku ini
bukannya menyuruh aku mandi sebaliknya dia sendiri pun sudah tertidur. Dengan
hati-hati aku bangun dan mengambil beg pakaianku yang sudah diletakkannya di
dalam biliknya ini. Entah bila dia mengangkat begku yang berada di luar tadi,
aku pun tidak sedar.
Sejak
tiba di sini, jantungku bagaikan tidak mahu bekerjasama denganku. Dadaku asyik
berdetap-detup. Tubuhku asyik berpeluh-peluh. Keresahan atau ketakutan dengan
tindakan lelaki yang keterlaluan beraninya. Walhal kalau dikira dengan tangan,
baru dua kali kami bertemu. Pertama, sejak pernikahan kami. Kedua, kali ini; di
rumahku seketika sahaja, di keretanya dan di rumahnya ini.
Sepatutnya
dia masih malu kepadaku atau sepatutnya dia membenci aku seperti mana semasa
kami menikah dahulu. Dia memarahi aku kerana dia terpaksa menikah denganku.
Hendak menitik juga air mataku pada ketika itu. namun aku sabarkan hatiku
kerana orang ramai yang hadir semasa pernikahan kami itu. kalau ikutkan hati
mahu sahaja aku meraung di situ juga! Lelaki ini selalu sahaja membuat onar
dalam hidupku.
“Sayang nak mandi?” bukan tidak
terkejutnya aku dengan tindakannya yang sudah berdiri dan memegang tanganku
yang sedang lincah mencari tuala dan pakaian untuk dipakai pada malam ini. Aku
memandang wajah kacak itu, sedang tersenyum manis memandangku. Kenapa dia baik
sangat kepadaku? Kalau boleh aku tidak mahu dia terlalu baik kepadaku. Biarlah
dia berkasar denganku, aku lebih rela. Tetapi jika dia terlalu baik denganku,
apa yang terjadi kepada hatiku ini? Resah dan asyik terkenangkan dia. Aduhai!
“Eh, boleh tak awak tak kacau saya?
Bersayang-sayang pula tu! Rimas tau!” soalku serba-salah. Tangannya kejap
memegang pergelangan tanganku. Hendak dibuatnya apa aku ni? Tanganku
dikucupnya. Eh, kenapa anak mak long ni macam ni? Aku suka kalau dia
mengekalkan sikapnya yang tidak suka kepadaku. Kenapa dia sekarang terlalu suka
mendekati aku. Kalau dia tahu aku tidak mengandung lagilah naya! Sakitnya hatiku.
“Saya bukan kacau tapi saya rindu!”
katanya yang sudah tersengih menghadapku. Aku menyengih juga. Bukan gembira
tetapi aku tidak mahu mengukir kenangan manis dengannya. Kalau kami sudah
berpisah kelak dan dia tahu aku belum memberitahu kisah sebenar mengenai
kandunganku, apa yang akan terjadi kepada kami? Aku pasti dia akan menuduh aku
berbohong dan cuba memprdayakannya. Ah, takutnya aku apabila saat itu berlaku
nanti. Ya Allah tahanlah masa, aku takut.... doaku dalam hati.
“Buat apa nak rindu saya ni!
Saya ni bukan kekasih awak!” kataku
perlahan dan terasa sayu. Kami bukan sesiapa dalam hubungan ini. Kami hanya
sepupu walaupun kami suami isteri yang sah.
“Hmm, kan saya sudah cakap banyak
kali. Kalau antara kita berdua, jangan sebut hal orang lain. Saya nak buat apa
kalau awak cakap lagi sekali benda yang sama?” dia sudah tersenyum gatal
memandang aku. Aku pula menundukkan wajahku ke lantai biliknya ini.
“Saya nak ingatkan awak aje.”
Kataku. Aku tidak mahu berpura-pura. Kenyataan yang kami kahwin hanya di atas
sebuah perjanjian tetap kenyataan yang harus kami terima. Kenapa dia hendak
menghadirkan kemanisan dalam hubungan kami yang tidak lama ini?
“Ha! Tak perlu ingatkan saya. Saya
tahu.” Katanya. Aku jadi serba-salah. Kalau dia tahu kenapa dia nak teruskan
begitu.
“Hmmm, kalau awak buat lagi macam
tu, bibir awak yang merah macam buah jambu itu akan jadi galang gantinya!” aku
memegang dan menutup bibirku dengan tanganku. Ya Allah bibirku ini sudah tidak
ada aslinya. Lelaki ini sudah mencerobohinya. Kalau aku diceraikannya suatu
hari nanti, ah, sulit aku terima. Aku malu dan sedih akhirnya.
