Home Novel Cinta Cinta Sang Pilot
Bab 2 dan Bab 3

Bab 2

“Cik abang, sila bangun. Azan subuh dah kedengaran tu.” Aku cuba mengejutkan Nukman Faris. Tetapi lelaki itu tidak pun bergerak dari tidurnya yang pulas. Takkan nak biarkan?

“Abang, bangun sekarang. Solat subuh,” aku menaikkan nada suaraku di telinganya. Aku memang takut-takut. Takut dia akan menjerit ke arahku.

“Hey! Boleh tak kalau kau tak kacau aku satu hari! Aku nak tidurlah!” dia meninggikan suaranya.

Aku terpana melihat dia yang sudah berwajah garang. Memang itulah penampilannya sejak aku mengenalinya. Dia tidak pernah berbuat baik kepadaku. Jika dia berbuat baik kepadaku, pastinya hanya di depan emaknya dan di depan ahli keluargaku. Kalau kami hanya berdua, memang jelingan mautnya sahaja yang aku terima. Aduhai!

“Subuh bang,” jawabku serba-salah.

“Siapa abang kau?” soalnya menjegilkan matanya. Aku menundukkan pandanganku. Jahatnya dia! Aku janji, kalau suatu hari aku mempunyai suami lain, aku tak akan memilih lelaki yang tidak mahu menerima aku seperti ini. Tetapi kerana aku terdesak, aku terpaksa menerima keadaan begini.

“Abang kan sepupu saya, tua dari saya,” jawabku. Dia jegilkan matanya lagi. Memang sah dia tidak mengantuk lagi.

“Aku abang sepupu kau, tapi bukan abang kau! Jangan panggil aku abang!” sempat lagi dia memarahi aku.

“Ya ya! Maafkan saya. Sekarang dah nak habis waktu subuh encik!” kataku mengingatkannya. Sebagai umat Islam aku berhak mengingatkan dia agar menunaikan kewajipan kepada tuhan biarpun dia tidak menerima aku sebagai isterinya.

“Aku tahulah nak solat. Yang kau sibuk tu kenapa? Selama ni pun aku solat kau tak tahu!” aku diam. Apa lagi yang harus kujawab kalau dia tahu kewajipannya sebagai orang Islam.

“Bangunlah,kenapa lagi Encik Nukman begitu lagi? Bangunlah cepat waktu subuh dah nak habis tu,” kataku menukar panggilan kepadanya. Aku sudah terasa dengan sergahannya.

“Eh kau ni memang tak faham bahasa kan!” katanya yang sudah menjegilkan matanya. Namun dia masih berbaring di atas sofa itu. Aku tenung matanya. Selepas bangun pun kulihat dia sangat kacak. Waduh, aku dah angaukah?

“Saya faham, maafkan saya. Saya hanya mahu encik solat subuh sahaja,” kataku menundukkan pandangan. Aku takut jatuh cinta buat yang entah ke berapa kali kepada lelaki yang tidur sebilik denganku ini.

“Eh, kau ni memang penyibuklah kan! Benci betullah dengan awak ni! Menyusahkan betul!” rungutnya lagi.

Aku terasa aneh. Perasaanku sangat sebak. Aku tahu aku sudah menyusahkan dia tetapi kenapa perlu aku ditengking-tengking begitu! Memang sepupuku aku ini agak kurang beradab sikit!

“Saya terpaksa penyibuk encik, saya tak mahu encik berdosa dan saya terseret sama!” kataku perlahan. Marak matanya. Dia bukan lagi mamai kerana baru bangun tidur tetapi memang dia sudah sangat marah mendengar kata-kataku.

Apa yang aku boleh buat, itu memang tanggungjawab aku sebagai muslimah saling mengingatkan sesama sendiri. Kalau aku biarkan dia habis waktu Subuh, aku juga yang berdosakan?

“Menjawab! Menjawab!” jeritnya agak kuat. Aku jauhkan diri. Aku takut tangannya akan terpasak di tubuhku pula. Minta dijauhkan.

“Maafkan saya encik!” kataku yang sudah duduk di birai katil.

“Kenapa kau nak berencik-encik dengan aku?” buntang mataku.

“Apa yang patut saya panggil? Panggil abang, awak marah. Panggil encik awak marah juga. Saya pun bingung!” soalku pula.

“Panggil Nukman saja.” Aku angguk.

“Baik, aku nak solat dulu. Kau dah solat?” aku angguk lagi. Aku tiidak mahu menjawab lagi. Aku takut dia akan memarahiku lagi.

“Kau dah bisu?” bulat mataku. Apa lagi yang patut aku buat?

“Saya tak bisu Nukman,” terasa ketar bibirku menyebut nama itu. Sepatutnya aku memanggilnya abang sahaja. Jika pun sebagai suami, sebagai sepupu. Dia lebih tua dari aku. Tak apalah.

“Susah aku nak cakap dengan kau ni! Sensitif betul!” apalah salahku. Aku rasa aku bertanggungjawab untuk mengingatkan dia tentang kewajipan bersolat. Jika tidak belum tahu aku akan buka mulutku. Dikatakannya aku sensitif? Walhal dia yang sensitif!


Bab 3


Pagi itu aku bangun awal. Selepas berbalas cakap dengan Nukman aku turun ke bawah. Aku mahu menemani emak menyediakan sarapan pagi. Aku pun tidak mahu pintu bilikku diketuk oleh emak atau lelaki itu bangun awal daripadaku. Selesai solat Subuh tadi aku mengejutkan dia dan terus turun ke dapur. Sebenarnya aku langsung tidak dapat melelapkan mata semalaman. Entah mengapa. Aku tidak dapat memaksa mataku sendiri.

“Assalamualaikum mak,” emak menjawab salamku sambil tersenyum. Tidak ada riak-riak marah lagi di wajah emak setelah berlangsungnya pernikahanku dengan Nukman Faris, anak saudaranya itu.

“Macam mana tidur semalam dengan orang baru, ok tak?” soal emak. Aku tersengih-sengih. Ah emak, macam tidak mahu faham. Lelaki itu kan aku baru jumpa, memang lah aku agak kekok dan sukar hendak membiasakan diri. Di dalam bilik aku asyik segan dengan dia walaupun lelaki itu adalah sepupuku.

“Baik mak, tak ada yang tak baik.” Jawabku. Perasaanku cuak. Aku tidak tahu kenapa. Tangan emak lincah mengupas bawang.

“Mak nak masak apa?” emak menutup matanya. Pedih mungkin.

“Kira-kira nak masak nasi goreng. Nasi semalam masih banyak lagi tuh,” kata emak. Aku melihat periuk nasi yang paling besar penuh dengan nasi.

“Saya masaklah nasi goreng mak. Bukan selalu dapat makan masakan saya,” kataku bergurau. Emak mengangguk.

“Ya lah, nanti kalau mak tak setuju, anak mak merajuk pula.” Jawab emak. Pandai sungguh emak bergurau. Aku menghidupkan api dan memanaskan kuali.

“Pandailah mak!” aku tepuk bahu emak. Sebenarnya aku sedih dengan apa yang berlaku namun aku berjanji tidak akan berkongsi dengan emak. Aku tidak mahu emak bersusah hati kepadaku. Sudah beberapa minggu emak memikirkan hal aku. Amri lagi satu, bekas tunangku.

“Mesti sedap Tasya masak kan mak,” tiba-tiba satu suara dari arah belakangku.

Meremang bulu romaku. Aku sangka dia akan menyambung tidurnya. Semalam bukan main dia menunjukkan syarat-syaratnya kepadaku. Hari ini dia tunjuk kemesraannya di depan emakku. Bukan main aku terkejut. Emak pula tersenyum-senyum manis memandang aku. Dia sudah berdiri di belakangku dan memegang pinggangku. Lebih meremang bulu romaku. 

Dalam hati aku berdoa, janganlah lelaki itu pegang-pegang tubuhku ini. Baru sahaja dia memarahi aku sekarang dia sudah memegang pinggangku. Apa yang harus aku buat? Menepis tangannya itu? Apa kata emak?

Bukankah kami akan bercerai tidak lama lagi? Sekurang-kurangnya pun aku akan bakal mendapat madu! Ah, sakitnya hati! Janganlah aku mati sebelum tercapai cita-citaku! Panjang sangat doaku sambil memohon dia melepaskan tangannya dari pinggangku.

“Lepaslah! Tak baik mak tengok, malu saya,” bisikku. Marah betul, dia masih meneruskan lakonannya. Macamlah aku suka! Dia tersenyum. Mata kami bertatapan semula. Ya Allah, matikan lah waktu dan aku dan dia ingin kekal bertatapan dengan senyuman manis begini! Rahmat Allah turun pagi ini. Aku sungguh bersyukur.

“Mestilah anak mak pandai masak Nukman. Sepupu merangkap isteri kamu juga,” kata emak. Aku cuak lagi. Dalam debar senyuman Nukman Faris singgah di wajahku menyebabkan bergetaran halus di dadaku ini. Aduhai, kenapa begini perasaan seorang isteri sementara ini!

“Mestilah anak mak kan? Isteri abang juga kan,” jawab Nukman Faris. Mahu bernanah telingaku mendengar pujiannya.

“Tak lah, saya biasa-biasa aje, tak biasa masak kan mak! Perempuan sensitif pula tu!” kataku cuba mengenakan dia. Emak hanya tersenyum manis. Aku pula tersenyum kelat. Nukman Faris sudah ketawa mendengar ayat terakhirku.

“Nukman duduk di luar dulu sementara Tasya sediakan sarapan. Nukman nak minum air apa, nescafe, kopi, milo?” soal emak. Aku memasang telinga.