“Takut?” soalnya macam orang bodoh.
Aku tidak menjawab. Jawapanku akan menjadikan lebih suka menyakat aku. Aku
benci tiba-tiba kerana dia tiba-tiba sudah pandai melanggar perjanjian kami.
Lelaki apakah di depanku ini?
“Izinkan saya mandi. Badan saya ni
macam dah melekit semuanya.” Kataku memberikan alasanku yang tersendiri. Dia
melepaskan tanganku. Aku menggosok-gosok tanganku yang sakit akibat dipegang
dengan kuat tadi. Geramnya aku, kenapa sikapnya semesra ini. Kalau dia biarkan
aku dengan duniaku, alangkah baiknya!
“Tasya mandi dulu. Saya nak turun ke
dapur kejap.” Katanya yang masih memandang aku. Aku keluarkan tuala, peralatan
mandi dan pakaianku lalu aku cepat-cepat masuk ke dalam kamar mandinya itu.
‘Mak ai... kamar mandinya macam
besar bilik aku di kampung! Besarnya bilik. Bersih pula tu! Macam boleh kalau
aku nak tidur di sini malam ni!’ Kataku dalam hati.
Aku membelai tubuhku dengan wangian
mandian. Sebenarnya aku tidak tahu bagaimana hendak berterus-terang dengan
lelaki ini. Aku sudah terlanjur memberitahu dia yang aku mengandung. Kalau aku
berterus-terang, mahukah dia mempercayai aku? Tetapi apa yang aku kurang senang
ialah sikapnya yang menggoda aku. Aku takut sesuatu yang tidak diingini
berlaku. Aku tidak mahu ia berlaku sebenarnya. Kalau boleh biarlah kami sama
seperti selepas nikah di rumahku hari itu. tetapi sekarang sikapnya sudah
berubah kepadaku.
Dia
seperti hendak menyampaikan kerinduan-kerinduannya kepadaku. Aku pun rindukan
dia juga tetapi aku belum sanggup memberitahu kerinduanku kepadanya. Cukuplah
kalau kami berjumpa dan dia membawa aku ke rumah keluarganya sahaja. Emak aku
sudah menunggu di situ. Aku tahu. Tetapi aku tidak dapat menelefon emak. Aku
lupa pula membawa charger bateriku. Akhirnya, beginilah telefonku. Aku letakkan
sahaja di dalam beg tanganku.
“Sayang, dah siap mandi?” satu suara
memanggil aku dari luar. Lagi satu,aku tidak suka kalau dia memanggil aku
sayang. Aku bukan sayang dia. Aku bukan kekasih dia. Aku diam.
“Sayang pengsan di dalam ni?”
soalnya lagi.
“Tak, kejap, kejap!” kataku
perlahan. Aku cepat-cepat menghabiskan mandiku. Aku mengambil tuala dan
mengelap tubuhku. Aku jadi kelam kabut pula. tidak elok pula sudah bersuami ni,
nak mandi pun tak dapat aku nak berlama-lama dan melayan perasaan sendiri.
Kataku dalam hati. Aku geram sebenarnya. Geram dengan sikapnya yang terlalu
tidak sabar.
“Kalau tak, saya nak gunakan kunci
lain buka bilik mandi ni,” dia sudah mengugut aku. Aku benci dengan sikapnya.
Aku ni sudah lah tidak biasa dengan keadaan rumahnya ini. Aduhai!
“Awak boleh sabar tak?” soalku dari
dalam. Dia sudah ketawa kecil. Aku cepat-cepat mengenakan pakaianku.
“Sabar ada hadnya!” jawabnya pula. Bertambah
aku kelam kabut dengan sikapnya. Setelah selesai aku membuka pintu. Tetapi, ah,
tudungku. Aku terpaksa mengikat rambutku dengan tualaku. Dia sudah tersenyum
manis di depan pintu. Siapa yang tidak geram dengan sikapnya ini?
“Cantiknya anak mak ngah!” pujinya.
Aku malu. Mukaku menjadi merah lagi. Apa yang cantiknya? Soalku. Mukaku tembam,
biasalah, memang aku si tembamnya. Hidungku pesek tak mancung, tak juga tidak
mancung. Tengah-tengah. Tubuhku agak kurus. Kata Shamira aku makan hati.
“Inilah si tembam!” kataku
mengenakannya.