“Apa-apa saja mak, semuanya saya minum tapi mesti Tasya yang buat,” jawabnya yang sudah memeluk bahuku. Ya Allah mahu saja aku pengsan di dapur ini. Nasib baik aku mampu mengawal diri.

“Betulkah abang nak saya ni buat kan air?” soalku perlahan. Kebetulan emak pula di sisiku. Emak menjelingku. Dia mengangguk.

“Ya Allah anak mak, kalau suami cakap dia nak air yang isterinya buat, betullah tu, apa pula nak tanya suami macam tu!” emak sudah membebel. Merah padam wajahku. Seketika Nukman Faris sudah mencuit pipiku yang merona merah.

Ya Tuhan hentikanlah waktu, alangkah bahagianya aku di sisi lelaki yang bernama suami ini!

“Sayang buat air sedap-sedap tau,” bisiknya di telingaku lantas mengucup pipiku yang sudah berbahang menahan asmara ini. Aduhai adakah ini mimpi?

Syukur dia tidak memilih makanan. Tetapi aku tidak tahu jika dia hanya berlakon sahaja. Ini kerana dia paling pandai berlakon dalam adegan kami ini.

‘Mak ai, bukan main demand pula dia!’ kataku dalam hati. Marah sebenarnya.

“Aduhai berkucupan lah pula pasangan pengantin ni depan mak dia! Tak puas-puas pula dalam bilik!” kata emak mengusik kami.

Aku tidak tahu hendak meletak mukaku di mana ketika ini. Tebalnya kulitku mengalahkan kulit kawah hitam buat gulai daging semalam! Emak sentiasa memerhatikan kami rupanya. Tambahan lagi lakonan Nukman Faris yang mantap menyebabkan emak galak mengusik kami. Aku hanya menundukkan pandangan dengan dada bergendang hebat dan air mata berkumpul di kolam mataku. Benarkah Nukman Faris ini?

“Mak dan ayah kamu datang sini tak pagi ni Nukman?” soal emak lagi. Nukman Faris angkat bahu dan sebelah tangannya masih memegang pinggang keringku pula. Bertambah bergemuruh dadaku.

Ya Tuhan, kenapa lelaki ini melebih-lebih pula pagi ini. Kalau dia tidak begini, tidak adalah benda yang akan kukenang sepanjang hari ku nanti. Namun apabila dia sudah bertindak begini, apakah perasaanku? Aku terasa dipermainkan!

“Itu mak kena tanya dengan mama. Saya tak nak masuk campur,” katanya pula. Jawapan itu memang tepat. Ini kerana mereka berdua adik-beradik.

“Saya ke depan dulu sayang, mak,” katanya memanggil aku ‘sayang’ dan merendahkan tubuhnya untuk berdiri sepadan denganku, memandang wajahku yang masih merah padam dan jantungku yang kononnya terlompat keluar entah ke mana.

Berdebar semacam dadaku. Mahu melompat pun ada. Sejak dulu aku menyayanginya walaupun aku tidak pernah menyimpan harapan dia akan menikahiku. Kini, perbuatannya begitu menyebabkan darjah cintaku kepada sepupuku ini semakin menebal setebal novel cinta!

Namun pada saat mamanya dan emaknya merestui pernikahan kami, dia sudah ada orang lain. Memang menyakitkan hakikat itu namun aku tidak dapat menyangkalnya, mungkin sudah takdirku begini.

Ya Allah, macam mahu gugur jantungku. Kurasa sesaat ini, dunia ini aku yang punya. Sayangnya hanya sesaat. Selepas itu, aku tidak akan mendengar lagi suara lembutnya. Apa yang ada hanya pandangan matanya yang kejamnya dan kata-katanya yang kurang sopan dari wajah kacak itu.

“Ya pergi dulu ke depan. Ayah kamu ada di situ, sedang ambil angin katanya,” kata emak menyelamatkan keadaan.

Aku terus memasukkan bawang dan ramuan lain. Aku urut dada seketika, merasai debaran yang masih bersisa. Apakah ini cinta? Kenapa ketika aku bertunangan dengan Amri dulu aku tidak merasai getaran begini? Kenapa bersama yang tidak mencintai aku, memandang aku dengan jijik ini pula aku terasa sesuatu yang aneh? Apakah ini cinta? Aku tidak berani mengakuinya! Aku takut dituduh perasan pula!

“Sayang, abang ke depan dulu. Sayang masak sedap-sedap tau, abang dah lapar ni,” bisiknya di telingaku.

Tuhan, hentikanlah waktu, aku sangat bahagia saat ini. Bisikku dalam hati. Perlahan aku mengangguk dan tersenyum dengan senang hati. Tetapi apabila mengenangkan syarat-syarat perkahwinan yang sudah aku tandatangani,aku berasa diri ini tidak ada nilainya di mata lelaki itu. Tuhan, pinjamkan aku nafas aku rasa hendak mati saat ini!

Previous: Bab 1
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Putri Iman Nasuha