“Ya si tembam saya! Hmm, wanginya si
tembam!” aku terus menghamburkan semua pakaianku yang telah kupakai tadi
kepadanya. Dia cepat-cepat masuk ke dalam kamar mandi dan menutup pintu.
“Padan muka!” kataku perlahan. Aku
cepat-cepat mengambil tudungku di dalam begku dan mengenakan di kepalaku.
Kemudian, aku hendak mengambil telekung sembahyang. Di mana nak sembahyang ni?
Soalku. Bilik utama ini agak besar. Mungkin empat kali ganda dengan bilikku di
kampung. Mungkin kami akan solat maghrib di bilik ini. Biasanya aku solat
sendiri sahaja. Tidak perlu aku berimam segala. Kecuali hari Khamis malam
Jumaat. Kami akan bersolat berjemaah dengan Shamira. Shamira jadi imam dan kami
akan membaca surah Yasin bersama-sama.
“Sayang, boleh tolong abang tak?”
soalnya yang sudah membuka pintu. Aduhai, aku ternampak dia hanya mengenakan
seluar pendek tanpa pakaian. Rambutnya basah! Malunya aku! Aku cepat-cepat
membelakangkannya.
“Kenapa?” soalnya melihat mukaku
yang sudah pucat lesi.
“Tolong ambilkan tuala boleh?”
pintanya.
“Kat mana?” aku tidak melihat tuala
di mana-mana.
“Kat balkoni.” Aku ternampak pintu
menuju ke balkoni. Aku cepat-cepat membuka pintu itu dan ternampak tuala
berwarna hijau. Aku terus mendapatkannya di situ.
“Nah!” aku mengunjuk tuala itu
kepadanya.
“Terima kasih sayang!” tanganku
terus ditangkapnya. Aku berusaha menarik tanganku. Licin pula tangannya kerana
masih bersabun.
“Kenapa pula ni?” soalku. Aku
menutup mata.
“Tak de, tak sengaja pula!” katanya
melepaskan tanganku. Air wudhukku sudah terbatal dengan sendirinya. Aduhai!
Terpaksa aku mengangkat wudhuk lagi selepas dia mandi. Nukman Faris!
“Sayang,” panggilnya lagi. Aku diam
sesaat. Menikmati saat yang syahdu antara kami berdua itu.
“Apa sayang-sayang?” soalku
marah-marah. Dia sudah ketawa. Aku tahu mungkin dia sungguh bosan kerana sudah
lama dia tidak bertemu dengan kekasihnya. Kalau aku sebut kekasihnya nanti dia
marah pula. alahai!
“Tak ada apa-apa sayang.” Katanya.
Aku tersengih. Aku tahu dia sengaja hendak mempermainkan aku.
“Cepatlah Nukman, maghrib dah masuk
ni.” Kataku mengingatkannya.
“Baik, jangan risau.” Katanya. Dia
terus menuju ke almarinya dan mengambil baju Melayunya berwarna kuning cair.
Selepas itu dia terus menjadi imam bagi sembahyang maghrib kami. Selepas solat
maghrib, aku terus menyalami tangannya dan dia mengucup dahiku sekali lagi.
Hening waktu ini. Kami berpelukan seketika. Aku pula membalas pelukannya. Ya
lah mana tahu inilah kali terakhir kami bersama, tidak lah aku kempunan pula
nanti. Nakal sungguh suara hatiku!
“Awak, janganlah nak peluk-peluk
macam ni! Saya tak suka!”kataku memujuk lelaki yang suka memeluk aku ini.
Macamlah aku ini bantal peluknya!
“His, takkan nak peluk sepupu pun
salah! Dahlah sepupu, isteri pula tu!” katanya yang sudah tersenyum manis
memandang aku. Mataku sudah membulat. Terkejut dengan kenyataannya. Sepupu
dijadikannya tiket untuk memegang tanganku.
Eh,
geramnya!
“Apa ni?” soalku yang sudah gementar
dengan tingkahnya. Kalau ditariknya aku ke dalam bilik air itu, takkan naya
aku!
“Takut?” soalnya yang sudah
melepaskan tanganku. Mataku memandangnya tidak berkedip. Nafas! Nafas! Kataku
memohon dalam hati. Jiwaku sebu, jantungku usah dikata, degupnya mengalahkan
pukulan gong!
“Sudahlah awak!” kataku yang sudah
menjauhinya. Aku terus duduk di sofa dan memegang dadaku. Degupan keras masih
terasa. Ah, Nukman Faris memang menyakitkan hati!
Teruskan bacaan di http:putrimanasuha.blogspot.com